SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing.

Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah.

Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.

Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: ”Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah!

“Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja!

Demikianlah kehidupan ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah.

Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup.

Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:

1. Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

2. Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

3. Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

4. Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar.

Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: “Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati?

Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”

Oleh Endok Sempo M Tahir

Tajdid Iman

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: “Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda”. Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: “Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud apabila ditanya: “Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?” Beliau menjawab: “Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?”

Orang banyak mengatakan: “Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.

Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: “Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 8)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda.

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang ‘diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda reda ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.

Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.

Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah dia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya dia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi dia dianggap sebagai kufur nikmat.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Bersyukur adalah tindak balas baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima.

Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah kerana terlalu besar nikmat yang diberikan kepada kita.

Oleh itu, sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.

Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara.

Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.

Tanda bersyukur dalam perkhidmatan pula adalah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai satu ibadah, bukan semata-mata untuk mencari nafkah.

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

Apakah tugas hakiki kita sebagai seorang Muslim sering menjadi persoalan setiap umat Islam untuk mengenal diri terhadap Penciptanya. Kefahaman yang mendorong makhluk untuk bangkit beramal dan beribadat kepada Allah s.w.t. wajib menunaikan tanggungjawab itu dengan penuh keredaan kepada tuhan yang esa.

Tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah di muka bumi sentiasa mengingati bersama hadirnya manusia di mana Allah s.w.t. mengutuskan para rasul daripada hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Bermula daripada Nabi Adam sebagai manusia yang pertama wujud di atas muka bumi ini. Sebaik-baiknya manusia di kalangan para sahabat hinggalah muncul dengan gelaran yang sempurna iaitu sebaik-baik umat.

Gelaran dan kedudukan yang diberi datangnya dengan satu tugas hakiki sebagai seorang Muslim. Namun bagaimana pula tanggungjawab manusia dan apakah sebenarnya tugas hakiki sebagai umat Muhammad yang dituntut dengan melaksanakan anggota jasad. Jika tugas dalam melakukannya tidak diketahui bagaimana pula untuk melaksanakannya.

Segala yang dinilai diertikan seperti sebuah kipas. Fungsinya ialah untuk memberi angin kerehatan dan keselesaan kepada pemiliknya. Jika kipas itu rosak dan tidak berfungsi sudah pasti ia perlu diperbaiki atau disimpan sekiranya tidak boleh digunakan lagi. Akhirnya kipas itu akan dibuang.

Persoalannya, bagaimana pula jika manusia tidak dapat melaksanakan tugas dan khalifah sebagai seorang Muslim dan ke mana agaknya Allah s.w.t. akan menempatkan mereka yang alpa dengan amanah Allah.

Buku hasil susunan Mohd. Gunawan Che Ab. Aziz menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah menciptakan manusia dan memilih umatnya untuk menjadi umat Rasulullah. Maka Allah s.w.t. lebih berhak untuk memberitahu umatnya apakah tugas dan hakiki sebagai seorang Muslim.

Allah s.w.t. berfirman: Dia telah mensyariatkan kamu tentang agama. Apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. (asy-Syura: 13).

Buku ini mengandungi amalan dan penjelasan sebagai seorang muslim memiliki ciri-ciri istimewa berbanding buku-buku lain kerana setiap perbincangan dikepilkan dinyatakan dalilnya daripada al-Quran dan hadis sahih.

Para pembaca turut dapat menimba ilmu dengan bantuan keterangan dan contoh-contoh isu semasa yang diselitkan di setiap perbincangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, hubungi 07-2351602 atau layari www.jahabersa.com.my

Fakta
Judul Buku: Apakah Tugas Hakiki Saya Sebagai Seorang Muslim?
Penyusun: Mohd. Gunawan Che Ab. Aziz
Penerbit: Perniagaan Jahabersa

SOALAN: Ada pandangan bahawa jika ada orang yang tinggal jauh dalam hutan dan pulau terpencil lebih baik jangan didakwahkan mereka masuk Islam kerana takut mereka menentang menyembah Allah.

Namun, ada pandangan yang menyatakan jika kita tidak berdakwah kepada orang-orang sebegini kita pula akan dipersoalkan di akhirat kelak. Benarkah?

JAWAPAN:

Menentang menyembah Allah dan tidak menyembah Allah apa bezanya? Kedua-duanya dikira murka oleh Allah s.w.t.

Ulama usuluddin ada membincangkan satu topik berkaitan kemampuan akal manusia mengenal baik dan buruk, sehingga mazhab al-Hanafiyah berpendapat bahawa, “akal manusia secara semulajadi dapat membezakan yang buruk”.

Maksudnya, akal manusia berperanan dan mampu membezakan yang baik dan buruk. Biarpun seseorang itu tinggal di hutan yang jauh dari manusia selagi mana akalnya dapat berinteraksi dengan waras mengenai baik buruk selagi itulah dia bertanggungjawab mencari tuhan yang sebenarnya.

Sesungguhnya Allah tidak akan menghukum manusia melainkan dalam ruang kemampuannya. Dalam persoalan dakwah, mengajak orang kepada agama terbahagi kepada dua persoalan iaitu dakwah Islamiah dan dakwah islahiah.

Dakwah Islamiah difokuskan kepada orang bukan Islam, mengajak mereka dengan menjelaskan keindahan Islam, keuniversalannya tanpa paksaan.

Dakwah islahiah ialah mengajak orang yang telah Islam kepada mendalami, menghayati dan menjadikan agama Islam sebagai cara hidup.

Mereka yang tinggal jauh dari pembangunan atau tidak keluar dan bergaul dengan orang luar digelar ahlu fitrah (yang berada dalam keadaan asal).

Firman Allah yang bermaksud, …dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia tidak akan disoal dalam selok belok agama. Seseorang atau sesuatu kumpulan masyarakat yang tidak sampai kepada mereka seruan agama tidak akan dipersoalkan kenapa tidak solat, tidak zakat, tidak haji, tidak menutup aurat. Akan tetapi dia tetap bertanggungjawab terhadap perbuatan jahatnya seperti mencuri dan menyakiti orang.

Maksudnya apa sahaja perbuatan yang bercanggah dengan akal yang waras itulah yang salah bagi mereka. Selepas dia tahu itu salah tetapi dilakukan juga maka dia berhak diazab dan dihukum oleh Allah mengikut kadar kesalahannya.

Justeru, dakwaan bahawa mereka berpeluang memasuki syurga itu tidak mustahil, tetapi kegagalan menjadi orang baik juga membawa padah. Dalam pada itu, ada juga yang berhujah bahawa Allah tidak akan menyoal orang yang tidak sampai kepada seruan nabi berkaitan agama Islam.

Fahaman begini adalah salah kerana umat yang tidak diseksa dalam ayat ini adalah umat-umat yang terdahulu yang tidak sampai kepada mereka seruan agama melalui para anbiya a.s. Nabi atau rasul dalam ayat itu terlalu umum dan fokusnya kepada umat terdahulu.

Lagipun, kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk seluruh alam. Baginda diutus kepada manusia sejagat. Baginda menyampaikan seruan kepada yang di bandar dan di kampung, yang dekat dan yang jauh.

Orang yang diseru pula ada yang menerima dengan dada yang terbuka, ada yang berdiam tanpa memberi sebarang respons dan ada pula yang mengingkari. Malahan ada yang merancang membunuh baginda dan pengikut-pengikut baginda s.a.w.

Para pendakwah pula berhadapan dengan ancaman, ugutan, pemulauan dan sebagainya. Sekiranya kehilangan nyawa tidak dihiraukan oleh Rasulullah dan sahabat inikan pula sekadar ingkar dari menyembah Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107).

Dalam ayat yang lain Allah menjelaskan yang bermaksud, dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba’: 2 8)

Dalam ayat ini, ‘umat manusia seluruhnya’ bermaksud tiada yang terkecuali dari seruan dan ajakan Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru, apabila kita menyedari ada kumpulan manusia di negara ini yang tidak sampai dakwah kepada mereka, maka ketika itu menjadi wajib, dan kewajipan ini tidak akan gugur selagi belum ada orang menyeru mereka kepada Islam.

KEHEBATAN seorang usahawan dinilai bukan saja berdasarkan tahap pencapaian mereka dalam bidang-bidang yang diceburi, tetapi keyakinan orang lain terhadap dirinya.

Perunding Imej, Norma Norrel berkata seseorang itu akan dinilai oleh orang lain melalui pandangan pertama mereka dengan melihat tiga aspek utama iaitu keterampilan dan sikap, bagaimana seseorang itu bercakap dan apa yang dicakapkan.

Menurut beliau, orang akan membaca sikap dan peribadi seseorang hanya melalui pergerakan mata dalam tempoh 40 saat sahaja.

Sebagai contoh katanya, sebelum membeli sesuatu produk atau barangan yang diperkenalkan, orang akan melihat penampilan mereka terlebih dahulu sebelum bertanya, melihat dan membeli barangan yang dijual.

”Bukan sesuatu yang mudah untuk meyakinkan pelanggan untuk membeli sesuatu produk, lebih-lebih lagi sikap dan ragam manusia yang sememangnya berlainan dan sukar diduga.

”Tetapi jika mereka menggunakan ketiga-tiga aspek tersebut dengan betul dan kena pada cara dan tempatnya, mereka tidak akan menghadapi masalah besar apabila berhadapan dengan pelanggan sedemikian,” katanya ketika menyampaikan ceramah Aksesori Fesyen dan Keterampilan Wanita pada Bengkel ‘Bersama D’or Ke Arah Kecemerlangan Wanita anjuran D’or Rue Sdn. Bhd. dan majalah Wanita, di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara baru-baru ini.

Keterampilan dan sikap seseorang itu dinilai dari segi fizikal, cara berpakaian dan penyesuaian, kesihatan dan kecantikan serta penjagaan dan fesyen rambut.

Ini juga termasuk pergerakan badan, mimik muka, peradaban serta penjagaan kulit dan andaman.

Menyentuh mengenai bagaimana seseorang itu membuat penilaian ketika mereka bercakap, Norma berkata kebiasaannya orang lain tidak hanya menumpukan perhatian kepada pergerakan kepala dan badan tetapi juga gaya yang ditampilkan,

Selain itu turut diambil kira ialah dari segi mimik muka, isyarat badan, pengucapan, penyebutan dan kefasihan seseorang menuturkan kata-kata.

”penerangan juga perlu jelas dalam menyampaikan apa yang ingin diperkatakan dengan memastikan nada suara sentiasa berada dalam kawalan dan apa yang penting setiap yang diperkatakan adalah berkaitan dengan sesuatu topik yang sedang diperbincangkan,” katanya.

Menurutnya, jika seseorang itu dapat menggunakan kesemua aspek tersebut bermakna dia berjaya memberi gambaran kepada orang lain bahawa mereka menumpukan perhatian terhadap apa yang dibincangkan.

Menyentuh mengenai aspek ketiga iaitu apa yang dicakapkan, beliau berkata selain pengetahuan, turut dilihat ialah sejauh mana seseorang itu mempunyai pengalaman dan pendedahan dalam sesuatu topik yang dibincangkan.

”Mungkin seseorang itu boleh menyelitkan unsur jenaka dalam percakapan mereka dengan orang lain. Tetapi biarlah bersesuaian dengan topik dan keadaan ketika itu,” ujarnya.

Norma menambah, kesemua itu memberi gambaran secara keseluruhan bahawa orang yang sedang bercakap dengan mereka adalah seorang yang bijak, matang serta mempunyai imej yang baik dan positif.

Terdapat tiga jenis imej yang perlu diketahui dan dikaitkan dengan seseorang iaitu imej mental, imej spiritual dan imej fizikal.

Imej mental menurutnya, lebih dikaitkan dengan jiwa dan kerohanian seseorang. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai jiwa yang negatif seperti bersikap takut, suka membenci dan saling mendengki hanya akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi juga orang lain.

”Orang lain boleh membaca keadaan seseorang itu pada masa tersebut hanya melihat mata dan air muka mereka.

”Perasaan gembira, tenang atau marah sekalipun boleh digambarkan pada air muka seseorang itu dan tentunya mereka tidak akan dapat menyembunyikannya,” ujarnya.

Manakala imej spiritual pula lebih dikaitkan dengan minda seseorang itu yang bertindak mengawal cara bercakap, berpakaian, cita rasa dan sebagainya.

”Imej fizikal pula lebih kepada apa yang membalut tubuh badan seseorang itu.

”Seseorang itu tidak harus terlalu berlebihan dan tidak terlalu kurang dalam penampilan mereka. Sebaiknya sentiasa bersederhana.

”Misalnya cara mereka berpakaian, bersolek mahupun mengenakan sebarang aksesori,” tambahnya.

Apa yang penting seseorang itu tidak memasangkan niat yang buruk bertujuan menunjuk-nunjuk kepada orang lain apa yang ada pada diri mereka.

Seseorang usahawan itu berkemungkinan sama dari segi pencapaian termasuk pelajaran, kerjaya mahupun alam rumah tangga, tetapi apa yang membezakan dengan orang lain ialah sikap mereka.

Bersikap positif amat penting bagi memastikan mereka menjadi individu yang boleh membawa diri dan disenangi oleh orang lain ke mana dan di mana sahaja.

”Setiap orang dilahirkan dengan penuh keunikan dan keistimewaan tersendiri. Apa yang perlu diketahui ialah aset yang paling berharga pada diri seseorang ialah diri mereka sendiri,” kata Norma.

Sehubungan itu, amat penting sekiranya mereka menampilkan diri secara sederhana agak tidak janggal pada pandangan orang lain.

Seorang yang bergelar usahawan seharusnya tampil dengan gaya ringkas tetapi bersesuaian dengan suasana dan majlis yang akan dihadiri.

Katanya lagi, seseorang itu tidak perlu meniru orang lain tetapi cuba sedaya upaya untuk mengubahsuai diri menjadi diri sendiri.

”Kita tidak akan jadi seperti orang lain termasuk dari segi cara penampilan, percakapan malah tahap pencapaian mereka dalam sesuatu bidang.

”Tetapi kita boleh menjadikan sikap dan cara mereka bekerja sebagai panduan positif yang boleh dipelajari dan diikuti,” ujarnya.

Sebaik-baiknya jangan beri sekalipun peluang kepada orang lain memberi pandangan dan membuat tanggapan negatif terhadap diri kita.

Oleh: ROSLAH OTHMAN

SEMUA insan dilahirkan berbakat kreatif. Tetapi apabila meningkat usia, mereka mula kurang kreatif. Secara am, semakin tua, manusia bersifat lebih kepada mengikut dan menjadi semakin tidak kreatif.

Menurut satu penyelidikan, apabila meningkat 45 tahun, manusia hanya berbaki lima peratus bakat kreatifnya berbanding sewaktu berusia lima tahun.

”Kita tidak berani bersikap kreatif kerana takut ditertawakan orang. Kita bimbang ilham kita tidak dipakai. Kita terlalu banyak membuat andaian.

”Kita tidak mahu dipandang bodoh apabila melakukan kelainan. Kita banyak memikirkan apa orang lain kata dan mengikut apa orang lain buat,” kata Naib Presiden Wings of Creativity, Puan Sri Tessie Lim ketika membuka ucapan pada siri bengkel ‘Ibu Bapa Sebagai Rakan’ yang bertajuk ”Pelajar dan Sastera-Kreativiti Di dalam Seni Bahasa”, di Subang Jaya, Selangor.

Bagaimanapun kanak-kanak berbeza. Mereka tidak memikirkan kesan sampingan kerana sifat semula jadinya yang luhur dan mahu mencuba apa saja.

Mereka mahu tahu segalanya. Mereka selalu bertanya ‘mengapa’. Bayangkan kalau orang dewasa sentiasa bertanya mengapa, tentu ia dianggap sama ada bodoh atau biadab.

”Sayang, kita mempunyai waktu yang terbatas untuk merancang perkara yang paling utama dalam didikan iaitu: pembangunan harga diri kanak-kanak dan membangkitkan persekitaran yang merangsang membentuk keperibadian serta kreativiti kanak-kanak,” katanya lagi.

Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Mereka belajar mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Sesetengah kanak-kanak lebih visual, ada yang pandai berbahasa, tidak kurang yang menyenangi angka dan sains. Apa pun kecenderungan mereka, setiap kanak-kanak mendapat faedah dengan cara yang berlainan.

Persoalannya bagaimana cara yang berkesan yang boleh kita lakukan dalam usaha membentuk kanak-kanak menjadi insan kreatif dan berani meluahkan ilham dan pandangan?

Membentangkan panjang lebar tajuk ‘Pelajar dan Sastera - Kreativiti Di dalam Seni bahasa’, Dr. Saratha Sithamparam dari salah sebuah pusat pengajian tinggi berkata, sejak awal, kanak-kanak dihujani imaginasi, bunyi seterusnya perkataan. Semua maklumat ini adalah sumber kekuasaan.

Menurut beliau salah satu sumber kreatif diri yang semakin menghilang adalah buku cerita.

”Jika diperhatikan perkembangan semasa, minat membaca buku cerita telah merosot. Perubahan ini menjadikan pelajar lemah dalam penguasaan bahasa. Mutu bahasa semakin menurun,” ujar beliau.

Oleh itu sastera harus diperkenalkan semula di kalangan kanak-kanak. Seelok-eloknya di awal usia kanak-kanak. Ia boleh bermula dengan sesuatu yang asas seperti huruf. Pilihan konsep buku biarlah yang boleh menggamit minat anak-anak.

Konsep buku ada berbagai-bagai peringkat pendekatan, ada gambar tanpa perkataan, puisi, cerita dongeng, cerita rakyat, legenda, fiksyen sains, sejarah dan biografi. Apa pun pilihan, ia harus sesuai dengan usia, dan ibu-ibu jangan alpa membaca rentak minat anak-anak.

Buku sastera mempunyai nilai-nilai estetik. Ia menebalkan keinginan membaca, menajamkan pemahaman, dan merangsang minda membentuk imaginasi, melalui perkataan mereka belajar membayangkan sesuatu keadaan.

”Sastera juga mengundang emosi. Kita boleh berasa seram, sedih, pilu dan gembira. Laluan pengalaman emosi ini menjadikan kita insan yang peka.

”Cuba kita ambil buku kesukaan kita ketika berusia 14, dan kita baca kembali buku itu pada usia 26, dan 36. Kita akan dapati tahap penerimaan kita pada usia-usia ini berbeza-beza,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai kelainan minat anak-anak, memang tidak disangkal kanak-kanak lelaki mempunyai minat yang berbeza daripada kanak-kanak perempuan. Hal ini bukan bebanan yang penting pilihan buku harus menimbulkan keseronokkan.

Ibu bapa disarankan membawa anak-anak ke kedai buku dan memberi mereka kebebasan memilih buku sendiri. Pilihan buku yang tidak setaraf dengan pemikiran kanak-kanak boleh mewujudkan rasa kecewa.

Katanya lagi, ”Membaca bermula di rumah, ibu bapa lebih mengenali anak-anak mereka sendiri. Sekolah hanya mengadakan kemudahan. Bagaimanapun sistem sekolah kita lebih berorientasikan peperiksaan. Ia lebih kepada merangsang otak yang berkaitan logik. Tetapi sastera mengajar anak-anak menjadi insan yang seimbang.”

Menyedari akan kekosongan ciri ini Wing Of Creativity tampil dengan modul memupuk sifat kreativiti melalui sastera. Program yang telah berjalan lebih 20 minggu ini menyediakan empat peringkat modul untuk kanak-kanak daripada usia tujuh hingga 15 tahun.

Setiap peringkat 40 minggu, ia dijalankan sekali seminggu, selama satu setengah jam setiap sesi. Manakala bayarannya RM3,500. Setakat ini ia diadakan di dua pusat Wing Of Creativity; Subang Jaya dan Bukit Damansara.

Panduan ketika memilih buku cerita:

* Adakah buku itu membantu membangunkan minda?

* Adakah konsep, paten dan bahasanya terlalu sukar? Apakah gaya penulisannya bagus?

* Apakah pengetahuan yang dapat dicedok?

* Adakah pilihan buku itu menarik minat atau membosankan kanak-kanak?

* Adakah watak-watak dan suasana yang dipersembahkan dalam buku itu menarik atau stereotaip?

* Adakah pilihan buku lebih menarik berbanding buku-buku lain yang sama topik dan kumpulan jenis?

* Adakah cerita yang hendak disampaikan tepat, semasa, ada pengajaran, jujur, tiada berbau seks dan tiada perkauman?.

* Adakah gambar dan lakaran menyumbang keberkesanan cerita. Sesetengah gambar memperkukuhkan jalan cerita?

* Adakah ia mempunyai nilai-nilai estatik, tidak sarat dan jelas?

* Adakah kanak-kanak boleh memanfaatkannya dalam mengarang cerita?

Oleh: ASIAH MEON

Merangkumi keluasan 1,400 hektar daripada keseluruhan kawasan Belum yang berkeluasan 3,110 kilometer persegi, Lembah Belum Selatan merupakan destinasi baru eko-pelancongan semula jadi di Perak.

Bersempadankan Lebuh Raya Timur-Barat sebagai pemisah antara Lembah Belum Selatan yang sedang dimajukan sebagai pusat pelancongan dengan Belum Utara yang masih menjadi ‘kawasan larangan’ dan berada di bawah kawalan keselamatan tentera dan polis, pelbagai cerita misteri dan khazanah alam menanti untuk diselami dan dijejaki oleh pencinta aktiviti alam semula jadi.

Misteri di sebalik kekayaan habitat fauna dan flora di situ dikatakan ada hubung kait dengan legenda asal usul Belum.

Nama Hutan Belum diambil dari nama asal perkampungan Melayu, Kampung Belum Lama yang meliputi enam buah perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 dan terletak ke utara Tasik Banding.

Kampung Belum itu sendiri pula dikatakan mendapat nama sempena bunyi “belum… belum…” yang dikeluarkan oleh sejenis belalang hijau besar yang banyak menghabiskan masa di atas pucuk pokok rotan.

Pembinaan Empangan Temenggor pada tahun 1975 bagaimanapun telah menenggelamkan keseluruhan cerita dan warisan tradisi masyarakat Melayu yang menghuni di Kampung Belum Lama.

Ia termasuklah misteri cerita mengenai penemuan tiga mayat di kubur lama yang tidak reput di kampung tersebut serta tapak jatuh pesawat tentera yang menyebabkan bermulanya sejarah penubuhan pasukan Force 136 semasa Perang Dunia Kedua.

Di dasar Tasik Banding, Empangan Temenggor juga berkubur masjid dan sekolah di satu lagi perkampungan Melayu iaitu Kampung Temenggor Lama yang terletak tidak jauh dari Pulau Perhilitan (Pulau Cendana).

Keluasan seluruh Hutan Belum (utara dan selatan) mencecah 3,110 kilometer persegi, di Gerik pula melibatkan sempadan selatan Thailand di utara dan Jeli, Kelantan di selatan.

Berada di paras 250 meter hingga 2000 meter dari aras laut, habitan flora dan fauna di Hutan Belum antara sumber alam semula jadi tertua negara yang masih kekal untuk dijejaki.

Lembah Belum meliputi tasik buatan manusia terbesar yang berukuran 70 kilometer panjang dan 18,000 hektar lebar iaitu Tasik Banding yang mengandungi empat buah empangan terdiri daripada Empangan Temenggor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh.

Perkampungan Orang Asli Kuala Sungai Kenyir yang mengandungi jeram dan air terjun serta ‘taman’ bunga patma (reflesia) merupakan destinasi pilihan unik yang menanti pengunjung di bahagian selatan Tasik Banding.

Dengan pelbagai kemudahan penginapan semula jadi mengguna pendekatan tersendiri, pengunjung bebas membuat pilihan untuk menginap di pulau-pulau yang dibangunkan dan bermesra dengan habitat flora serta fauna Lembah Belum.

Aktiviti menarik yang tidak harus dilepaskan setiap pengunjung ke Lembah Belum ialah menjejaki sira kuda, sira air dan memancing.

Sira kuda ialah tempat hidupan liar mendapatkan ‘penawar’ bagi ketahanan badan, merupakan satu-satunya kawasan paling mudah dijejaki di negara ini.

Di sira kuda, anda akan lihat bagaimana hidupan liar mengikut giliran untuk mendapatkan ‘penawar’ dan kekuatan badan dengan memakan tanah yang mengandungi garam galian.

Anda juga berpeluang mengintip binatang menikmati air suam semula jadi di sira air sambil bermanja dengan pacat-pacat yang berkeliaran.

Jika anda kaki pancing, Tasik Banding adalah ’syurga’ pilihan yang mengasyikkan sambil menyusur ke lubuk ikan dengan rakit buluh.

Anda juga berpeluang menyaksi operasi pembalakan dalam air yang diusahakan oleh syarikat dari Thailand atau menyusur hutan melihat kerja mengambil madu lebah liar dari atas pokok tualang di Pulau Tujuh.

“Kerajaan negeri membuka Lembah Belum untuk dikunjungi dan dijelajahi sesiapa sahaja yang menggemari suasana alam semula jadi secara percuma,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Perak, Datuk Mazidah Zakaria.

Setiap pengunjung bagaimanapun tegas beliau, wajib mendapatkan jurupandu berlesen yang berdaftar dengan Perhilitan.

“Khidmat jurupandu inilah yang dikenakan bayaran. Jumlah bayaran dikenakan mengikut lokasi atau jenis aktiviti yang mahu disertai,” tegasnya.

Untuk menjelajahi Lembah Belum, kata Mazidah, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan sama ada kepada Jabatan Perhilitan atau Jabatan Perhutanan Hilir Perak.

“Kedua-dua agensi berkenaan bertanggungjawab menentukan kelulusan permohonan pengunjung ke Lembah Belum berdasarkan kekosongan tempat,” jelasnya.

Setakat ini hanya 15 jurupandu berlesen yang dilantik dan layak untuk membawa pengunjung dan mengadakan operasi aktiviti di Lembah Belum.

“Hanya jurupandu berkelayakan dan mahir mengenai selok-belok Hutan Belum diberi lesen dan layak membawa pelancong,” beritahu Ketua Perhilitan Gerik, Mokhtar Mohamad pula.

Menurut Mokhtar, Perhilitan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan membuka jawatan jurupandu kepada mereka yang berminat dengan alam semula jadi dan aktiviti-aktiviti lasak di hutan.

“Mereka perlu mengikuti latihan dan ujian khas secara berperingkat serta mahir dalam setiap aktiviti dan tahu mengenai isi alam semula jadi di Lembah Belum.

“Hanya yang berjaya melepasi setiap peringkat ujian akan diberi lesen sebagai pemandu arah serta direkodkan oleh Perhilitan dan agensi pelancongan tempatan,” jelasnya.

Perhilitan, menurut Mohktar, akan menentukan kelulusan memasuki Lembah Belum kepada semua kumpulan pengunjung.

“Kelulusan memasuki tidak dikenakan sebarang bayaran. Permohonan boleh dihantar terus kepada Perhilitan Gerik atau agensi yang menawarkan pakej terlibat.

“Cuma khidmat pemandu arah dan pengangkutan bot serta kemudahan kelengkapan aktiviti yang disediakan dikenakan bayaran,” katanya.

Seperti kemasukan ke kawasan Taman Negara Kuala Tahan, Lembah Belum mengehadkan antara 50 hingga 60 orang sahaja memasuki Lembah Belum pada satu masa.

“Hanya Jabatan Perhilitan yang dapat menentukan tempat dan masa sesuai ke sini (Lembah Belum),” jelas Mokhtar.

Permohonan ke Lembah Belum boleh diajukan terus ke alamat Jabatan Perhilitan atau Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Perak, Gerik atau telefon 05-7911164, 7911963, 536261 atau faksimile 05-7912933 dan 5363275.

Hidupan liar sama ada gajah, harimau, badak, seladang, rusa, kijang, sapir, babi, landak dan hidupan sejenisnya sedia menanti kunjungan anda.

Untuk ke Lembah Belum, anda perlu ke Hulu Perak sama ada melalui jalan raya (bas dan teksi), kereta api atau udara.

Jika melalui jalan raya, anda perlu menyusur Lebuh Raya Timur-Barat (jika dari sebelah pantai timur) dan memasuki Jalan Kuala Kangsar-Gerik (dari sebelah selatan) atau melalui Baling serta Pangkalan Hulu jika dari sebelah utara.

Bagi pengguna kereta api, destinasi stesen terakhir perlu dituju ialah Kuala Kangsar. Dari situ mereka perlu menaiki teksi atau bas ke Hulu Perak, Gerik.

Manakala perjalanan udara pula berhenti di Lapangan terbang Ipoh seterusnya ke Hulu Perak di Gerik.

Justeru, sebagai organ terbesar yang meliputi bahagian luar tubuh, tidak hairanlah sebarang masalah yang timbul pada kulit boleh menyebabkan penghidapnya terpaksa menanggung kesengsaraan dan tekanan perasaan.

Ekzema atopik adalah sejenis penyakit kulit akibat tindak balas hipersensitif yang menyebabkan radang, gatal-gatal, kulit kering dan bersisik.

Pakar Dermatologi, Jabatan Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Mokhtar Nor berkata, penghidap ekzema tidak terkecuali mengalami tekanan perasaan dan gangguan emosi akibat masalah kulit yang keterlaluan ini.

Menurut beliau, penyakit yang berlaku pada pelbagai peringkat umur ini lebih kerap terjadi di kalangan kanak-kanak yang berusia kurang dua tahun.

“Biasanya, bayi yang menghidap penyakit ini berumur antara enam hingga dua tahun,” katanya.

Bayi yang menghidap ekzema akan menanggung kesengsaraan seperti rasa gatal yang berlebihan, pedih dan berasa resah.

Bagi kanak-kanak pula, biasanya ekzema membabitkan bahagian lutut, pelipat, siku, atas punggung, buku lali dan di belakang telinga.

Pada peringkat bayi, biasanya masalah ini lebih kerap berlaku pada muka dan kulit kepala.

Namun, apabila kanak-kanak ini berusia 18 bulan, ekzema ini lebih ketara pada bahagian pelipat siku dan belakang lutut.

Ekzema berasal dari perkataan Greek - boiling - merujuk kepada lepuhan yang wujud di peringkat awal pada sejenis penyakit kulit yang gatal.

Penghidap ekzema atau juga dikenali sebagai ekzema atopik ini dipengaruhi penyakit genetik seperti asma dan resdung (rhinitis) yang diwarisi daripada ibu bapa mereka.

Menurut Dr. Mokhtar, statistik menunjukkan satu hingga 30 peratus individu di negara ini menghidap penyakit ini sama seperti di United Kingdom. Bagaimanapun, insiden ini kurang pada kanak-kanak dan orang dewasa.

“Kajian mendapati, seorang dalam setiap enam kanak-kanak dan seorang dalam 10 orang dewasa menghidap ekzema,” katanya.

Di Amerika Syarikat tiga peratus penduduknya menghadapi masalah ini, manakala 10 peratus terdiri daripada bayi. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan atau memburukkan ekzema.

Ini termasuklah perubahan cuaca, tekanan emosi, hama, alahan terhadap sesetengah makanan atau perubahan cuaca yang cukup ketara.

Sehubungan itu, jika dilihat pada faktor ini ekzema lebih ketara di kalangan kanak-kanak. Tambah beliau, sesetengah individu mempercayai makanan tertentu boleh mencetuskan serangan ekzema.

Justeru, dengan mengelakkan pengambilan makanan tersebut dipercayai dapat mengurangkan serangan ekzema.

“Bagaimanapun, dengan menghindarkan sesetengah makanan yang mencetuskan ekzema ini tidak memberi jaminan bahawa masalah ini dapat disembuhkan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Meskipun penyakit ini tidak dapat disembuhkan, pelbagai rawatan boleh digunakan untuk mengurangkan gejala-gejala yang tidak menyenangkan.

“Biasanya, ekzema ini menunjukkan perubahan positif yang cukup ketara apabila kanak-kanak ini mencecah usia lima tahun,” jelasnya.

Malah, sebahagian besar akan sembuh apabila sampai peringkat remaja. Hanya lima peratus penghidap penyakit ini akan berterusan hingga peringkat dewasa.

TANDA- TANDA

Tanda-tanda utama seseorang menghidap penyakit ini ialah rasa gatal.

Selain itu, lain-lain tanda yang dicirikan dengan penyakit ini termasuklah:

* Mengelupas

* Bersisik

* Kemerah-merahan

* Kulit yang kering

* Penebalan kulit

* Ada kalanya lepuhan juga terbentuk

Ekzema pada bayi lebih kerap berlaku pada kepala, muka dan tangan, manakala pada orang dewasa dan kanak-kanak di belakang lutut dan pelipat siku.

RAWATAN

Pesakit akan dimaklumkan bahawa penyakit ini tidak boleh disembuhkan, tetapi boleh dikawal. Malah dalam keadaan tertentu, ia akan pulih dengan sendiri apabila pesakit meningkat dewasa.

Pada masa yang sama, pesakit juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan sabun biasa, sebaliknya menggunakan sabun yang mengandungi bahan pelembap (emollients). Ini kerana, sabun biasa akan mengakibatkan kulit menjadi lebih kering, bertambah gatal dan rosak

* Ubat histamine (ubat menghilang rasa gatal) akan diberi kepada pesakit untuk mengelakkan pesakit menggaru.

* Sebaik-baiknya ubat ini diambil pada waktu malam kerana ia menyebabkan pesakit mengantuk.

Jika pesakit mendapat jangkitan sekunder, mereka akan diberi antibiotik.

Ubat ini perlu diambil dalam sukatan yang betul, sekurang-kurangnya selama satu minggu.

*Penggunaan ubat sapu (topikal steroid)

Kekuatan ubat yang digunakan ini bergantung kepada tahap keseriusan dan umur kanak-kanak yang terlibat.

Ini kerana, penggunaan ubat topikal steroid yang kuat iaitu yang tidak sesuai dengan kanak-kanak boleh menyebabkan kerosakan pada kulit.

Sehubungan itu, pastikan ia diambil sesuai dengan peringkat umur pesakit.

Sebaik-baiknya, elakkan mengambil ubat-ubatan yang dimakan kerana ia mempunyai kesan sampingan kepada pesakit.

Bagi kes-kes yang serius, ubat-ubatan seperti steroid, sitotoksik (azathioprine) dan phote kemoterapi (PUVA) boleh digunakan.

Dalam merawat masalah ekzema, mengurangkan jangkitan merupakan perkara yang paling utama. Ini kerana, bakteria lebih mudah membiak pada kulit mereka yang menghidap masalah ini.

Jangkitan bakteria seperti staphylococcus dan streptoccocus adalah jenis yang sering berlaku dan menyebabkan ekzema seseorang penghidap menjadi lebih serius.

Virus herpes simplex yang biasanya menyebabkan kayap bunga juga boleh menyebabkan ekzema seseorang bertambah teruk. Sehubungan itu, ubat-ubatan antibiotik dan ubat-ubat antiviral ada kalanya perlu diberi semasa rawatan.

KOMPLIKASI

* Ketahanan tubuh menjadi rendah, menyebabkan seseorang mudah diserang penyakit.

* Paling bahaya apabila dapat herpes simplex (kayap bunga).

* Jangkitan serius yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan kematian.

* Apabila kulit kering dan digaru, seseorang boleh mendapat jangkitan sekunder - jangkitan kuman.

Sehubungan itu, elakkan mengguna sabun mandi biasa dan kulit tidak digaru bagi mengelakkan kulit kering.

Penyakit ini boleh menjejaskan keseluruhan hidup penghidapnya seperti hubungan persahabatan, kerjaya dan waktu tidur.

* Hanya sebahagian kecil pesakit saja yang alah pada telur dan bahan pengawet yang mengakibatkan keadaan mereka menjadi lebih serius.

Sehubungan itu, jangan mudah menghalang anak-anak daripada memakan makanan tertentu sebelum benar-benar pasti yang mereka alah pada makanan tersebut.

PANDUAN

* Pastikan anda tidak terdedah dengan bahan yang boleh memedihkan kulit.

* Sesetengah bahan seperti pembersih rumah, sabun, losen selepas bercukur, sabun mandi, gaslin, turpentin dan lain-lain solvent boleh menimbulkan rasa pedih pada kulit.

* Pakai sarung tangan untuk melindungi kulit apabila anda melakukan sesuatu. Gunakan pakaian yang diperbuat daripada kapas atau campuran daripadanya.

* Elakkan mengguna sabun mandi biasa kerana ia boleh menyebabkan kulit bertambah kering. Elakkan menggaru bahagian yang gatal kerana ia boleh merosakkan kulit dan mudah dijangkiti kuman.

* Elakkan memakan makanan tertentu dan makanan yang mengandungi bahan awet jika alah pada bahan atau makanan tersebut. Banyakkan mengguna bahan pelembap kulit dan jangan biarkan kulit kering. Cepat berjumpa doktor dan jangan biarkan keadaan bertambah teruk.

* Pengambilan Evening Primrose Oil (EPO) dapat membantu sebahagian pesakit yang berada di tahap serius

Sila klik…

Testimonial Kesan Penggunaan Gamat

Kehidupan pelbagai jenis spesies tumbuhan di situ tetap subur dan menghijau. Ini termasuk tumbuhan herba yang dikenali sebagai melada pahit atau nama saintifiknya Brucea amarissina.

Ia merupakan tumbuhan herba jenis pokok renek dan berkayu. Paling tinggi ia boleh membesar antara lima sehingga enam kaki. Habitatnya pula adalah kawasan yang menerima cahaya matahari secara terus.

Daun melada pahit berbentuk halus dan bergerigi di bahagian tepi. Daun ini berwarna hijau muda dan berbulu halus tetapi bila sudah matang, warnanya berubah menjadi kekuningan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Prof. Mohamed Abdul Majid, pokok ini sememangnya mempunyai khasiat tersendiri dari segi perubatan herba, khususnya dalam merawat cirit-birit, demam, penyakit kulit, sakit sendi dan gigitan serangga berbisa.

Kata beliau, tumbuhan ini digunakan secara meluas oleh masyarakat Cina khususnya untuk merawat penyakit cirit- birit.

Caranya ialah dengan mengambil beberapa biji melada pahit yang sudah dikeringkan dan tumbuk sehingga lumat.

Bahan itu dibancuh dengan segelas air masak dan kemudian diminum. Tetapi rasanya amat pahit.

Penggunaan itu cukup berkesan sebagaimana yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dilakukan oleh sebuah syarikat Jerman, Merck pada tahun 1901.

Kajian di Institut Penyelidikan Perubatan di Taiwan menunjukkan bahawa terdapat beberapa bahan yang membunuh kuman yang menyebabkan cirit-birit (amoebic dysentery).

“Mereka menemui beberapa bahan yang boleh merawat penyakit cirit-birit pada biji dan kulit kayu,” kata Prof. Mohamed.

Terbaru sekali, beliau menambah, kajian sedang dijalankan di Hong Kong dan Thailand untuk mengekstrak bahan antikanser dari melada pahit.

Bagi merawat penyakit kulit dan gigitan serangga berbisa, Prof. Mohamed berkata, kaedah rawatan ini yang menggunakan daunnya banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu dan Jawa.

“Ambil beberapa helai daun melada pahit yang segar dan tumbuk sehingga lumat. Setelah itu, campurkan sedikit kapur dan sapu di tempat yang terkena penyakit kulit atau gigitan serangga berbisa itu,” katanya.

Next Page »