KEBANYAKAN lelaki gay mendirikan rumah tangga bukan kerana matlamat perkahwinan seperti yang dituntut agama.
Sebaliknya, status sebagai suami itu digunakan untuk mengaburkan mata masyarakat terhadap perlakuan songsang mereka.
Berlagak sebagai lelaki normal dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua rumahtangga, mereka berharap kegiatan sumbang itu dapat disembunyikan.
Tidak dapat disangkal, ada di antara golongan ini mengakui hakikat bahawa mereka tidak berlaku adil terhadap isteri khususnya bagi mereka yang dikurniakan isteri jujur dan setia dalam rumahtangga.
Dua lelaki homoseksual yang ditemui Keluarga mengakui, mereka sesal malah rasa bersalah menghantui diri kerana terpaksa menipu isteri.
Kes 1
Zack (bukan nama sebenar), seorang jejaka kacak mengakui menjalinkan hubungan terlarang dengan lelaki anak tiga, Azhar sejak lima tahun lalu.
“Kami saling menyintai antara satu sama lain dan mencari jalan melepaskan rindu walaupun sesaat tanpa pengetahuan isterinya,” katanya memulakan cerita.
Kata Zack, akibat kerap bertandang ke rumah Azhar, hubungan beliau dengan anak-anak Azhar menjadi bertambah mesra.
Isteri Azhar, Liza pula tidak menyangka ada hubungan sulit di antara suaminya dengan Zack malah hanya menganggap Zack sebagai teman karib suaminya.
“Memandangkan saya terlalu rapat dengan anak bongsu mereka, timbul keinginan mempunyai anak sendiri,” katanya yang memiliki perasaan `suka’ kepada teman sejenis sejak di sekolah menengah lagi.
Tanpa diduga, satu hari Zack bertemu dengan seorang gadis bertudung labuh, Amy dan pertemuan singkat itu akhirnya berakhir ke jinjang pelamin.
“Selepas mengambil keputusan untuk berumah tangga, saya nekad untuk berubah dan meninggalkan kejahilan yang lalu,” katanya.
Malangnya, tekad beliau itu cuma bertahan seminggu sahaja. Hati Zack bergelora tatkala melihat kekasih menjadi pengapit di hari persandingannya.
Syaitan makin menggoda sementelah selepas perkahwinan, isteri terpaksa berada di Jerantut, Pahang sementara menunggu permohonan bertukar diluluskan oleh majikan.
Kini setelah hampir setahun melayari perkahwinan, Zack dan Amy belum dikurniakan zuriat.
“Mungkin itulah balasan ke atas dosa yang saya lakukan,” katanya.
Puas dia mendapatkan nasihat ustaz namun ikhtiar itu umpama mencurah air ke daun keladi.
“Saya sedar, lambat laun tabiat buruk dan keji saya ini akan diketahui jua,” katanya dalam linangan air mata.
Malah Zack tidak sanggup untuk kehilangan Amy walaupun dia mengakui, isterinya adalah insan kedua yang dicintai selepas Azhar.
Kes 2
Jay, seorang pramugara mengakui perkahwinannya dengan seorang pramugari, rakan sejawatnya semata-mata berkehendakkan zuriat.
“Biarpun nafsu saya menjurus kepada lelaki, tetapi kerana sukakan kanak-kanak saya sanggup berkahwin dengan rakan sejawat yang cantik dan lawa,” ujarnya yang agak pemalu ketika ditemui Keluarga baru-baru ini.
Bagaimanapun, perkahwinan yang dibina itu hanya bertahan setahun.
Jay menceraikan isteri selepas mengetahui isterinya mengambil tindakan menggugurkan kandungan di luar negara atas alasan belum mahu menimang cahaya mata.
“Selepas menduda, saya kembali kepada kehidupan lama dan sehingga kini, bekas isteri tidak mengetahui diri saya yang sebenarnya,” akuinya.
Ketika ditanya bagaimana dia boleh terjebak dengan perkara itu, sambil menundukkan kepalanya Jay berkata; “Perasaan ini datang dengan sendirinya walaupun saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyukai kaum Hawa.”
Dalam jiwanya, kata Jay, ada semacam perasaan iaitu dia sukakan kaum sejenis, tidak boleh tengok lelaki yang berbadan tegap atau berkulit hitam manis.
“Mulalah jantung berdegup kencang dan ingin mengenali mereka secara dekat,” katanya lagi.
Cerita Jay, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Begitulah juga reaksi lelaki yang ditemuinya.
“Mereka tidak pernah menolak malah mereka juga mempunyai keinginan seperti saya,” akhirinya
25 October 2008 at 9:02 am
lelaki ini perlukan kaunselor..jiwa perlu diubati.salam ziarah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
salam puan nurazah fathirah..
sokong dengan nasihat puan.