WALAUPUN ramai wanita mendakwa sering mengikuti ruangan DCCK ini, tetapi masih ramai yang membacanya tidak secara serius, ada yang baca sebagai hiburan dan tidak kurang juga untuk mengisi masa lapang hinggalah sesuatu peristiwa yang difikirkan cuma isu biasa itu benar-benar berlaku ke atas diri sendiri ataupun adik-beradik mereka.

Puan Zaha yang menghantar kisah hidupnya melalui e-mel untuk dipaparkan minggu ini bagaimanapun tidak seperti golongan di atas. Zaha memberitahu dia memang mengikuti setiap kisah yang dipaparkan dalam DCCK ini, tetapi semakin banyak beliau baca semakin menggerunkan sebab beliau adalah suri rumah sepenuh masa, kerana sebagai manusia kita memang tidak dapat lari daripada pelbagai dugaan yang menjadi rencah kehidupan rumah tangga, kerana itu ramai wanita jadi takut untuk menempuhnya.

Bagaimanapun marilah kita ikuti kisah hidup Zaha ini untuk lebih jelas agar dapat dijadikan panduan hidup. ”Saya sudah berumah tangga dan hidup berpoligami selama 12 tahun. Saya tahu hidup bermadu tidaklah sesenang yang dirancang. Tapi saya datang daripada keluarga berpoligami juga. Jadi saya lebih banyak tolak ansur dengan madu saya. Saya fikir itulah salah satu resipi kebahagiaan hidup berpoligami.

”Hidup saya dengan suami biasa saja. Tidak ada apa yang begitu menarik dan selalunya bila hidup berpoligami, keluarga pertama tentulah menuntut haknya. Hak yang paling utama yang menjadi isu selalunya sudah pasti ‘duit’. Seolah-olah duit sudah menjadi adat dalam hidup berpoligami. Walaupun sebelumnya itu bukan masalah yang besar.

”Saya sudah lali dengan desakan madu saya yang pastinya mendesak suami saya mengikut kehendaknya, duit merupakan salah satu masalah atau isu paling besar dalam hidupnya. Kalau tak dapat duit suami saya kena serang.

”Bagi suami saya pula bila didesak oleh yang tua dia jadi tak keruan, mulalah tunjuk muka bermasalah, lepas tu mula cari kita untuk membantu menyelesaikan desakan isteri tuanya itu. Saya pulak jenis wanita yang tak suka bising, bila suami dah terdesak sudah pasti dia hendakkan bantuan, kemudian sayalah jadi mangsa barang kemas saya jadi korban untuk memenuhi kehendak isteri tuanya itu.

”Dan biasanya walau berapa banyak pun duit yang dia beri memang tak pernah cukup, beri satu nak dua, beri empat nak sepuluh. Itulah kelakuannya sengaja menyeksa suami saya yang sudah pasti sayalah yang lebih teruk.

”Biarpun saya bukan jenis wanita yang suka boros, lama-kelamaan keadaan menjadi tidak selesa kerana nampaknya hanya saya yang berusaha bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Sedangkan madu saya tahu buat kerenah saja dan menjadi lebih malang suami saya berusaha untuk memenuhi permintaan yang tak munasabah.

”Mungkin ini kebodohan saya, tapi ia telah menyelamatkan suami yang sedang kesempitan untuk memenuhi tuntutan nombor satu. Apa pun ia bukan perkara penting untuk diungkit. Rezeki diberi Allah adalah untuk diagih-agihkan dan saya tidak suka berbalah. Bukan aku semua atau engkau semuanya, sampai bila-bila pun tak selesai.

”Kerana itu suami memandang tinggi dengan saya dan dia berusaha untuk tidak menyinggung hati dan perasaan saya. Kita ni pun kadangkala ‘kembang’ bila dipuji suami. Kerana itu jugalah saya sering dipilih oleh suami untuk mengikutinya bila bertugas luar. Mungkin kerana saya ketika itu masih bekerja sebagai kerani senang nak bawa saya bila-bila masa, sedangkan yang tua pegawai kerajaan, susah nak ambil cuti.

”Bagaimanapun Allah Maha Agung, sedang kita bersabar menempuh dan menghadapi pelbagai masalah, dugaan, Allah tetap terus menguji saya sepanjang waktu, untuk melihat tahap kesabaran saya. Namun saya tempuhi dengan redha.

”Biasanya setiap kali selesai saya tempuhi satu-satu ujian saya fikirkan ini mungkin yang terakhir, namun sangkaan saya meleset. Ujian yang paling berat ialah apabila saya terpaksa berhenti kerja kerana sukar mendapatkan pembantu rumah yang boleh menjaga anak kecil saya. Saya anggap tindakan saya satu pengorbanan yang besar, maklum selepas itu saya terpaksa tunggu duit daripada suami sedangkan beliau sering kesempitan kerana isteri pertamanya tidak pernah cukup dengan berapa banyak wang yang diberikan.

”Suami saya memang cuba berlaku adil setiap hujung minggu dia bersama keluarga terdahulunya, saya tidak pernah menghalang dia daripada menjalankan tugasnya. ”Keluarga pertama” suami saya merasa tergugat dengan sikap saya dan suami saya. Dan saya tidak pernah mahu memisahkan mereka tetapi mereka selalu menganggap saya seperti itu. Malah bila suami saya kurangkan wang belanja untuk saya, saya menjadi sasaran hinaan mereka. Sedih rasanya tapi sudah jadi adat, siapa lagi yang hendak mereka hinakan tentulah saya, yang dituduh merampas suaminya.

”Dalam pada itu satu lagi ujian besar datang bila suami pulak buat hal, mentanglah kita baik tak pernah menyalak meminta duit tambah, pakaian mahal dan sebagainya, suami saya yang saya anggap begitu baik rupanya cuba berselindung di balik kesibukannya setiap hari. Kita yang tidak memahami kerja suami menganggap beliau sentiasa sibuklah. Almaklumlah dia sentiasa mengusung komputer ke mana sahaja dia pergi.

”Saya tak pernah anggap komputer kesayangannya itu boleh disalahgunakan untuk perkara yang bukan-bukan. Saya selalu fikir suami saya sibuk. Itulah dia, kalau dah lelaki, lelaki juga le. Dalam diam banyak benda yang berlaku dan di luar jangkaan. Saya ni isteri yang tak tahu tentang komputer, jadi mereka ingat saya bodoh.

”Tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang, satu hari secara tidak sengaja hati saya digerakkan Allah untuk membuka komputer yang selalu sangat mengambil masa untuk saya dan anak-anak. Apalah yang penting sangat sehinggakan tidak mempunyai masa untuk saya terutamanya bila menjelang malam. Ketika itu anak-anak dah tidur dan saya terkial-kial menunggu suami yang entah bila nak habis kerja.

”Saya tak sangka bahawa suami saya buat hubungan sulit dengan komputernya. Di dalam komputer suami saya ada banyak nama-nama wanita yang menjadi temannya dan menarik perhatiannya daripada saya setiap malam. Suami saya bercinta dan merepek dalam komputer yang saya anggap sering sibuk bekerja itu.

”Luahan hati dan perasaan suami saya kepada perempuan-perempuan dalam komputer amat menyedihkan dan mengguriskan perasaan saya. Dalam saya setia menanti rupanya dia mencari keseronokan lain. Itu belum masuk gambar-gambar lucah yang menyakitkan dan memalukan mata memandang.

”Tambah meluat lagi dengan sikap gadis-gadis dan ada seorang bergelar isteri orang yang merelakan diri mereka digoda oleh suami saya kononnya mereka sunyi, dan suami saya lagaknya macam menyelamatkan mereka. Yang si isteri orang itu pun mengadu dia juga sunyi dan kosong konon suaminya selalu pergi outstation.

”Apabila rahsia suami saya bercinta dalam komputer ini terbongkar hidup saya jadi tidak keruan. Sebab saya memikirkan bagaimana dia orang yang dipandang tinggi di pejabatnya boleh membuat kelakuan dan berakhlak rendah seperti itu.

”Sebenarnya saya meluat dengan cara hidupnya, sudahlah isteri satu tak terlayan kahwin seorang lagi dengan pelbagai alasan, bila dah kahwin dengan saya cuba pula menambah seorang lagi, suka menggoda wanita lain, macamkan tak cukup dengan dua isteri. Saya rasa dia benar-benar ambil kesempatan ke atas kebaikan saya. Sementelah saya baik dan bersabar dengan isteri pertamanya dan sanggup berkorban konon supaya suami saya dilihat sebagai seorang suami yang baik, berlaku adil dan sebagainya, dia pula buat hal.

”Pada saya dia benar-benar mencabar kesabaran dan sikap toleransi saya selama ini. Saya sudah banyak berkorban untuknya, demi menjaga maruah dan air mukanya supaya tidak dicemik orang kerana tak pandai mengurus dua orang isteri dan enam orang anak, tetapi duit yang lebih itu bukan digunakan untuk membiayai tuntutan isteri pertamanya sebaliknya digunakan untuk keseronokan peribadinya dalam hal yang tidak berfaedah.

”Saya nasihatkan dia jangan mainkan hati anak gadis orang, nanti anak dara sendiri dipermainkan orang. Bila nasihat saya tidak didengar saya katakan padanya terus terang, kalau tak suka saya lagi, tolong lepaskan dengan baik. Tak guna cakap bohong.

”Mula-mula saya cakap tu terkejut jugak dia, kemudian baru menyesal dan insaf, bagaimanapun saya dah beri dia keputusan terakhir kalau sekali lagi dia berlaku serong jangan salahkan saya lagi jika terjadi sesuatu yang buruk.

”Sekarang kerja saya bertambah kerana terpaksa memeriksa komputernya setiap hari bagi memastikan dia tidak terjebak lagi dengan sikap kegatalannya itu. Pada saya kalau hidup tak ada masalah jangan cuba cari masalah. Yang susah nanti adalah diri sendiri.

”Saya nasihatkan semua wanita yang bekerja atau suri rumah sepenuh masa kenalah kepo sikit tentang kerja suami kita. Jangan biarkan dia sendirian setiap malam menghadap komputer. Memang saya tak nafikan ada orang bawa balik kerja ke rumah untuk disiapkan, tapi takkan tak cukup masa 7 ke 8 jam di pejabat setiap hari, mengapa mesti mengambil masa keluarga untuk berehat di rumah. Lainlah kalau kerjanya dah memang mahukan cepat siap. Tapi takkan setiap hari.

”Kadangkala bila kita diamkan suami kita, mereka akan cuba pijak kepala kita dan tikam kita dari belakang. Bukan maksud saya membunuh kita, tetapi perbuatannya yang cuba menipu kita itu bagaikan membunuh perasaan kita kalau didiamkan sepanjang waktu. Sebab bila mereka susah mereka cari kita juga untuk menyelesaikannya.

”Malangnya kebanyakan kaum lelaki pantang ada kesenangan sedikit, mereka mulalah berkongsi kesenangan dengan wanita lain. Habis kita ni mahu disepak ke tepi aje.

”Pada pandangan saya suami yang berjawatan eksekutif adalah golongan mereka yang banyak menyebabkan kita isteri hidup merana. Mereka lebih suka mempermainkan wanita dan menganiaya gadis-gadis. Kadang tu ada yang sengaja mencuba akhirnya terjebak. Bila dah terjebak dia terpaksa kahwin. Mungkin masalah dia selesai tetapi bagaimana nasib isteri-isteri dan anak-anak terdahulu.

”Saya harap dengan pengakuan saya ini, dapat dijadikan iktibar dalam hidup gadis-gadis dan semua isteri. Hati-hati bila menerima lamaran, kerana mungkin bukan kesenangan yang kita cari, sebaliknya lebih susah hati dan hidup kita sama seperti orang makan hati.”

Demikian cerita Puan Zaha panjang lebar tentang hidupnya kini, beliau tidak pula menceritakan bagaimana hidupnya yang mula terperangkap jadi isteri nombor dua, tetapi beliau mungkin menasihatkan kaum wanita semua supaya tidak terperangkap dalam kehidupan seperti yang dilaluinya.

Inilah yang dikatakan bercakap melalui pengalaman hidup, kerana ia menjadi lebih tepat dan lebih benar. Pendek kata sama seperti nasihat beliau ‘janganlah jadi seperti saya’ – bukan senang nak jadi isteri kedua. Kecualilah si nombor dua meminta suami ceraikan si nombor satu. Tapi apakah cara itu lebih selamat? Apa kata bila suami dah bosan cari si nombor tiga?

Oleh: MAIMUNAH YUSUF (dcckmonaum@hotmail.com)