Begitulah yang dirasai oleh Zaiban Gulam Rasul 51, dari Rumah Pangsa Sri Kedah, Gombak Setia, Kuala Lumpur yang terpaksa menjaga anaknya yang mengalami penyakit lemah badan sehingga seluruh tubuh membengkak dan tidak berdaya melakukan suatu apa pun sejak tiga tahun lalu.
Penyakit yang dikenali sebagai System Makelupus Errizmatoes (SLE) ini dikesan selepas Nik Zailawati Nik Anom mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran.
Mulanya cuma tanda-tanda merah kelihatan di badan lama-lama bertukar menjadi kehitaman, rambut gugur dan hidung bernanah bagaikan hendak lekang daripada muka. Apabila dibawa berjumpa doktor, ibunya diberitahu dia hanya mengalami sakit biasa dan diberi ubat berbentuk krim sapu bagi meredakan sakit.
Namun keadaan Nik Zailawati anak pesara tentera ini tidak juga berubah, malah semakin lemah sehingga tidak berdaya melangkah lalu pengsan selama tiga minggu.
Apabila dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan dibuat pemeriksaan rapi dia dikesan menghidap SLE.
Sejak itu hospital menjadi rumah keduanya kerana sembilan kali masuk keluar wad, pernah ditahan selama seminggu, 16 hari, sebulan, tiga bulan dan paling lama lebih setahun.
Keadaan tubuhnya kian hari kian membengkak sehingga memenuhi katil hospital.
Sampai satu tahap Nik Zailawati tidak berdaya bergerak lagi. Selama tiga bulan makanan dan ubat terpaksa dimasukkan melalui hidung.
Dia juga telah menjalani pembedahan paha kirinya sebanyak sembilan kali bagi dimasukkan besi untuk menguatkannya.
Ubat-ubat yang diberikan menyebabkan kulit badannya pecah dan bertukar menjadi berbelang.
“Ketika keadaannya semakin teruk, doktor pernah menjangkakan dia hanya dapat hidup 10 hari sahaja lagi, saya begitu bimbang lebih-lebih lagi apabila melihat ada pesakit yang sama telah pergi dahulu.
“Saya rasa tidak lagi dapat melihat kelincahan anak saya yang pernah menyertai koir UMNO dan ahli taekwando yang handal,” kata Zaiban ibu tujuh anak ini.
Tambahnya, apabila ubat ditukar dan ubat yang biasa diambil cuma perlu dimakan separuh sahaja, keadaannya beransur pulih sedikit.
Bengkaknya kelihatan kecut sedikit, kulit yang berbelang di badan semakin berkurangan dan bertukar menjadi kelabu.
Deria rasanya semakin pulih, kalau dahulu Nik Zailawati tidak dapat merasa untuk membuang najis atau air kecil kini tiada lagi.
Di samping itu Zaiban tidak berhenti berusaha mencari rawatan untuknya. Apa saja yang dikatakan boleh menyembuhkan anaknya dicuba termasuklah perubatan tradisional.
“Boleh dikatakan beribu-ribu ringgit telah dibelanjakan bagi menyembuhkan penyakit anak saya.
“Apa yang saya harapkan kiranya Nik Zailawati dapat berjalan sendiri dan menguruskan dirinya sendiri pun jadilah kerana jika ketiadaan saya, dikhuatiri tiada siapa yang dapat menjaganya nanti,” katanya dengan nada sedih.
Sebagai ibu, Zaiban tidak pernah berputus asa untuk melihat Nik Zailawati dapat berjalan sendiri walaupun dengan bertatih.
Mengenang kembali ketika anaknya berada di hospital dan dia pula terpaksa menjalani pembedahan kerana fibroid, begitu memilukan hatinya.
“Kami ditempatkan di wad berasingan selang setingkat di Hospital Kuala Lumpur. Selepas pembedahan selagi terdaya saya tidak lupa datang melawatnya setiap hari,” ujarnya.
Selepas sembuh daripada pembedahan dia terus menemani anaknya di hospital. Biarpun dinasihatkan jangan mengangkat berat selama enam bulan, Zaiban tidak sanggup melihat anak kelimanya itu terus terbaring begitu sahaja.
Sekali sekala anaknya itu diangakat untuk didudukkan kerana tidak berdaya melakukan sendiri.
Akibat daripada terlalu lama berbaring belakangnya mengalami pecah kulit dan perlu dibersihkan dengan ubat setiap hari. Semua ini memerlukan perbelanjaan yang banyak kerana separuh ubat perlu dibeli sendiri, sedangkan dua orang lagi anaknya masih belajar.
Dia juga sedang meneruskan rawatan di Pusat Pakar Selayang dan dijangka dimasukkan ke wad lagi pada 22 Februari depan.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada Nik Zailawati boleh berbuat demikian dengan menghubungi ibunya di talian 03-6188566.