MEMANG sukar untuk mendapat pandangan atau tulisan berupa luahan hati lahir daripada seorang suami tentang masalah yang mereka hadapi. Biasanya kalaupun ada cuma yang melahirkan pandangan marah mereka terhadap sesuatu isu, sebab mereka tidak puas hati tentang tulisan yang dibentangkan.
Bagaimanapun minggu ini saya paparkan luahan hati seorang suami yang dinamakan sebagai Zul sahaja untuk tatapan dan perhatian puan, mengapa sesetengah suami lekas naik bosan dengan sikap keterlaluan isteri masing-masing, akhirnya membawa perceraian.
Sebenarnya Zul telah menghantar tulisannya ini sejak 3 bulan lalu. Tetapi kerana kurang faham maka penulis telah menghubunginya beberapa kali tetapi gagal mungkin beliau sibuk, hingga baru-baru ini beliau menghubungi penulis. Jadi untuk tidak membuang waktu baiklah kita ikuti cerita mengapa beliau terpaksa mengambil tindakan meninggalkan isterinya
”Dalam rencana DCCK setiap minggu saya dapati ia banyak menceritakan masalah isteri akibat tingkah laku suami mereka. Saya rasa dalam alam rumah tangga ini tidak kurang juga masalah yang dialami oleh suami, tetapi mungkin tidak banyak suami yang sanggup menceritakan masalah mereka mungkin kerana ego mereka ataupun takut dikatakan tidak tahu menguruskan isteri ataupun takut bini. Mungkin di sini pembaca boleh mengetahui pula masalah kaum suami.
”Saya mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu dan dikurniakan 2 orang anak yang bijak dan comel. Isteri saya bolehlah dikategorikan sebagai cantik. Berasal dari negeri makyung, saya namakan Nana. Kami saling mengenali ketika belajar di institut pengajian tinggi di ibu kota.
”Saya kenalinya melalui kawan karib saya yang berkenankan dia ketika itu. Bagaimanapun, ketika kawan saya ajak dia keluar makan malam, dia meminta kawan saya membawa saya bersama. Ketika itu saya dalam tahun 3.Ê Kami keluar bersama agak kerap jugalah sehinggalah saya berada di akhir tahun 4. Ketika itulah kami baru bercinta. Saya menerima banyak teguran daripada kawan-kawan supaya tidak rapat dengan Nana, konon wanita dari negeri itu sukar diurus. Lain budaya dan tingkah laku. Bahkan ramai kawan nasihatkan saya jangan kahwin dengannya.
”Sebagaimana kata kawan-kawan sememangnya saya mengalami banyak halangan untuk berkahwin dengannya. Bagaimanapun mereka terima pinangan saya dan meletakkan dua tahun sebagai tempoh pertunangan. Selepas lapan bulan bertunang, Nana hantar surat memaklumkan yang dia hendak putuskan pertunangan kerana ibu bapanya hendak kahwinkannya dengan lelaki lain. Apabila saya selidiki, lelaki yang dimaksudkan adalah anak kerabat diraja yang juga teman lelakinya sejak di bangku sekolah lagi. Nana tak pernah beritahu saya.
”Bagaimanapun, saya pergi menemui Nana dan mendapatkan kepastian. Nana beritahu dia mahukan saya. Jadi saya hantar rombongan semula ke rumahnya untuk kepastian. Walaupun ibu bapanya membantah, tetapi kerana memikirkan kami mungkin kahwin lari ke Siam, mereka bersetuju. Lepas kahwin, saya bekerja di utara sebagai pengurus. Kami berulang alik antara KL dan rumah saya. Sama ada saya yang pergi menjenguknya ataupun Nana yang datang. Selepas beberapa bulan kahwin kami melalui ‘perang besar’. Isteri saya cemburu bagai nak gila. Saya masih ingat lagi, pertengkaran pertama kami apabila saya disapa oleh kerani saya ketika bertembung di pasar malam. Dia mengamuk sakan sampai lupa diri.
”Lagi menyakitkan hati isu itu diungkit-ungkit sehingga berlaku perang besar. Boleh dikatakan setiap kali hingga Nana minta cerai. Dan setiap kali bertengkar perkataan cerai sentiasa tersembur dari mulutnya. Saya cuba faham masalah wanita bekerja dan sentiasa menghadapi tekanan tetapi janganlah terbawa-bawa ke rumah sampai bertengkar suami isteri.
”Akhirnya saya mengambil keputusan cari kerja baru dan berpindah ke PP. Semuanya berjalan dengan baik sehinggalah kami dapat anak. Lepas bersalin perangai lamanya berulang kembali.Ê Pantang saya disapa oleh pekerja di tengah jalan pasti saya kena serang. Dan seperti biasa dia minta cerai. Bahkan saya juga dituduh buat hubungan sulit dengan kerani saya. Kebetulan budak itu belum kahwin. Dan kalau saya pulang lewat kerana banyak kerja perang mulut pasti berlaku.
”Tak cukup memaki saya dia akan menelefon pejabat saya dan memaki hamun kerani saya. Begitulah keadaannya hampir setiap bulan. Akhirnya kerani saya ambil keputusan berhenti kerja. Demikian keadaannya lepas seorang, seorang kerani hingga semua orang tahu perangainya yang cemburu buta. Pernah saya terfikir nak ceraikan dia tetapi ibu saya tegah demi anak. Keadaan cemburunya berterusan sampai dapat seorang anak lagi.
”Oleh kerana terlalu kerap bergaduh dan puncanya saya dituduh menggatal, buat hubungan sulit dan macam-macam lagi, dia bukan saja telah memalukan saya, tetapi juga menjatuhkan maruah saya di kalangan pekerja. Sebab dia selalu memaki hamun pekerja saya macamlah dia yang bayar gaji mereka. Dan saya pun tak sanggup lagi nak cari kerja baru.
”Dalam pada itu kesabaran pun ada hadnya sebab dah tak tahan lagi serangan mulutnya yang jahat itu saya hilang sabar dan memukulnya, kerana saya tak mahu berhenti kerja dan cari kerja baru lagi. Malangnya bila saya pukul, dia mengadu kepada ibu bapanya lantas mereka datang pujuk ke rumah menyuruh saya menceraikan anaknya.
”Saya beritahu yang saya akan mencerainya sekiranya mereka bersetuju menandatangani perjanjian memberikan hak penjagaan anak-anak kepada saya dan saya akan keluar rumah. Mertua saya setuju dengan syarat tersebut, tetapi Nana pula menangis-nangis meminta ampun tidak akan mengulangi perbuatan lamanya. Tetapi itu semua tahan beberapa bulan sahaja.
”Bagaimanapun untuk mengubah keadaan, saya cari kerja baru. Kali ini saya dapat kerja yang lebih baik di sebuah syarikat antarabangsa dan kami berpindah ke rumah yang lebih selesa sedikit. Malangnya keadaan menjadi bertambah buruk. Kami bergaduh saban hari. Ada sahaja sebabnya dan kebanyakan alasannya Nana tuduh saya layan perempuan lain.
”Kadang-kadang bila saya menung saya fikirkan pertengkaran ini disengajakan oleh Nana untuk membuat hubungan kami jadi dingin. Contohnya bila dah perang tentulah soal komunikasi antara kami hancur, begitu juga dengan layanan makan pakai dan juga seks. Hinggakan kehidupan seks turut dingin. Nana sentiasa mencari sebab untuk mengelak diri daripada melakukan hubungan kelamin dengan pelbagai alasan termasuk haid dan keletihan.
”Dia tidak menunjukkan respons bersetuju dengan permintaan saya kadangkala berbulan baru sekali kami tidur bersama itupun entah apa nasib. Kadang tu layanannya cukup hambar. Semenjak tiga tahun kebelakangan ini saya fikir yang saya banyak memenuhi keperluan seks saya dengan tangan sendiri berbanding meniduri isteri. Saya tidak akan paksa dia kalau dia tak setuju. Apa nak buat, hanya itulah cara yang saya ada bagi memenuhi keperluan batin. Telinga saya sudah biasa dengar alasan letihnya, tunggu esoklah, esoklah, esoklah dan entah sampai bila. Kadang tu haid pun jadi alasan. Maafkan saya, biasanya haid wanita cuma 7 atau 9 hari paling lama. Tapi dia sampai dua minggu lebih. Bukankah itu alasan namanya.
”Kalau haid biasanya dia pakai tuala wanita. Banyak kali saya perhatikan dia tak pakai tuala pun selepas beberapa hari tetapi masih mengatakan dalam haid. Saya malas nak tanya lebih banyak kerana saya percaya semuanya mesti dilakukan atas dasar rela dan saling bekerjasama. Saya pernah merujuk kepada beberapa pakar untuk memastikan sama ada saya yang bermasalah. Tetapi semua kaunselor menasihatkan supaya isteri saya dapatkan khidmat nasihat keluarga.
”Dalam bab makan minum, saya rasa lebih sedih dengan apa yang dimakan oleh anak-anak. Nana biasanya hanya berikan makanan ringan sebagai makan tengah hari dan malam. Biasanya kalau saya pulang awal, saya akan bawa mereka makan di restoran dan paksa mereka makan. Biasalah kanak-kanak, bila dah biasa makan nugget, fries, bun dan seupamanya, mereka tidak ada selera dengan makanan seimbang.Ê Bila saya tegur, mulalah Nana naik berang dan kami bergaduh dan tak bertegur sapa berminggu-minggu. Kadang tu saya pun dah naik muak dengan masakan kegemarannya untuk makan malam iaitu nasi goreng. Biasanya Nana hidangkan makanan itu kepada saya sedangkan dia sendiri tak makan. Nak kata tidak ada barang nak masak, peti sejuk penuh dengan bahan makanan. Biasanya ikan, ayam dan sayur yang saya beli bukan habis dimasak, tetapi dibuang kerana terlalu lama terperap dalam peti sejuk.
”Baru-baru ini berlaku lagi perang besar, saya dah nekad hendak menceraikannya kerana saya dah tak tahan dengan kerenahnya. Selama ini saya dituduh yang bukan-bukan ada hubungan dengan wanita lain tetapi kali ini saya dapati Nana yang buat hubungan dengan bekas teman lelakinya. Sejauh mana hubungan itu saya tak tahulah tetapi kalau depan mata saya dah berani bergayut dalam telefonÉ mungkin dah lama berhubungan. Sebelumnya pun saya rasa pelik dengan perangai Nana. Dia seolah-olah cuba menyakiti hati saya sahaja.
”Contohnya kalau hendak keluar dia menghabiskan masa sekurang-kurangnya sejam bersolek. Bajunya diseterika kemas. Sedangkan saya dan anak-anak pakai baju T kedut seribu.
”Dalam kejadian terbaru, hati saya rasa tak sedap tengok Nana bercakap perlahan. Oleh kerana mengesyaki sesuatu, maka saya pun jalankan siasatan. Hasilnya saya dapati Nana masih berhubungan dengan kekasih lamanya. Kerana tak puas hati saya tanya berdepan tentang isu tersebut. Akhirnya dia beritahu mereka bertemu di sebuah kompleks membeli-belah.
”Bagaimanapun banyak faktanya bohong, contohnya dia kata dia bertemu bekas kekasihnya dan isterinya ada sama, tetapi lepas saya selidik saya dapati pada ketika itu isteri kekasihnya ada di KL, bukan bersama suaminya. Dan saya kaji lagi maka jelaslah kepada saya bahawa bekas kekasihnya itu tinggal dekat dengan kawasan perumahan di tempat kami tinggal. Bila saya tanya, Nana dia tidak dapat mengelak barulah dia mengaku dan minta ampun.
”Cerita Nana selalu merisik khabar kekasih lamanya dengan kawan-kawannya di KL sudah lama saya dengar, saya tak cemburu, pada saya cuma cerita budak sekolah. Tetapi bila dia cuba menutup cerita lamanya dengan membuat tuduhan palsu kepada saya itulah yang membuatkan saya naik angin dan geram juga.
”Bagaimanapun selepas kejadian itu, saya keluar dari rumah beberapa hari untuk menenangkan hati. Saya minta kakak ipar saya menasihati Nana. Maklumat yang saya dapati daripada kakak ipar saya ialah seolah-olah Nana yang ingin kembali kepada kekasih lamanya itu.
”Walaupun berita itu mencabar kesabaran saya tetapi demi anak-anak saya putuskan untuk betulkan keadaan. Seperti biasa Nana minta maaf dan berjanji akan membetulkan keadaan. Antaranya Nana tidak akan tidur siang hari (biasanya Nana tidur petang setiap hari paling kurang dua jam), kalau tidak dia tak ada mood habis anak-anak jadi mangsa, melayani keperluan seks saya sewajarnya, masak makanan yang sepatutnya dan jangan lagi menghubungi kekasihnya.
”Nana memang berubah tetapi untuk tempoh dua minggu sahaja. Selepas itu perangai lamanya mula timbul kembali. Sekarang setelah saya fikirkan dalam-dalam kalau benar dia mahu kembali kepada kekasihnya saya fikir tidak ada guna lagi saya hendak menahannya. Pernah saya suruh dia pergi sahaja kepada kekasihnya jika itu baik untuk masa depannya, dan saya menceraikannya, tetapi dia mulalah mengeluarkan air mata minta ampun minta maaf.
”Pada saya kalau kami sering bergaduh hidup anak-anak boleh terganggu, merana, terutama bila mendapati ibu mereka sedang mabuk cinta dengan lelaki lain. Atas alasan inilah daripada merosakkan fikiran anak-anak dan demi masa depan mereka lebih baik kami bercerai.
”Oleh kerana dulu mertua saya setuju dengan syarat dan permintaan saya, maka saya berharap beliau boleh menasihati anaknya menerima keputusan saya. Kerana berterus terang itu lebih baik daripada berpura-pura sayangkan suami sedangkan jiwa, perasaan dan hatinya pada orang lain,” demikian cerita Zul panjang lebar tentang masalah yang dihadapinya, bahawa bukan semua suami menjadi punca keruntuhan sesebuah keluarga, isteri turut sama.
Mungkin setelah membaca kisah hidup Zul ada antara anda berfikir dua kali kalau mendakwa tidak ramai wanita seperti Nana. Tetapi sebenarnya ramai suami isteri kini tak faham fungsi dan peranan penting mereka dalam menegakkan sebuah rumah tangga yang aman damai, dan ramai juga antara mereka yang akan kecundang jika suka cepat jadi kaya dalam sekelip mata, tanpa mahu berusaha dan sentiasa bermimpi mengharapkan bulan jatuh ke riba.
Belum tentu semua bulan jatuh ke riba membawa bahagia, kadangkala membawa banyak penderitaan yang terpaksa dihadapi dengan hati yang penuh kesabaran. Jangan nanti dikata orang yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.
Oleh: MAIMUNAH YUSUF (dcckmonaum@hotmail.com)