Oleh: SITI NORSHAFINAZ SH. MAZNAN
PERNAHKAH anda mengalami perasaan sedih yang berlarutan dari hari ke hari, minggu ke minggu, berbulan-bulan hingga bertahun-tahun lamanya?
Atau pernahkah anda merasakan seolah-olah diselubungi kesedihan sehingga tidak yakin untuk menemui sinar kegembiraan lagi di dalam hidup?
Anda merasakan seperti telah gagal dalam hidup dan tiada suatu apapun lagi yang boleh membantu anda.
Diri seperti terperangkap di dalam fikiran dan jasad yang kosong serta sering menganggap kehidupan sebagai tidak bermakna lagi.
Simptomnya pula, anda tidak mahu bangun dari tempat tidur, ingin terus berbaring di katil dan melupakan kesedihan anda dengan cara begitu. Gaya tidur, selera makan dan tahap tenaga turut berubah.
Kalau begitulah keadaannya, anda sebenarnya bukan setakat mengalami kesedihan biasa tetapi sedang dihinggapi oleh simptom-simptom kemurungan.
Kemurungan disebabkan oleh pelbagai punca. Ia antara lain disebabkan oleh:
* kehilangan orang tersayang
* masalah kewangan
* tekanan kerja
* stress
* kesunyian
* konflik keluarga.
Peristiwa penting seperti:
* kenaikan pangkat
* perkahwinan
* kelahiran bayi
* membeli atau menjual rumah juga boleh menyebabkan kemurungan.
Seseorang akan lebih terdedah kepada bahaya perasaan sedih berpanjangan sekiranya menerima kritikan-kritikan negatif daripada orang lain.
Kritikan-kritikan tersebut membuatkan mereka merasa tidak yakin dan tidak berkeupayaan, gagal, seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan emosi.
Pakar psikologi mendapati, semua manusia mengalami kemurungan di dalam hidup mereka. Apa yang berbeza ialah, sama ada ia normal atau sebaliknya.
Kemurungan normal biasanya akan berlalu bersama waktu manakala gangguan kemurungan pula akan memakan masa bertahun-tahun lamanya dan berulang-ulang.
Kadangkala simptom-simptomnya akan berkurangan akan tetapi ia akan kembali semula.
Antara simptom-simptom kemurungan mengikut istilah `Diagnostic Statistical Manual-IV (DSM-IV)’ sebagaimana yang tertakluk di bawah Persatuan Psikologi Amerika (APA) ialah:
* hilang minat melakukan sesuatu sekalipun untuk bergembira
* kegembiraan yang melampau
* kehilangan atau pertambahan berat badan dan mempunyai nafsu makan yang tinggi atau terlalu berselera
.insomnia/hipersomnia (gangguan tidur malam)
* gangguan psikomotor
* keletihan/kekurangan tenaga/tidak bermaya
* perasaan tidak berguna/perasaan bersalah yang melampau
* gagal menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara/tidak dapat membuat keputusan
* mempunyai idea-idea atau kelakuan untuk membunuh diri
Jika seseorang individu yang mengalami kemurungan sehingga mencapai tahap bercakap mengenai idea-idea membunuh diri atau menunjukkan percubaan-percubaan untuk tujuan tersebut, adalah wajar bagi mereka untuk mendapatkan bantuan pakar.
Sesiapa yang mengenali individu yang mengalami masalah tersebut perlu mengambil inisiatif membawa mereka berjumpa pakar.
Nasihat-nasihat `biasa’ yang diberikan kepada mereka yang mengalami kemurungan ini bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Sekurang-kurangnya, kita yang bukan pakar ini boleh memberikan kata-kata perangsang seperti `dunia masih belum kiamat’ atau `berfikirlah secara positif’.
Terdapat kajian psikologi yang menunjukkan bahawa seseorang boleh menjadi gembira atau tidak bergantung kepada beberapa ciri seperti:
* harga diri yang tinggi
* rasa dapat mengawal diri, perasaan dan kehidupan
* perasaan optimum terhadap apa yang dilakukan
Dalam konteks ini, individu yang mengalami gangguan kemurungan tidak mempunyai tempat untuk ciri-ciri positif di atas di dalam kamus hidup mereka.
Pesakit terlalu diselubungi kesedihan dan kegelapan sehingga menyebabkan mereka tidak menghiraukan kemahiran bersosial.
Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka hilang keseimbangan peribadi dan sikap optimistik.
Jika berlaku komplikasi, seseorang yang mengalami kemurungan akan kekurangan daya untuk berhadapan dengan tekanan dan masalah di dalam kehidupan harian mereka.
Ini mengundang kritikan daripada orang lain dan kritikan-kritikan ini seterusnya menyebabkan seseorang merasa lebih gagal di dalam hidup mereka.
Tekanan di dalam hidup akan berterusan walau bagaimana sekalipun status emosi mereka di kala itu.
Justeru, adalah penting bagi kita untuk sentiasa meningkatkan harga diri dan mempunyai tahap kawalan emosi yang teguh.