Justeru ketika manusia berusaha untuk melaksanakan kehendak dan tuntutan hawa nafsunya, mereka tidak lagi berpandukan kepada hukum syarak, tetapi mengikut pertimbangan hawa nafsu.

Tidak dinafikan Allah telah menciptakan pada setiap hamba-Nya nafsu amarah yang cenderung kepada kejahatan untuk menguji sejauh mana tulusnya pengabdian mereka terhadap Allah. Tanpa sifat-sifat tersebut nescaya manusia akan menjadi seperti malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah.

Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran surah al-Shams ayat 7 hingga 10 yang bermaksud:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dengan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Orang yang hanyut bersama hawa nafsu dengan segala keinginannya yang bersifat maksiat bermakna ia telah menjadi hamba kepada nafsunya sendiri, sekalipun ia menafikannya. Dosa yang dilakukan itu sendiri telah mengheretnya ke lembah yang hina dan dosa yang berpanjangan.

Dosa didefinisikan dalam sabda Rasulullah s.a.w sebagai sesuatu yang timbul dalam hati manusia dan dia tidak menghendaki orang lain mengetahuinya.

Sehingga sebenarnya yang paling mengetahui hakikat dosa itu adalah diri manusia sendiri dan Allah s.w.t.

Pada hakikatnya dosa menuntut risiko. Sesiapa yang berbuat dosa ia tetap akan menerima pembalasan sama ada kecil atau besar. Dosa dan maksiat merupakan suatu yang kotor dan mengotorkan, kekotoran itu bertingkat dari lapis ke lapisan lain dan seterusnya menjadi kerak dan tebal.

Makin kotor makin besar tingkat dosanya. Dan makin dalam ia jatuh semakin berat beban akibat yang ditimbulkannya.

Allah s.w.t telah memberi amaran dalam firman-Nya surah al-Baqarah ayat 276 yang bermaksud:

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.

Walau bagaimanapun yang paling ditakuti ialah perbuatan batiniah yang melahirkan dosa yang paling membinasakan manusia iaitu bersifat munafik dan syirik kepada Allah.

Sifat munafik adalah perbuatannya secara lahirnya menyatakan beriman dengan mempamerkan kehebatannya beribadah di hadapan orang tanpa dapat melihat dosanya secara lahiriah, namun hatinya diliputi kekufuran.

Perumpamaan keperibadian orang-orang munafik ibarat orang yang menyalakan lampu tetapi tidak menerangi, mereka ibarat orang tuli, bisu dan buta, sekalipun penampilannya menarik, terhormat dan baik, tetapi mereka sebenarnya bodoh.

Kedua-dua dosa tersebut merupakan sifat mutlak perbuatan iblis untuk mengheret manusia ke lembah kebinasaan.

Apabila manusia membawa dosa syirik dan munafik ini ke alam kubur atau kematiannya tanpa sempat bertaubat maka tertutup pintu syurga selama-lamanya untuknya.

Manakala syirik iaitu mempersekutukan Allah adalah satu dosa besar iaitu berkeyakinan ada kuasa lain yang lebih besar dan berkuasa daripada Allah s.w.t.

Dosa yang dilakukan oleh seseorang insan itu bukan sekadar boleh menutup pintu hatinya malah akan merosakkan diri dan masyarakat. Bertaubatlah kepada Allah s.w.t jikalau dalam hati itu telah menyala api penyesalan atas perbuatan dosa yang telah dilakukan.

Taubat dalam erti kata menyesali dan diikuti dengan melakukan perbuatan-perbuatan baik bagi menghapus tabir kotor yang telah terlekat di hati tersebut.

Ingatlah seperti mana firman Allah dalam surah Al-Syura ayat 25 yang bermaksud:

Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan).

Demikian juga Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Luhur, membuka tangan selebar-lebarnya bagi taubat seseorang yang berbuat jahat sepanjang malam sampai siang, dan yang berbuat jahat sepanjang siang sampai malam sehingga matahari terbit dari tempat tenggelamnya (Barat). -

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID, Penolong Pengarah Yadim.