HUJUNG minggu sudah penulis menghadiri sebuah majlis ceramah tentang Islam sebagai agama universal untuk semua bangsa.
Tajuk ini sangat menarik dan bersedia untuk mendengar satu huraian tentang kehebatan agama Islam sebagai suatu cara hidup, tentang konsep tauhid atau kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa dan makna-maknanya yang tersirat dan tentang kekuatannya dan ketinggiannya sebagai satu idea falsafah.
Apa yang menarik untuk dibahas di sini ialah kecenderungan kita, umat Islam, bukan untuk berbahas tentang perkara-perkara yang penting yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita sebagai individu dan sebagai bangsa, tetapi untuk bertanya dan kerap kali bertengkar perkara-perkara yang remeh-temeh. Tajuk ceramah itu membolehkan kita berbahas tentang potensi agama Islam menjadi agama universal boleh menyatukan semua bangsa dalam satu kesatuan dan kerjasama untuk membangunkan sebuah dunia yang aman, adil dan bahagia untuk semua manusia. Walaupun apa yang disyarahkannya boleh menimbulkan soalan-soalan dan ulasan-ulasan yang menarik tentang konsep kesatuan manusia menimbulkan soalan-soalan dan ulasan-ulasan yang menarik tentang konsep kesatuan manusia dan kesatuan agama samawi dan tentang kejatuhan umat Islam serta cara untuk memulihkan kekuatan umat Islam seperti pada peringkat awalnya, soalan yang menarik perhatian kebanyakan hadirin ialah soal aurat wanita dan pemakaian tudung hingga nyaris-nyaris jadi pergaduhan.
Mengapakah kebanyakan orang Islam cenderung untuk memperkatakan perkara yang remeh-temeh? Perkara yang berkaitan dengan fardu ain, seperti sembahyang, berpuasa, naik haji dan sebagainya, sudah lama kita pelajari dan tahu cara hendak melakukannya. Soal-soal fardu kifayah jarang sekali ditimbulkan. Umpamanya, bagaimana hendak membangunkan ekonomi, politik, kemasyarakatan, sains dan teknologi negara-negara Islam? Mengapa fikiran kita menjadi remeh?
Adakah kita kekurangan ahli fikir, sarjana dan cerdik pandai untuk menulis dan membahas tentang perkara-perkara besar dan penting dalam kehidupan kita? Saya tidak fikir demikian, kerana kita boleh menyebut nama-nama mereka daripada pelbagai bangsa daripada kalangan umat Islam seperti Muhammad Abduh, Shah Waliullah, Dr. Ahmad Shalaby, Muhammad Iqbal, Prof. Abdul Salam, Syed Ameer Ali, Syed Ahmad Khan, Fazlur Rahman, M.M. Shariff, Ali Shari’ati, Hamka, Dr. Mohd. Hatta, Za’ba dan lain-lain lagi yang telah memperkayakan khazanah intelektual umat Islam dalam masa 150 tahun lalu. Tetapi mengapakah, setelah tokoh-tokoh moden ini semua, kita masih bertengkar tentang aurat wanita dan pakaian tudung dan tentang cara mengambil wuduk dan sembahyang?
Kita pisahkan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat serta mengutuk sekularisme. Penulis-penulis Arab menulis risalah membahas tentang cara bersembahyang. Ulama Indonesia berbahas berjam-jam lamanya sama ada kain yang kena darah nyamuk boleh dipakai dalam sembahyang atau tidak. Di samping itu, kita juga berbalah tentang penggunaan perkataan, kita larang penggunaan perkataan `Tuhan’, mesti dipakai perkataan `Allah’, kita larang penggunaan perkataan `sembahyang’, mesti guna perkataan `solat’.
Mengapakah fikiran umat Islam sudah jatuh begitu rendah?
Sebab yang pokok ialah mereka tidak ikut Quran. Mereka ikut ajaran satu kasta `ulama’ yang menggunakan agama untuk mencari nama, pengaruh, pangkat dan kuasa. Quran yang mengandungi idea-idea falsafah yang tinggi, seperti kesatuan alam, kesatuan ilmu, kesatuan manusia, persaudaraan orang mukmin dan keperkasaan kebenaran dan kebaikan, dan ajaran-ajaran yang baik, seperti membaca untuk mengetahui, mengkaji alam untuk mengetahui undang-undangnya, bekerja dengan tekun dan sabar untuk mencapai kejayaan dan tidak bertanya dan bertengkar tentang perkara-perkara yang kecil – Quran yang hebat ini kita jadikan nyanyian, mantera dan azimat, bukan sebagai panduan hidup, seperti sepatutnya!
Alangkah aneh! Kitab yang diberi kepada mereka untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat ditutup bagi mereka oleh orang-orang agama mereka sendiri! Patutlah Nabi Muhammad s.a.w mengadu kepada Tuhan dalam Quran, Tuhan, kaumku telah membelakangkan Quran ini. (Quran, 25:30).
Untuk mengatasi keremehan fikiran umat Islam, mereka mesti kembali kepada ajaran Quran.