PADA masa ini untuk memasuki mana-mana sekolah swasta atau universiti pengajian tinggi, pelajar-pelajar sudah tentu akan dikenakan bayaran pendaftaran yang tinggi.

Apatah lagi untuk mengambil jurusan yang memakan masa bertahun-tahun. Tetapi bagaimana jika anda ditawarkan menghantar anak anda ke sebuah pusat pengajian agama terbesar di Asia Tenggara dengan bayaran yang dikatakan cukup menarik.

Itulah sistem yang digunakan oleh pusat pengajian agama terbesar di Asia Tenggara, Ma’had Al Zaytun yang terletak di Indramayu, Jawa Barat di atas tanah seluas 1,200 hektar.

Indramayu merupakan salah sebuah bandar yang terletak kira-kira 600 kilometer dari kota Jakarta.

Sistem itu telah diperjelaskan oleh Pengetua Ma’had Al Zaytun, Panji Gumilang kepada rombongan Kedutaan Besar Malaysia yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Rastam Mohd. Isa dalam lawatan ke pusat pengajian itu, Ahad lalu.

Menurut Panji, Ma’had yang mula mengambil pelajar pertamanya pada tahun lalu itu mengenakan bayaran AS$1,500 (RM5,700) atau seekor lembu untuk pengajian bagi tempoh enam tahun – satu tempoh minimum bagi semua pelajar.

”Apabila pelajar tersebut berjaya menamatkan pengajiannya bagi tempoh tersebut, wang atau lembu itu akan dikembalikan dan selain itu jika mereka mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan kedoktoran mereka boleh berbuat demikian tanpa dikenakan bayaran satu sen pun di universiti-universiti yang telah ditetapkan oleh Ma’had Al Zaytun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, ‘hukuman’ yang berat menanti pelajar yang tidak dapat menghabiskan pengajiannya bagi tempoh enam tahun.

”Mereka harus membayar tidak kurang Rupiah 10 juta (RM5,000) bagi setiap tahun pengajian mereka di sini, maknanya kalau tiga tahun mereka harus membayar Rupiah 30 juta,” katanya.

Apa yang menarik mengenai ma’had ini ialah ia telah dibina pada tahun 1993 di atas tanah seluas 1,200 hektar yang merupakan tanah wakaf yang diberikan oleh umat Islam. Sepanjang menjalankan pengurusannya ma’had itu tidak menerima apa juga bantuan daripada pemerintah Indonesia.

”Tiada bantuan daripada pemerintah, tetapi itu lebih bagus kerana ia akan mendidik kita untuk berdikari. Atas sebab itulah kita menganggap ma’had ini milik semua orang Islam kerana ia dibangunkan atas sumbangan golongan tersebut,” katanya.

Sebanyak 200 hektar tanah diperuntukkan bagi prasarana pendidikan manakala 1,000 hektar lagi untuk aktiviti pertanian, perternakan dan perkebunan.

Ma’had ini menerima pelajar yang berusia 13 tahun dan pada masa ini terdapat 1,460 orang pelajar di mana 21 orang adalah pelajar Malaysia.

Selain itu, Panji Gumilang mengakui bahawa hampir keseluruhan sistem pendidikan, pentadbiran dan perancangan di Ma’had Al Zaytun itu ‘ditiru’ daripada Malaysia.

”Saya mengkaji semua ini sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pendidikan lagi. Saya mengambil satu demi satu idea dan gagasan beliau yang ternyata amat mengagumkan,” katanya yang pernah menetap di Sabah selama 30 tahun.

Justeru itu bukanlah satu yang mengejutkan apabila kehadiran anda di ma’had itu akan disambut oleh lagu-lagu dendangan Allahyarham P.Ramlee manakala keseluruhan pekerja atau pelajar di situ memakai baju Melayu.

”Lagu Melayu bagus, banyak pengajaran tetapi lagu Indonesia mengajak pelajar bertawuran (bergaduh),” kata Panji berseloroh.

Untuk memasuki Ma’had ini, pelajar-pelajar yang berminat harus menjalani proses temuduga di mana mereka harus mampu menghafal ayat-ayat al Quran iaitu Juz Amma.

Walaupun dikenali sebagai pusat pengajian agama, ma’had ini turut mengajar matapelajaran lain kerana matlamat pusat tersebut ialah mahu memastikan pelajar-pelajar mampu berdikari dan bukan semata-mata menjadi pegawai kerajaan.

”Selain itu kita akan memastikan apabila mereka menamatkan pengajian nanti mereka akan mampu menghafal ayat-ayat al Quran sebanyak 30 juz dan mampu berkomunikasi dalam salah satu bahasa antarabangsa sama ada bahasa Arab, Perancis, Inggeris atau Jepun,” katanya.

Apa yang unik di ma’had ini, segala-galanya dihasilkan sendiri oleh tenaga pekerjanya sendiri seperti pembinaan bangunan, perternakan ikan, lembu, pembuatan perabot dan lain-lain.

”Kita sama sekali tidak menggunakan kepakaran luar, semua dilakukan oleh pekerja-pekerja ma’had,” katanya. Sebagai contoh, perabot yang digunakan di seluruh ma’had itu dihasilkan sendiri oleh pusat pengajian tersebut.

Begitu juga pembinaan sebuah masjid di atas tanah seluas 6 setengah hektar serta bangunan-bangunan lain yang kini dalam proses pembinaan.

Menurut Panji Gumilang, Ma’had Al Zaytun berhasrat untuk menjadi pusat pengajian agama terulung di Asia Tenggara dan atas sebab itulah mereka berusaha untuk melakukan segala kerja dengan cara tersendiri.

”Setiap apa juga projek yang dilakukan ia adalah untuk jangka panjang seperti penanaman pokok jati dan perternakan lembu.

”Pada masa ini kita telah menanam beribu-ribu pokok jati emas di sekitar ma’had, apabila cukup tempoh 15 tahun, pokok itu akan ditebang dan kayunya akan menjadi sumber pendapatan kita,” katanya.

Sememangnya tidak dapat dinafikan dari segi penggunaan tanah, ma’had Al Zaytun telah melakukan semaksimum mungkin tanah-tanah yang dimiliki.

Selain pokok jati, ma’had itu juga menanam buah-buahan yang mampu memberi pendapatan kepada mereka seperti buah limau, mangga serta buah-buahan dari Timur Tengah seperti buah zaitun, tiin dan kurma.

Bahkan, pusat pengajian itu juga telah mewujudkan sebuah danau yang kini mengandungi beratus-ratus ribu ikan dan menjadi tarikan utama pengunjung ke Ma’had Al Zaytun.

Ikan-ikan ini turut menjadi makanan utama kepada pelajar-pelajar di ma’had tersebut yang sememangnya sering diberi makanan yang cukup berkhasiat demi pertumbuhan otak mereka.

Pihak pentadbiran Ma’had Al Zaytun juga mempunyai perancangan untuk menjadi tuan rumah sesuatu kejohanan sukan terkemuka.

Ini jelas apabila mereka sedang menyiapkan sebuah kompleks sukan bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja mempunyai padang bola sepak tetapi kolam renang.

Dari segi pelajar pula, sepanjang berada di ma’had itu mereka dididik untuk menjadi muslimin dan muslimat sejati dan mampu mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mereka ditempatkan di asrama-asrama berhawa dingin dengan kapasiti 10 orang satu bilik.

Bagi setiap bilik mereka akan dijaga oleh seorang guru yang bertindak bukan sahaja sebagai pendidik tetapi ‘ibu bapa’ angkat.

”Pelajar-pelajar itu melayan saya seperti ayah mereka. Saya sering dijadikan tempat untuk menceritakan masalah mereka dan pengalaman di kampung masing-masing,” kata seorang guru kepada penulis.

Manakala beberapa pelajar terutama dari Malaysia mengaku bahawa mereka begitu gembira belajar di ma’had tersebut.

”Di sini suasana bukan sahaja tenang malah kami dilayan seperti anak sendiri oleh para guru, mereka tidak pernah memarahi kami,” kata seorang pelajar Malaysia yang berasal dari Perak.

Berbanding sekolah-sekolah berasrama lain, di Ma’had Al Zaytun ini para pelajar sama sekali tidak dibenarkan mencuci pakaian mereka sendiri, sebaliknya ia diserahkan kepada bahagian pencucian.

Langkah itu dilakukan oleh pihak pentadbiran bagi memastikan pelajar-pelajar tidak membuang masa dan tenaga dengan mencuci sendiri pakaian mereka.

Selain itu, mereka juga diberi minum susu lembu segar setiap hari. Susu itu diambil daripada lembu-lembu yang diternak di pusat pengajian tersebut.

”Ertinya, kami amat berhati-hati dan cukup prihatin dalam soal makanan serta kehidupan pelajar-pelajar di sini,” kata Panji.

Keunikan yang terdapat di ma’had ini juga menyebabkan pada setiap hari terutama pada hujung minggu, ia tidak putus-putus dikunjungi oleh orang ramai.

Malah kehadiran orang ramai ini seolah-olah menjadikan Ma’had Al Zaytun sebagai kawasan rekreasi baru untuk penduduk-penduduk di sekitar Indramayu dan Cirebon.

Menurut Panji, pada hari minggu mereka mene-rima tidak kurang daripada 3,000 pengunjung manakala pada hari biasa sekitar 1,500 orang.

Hasilnya, dalam 10 bulan pertama, Ma’had Al Zaytun telah menerima sumbangan tidak kurang Rupiah 2 milyar (RM1 juta). Ini tidak termasuk sumbangan-sumbangan lain yang diberikan oleh orang ramai seperti binatang ternakan.

Ternyata sekali Ma’had Al Zaytun kini sedang dibangunkan sebagai salah satu pusat pengajian agama terkemuka di Asia Tenggara. Ini kerana menurut perancangan, tidak lama lagi ma’had itu akan menerima pelajar untuk peringkat ijazah.

Sememangnya kewujudan Ma’had Al Zaytun boleh menjadi alternatif baru kepada ibu bapa yang berhasrat untuk melihat anak mereka memperoleh kegemilangan dalam ilmu dan teknologi yang ‘dihiasi’ dengan iman dan takwa kepada Allah s.w.t.