Sains
Oleh MIZAM RAHIM

Kutub Selatan, atau lebih dikenali sebagai Antartika, merupakan benua ais yang mempunyai banyak kepentingan. `Peti Ais Dunia’ ini berperanan besar dalam mengawal keseimbangan suhu dunia, selain menjadi habitat pelbagai jenis flora dan fauna.

Ia juga dijadikan kawasan penyelidikan oleh saintis-saintis terutamanya yang berkaitan dengan ekologi dan kronologi sejarah pembentukan bumi, selain menjadi `makmal’ bagi beberapa percubaan sains yang memerlukan keadaan tertentu.

Sebuah kawasan yang dikenali sebagai Simple Dome telah dijadikan kawasan kajian saintis mengenai sejarah kewujudan Antartika secara geografinya.

Saintis telah menggunakan gerudi khas untuk menggali teras kepingan ais. Lapisan-lapisan kepingan ais ini akan memberikan jawapan terhadap beberapa persoalan mengenai perubahan cuaca, zaman yang dilalui dan hidupan yang pernah wujud.

Pencairan dan pembekuan ais yang akhirnya membentuk kristal ais akan memberi jawapan terhadap apa yang telah berlaku terhadap benua Antartika. Ia juga berguna untuk meramal apa yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Saintis telah menggunakan kaedah radiokimia, menggunakan isotop tertentu untuk mengkaji sebarang perubahan berkaitan dengan masa yang telah dilalui oleh kristal-kristal ais ini.

Ia dilakukan menerusi pemerhatian terhadap perubahan kandungan gas karbon dioksida dan metana. Seterusnya pemerhatian ini akan dikaitkan pula dengan perubahan cuaca silam.

Namun hakikatnya sekarang, Antartika berdepan dengan dilema kepingan ais yang dikatakan semakin mencair atau runtuh. Antara sebab utama yang dihipotesiskan oleh para saintis adalah peningkatan suhu bumi akibat penipisan lapisan atau kebocoran lapisan ozon.

Di Lembah Kering Antartika ini, pemerhati mendapati tasik-tasik ais semakin mencair. Dalam tahun 1970-an, kepingan ais yang sebesar negara Paraguay didapati telah lenyap, hanya dalam masa tiga tahun.

Ahli-ahli kaji cuaca juga mendapati bahawa akibat terlalu banyak aktiviti manusia, ditambah dengan pencemaran alam sekitar dan komersialisasi industri, sebarang perubahan cuaca hanya akan mengambil masa sesingkat dua hingga lima tahun. Kajian pada tahun 1995 ini juga memberi signifikasi yang besar ertinya kepada kejadian-kejadian runtuhan ais di Antartika.

Perubahan cuaca yang terlalu singkat ini menunjukkan implikasi ketidaktentuan dalam putaran musim, terutamanya kemarau dan hujan yang datang secara tiba-tiba.

Saintis juga beranggapan bahawa sebarang perubahan yang disebabkan oleh manusia akan memberi kesan berdekad-dekad terhadap alam sekitar. Fakta ini tidak sukar untuk difahami, kerana terlalu banyak contoh nyata yang boleh kita lihat. Penebangan hutan untuk pembangunan, tanpa mempertimbangkan pelan kontigensi menyebabkan banjir lumpur, peningkatan suhu bumi akibat pengurangan kadar serapan haba oleh tumbuh-tumbuhan dan kehilangan kawasan tadahan air untuk bekalan kehidupan. Kesan-kesan ini berlangsung untuk tempoh masa berpuluh-puluh tahun.

Kajian oleh Gerald Kooyman dari University of California di San Diego adalah contoh terbaik menerangkan bagaimana perubahan cuaca boleh memberi kesan kepada kehidupan.

Pada tahun 1997, beliau mendapati bahawa kepingan-kepingan ais di Kepulauan Franklin telah cair dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan. Keadaan ini menyebabkan banyak penguin mati, kerana tidak mempunyai cukup masa untuk membesar dan pandai berenang.

Penyelidik dari Pusat Ais dan Salji Colorado, Amerika Syarikat telah memperoleh imej daripada satelit yang menunjukkan kepingan-kepingan ais semakin meruntuh dan cair. Penyelidik tersebut juga telah meramalkan bahawa jika keadaan ini berterusan, keseluruhan ais di Antartika akan mencair dalam masa beberapa ratus tahun lagi.

Sesetengah saintis merumuskan peningkatan aras air laut adalah akibat cairnya kepingan ais di Antartika Barat. Mereka menggunakan hujah peningkatan suhu bumi akibat perubahan cuaca sebagai mana yang ditemui dalam kajian ahli – ahli kaji cuaca. Kepingan-kepingan ais yang berada di dasar laut Antartika dilaporkan lebih cenderung untuk mencair berbanding dengan kepingan-kepingan ais yang terapung.

Apabila kepingan-kepingan ais dasar dan ais terapung ini mencair keseluruhannya, aras air laut akan naik sebanyak enam meter. Ini cukup untuk menenggelamkan bandar raya-bandar raya rendah seperti Jakarta dan London. Ia juga berupaya untuk menenggelamkan sebahagian besar Florida.

Ada juga saintis yang tidak percaya sepenuhnya kepada teori peningkatan aras air laut adalah akibat pencairan ais di Antartika. Robert Bindschadler, seorang ahli geofizik Amerika, contohnya, mencadangkan satu hipotesis alternatif untuk menjelaskan fenomena tersebut. Aliran ais, menurut Robert, adalah dalam fasa turun-naik yang terlalu pantas. Justeru, kepingan-kepingan ais adalah sentiasa dalam proses menuju keruntuhan. Ais-ais juga dikatakan telah runtuh beribu-ribu tahun lalu, dan kemungkinan tidak akan runtuh lagi untuk beribu-ribu tahun akan datang. Kepingan-kepingan ais juga tidak dijamin untuk berada dalam keadaan stabil dan tidak boleh dijangkakan.

Hipotesis Robert ini mungkin boleh diguna pakai untuk menerangkan fakta yang berikut: Sebenarnya, sehingga kini tiada bukti nyata secara langsung menunjukkan kepingan-kepingan ais semakin mengecil.

Aras air laut yang naik secara purata dua milimeter setahun adalah berpunca daripada pengembangan terma air laut itu sendiri. Pengembangan terma ini (akibat pemanasan langsung), telah menyumbangkan sebanyak 44 peratus daripada takat aras kenaikan air laut.

Kepingan ais yang bergerak akan menjadi lebih `panas’ akibat penghasilan haba menerusi geseran. Selanjutnya, ia lebih mudah untuk terurai bentuk atau bergerak dengan lebih cepat. Spekulasi yang ditimbulkan oleh saintis-saintis juga menyatakan bahawa haba yang bergerak ke dasar kepingan ais ini akan menyebabkan runtuhan ais berlaku dengan lebih cepat lagi.

Sekeping ais yang tebalnya 400 meter akan menghasilkan tekanan kerana berat yang tinggi. Keadaan ini akan memaksa kepingan tersebut bergerak dengan lebih laju lagi. Inersia yang besar juga menyebabkan kepingan ais ini sukar untuk berhenti. Keadaan ini menambahkan penjelasan mengenai fenomena mengapa kepingan ais sentiasa bergerak.

Bagi kebanyakan daripada kita, persoalan-persoalan di atas tidak mempunyai apa-apa makna. Sebenarnya, dengan mencari jawapan terhadap persoalan tersebut, kita boleh menyelesaikan banyak masalah atau kebimbangan yang dicetuskan akibat fenomena kecairan ais di Antartika.