KONJUKTIVITIS alahan yang menyebabkan mata merah.
——————————————————————————–
Oleh NAJIBAH HASSAN
SECARA umum, glaukoma adalah merupakan sejenis masalah gangguan penglihatan yang disebabkan oleh kerosakan saraf optik mata yang mengakibatkan penghidapnya hilang penglihatan.
Masalah gangguan penglihatan yang juga dikenali sebagai `pencuri penglihatan secara senyap’ ini dikatakan sebagai punca kebutaan kedua yang paling kerap dilaporkan di Amerika.
I.U School of Optometry-Ophthalmic Disease Clinic melaporkan, dianggarkan hanya sebahagian daripada 2.3 juta penghidap glaukoma sudut terbuka didiagnos.
Pada dasarnya, seseorang dikatakan mengalami glaukoma apabila tiga keadaan berlaku iaitu pengembangan kawah optik, meningkatnya tekanan mata daripada paras normal dan pengecutan lapang penglihatan.
Glaukoma mengakibatkan lapangan penglihatan seseorang itu hilang sama ada dengan atau tanpa gejala ini disebabkan oleh faktor dilahirkan dengan masalah tersebut (konginetal) atau mendapatnya setelah dilahirkan (acquired).
Ketua Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Mohtar Ibrahim berkata glaukoma konginetal ini biasanya melibatkan kecacatan pada alat pengaliran aqueos.
Menurut beliau, terdapat glaukoma acquired terbahagi kepada dua iaitu primer dan sekunder.
“Bagi jenis primer, glaukoma yang dikategori dalam jenis ini disebabkan oleh faktor-faktor yang pelbagai termasuk faktor keturunan.
“Bagaimanapun, pengaliran aqueosnya tersekat atau terganggu,” katanya.
Glaukoma primer ini terbahagi kepada dua iaitu:
- Sudut terbuka
- Sudut tertutup
Dr. Mohtar memberitahu, meskipun glaukoma sering berlaku, namun insidennya tidak begitu tinggi.
Sebaliknya, jika dilihat dari sudut kelompok penyakit-penyakit mata ia agak kerap berlaku.
Statistik yang dicatatkan di Amerika Syarikat mendapati, dianggarkan setiap 1/200 orang yang berusia 40-an menghadapi masalah ini.
Tinjauan Mata Kebangsaan yang dilakukan oleh para penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Kementerian Kesihatan dan Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati di Malaysia prevalensnya hanyalah 0.05 peratus.
Menurut beliau, glaukoma sekunder disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti penyakit mata yang tertentu dan diketahui puncanya.
Ini termasuklah:
- Trauma
- Radang mata (uveitis)
- Masalah yang berkait dengan kanta mata
- Ubat-ubatan
Dr. Mohtar memberitahu, satu-satunya ubat-ubatan yang boleh menyebabkan glaukoma ini ialah steroid.
Steroid secara semula jadinya terdapat dalam tubuh atau diambil dari luar dalam bentuk ubat-ubatan.
“Penggunaan ubat-ubatan ini biasanya digunakan untuk mengurang atau mengawal masalah radang (inflammation),” katanya.
Bagaimanapun, dalam dos-dos tertentu, steroid ini boleh melemahkan sistem imun (imun suppresif) seperti pemindahan tulang sumsum bagi mengelakkan penolakan atau untuk rawatan kes-kes kanser.
Dalam menangani masalah mata, steroid digunakan untuk kes-kes seperti perawatan selepas pembedahan, penyakit-penyakit alahan (alergi) dan yang berkaitan dengan radang mata (uveitis).
Penggunaan corticortisteroid
Penggunaan corticortisteroid ini merangkumi:
- Titisan atau salap (ointment).
- Suntikan keliling mata (pericular injection)
- Sistemik (ubat yang dimakan, suntikan atau intravenous).
Dianggarkan 30 peratus daripada penduduk yang menggunakan steroid menunjukkan tindak balas yang sederhana, manakala 50 peratus tindak balas yang serius dari segi peningkatan tekanan mata.
Mereka ini dipanggil steroid responder.
Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang itu menggunakan steroid dalam tempoh antara beberapa minggu hingga satu bulan.
Malah, ada sesetengah pesakit yang datang dengan aduan mereka tidak dapat melihat setelah menggunakan steroid untuk menangani masalah alahan.
Alahan yang dialami akibat habuk atau debunga ini menyebabkan mata merah atau gatal-gatal.
Biasanya, pesakit yang mengalami alahan ini akan diberikan ubat steroid semasa mengalami gejala akut dan serius.
Kemujaraban ubat-ubatan ini mendorong pesakit untuk terus mengamalkannya.
Bagaimanapun, apabila mereka pulih dari alahan ini, mereka menyedari bahawa lapangan penglihatan mereka pula terganggu.
Pesakit yang mengalami masalah alahan ini biasanya menggunakan ubat steroid yang diperoleh dari doktor dalam jangka masa yang tertentu.
Namun, apabila ubat ini habis mereka boleh mendapatkannya sendiri di kaunter-kaunter farmasi tanpa preskripsi.
Kesan penggunaan ubat titis steroid yang berpanjangan adalah pelbagai.
Pesakit akan mengadu bahawa lapangan penglihatan mereka sangat berkurangan atau lapangan penglihatan menjadi seperti terowong.
Malangnya, mereka yang menghadapi masalah ini kebanyakan terdiri daripada remaja yang berusia belasan tahun dan tergolong dalam kumpulan yang produktif.
Namun, jangka masa seseorang itu hilang penglihatan juga adalah berbeza-beza bergantung pada kadar kecepatannya.
Lebih penting lagi, orang ramai seharusnya menggunakan ubat-ubatan mata dengan lebih berhati-hati iaitu dengan mendapatkan nasihat doktor dan mengetahui jenis ubat yang digunakan.
Bagaimanapun, kesan penggunaan steroid yang dikatakan boleh mengakibatkan tekanan mata meningkat masih belum difahami sepenuhnya.
Teori mengenai penggunaannya dikatakan steroid ini mengubah alat pengaliran aqueos.
Namun, teori ini masih dalam kajian.
Gejala
Pengecutan lapang penglihatan
(Rajah menunjukkan kemerosotan lapangan mata secara progresif).
- Pengurangan tahap penglihatan
- Sakit di bahagian mata atau keliling mata
Rawatan
Apabila disahkan mengalami penyakit steroid induced glaucoma pesakit dinasihatkan supaya:
- Menghentikan rawatan steroid
- Merawat glaukoma (antiglaukoma)
Sekiranya, masalah ini tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan, mereka mungkin memerlukan pembedahan dengan membuat aliran alternatif aqueos.
Cara mengelakkan daripada menghidap masalah ini memerlukan kerjasama daripada pesakit sendiri seperti:
Memahami dan mengetahui bahawa penggunaan ubat-ubatan yang diberi sepatutnya digunakan
- Mengambil inisiatif mengetahui nama ubat-ubatan yang digunakan. (Biasanya nama ubat-ubatan yang mengandungi steroid mempunyai pengakhiran seperti one, contohnya seperti prednisolone).
- Menggunakan ubat yang dinasihatkan oleh doktor sahaja.
- Menggunakan ubatan pada jangka masa yang ditetapkan sahaja.
Manakala bagi pengamal perubatan dan ahli-ahli farmasi pula, mereka boleh memainkan peranan dengan memberi bimbingan dan nasihat yang tepat berhubung penggunaan steriod.
Mengetatkan penguatkuasaan kategori ubat-ubatan.
Mengkategorikan ubat-ubatan berasaskan steroid sebagai ubat yang boleh didespensikan hanya dengan preskripsi daripada doktor yang merawat.