SELAIN akal dan hati, manusia turut dilengkapi dengan nafsu baik dari segi kebendaan mahu pun syahwat .

Jika nafsu kepada kebendaan menjadikan manusia gila wang dan harta, nafsu syahwat yang tidak terpelihara pula mendorong insan kepada jenayah seksual.

Tidak hairanlah antara jihad yang diseru oleh Rasulullah s.a.w ialah jihad melawan hawa nafsu.

Namun, akibat tiada didikan agama yang sempurna ditambah pula tiada iman di dada, nafsu mengganas bagaikan singa.

Ini ditambah pula dengan faktor persekitaran yang sekali gus mendorong kepada pertambahan kes seperti rogol, liwat dan sumbang mahram.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunah, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim kala membicarakan isu nafsu menegaskan, beliau melihat alaf baru ini sebagai alaf kebangkitan nafsu.

Kenyataan itu, kata Dr. Mashitah, dibuat berdasarkan pandangannya terhadap gejala rogol, liwat dan sumbang mahram yang kian serius berlaku kebelakangan ini.

“Apa yang mengharukan ialah kejadian yang berlaku kebanyakannya membabitkan hubungan mahram seperti datuk merogol cucu, ayah merogol anak, abang merogol adik.

“Malah, kita juga terkejut apabila mendengar kes ibu dan anak membuat hubungan seks dan sebagainya,” katanya kesal.

Menjelaskan pendapatnya, kata Dr. Mashitah, selain faktor goyah iman, beliau tidak menolak kenyataan bahawa nafsu manusia hari ini juga telah `dikejutkan’ oleh iklan-iklan lucah.

“Nafsu manusia sebenarnya umpama singa yang sedang tidur. Kalau di zaman Rasulullah s.a.w dahulu, nafsu dibelai dan disuruh tidur agar ia tidak mengganas,” jelasnya.

Namun demikian, kata Dr. Mashitah, apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya.

“Cubalah dengar iklan-iklan di radio, iklan yang ke udara di radio kebanyakannya menggerakkan nafsu agar bangkit dari tidur,” tegasnya.

Menurut beliau, apabila nafsu yang sedang lena dikejutkan dan kemudiannya tidak mampu untuk dikawal, maka berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

“Akibat tidak tahu ke mana nafsu yang terjaga itu mahu dilampiaskan, maka berlakulah gejala rogol, liwat dan macam-macam lagi keruntuhan moral yang kita sendiri malu untuk membicarakannya,” katanya.

Apa yang lebih dikesalkan, kata Dr. Mashitah, sebahagian besar kes yang berlaku melibatkan masyarakat Melayu beragama Islam.

“Itulah yang menyedihkan dan memalukan kita,” katanya.

Kala mengakhiri perbualan, Dr. Mashitah sempat melontarkan pandangan, katanya, orang bukan Melayu sibuk menghasilkan produk untuk kesihatan badan tetapi orang Melayu pula gemar menghasilkan produk berkaitan pemulihan daya rangsangan seks.