Oleh: MIZAM RAHIM
Seorang rakan, ketika beliau masih belajar di Universiti Malaya, pernah menceritakan bagaimana dirinya dihina oleh bekas kekasihnya hanya kerana statusnya sebagai seorang pekerja kilang. Keputusan STPM yang tidak berupaya melonjakkan dirinya ke menara gading memaksa beliau menguburkan impian mencipta masa depan yang gemilang.
Bekas kekasihnya bukan setakat menghina pekerjaan yang dilakukannya, malah merendah-rendahkan keupayaan diri rakan itu tadi. Dalam masa yang sama, teman wanita rakan penulis itu mula mencari alasan untuk berpisah, lantaran sudah bertemu dengan lelaki yang lebih baik.

Rakan penulis hanya berdiam diri. Menyerap segala hinaan yang diterima, sementelah dia adalah anak sulung yang cukup mengerti beban yang harus ditanggung.

Sehingga apabila rakan itu bertemu dan membaca hingga `khatam’ sebuah buku bertajuk Berani Gagal, terjemahan bahasa Melayu daripada edisi Inggeris Dare to Fail. Dalam diam-diam, beliau sekali lagi mengambil STPM, tanpa pengetahuan sesiapa pun, hatta rakan-rakan dan keluarga. Kampus Lembah Pantai akhirnya menjadi menara gadingnya.

Semangat yang dibawa oleh buku tersebut telah menerbitkan satu motivasi intrinsik dari dalam diri untuk dia buktikan bahawa dia juga boleh berjaya. Seperti yang pernah dikatakan kepada penulis bahawa jika tidak kerana dirinya dihina dan bertemu dengan buku yang dibacanya, mungkin dia masih lagi bekerja kilang. Walaupun memiliki kesedaran semula jadi dalam diri untuk berubah, tanpa bantuan elemen luaran, dia mungkin tidak cukup berdaya untuk memulakan perubahan.

Dengan kata lain, kita mungkin sedar dan tahu bahawa sesuatu perkara itu perlu untuk diubah. Mungkin ia diri kita sendiri. Tetapi, percayalah, tidak semua orang berupaya memotivasikan dirinya sendiri untuk berubah. Justeru, kita sebenarnya mempunyai beberapa alternatif. Kita mungkin boleh berjumpa lalu bercerita tentang masalah dan hasrat kita kepada orang lain. Kita mengharapkan agar ada orang yang boleh menjadi pencetus kepada keinginan kita untuk berubah.

Alternatif sampingan yang kita ada adalah melalui pembacaan. Buku-buku dan beberapa rencana pendek mungkin boleh membantu, contohnya dalam kes rakan penulis tadi. Apa yang kita baca, sekiranya dihayati dengan seluruh jiwa raga, mampu memercikkan api kepada minyak yang sedia ada dalam diri. Seterusnya, ia berupaya membekalkan tenaga untuk menujahkan omboh otak dan semangat diri melakukan sesuatu.

Buku-buku yang berupaya mencetuskan motivasi dalaman umumnya boleh kita bahagikan kepada dua. Pertama, ialah buku-buku yang bercerita secara langsung perihal motivasi, psikologi minda, perubahan diri atau apa sahaja yang sekutu dengannya.

Buku-buku jenis ini mengungkapkan secara tulus bagaimana untuk berubah, menghadapi cabaran-cabaran perubahan, jenis-jenis perubahan yang hendak dilakukan sehinggalah kepada penyediaan pelan-pelan asas perubahan. Jika kita seorang pelajar, buku-buku yang ditulis khusus membicarakan motivasi untuk pelajar dan remaja cukup banyak.

Bagaimana menjadi remaja cemerlang, bagaimana hendak lulus dalam peperiksaan atau bagaimana untuk menghadapi tekanan adalah sebahagian daripadanya. Untuk masyarakat umum pula, naskhah-naskhah daripada Stephen R. Covey atau beberapa siri buku daripada gandingan Prof. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd mungkin boleh menjadi pilihan.

Walaupun negara kita masih kekurangan buku-buku motivasi asli dalam bahasa Melayu, beberapa buah yang sedia ada boleh digunakan. Buku Membina Imaginasi Cemerlang tulisan Dr. H.M. Tuah Iskandar al-Haj, adalah antara karya yang seharusnya dibaca dalam usaha kita untuk memahami diri sendiri, berteraskan keupayaan akal fikiran. Memahami diri sendiri adalah antara prasyarat utama untuk mencetuskan motivasi. Dalam hal ini, Dr. H. M. Tuah Iskandar al-Haj dan Stephen R. Covey berkongsi persetujuan yang sama, iaitu sesuatu yang diulang-ulangkan, secara berterusan (membentuk tabiat) membolehkan ia dilakukan secara lebih berkesan. Jika kita memahami dan dapat mengesan tabiat-tabiat yang sedia ada dalam diri, kita dapat menyusun secara lebih berkesan, seterusnya menyuntik elemen-elemen motivasi agar tabiat-tabiat ini sentiasa segar dan seolah-olah diperbaharui.

Kedua, adalah buku-buku yang tidak menggambarkan secara langsung ia sebagai buku motivasi. Termasuk dalam kategori ini adalah buku – buku cerita fiksyen, autobiografi, sejarah, politik atau mungkin buku yang sekadar memuatkan koleksi – koleksi gambar. Buku-buku ini akan menjadi buku motivasi paling berkesan apabila jatuh ke tangan pembaca yang tepat. Lain orang akan menafsir buku yang sama sebagai buku biasa, sama ada buku cerita yang dibaca untuk mengisi masa lapang, atau buku sejarah yang perlu dihafal untuk lulus peperiksaan.

Ramai orang yang mendapat motivasi tekal, bukan daripada buku-buku motivasi tetapi daripada buku-buku jenis yang kedua ini. Faisal Tehrani, seorang penulis muda, khabarnya menjadikan buku-buku karya Sasterawan Negara A. Samad Said dan Arenawati sebagai pencetus mula bagaimana beliau boleh berjaya menjadi penulis. Karya-karya Hamka juga dikatakan telah membakar semangat Faisal. Daripada angan-angan yang dipasang setelah membaca karya-karya orang lain, akhirnya menjadi daya paling kukuh untuk melonjakkan semangat melakukan perubahan dalam diri dan kerjaya.

Rakan yang sama, seperti di awal tulisan ini, memahami bagaimana perlu bagi kita untuk menjadi bangsa yang bermartabat dan apa signifikasinya dengan cabaran dunia semasa setelah membaca buku Melayu Baru, buah tangan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Antara kata-kata beliau yang masih saya ingat ialah, “Rupa-rupanya sedikit ego perlu untuk kita menjadi bangsa yang berjaya dan bermaruah.”

Buku Melayu Baru itu telah memotivasikan dirinya untuk lebih menyayangi kaum sendiri, berjaya dalam pelajaran dan kehidupan demi kepentingan kaum seterusnya membantu orang lain untuk cuba memahami apakah relevannya kita bertindak dalam kapasiti Melayu Baru hari ini.

Manakala buku Ibnu Yusof, Pesona Cinta pula pernah digunakan oleh seorang rakan yang lain, dalam usaha untuk memahami falsafah dan makrifat cinta. Ibnu Yusof memang terkenal dengan buku-buku berkenaan seni cinta, hubungan antara lelaki-perempuan dan beberapa karya yang jelas bertujuan untuk merangsang motivasi diri.

Bermula daripada buku Pesona Cinta, kemaruk membaca buku-buku bertemakan cinta telah menular dalam diri beliau. Bahkan saya juga mendapat sedikit tempiasnya. Sehingga kini, antara karya – karya berat berkenaan dengan cinta yang masih diingati adalah buku tulisan Sharon Brehen, Intimate Relationship dan John Lee, The Colors of Love.

Semuanya bermula dengan kekecewaan dalam percintaan. Setiap hari termenung untuk memikirkan apakah kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan. Akhirnya, buku-buku tersebut memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan yang bersarang dalam benar. Bahkan, buku-buku tersebut juga berjaya memberikan rakan penulis tadi motivasi untuk bercinta secara lebih jujur, `sistematik’ dan bersedia menghadapi kemungkinan-kemungkinan luar jangka.

Antara inti pati tulisan John Lee dalam The Colors of Love yang dianggapkan berguna adalah bagaimana penulis buku tersebut mengklasifikasikan cinta kepada enam jenis. Secara tidak sedar, kita mengamalkan salah satu daripada jenis tersebut, atau mungkin gabungan mana-mana jenis. Enam jenis cinta tersebut dalah Ero, Mania, Ludis, Storage, Agape dan Pragma.

Manakala Sharon pula menghuraikan perbezaan dan persamaan cinta lelaki dan perempuan. Apakah persepsi-persepsi asas cinta menurut pandangan lelaki atau perempuan, adalah antara soalan berjawapan yang perlu diketahui. Dan Sharon menghuraikannya di dalam buku tersebut.

Apa yang penting daripada karya Sharon adalah (bergantung kepada keupayaan dan persepsi penafsiran individu yang membaca) bagaimana kita seharusnya menggunakan pemahaman berkenaan dengan cinta bagi menyediakan diri menjadi orang yang sentiasa bermotivasi untuk bercinta. Bunyinya mungkin agak lucu dan sinis, tetapi perlu diketahui bahawa trend kehidupan kini semakin banyak melahirkan individu yang sering mengalami rosotan cinta atau langsung tidak bermotivasi untuk bercinta. Hendak bertanya kepada orang lain, mungkin malu. Maka, buku-buku boleh menjadi `rakan bagi pihak’ yang memberikan pertolongan dan jawapan.

Mereka yang menafsir buku menerusi pandangan konstruktif dan tidak linear, sering mendapati bahawa semua buku mampu menjadi buku motivasi. Sebuah buku bukan sahaja dilihat daripada apa yang diisi di dalamnya, bahkan dari sisi-sisi lain juga; pengarang, penerbit, reka bentuk sehinggalah kepada font yang digunakan untuk membentuk rupa taip teks. Semua ini adalah pakej berkesan untuk mengupayakan sesebuah buku.

Semangat dan kegigihan watak utama dalam sebuah novel atau cerpen, adalah percubaan psikologi paling baik untuk mencetuskan motivasi. Walaupun sekadar fikyen, ia mampu menggugat zon-zon selesa dalam diri kita, mencabar seterusnya membentuk keseimbangan baru yang tentunya beranjak ke hadapan sedikit daripada koordinat keseimbangan asal. Inilah kesan motivasi menerusi buku-buku fiksyen. Tanpa mencabar keseimbangan zon selesa diri menerusi pembacaan, seseorang tidak berupaya untuk melenturkan ego diri, walaupun dia sedar bahawa dia perlu berubah. Tanpa melenturkan ego, memotivasikan diri sendiri akan menjadi usaha yang sia-sia.

Sering kali apabila berhadapan dengan konflik, masalah, kemurungan atau hilangnya semangat dalam diri, buku-buku akan menjadi teman yang tidak pernah mengecewakan, memberikan preskripsi paling tepat bagaimana untuk memacukan semula semua semangat yang hilang itu.

Anda bagaimana?