KERJA-kerja pembersihan sperma sedang dilakukan oleh embriologist di dalam makmal sebelum proses pemilihan dan persenyawaan.
——————————————————————————–
MENIMANG cahaya mata adalah satu impian besar bagi hampir setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan. Namun, tidak semuanya berjaya memperoleh apa yang dihajati akibat pelbagai masalah termasuk ketidaksuburan yang dihadapi oleh suami mahupun isteri.
Namun, dengan pelbagai penemuan teknologi moden dan terkini, masalah kesukaran mendapatkan cahaya mata akan dapat di atasi.
Walaupun ia tidak memberi jaminan 100 peratus, namun ia tetap merupakan satu usaha yang berbaloi untuk dicuba, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan tinggi.
Apa yang lebih menarik, kaedah rawatan ini juga memberi peluang kepada pasangan untuk memilih jantina anak yang bakal dilahirkan.
Malah peluang untuk memiliki anak kembar juga meningkat daripada 1 peratus melalui kehamilan normal kepada 17 peratus melalui kaedah-kaedah rawatan kesuburan ini.
Antara pusat yang menawarkan rawatan yang berkaitan ialah Pusat Kesuburan Damansara atau Pusat Pakar Wanita Damansara.
Menurut jurucakap dari pusat berkenaan, terdapat tiga kaedah utama untuk merawat pasangan bermasalah berdasarkan tahap kesuburan masing-masing.
Kaedah pertama ialah Intrauterine Insemination (IUI) iaitu Permanian Dalam Rahim atau persenyawaan melalui suntikan sperma suami ke dalam rahim isteri.
Kaedah ini melibatkan rawatan ke atas isteri untuk menggalakkan pengeluaran dua atau tiga telur matang dalam tempoh tertentu.
Katanya, sepanjang rawatan tersebut, pemeriksaan ultrasound dua atau tiga kali akan dibuat melalui faraj bagi mengira telur dan mengetahui bila telur dijangka dilepaskan dari ovari atau ovulasi.
Pada pagi hari ovulasi, sperma suami akan dikumpul, dibersih dan dipilih sebelum disuntik ke dalam rahim isteri.
“IUI sesuai untuk pasangan yang benih mereka gagal bercantum secara normal walaupun mempunyai tahap kesuburan yang normal serta jumlah sperma yang mencukupi.
“Kaedah ini paling mudah dan hanya menelan kos lebih kurang RM1,000,” katanya.
Menurut beliau, bagi pasangan yang mempunyai masalah kesuburan atau salur fallopian isteri tersumbat, kaedah Invitro Fertilization (IVF) atau persenyawaan benih di luar rahim lebih sesuai.
Menerusi kaedah itu, isteri akan menjalani rawatan untuk mengalakkan pengeluaran beberapa telur matang serta menjalani pemeriksaan ultrasound sebanyak dua hingga tiga kali.
“Dalam tempoh 32 hingga 36 jam selepas hormon terakhir disuntik, telur akan dikeluarkan melalui faraj untuk disenyawakan di luar rahim.
“Telur dan sperma yang telah dicantum atau embrio ini akan dimasukan ke dalam rahim isteri selepas dua atau tiga hari,” ujar beliau.
Tambahnya, kaedah rawatan IVF yang menelan kos di antara RM13,000 hingga RM15,000 itu hampir sama dengan kaedah pemindahan telur dan sperma ke dalam salur fallopian melalui prosedur laparoskopi (GIFT).
Bagi suami yang mempunyai jumlah sperma yang amat rendah pula, mereka masih berpeluang menimang cahaya mata melalui kaedah Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI).
“Berbeza dengan kaedah IVF, sperma akan disuntik terus ke dalam telur yang diambil dari ovari isteri semasa proses persenyawaan.
“Benih yang telah berjaya dicantum itu akan dimasukkan ke dalam rahim isteri sebagaimana kaedah IVF. Bagaimanapun, ICSI memerlukan kos tambahan sebanyak RM2,000,” katanya lagi.
Sementara itu, sehingga hari ini, Pusat Kesuburan Damansara telah mengendalikan lebih 600 rawatan IVF, 170 rawatan GIFT dan 180 rawatan ICSI.
Berdasarkan statistik, sebanyak 40 peratus isteri berjaya hamil dan 33 peratus bayi selamat dilahirkan melalui kaedah IVF, sementara kadar hamil bagi kaedah ICSI 35 peratus dan selamat dilahirkan 30 peratus.
Bagi kaedah GIFT pula, 45 peratus kadar dan 35 peratus bayi selamat dilahirkan, manakala kaedah IUI, kehamilan 15 peratus dan kelahiran selamat 10 peratus.
Daripada statistik kelahiran pula, sebanyak 63 peratus daripada pasangan mendapat seorang anak, 30 peratus kembar dua, 6 peratus kembar tiga dan kurang daripada 1 peratus lebih daripada tiga.
Menurut sumber ini lagi, bagi pasangan yang berhasrat memilih jantina anak pula, mereka akan dikenakan kos tambahan lebih kurang RM1,000.
Bagaimanapun, mereka perlu menjalani beberapa sesi kaunseling dan sedia mematuhi beberapa syarat tertentu untuk membolehkan kaedah tersebut diteruskan.
Ini untuk mengelakkan pasangan merasa terlalu kecewa serta berlaku pengabaian sekiranya jantina anak yang lahir tidak menepati kehendak.
Proses pemilihan jantina ini lebih berkesan berdasarkan pemilihan pasangan yang sesuai di samping kemudahan makmal yang canggih.
Sehingga hari ini, kaedah pemilihan jantina yang dijalankan di Pusat Kesuburan Damansara mempunyai rekod kejayaan yang tinggi iaitu 83 peratus.
2 July 2009 at 8:49 pm
salam ampaisei bleh x sy nak cpy artikel ni?nak letak kat blog sy?bleh ya..