SUATU ketika dahulu kebanyakan kanak-kanak pergi ke sekolah ketika berusia tujuh tahun dan menduduki Darjah 1. Sebelum itu, masa mereka dihabiskan di bawah jagaan ibu bapa, datuk nenek atau ahli keluarga yang lain.

Bagi kebanyakan kanak-kanak, tahun-tahun awal biasanya bebas bermain dengan saudara mara dan jiran, mempelajari perkara baru, memelihara binatang, mengembangkan hobi dan sebagainya.

Kebelakangan ini dalam banyak keadaan, kedua ibu bapa bekerja dan tugas menjaga anak diserahkan kepada orang lain, di mana sesetengahnya tidak menitikberatkan kepentingan kanak-kanak itu.

Apa yang lebih membimbangkan, ada kanak-kanak yang berusia tiga tahun telah dihantar ke sekolah.

Tidakkah kita terfikir bahawa kanak-kanak dalam usia yang begitu muda mungkin belum bersedia dari segi emosi untuk menghadapi pelbagai kesulitan di sekolah atau bentuk penjagaan harian lain?

Adakah mereka benar-benar dapat menghadapi trauma berhadapan dengan guru atau penjaga yang kurang bertimbang rasa, dibuli dan diganggu oleh rakan sepermainan dan menghadapi tekanan kerja?

Bagi kanak-kanak, bermain adalah naluri semula jadi mereka. Dari sinilah mereka berkembang. Untuk ini, mereka memerlukan persekitaran yang sesuai tanpa tekanan. Menolak mereka terlalu awal ke alam yang mereka sendiri belum bersedia boleh membantutkan pembesaran.

Kajian terbaru telah menunjukkan kanak-kanak yang menghabiskan tempoh yang panjang di pusat jagaan harian lebih cenderung menjadi agresif pada usia empat tahun. Mereka juga didapati menjadi penakut, pemalu dan penyedih berbanding dengan kanak-kanak lain. Adakah ini yang kita mahu pada anak-anak kita?

Barangkali kita tidak seharusnya terus menerima bulat-bulat trend semasa yang kita jalani. Kita mungkin perlu melihat semula secara serius keutamaan kita.

Pengorbanan dan penyesuaian perubahan hidup mungkin perlu dibuat, sama ada di peringkat atas yang membuat polisi atau dalam keputusan yang dibuat di rumah. Pengorbanan dan penyesuaian ini akan menjadi lebih mudah apabila kita telah memutuskan bahawa kebajikan anak-anak kitalah yang perlu diutamakan.

Kehidupan kanak-kanak adalah ibarat kain putih. Adalah penting asas emosi yang kukuh dibina awal dalam kehidupan untuk membolehkan mereka menghadapi cabaran di kemudian hari _ cabaran yang semakin hari menjadi semakin sukar.

Menghantar anak-anak keluar rumah untuk tempoh yang panjang dan terlalu awal mungkin mendatangkan kerosakan yang sukar diperbaiki.

- S.M. MOHAMED IDRIS, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.