Kalamullah
“WAHAI manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu, tidak ada sama sekali yang menjadikan sesuatu selain Allah. Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, mengapa kamu rela dipalingkan ( daripada menyembah-Nya.” (Faatir:3)

Huraian
Kita diajak berfikir untuk mengenang nikmat Allah yang banyak yang telah kita terima. Nikmat yang berupa rezeki sama ada dari langit dan bumi merupakan gambaran bagi kita, betapa besarnya kurniaan Ilahi terhadap manusia.

Sama ada kita sedar atau tidak, kehidupan kita tidak hanya terikat dengan rezeki yang berupa wang ringgit dan makanan.

Tempat tinggal, pakaian, kenderaan, keamanan, kedamaian, kesihatan, serta kawan-kawan merupakan rezeki bagi kita dalam meneruskan kehidupan maya ini.

Semua ini merupakan nikmat yang tidak ternilai bagi kita. Oleh itu kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan mengingati Allah dan berusaha untuk mencari keredhaan-Nya serta bukannya menjadi orang yang berpaling daripada menyembah-Nya. Allah Maha Mengetahui apa sahaja yang dilakukan oleh manusia.

Kesimpulan
Sekiranya kita ingin menghitung nikmat Allah, sejak dari permulaan hidup kita maka tidak akan terhitunglah nikmat dan rezeki kurniaan Allah terhadap kita.

Apakah kita sentiasa memikirkan rahmat Allah itu atau kita mengingkarinya. Oleh itu muhasabahlah diri kita dalam mengecapi nikmat-Nya.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).