Kalamullah
“DAN Allah menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada), kemudian Dia menyempurnakan tempoh umur kamu, (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua – kebudak-budakan) sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat berkuasa.” (an-Nahl:70)
Huraian
Kejadian manusia berperingkat-peringkat bermula dari alam roh, di dalam kandungan, bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, zaman tua dan lanjut usia.
Disebutkan bahawa peringkat-peringkat ini merupakan satu tabi`i kejadian manusia. Bagi sesiapa yang diizinkan Allah lanjut usianya akan sampai satu zaman di mana ingatannya akan ditarik sedikit demi sedikit sehingga lupa perkara yang dilakukan sebelumnya. Ia dikenali sebagai nyanyuk dan merupakan satu ujian bagi individu yang berada di sekelilingnya, yang terdekat terutama anaknya.
Allah menyebut perkara ini dengan jelas kerana di sana ada beberapa lagi ayat yang menyokong tentang peranan yang dimainkan oleh anak-anak untuk menjaga ibu bapa ketika hari tua.
Kita boleh melihat sendiri hari-hari yang dilalui oleh ibu bapa dan juga datuk nenek kita yang telah lanjut usia atau juga kita berhadapan dengan situasi datuk nenek yang telah nyanyuk. Ia menuntut satu pengorbanan daripada anak-anak dan cucu-cucu bagi meneruskan perjalanan hidup mereka. Tidak dilupakan, ada sebilangan mereka yang lanjut usia dihantar ke rumah orang-orang tua dan diuruskan oleh pihak berkenaan.
Kesimpulan
Ayat ini terlalu indah dan mendalam maknanya untuk difikirkan dan diamalkan oleh manusia. Ini kerana usia kita sebenarnya melalui banyak peringkat dan menuntut kita mempergunakan usia sebaik mungkin kerana kita tidak tahu sejauh mana kita diuji dengan usia ini.
– Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)