Oleh ABDULLAH YUSUF PULUNGAN

“SESUNGGUHNYA orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” (Al-Hujurat: 13)

Tatkala Nabi Daud a.s. sedang memberikan pelajaran akhlak kepada murid-muridnya, masuklah seorang lelaki yang memakai jubah putih, menyebarkan aroma yang wangi.

Lelaki yang berjanggut itu datang sambil mengucapkan salam kepada Nabi Daud, tetapi beliau tidak menghiraukannya dan juga tidak menjawab salam orang tersebut.

Nabi Daud a.s. tetap terus menyampaikan pelajarannya kepada murid-muridnya tanpa menoleh sedikitpun kepada orang yang baru masuk tersebut.

Lelaki yang berjubah putih itu segera melaksanakan sembahyang sebagaimana yang disyariatkan pada waktu itu. Dia melaksanakan sembahyangnya dalam waktu yang lama, dengan rukuk dan sujud yang panjang.

Setelah selesai melaksanakan sembahyang, orang itu berdoa dengan mengangkat kedua tangannya dan dengan suara yang penuh harap sambil menangis.

Nabi Daud tetap saja melanjutkan memberikan keterangan atas pelajaran-pelajaran yang diberikannya kepada murid-muridnya tanpa memberi sedikitpun perhatian kepada lelaki itu untuk berkenalan.

Dia juga tidak memberi sedikitpun kesempatan kepada murid-muridnya untuk mengambil perhatian kepada orang tersebut.

Melihat keadaan yang demikian, para muridnya merasa tidak enak dengan sikap Nabi Daud tersebut, dan mereka menganggap bahwa Nabi Daud tidak memberikan contoh yang baik dalam menghormati tamu.

Lelaki berjubah itu setelah selesai melakukan sembahyang dan berdoa yang panjang dengan penuh tangisan tersebut segera berdiri, lalu keluar dari tempat peribadatan tersebut, setelah terlebih dahulu meminta diri dengan mengucapkan salam.

Namun Nabi Daud a.s. tetap tidak menaruh hormat sedikitpun kepada orang tersebut. Semua muridnya merasa sangat hairan dan kasihan terhadap sikap yang diterima oleh lelaki asing yang berjubah dan alim tersebut.

Sesudah Nabi Daud mengakhiri pelajarannya tentang akhlak yang baik, maka salah seorang muridnya bertanya kepada beliau: “Wahai Nabi Allah, bolehkah saya bertanya. Bukankah Nabi telah mengajarkan kepada kami bagaimana cara untuk menghormati tamu.? “Betul,” jawab Nabi Daud a.s.

Murid tersebut melanjutkan pertanyaannya, “Tetapi mengapa engkau sebagai seorang guru tidak memberikan perhatian atau menghormati tamu yang datang pada waktu engkau sedang memberikan pelajaran?”

Nabi Daud menjawab, “aku tidak memberikan sedikitpun perhatian kepadanya kerana tamu itu tidak mempunyai akhlak yang baik. Apakah kalian tidak ingat bagaimanakah caranya memasuki majlis tatkala guru mengajar? Mula-mula kaki kanan melangkah terlebih dahulu sebagai tanda menghormati tempat ibadah ini. Kemudian dia sepatutnya tidak mengucapkan salam terlebih dahulu, melainkan langsung duduk ikut mendengarkan pelajaran.” Demikian penjelasan Nabi Daud.

Sopan santun

Salah seorang muridnya menyela, “mungkin tetamu itu belum mengetahui tatacara memasuki suatu majlis pengajian seperti ini.” Nabi Daud menjawab, “tetapi jubah dan serbannya menunjukkan seolah-olah dia itu orang alim. Apakah pantas jika memang dia itu orang yang alim, dia tidak mengetahui sopan santun dan tatacara memasuki tempat peribadatan dan majlis ilmu pengetahuan?

“Orang seperti itulah yang akan menjatuhkan agama kita, kerana penampilannya tidak sesuai dengan sikapnya dalam menjalankan agama.” Demikian penjelasan Nabi Daud kepada murid-muridnya.

Di antara muridnya ada yang bertanya, “tetapi kita melihat bahwa orang yang berjubah itu tadi telah menunaikan sembahyang lama sekali.” Nabi Daud menjawab, “Itulah tanda kepalsuannya. Dia hanya ingin menunjukkan kesolehannya kepada kita semua, padahal dia sebenarnya bukan orang soleh. Dia telah melakukan sembahyang untuk kita, bukan untuk Tuhan.”

Seorang lagi muridnya bertanya, “Tetamu tadi juga telah berdoa dengan doa yang panjang sambil menangis, bukankah itu menunjukkan kealimannya.” Nabi Daud menjawab: “Apakah doa yang panjang itu menjamin keikhlasan hatinya.? Bukankah Tuhan lebih menyukai doa yang khusyuk dan penuh keyakinan kepada-Nya. Kalau dia ingin menangis, tidak selayaknya di depan kita.

“Menangislah dengan penuh kesedihan di depan Allah ketika sendirian dalam sembahyang malam pada waktu semua makhluk sedang tidur dengan lelap sehingga mereka tidak melihat tangisan itu kecuali Tuhan.”

Ada yang bertanya lagi, “Bukankah wajahnya begitu bersih laksana wajah orang yang sangat ikhlas. Pakaiannya bersih serba putih melambangkan keikhlasan hatinya. Bukankah dia itu orang yang bertaqwa?”

Nabi Daud menjawab, “Taqwa itu tidak dilihat daripada rupa dan wajah seseorang, juga tidak dilihat daripada pakaiannya. Tuhan hanya melihat hati manusia dan menilai daripada amal perbuatannya, apakah amal perbuatan dan sikapnya sehari-hari sesuai dengan hukum-hukum syariat dan akhlak.

Manusia itu tidak dihargai daripada luarannya, melainkan dinilai daripada isi dan mutu kemanusiaannya yang diukur dengan pelaksanaanya terhadap hukum dan akhlak agama.”

Daripada penjelasan dan dialog Nabi Daud tersebut, barulah murid-muridnya mengerti bahawa sesungguhnya kita menghargai seseorang bukan daripada penampilan atau kehebatannya yang kadang-kadang memang dapat mengabui pandangan kita dalam menilainya, tetapi kerana cara berfikir, perbuatan dan akhlaknya dalam kehidupan sehari-hari.

Dalam sebuah hadis juga disebutkan: “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa penampilanmu, juga tidak melihat pada bentuk tubuhmu, tetapi Allah akan melihat dan menilai pada hati kamu”.

Daripada kisah dan dialog di atas dapat kita fahami bahawa penampilan, keturunan, atau gelar seseorang tidaklah menjamin ketaqwaan dan kesolehan seseorang. Oleh kerana itu kita tidak boleh taassub atau fanatik kepada seseorang hanya kerana penampilannya, atau kerana mempunyai banyak gelar yang disandangnya, atau kerana keturunannya dan lain sebagainya.

Sebagai seorang Muslim kita hanya boleh menilai seseorang hanya daripada ketaqwaan seseorang yang terlihat daripada sikap dan perbuatannya dalam menjalankan hukum syariat yang telah ditetapkan oleh al Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Selagi seseorang itu menjalankan hukum Allah dan mempunyai cara berfikir yang sesuai dengan hukum-hukam Allah dan sunah Rasulullah s.a.w., sehingga setiap ucapan dan sikapnya sesuai dengan nas al-Quran dan hadis, maka orang tersebut boleh kita ikuti dan taati.

Ketaatan kita kepada seseorang adalah ketaatan pada nilai-nilai kebenaran berdasarkan petunjuk al-Quran dan sunah Rasulullah.

Jika kata-katanya, pemikirannya, apalagi perintahnya tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam, apalagi jika melawan hukum Allah atau mempunyai nilai keingkaran dan kemaksiatan, maka sebagi Muslim kita tidak boleh tunduk atas perintahnya.

Dalam sebuah hadis disebutkan “Tiada kepatuhan pada manusia jika mengandungi unsur pengingkaran kepada Tuhan”.

Malahan dalam hal ini kita harus bersikap kritis untuk menegur orang tersebut sebagaimana dalam sebuah hadis disebutkan: “Sebaik-baik jihad adalah mengatakan yang benar di depan pemimpin yang zalim”.

Sekurang-kurangnya kita harus menolong orang tersebut daripada cara berfikir yang salah atau tindakannya yang melanggar nilai agama dengan memberikan nasihat atas kesalahannya, bukan malah mendukung setiap langkahnya hanya kerana rasa fanatisme kelompok, suku atau rasa hormat yang berlebihan atas gelar, keturunan, kehebatan super natural dan lain sebagainya.