Oleh DR. SULAIMAN MAHBOB
INTEGRITI adalah kewibawaan. Integriti juga boleh ditakrifkan sebagai keutuhan. Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak, tutur kata dan sopan santun.
Integriti berasal daripada bahasa Inggeris yang lebih kurang maknanya berpegang teguh kepada prinsip kejujuran serta mempunyai prinsip moral yang tinggi.
Namun demikian, istilah integriti telah juga digunakan dalam bidang-bidang lain. Misalnya dalam hubungan antarabangsa kita pernah menggunakan perkataan territorial integrity yang bermakna kedaulatan negara. Pihak jurutera juga ada menggunakan perkataan integriti pembangunan yang memberi makna pembinaan yang kukuh dan teguh dari segi perekaan, perancangan dan pembinaan struktur.
Saya juga pernah melihat istilah cellular integrity yang digunakan oleh ahli-ahli teknologi.
Kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada bulan April 2004 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan tujuan mencapai matlamat cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu, “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”.
Secara kasarnya integriti seseorang itu adalah manifestasi keperibadian dan tingkah lakunya setelah mengharungi dan mengalami proses pendidikan, pelajaran dan sosialisasi. Oleh itu, peranan keluarga, sistem persekolahan dan keadaan sekeliling boleh mempengaruhi integriti seseorang. Secara kasar juga integriti tidak boleh dikuatkuasakan menerusi undang-undang.
Walau bagaimanapun sistem perundangan dan peraturan-peraturan dan pentadbiran boleh membentuk peribadi seseorang juga dengan memastikan tindak-tanduk mereka adalah selaras dengan norma-norma masyarakat dan tidak melampaui batasan tertentu khususnya yang bersabit dengan kepentingan orang awam.
Sebagai contohnya etika kita memandu kereta boleh juga dipengaruhi dengan pematuhan kepada undang-undang jalan raya dan syarat-syarat pemanduan yang baik.
Usaha meningkatkan integriti perlu juga meliputi usaha memupuk budaya yang baik dan etika yang positif dalam segala bidang termasuk pekerjaan, perniagaan, penulisan, sukan dan sebagainya.
Integriti memerlukan kita mematuhi undang-undang negara dan syarat-syaratnya, dan menghormati sistem dan tatacara yang diwujudkan oleh institusi ataupun badan ikhtisas serta mengamalkan etika yang positif dalam kegiatan kita setiap hari yang dipupuk secara amnya oleh masyarakat ataupun dari sesebuah badan sukarela (NGO) yang tertentu.
Integriti juga boleh dikaitkan dengan sesebuah institusi, misalnya integriti institusi itu akan ditakrifkan sebagai sejauh mana kenyataan visi dan misi serta tadbir urusnya dan etika-etika tertentu diwujudkan dan diamalkan oleh setiap ahli institusi itu tidak kira sama ada ia merupakan satu badan sukarela, satu badan korporat mahupun jabatan kerajaan.
Dalam konteks Pelan Integriti Nasional, kerajaan bersama rakyat telah menetapkan bahawa dalam tempoh lima tahun yang pertama, lima sasaran telah ditetapkan iaitu, mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan; meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian awam dan mengatasi kerenah birokrasi; meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan; memantapkan institusi keluarga; dan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Ini adalah Tekad 2008 dan merupakan teras gagasan integriti ala negara ini.
Untuk menjalankan kegiatan-kegiatan yang menjurus ke arah pencapaian matlamat di atas Ketua Setiausaha Negara telah menetapkan enam institusi untuk mengambil tindakan serta-merta bagi merancang, melaksana dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan yang telah ditentukan di bawah Pelan Integriti Nasional.
Strategi
Agensi-agensi tersebut ialah; Kementerian Pelajaran, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Bagi agensi-agensi lain pula, mereka perlu mewujudkan strategi dan program yang bersesuaian dengan sektor-sektor berkenaan.
Pelan Integriti Nasional mementingkan lapan sektor dalam lapisan masyarakat berasaskan peranan mereka dalam membentuk budaya berintegriti di negara ini. Sektor-sektor ini meliputi keluarga, masyarakat, sosiobudaya, agama, politik, pentadbiran awam, ekonomi dan pertubuhan sivil.
Kegiatan-kegiatan mereka akan saling membantu dan memperkukuhkan antara satu sama lain supaya segala aspek kehidupan kita terangkai dalam jalinan membentuk masyarakat yang berintegriti dan menjadikan integriti budaya dan etika hidup mereka.
Pelan Integriti Nasional boleh melengkapkan peranan pelan pembangunan negara kita dari aspek ekonomi, infrastruktur dan pembangunan sumber manusia. Integriti akan memainkan peranan pelengkap dan penyempurna kepada rancangan-rancangan di atas dengan membantu mengukuhkan asas kemajuan negara dan pembangunan jangka panjang dengan cara membaiki perwatakan, minda, serta budi pekerti rakyat negara ini.
Kita hendak mengelakkan daripada wujudnya rakyat yang berpendapatan tinggi dan mempunyai kemudahan fizikal yang baik tetapi mengamalkan budaya yang jelik seperti memberi dan menerima rasuah, tidak patuh kepada undang-undang, tidak ramah mesra dan tidak menghormati kepentingan manusia sejagat dan akhir sekali tidak bertanggungjawab kepada masyarakat mahupun kepada diri sendiri (lihatlah masalah penghisap dadah).
Dalam konteks ini peranan agama adalah penting kerana ajaran agama sentiasa mengingatkan kita kepada aspek-aspek akauntabiliti atau kebertanggungjawaban dan menyeru kita kepada membuat perkara-perkara baik serta menghindarkan perkara yang mungkar.
Memandangkan bahawa integriti boleh meningkatkan pembangunan negara dan sumber manusia serta meningkatkan maruah bangsa, maka adalah sangat wajar setiap pemimpin masyarakat menerajui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional dalam sektor-sektor atau bidang-bidang di mana mereka terlibat secara langsung sebagai pemimpin mahupun sebagai ahli biasa.