Oleh: ZULKIFLEE BAKAR
SETIAP manusia di muka bumi Allah ini sudah pasti mempunyai perasaan kasih, sayang dan cinta. Melalui perasaan inilah ia mengukuhkan hubungan sesama manusia.
Sememangnya sudah menjadi ketentuan ada ketikanya sesuatu percintaan itu berakhir dengan perkahwinan dan ada pula yang berakhir dengan perpisahan.
Namun apa yang meresahkan kita sejak kebelakangan ini, institusi perkahwinan dilihat semakin rapuh. Dalam sesetengah kes, perkahwinan bukan lagi dianggap satu ikatan suci yang perlu dipertahankan.
Akibatnya dari semasa ke semasa, jumlah perceraian dan keruntuhan rumah tangga semakin meningkat, seribu satu alasan menjadi penyebab runtuhnya ‘masjid-masjid’ ini.
Kesibukan tugas, tiada persefahaman, campur tangan keluarga dan semakin lunturnya kasih sayang antara suami dan isteri sering kali menjadi alasan berakhirnya sesebuah perkahwinan.
Mungkin kalau kita mengkaji peraturan perkahwinan di negara ini, rasa-rasanya Malaysia mempunyai peraturan paling banyak dalam soal itu terutamanya untuk umat Islam.
Langkah mewajibkan pasangan yang ingin berkahwin mengikuti kursus mungkin dianggap tindakan terbaik untuk mengelakkan perceraian tetapi persoalannya berjayakah tindakan itu?
Sebenarnya aturlah berpuluh pun kursus atau beratus seminar mengenai perkahwinan ia tidak akan bermakna jika pasangan yang ingin berkahwin tidak mempunyai asas agama.
Perceraian tidak akan berlaku jika pasangan itu tahu hukum-hukum agama, sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda;
Barang siapa yang menikahi seorang wanita kerana kedudukannya, maka Allah tidak akan menambahkan baginya kecuali kehinaan. Barang siapa yang menikahi seorang wanita kerana kekayaannya, maka Allah tidak akan menambahkan baginya kecuali kefakiran.
Barang siapa yang menikahi seorang wanita kerana kemuliaan nasabnya, maka Allah tidak akan menambahkan baginya kecuali kerendahan.
Dan, barang siapa yang menikahi seorang wanita dan ia tidak menginginkan kecuali supaya dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluannya atau menyambung tali silaturahim, maka Allah akan memberkati mereka berdua.
Dari hadis di atas, ada perkara penting yang dapat dijadikan petunjuk bagi umat Islam yang hendak membangunkan rumah tangga.
Pertama, sebuah rumah tangga akan diberkati Allah atau tidak, salah satunya disebabkan oleh bagaimana niat awal dalam membangunkan rumah tangga tersebut.
Niat yang tidak benar menyebabkan rumah tangga yang dibangunkan bukan sahaja akan jauh daripada keberkatan Allah bahkan dapat menyebabkan rumah tangga terkandas di tengah jalan.
Sebaliknya, rumah tangga yang dibangunkan dengan niat benar, di antaranya untuk lebih menjaga kesucian diri dan menyambung persaudaraan, maka keberkatan Allah akan diraihnya dan kelangsungan rumah tangga dapat terus dijaga.
Dalam bahasa al-Quran, pernikahan disebut sebagai mitsaqan ghalizha (perjanjian yang kuat dan sangat berat).
Atas sebab itulah Allah dan rasul-Nya melarang pernikahan dijadikan sebagai main-main. Rasulullah melarang pernikahan yang bersifat kontrak atau sementara. Bahkan, perceraian pun merupakan sesuatu yang boleh dilakukan tetapi dibenci oleh Allah.
Justeru dalam keadaan kita terlalu bangga kerana berada dalam dunia serba canggih ini, kita tidak seharusnya melupakan ancaman yang sedang dihadapi oleh institusi perkahwinan di negara ini.
Apalah gunanya kita merancang pelbagai langkah bagi memajukan negara atau melaksanakan pelbagai projek besar sedangkan institusi yang bakal menjadi penentu kepada perkembangan generasi akan datang berada di ambang kehancuran.
Isu kerapuhan perkahwinan bukan isu picisan, apatah lagi isu sampingan tetapi ia adalah isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Kita sudah bosan mendengar apabila ada di antara kita yang berhadapan dengan krisis rumah tangga memberi alasan sibuk untuk membincangkan perkara itu kerana komitmen lain.
Jika difikirkan semua itu adalah alasan yang tidak munasabah, tidakkah mereka ketahui perkahwinan adalah perkara kedua selepas soal hidup dan mati manusia.
Apakah kesibukan urusan dunia sehingga kita lupa bahawa perkara yang antara lain mampu membantu kita di akhirat dipinggirkan begitu sahaja.
Allah berfirman dalam surah ar-Ruum ayat 21 yang bermaksud;
Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya, Dia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.
Tetapi persoalannya adakah mereka yang berhadapan dengan masalah perkahwinan ini memikirkan firman Allah ini atau mereka merasakan perceraian itu adalah perkara biasa dalam sebuah pernikahan.
Kalau itulah tafsiran mereka ia adalah sesuatu yang malang bagi umat Islam. Apa yang lebih malang lagi ketika umat Islam semakin bimbang dengan kerapuhan perkahwinan yang berlaku ada pula di antara kita lebih selesa untuk memperjuangkan soal poligami yang kononnya dianggap hanya akan memberi kesengsaraan kepada wanita.
Mereka ini lebih banyak berdebat soal wajar atau tidak poligami yang sememangnya dibenarkan oleh Allah untuk lelaki yang mampu.
Setiap perkara mengenai poligami akan diperincikan kononnya bagi memastikan hak kaum wanita tidak terjejas, tetapi apa yang menghairankan tidak pula golongan ini bercakap soal krisis rumah tangga dan bagaimana untuk mengelakkan perceraian yang semakin hari semakin meningkat.
Apakah kita sudah dikaburi sehingga kita tidak tahu membezakan yang mana lebih penting antara poligami dan mempertahankan sebuah perkahwinan?
Kenapakah poligami yang dihalalkan oleh Allah dianggap terlalu penting untuk dipersoalkan sedangkan ancaman perceraian dipinggirkan?
Tidakkah golongan yang menentang poligami ini memahami bahawa selagi kita bernama manusia selagi itulah perasaan kasih, sayang dan cinta akan terus bersemadi?
Tidak ada cinta abadi antara sesama manusia, cinta abadi hanya untuk Allah, justeru kalaulah ada lelaki yang ingin berpoligami anggaplah itu kerana terwujud perasaan cinta sesama insan.
Kenapa perlu perasaan itu dihalang, disekat dan dihapuskan kononnya atas alasan bagi mengelakkan wanita teraniaya, apatah lagi ‘sebuah’ poligami terwujud kerana kerelaan wanita juga.
Justeru itu adalah lebih baik tumpuan kini diberikan bagi mengelakkan keruntuhan rumah tangga terus berlaku.
Ini termasuklah mengkaji semula modul kursus yang diadakan apakah ia sekadar pelengkap kepada sebuah peraturan atau benar-benar dijadikan landasan bagi membina sebuah rumah tangga yang bahagia.
Itulah perkara pokok yang harus diberikan penekanan sekarang, kita tidak mahu perkahwinan sekadar menjadi tempat untuk memuaskan nafsu secara halal dan kononnya pengakhir sebuah kisah percintaan.
Perkahwinan perlu dilihat dalam skop yang lebih luas terutamanya dalam melahirkan generasi yang beriman dan bertakwa.
Ia selaras dengan firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 1 yang bermaksud;
Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada kedua-duanya banyak lelaki dan perempuan…
Ayat di atas dengan jelas menunjukkan betapa pentingnya sebuah perkahwinan tidak kira sama ada dalam konteks perkahwinan pertama atau poligami.
Apa yang penting mereka yang mahu berkahwin itu memahami erti sebenar sebuah perkahwinan.
Oleh itu masanya sudah tiba untuk semua pihak memandang serius masalah keruntuhan perkahwinan yang berlaku sekarang.
Jangan biarkan kita melahirkan generasi yang pincang akibat masalah tersebut. Mempertahankan sebuah perkahwinan adalah satu jihad yang perlu disemai dalam sanubari semua insan yang bernama hamba Allah.
Semoga kemajuan yang kita nikmati sekarang tidak sampai melalaikan kita terhadap institusi perkahwinan.