TIDAK terasa semusim yang berlalu, kini Ramadan di ambang menyemarak kalbu. Hari ini sudah 14 hari kita bersama-sama menunaikan ibadat puasa di bulan al-Mubarak yang hadirnya membawa rahmat dan keampunan Yang Maha Kuasa.

Justeru, janganlah dilepaskan tangan Ramadan, melainkan untuk memilih pimpinannya untuk kita mendapat kebaikan menuju ganjaran besar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Janganlah dibiarkan Ramadan hadir dan berlalu begitu saja tanpa kita terima ketibaannya dengan dada yang berisi keriangan, rasa penuh kesyukuran dan amalan yang sepenuh ketulusan ke hadrat Ilahi.

Ramadan bulan kemuliaan, petiklah kuntum-kuntum kemuliaan itu dengan mempertingkatkan azam serta iltizam dalam menyempurnakan bulan al-Mubarak ini dengan amal ibadat.

Ramadan bulan kebajikan dan ihsan, suntinglah nilai tinggi kehidupan bermasyarakat ini dengan menjana usaha penggilapan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Ramadan bulan meningkatkan keimanan dan takwa, terokalah bulan kurniaan Allah ini dengan taqarrub dan kerundukan hati kepada-Nya.

Pada bulan al-Mubarak ini hendaknya menjadi wasilah untuk kita terus merebut syafaat yang bakal dihadirkan oleh bulan al-Quran ini.

Rasulullah s.a.w. merakamkan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad, mafhumnya:

”Dari Abdullah bin Umar r.a. ia berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat bagi hamba pada hari kiamat.

Berkata al-Quran: ”Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”. Maka syafaat itu diterima oleh Allah s.w.t.

Di tengah gegak gempita yang amat dahsyat nanti apakah yang paling diharapkan lagi, kecuali renjisan syafaat daripada Yang Maha Kuasa.

Kiamat menandakan telah berakhir segala amal, kerana dunialah sahaja tempat menanam untuk menuai di akhirat.

Kepada hamba yang beramal dengan penuh keikhlasan, maka ini ketikanya untuk menikmati amal tersebut, yang mana ia akan diperhitungkan bagi mendapat ganjaran atas kasih Ilahi.

Hamba yang taat dengan perintah Allah dengan melaksanakan puasa Ramadan, tidak akan dibiarkan sendirian. Puasa yang dilaksanakan dengan imanan wahtisaban inilah yang akan memimpin tangan kita sebagai syafaat dan pembela kepada pengamal ibadat ini.

Demikianlah, keistimewaan dan kebaikan yang bakal diraih oleh golongan yang berpuasa. Apakah lagi yang lebih dirindukan oleh seorang hamba, selain daripada kesejahteraan di Hari Kemudian.

Justeru, di sanalah kelak akan menjadi kehidupan yang abadi, setelah melewati hari-hari yang sementara di dunia.

Oleh itu, kehidupan di dunia sewajarnya dimanfaatkan dengan suatu yang boleh menguakkan pintu kebahagiaan di akhirat kelak. Langkah tersebut ialah dengan menyemarakkan pancaran kemakrufan dan aktiviti yang boleh mendekatkan diri ke hadrat-Nya.

Melaksanakan kewajipan berpuasa dan memenuhi agenda amal-amal sunat yang ganjarannya berganda pada bulan yang penuh keberkatan ini, sudah tentu jalan menuju taqarrub dan takwa ke hadrat-Nya.

Ini juga langkah membuka tirai kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kerana puasa, di dunia lagi ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan individu dan umat, apatah lagi di akhirat, yang mana amalan seumpama ini hanya Allah s.w.t. yang bakal menyediakan ganjaran atas ihsannya.

Antara balasan ialah syafaat yang bakal diperoleh daripada ibadat ini pada hari kiamat kelak.

Sayugialah, gerbang Ramadan dijejaki dengan langkah mempertingkatkan amal ibadat dan amal-amal soleh yang lain.

Malanglah bagi sebuah kehidupan yang setiap musim bertemu di ambang yang penuh keberkatan ini, tetapi tidak ada yang dapat dilakukan untuk membangunkan diri, apatah lagi bagi membina Ramadan dengan mujahadah untuk mendapat segala rahmat, keampunan dan kesejahteraan yang boleh didapati daripada bulan yang barakah ini.

Rahmat dan maghfirah Tuhan hadir bagi hamba-Nya yang menyempurnakan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sebuah sabdanya yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud:

”Sesiapa yang melaksanakan puasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.

Oleh: ARIFFIN ARIF