Kita telah melangkah ke permulaan tahun demi dan ini bererti bahawa kita akan berada di abad ke-21.
Apabila kita membuat sorotan terhadap setahun yang lalu untuk menilai kembali prestasi yang kita capai selama ini, pada umumnya keadaan umat Islam di seluruh dunia diwarnai dengan pelbagai krisis dalam segenap bidang, perpaduan di kalangan umat Islam tergugat di sana sini, perpecahan berleluasa, nilai-nilai murni sering diabai dan budaya murahan dan tidak bermaruah merupakan sindrom yang sangat berbahaya.
Satu perkara yang jelas selama setahun yang lepas umat Islam dilanda dengan berbagai-bagai cabaran dan krisis. Oleh itu adalah sangat elok kita memulakan tahun baru ini dengan keazaman yang kuat untuk membuat persediaan dan persiapan yang kukuh bagi menghadapi cabaran dan krisis tersebut supaya ia dapat diku-rangkan pada tahun ini dan pada tahun-tahun mendatang.
Persediaan yang sangat penting ialah dari segi ilmu pengetahuan dan sikap kita. Untuk itu kita perlu melakukan perubahan sikap secara menyeluruh, bersepadu dan berimbang. Perubahan sikap tidak dapat digerakkan melainkan dimulai dengan berusaha memperoleh ilmu pengetahuan yang cukup tentang Islam.
Islam berpendapat bahawa kehadirannya di dunia ini adalah bertujuan untuk mengubah masyarakat (annas) dari berbagai-bagai kegelapan kepada cahaya, dari zulumar kepada annur sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim, ayat 1,
Alif lam ra (ini adalah) kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha terpuji.
Dari ayat di atas jelas bahawa Islam adalah agama yang mahukan perubahan dalam masyarakat. Ia diturunkan bukan untuk memperakui status quo masyarakat jahiliah, tetapi kedatangan untuk memperbaiki masyarakat tersebut dari pelbagai kegelapan atau kezaliman (zulumat).
Seterusnya, menurut al-Quran bahawa kedatangan Islam adalah untuk membawa perubahan dan pembangunan (taghyir dan takmir). Prinsip perubahan ini ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran, surah al-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud,
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan mereka.
Oleh itu, Islam berpendapat bahawa perubahan dan pembangunan sosial hendaklah bermula dengan perubahan individu. Setelah itu dengan secara beransur-ansur pula perubahan individu ini hendaklah diikuti dengan perubahan institusi, organisasi dan ummah.
Selanjutnya, Islam telah memberi garis panduan bagaimana perubahan individu itu perlu dimulakan. Islam telah menetapkan perubahan itu hendaklah bermula dengan peningkatan dimensi intelektual (ilmu pengetahuan tentang agama Islam), Kemudian ideologikal (aqidah dan keimanan), dan diikuti dengan dimensi ritual dan dimensi sosial.
Dalam Islam solat selalu dikaitkan dengan kehidupan bermasyarakat, seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud:
Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan munkar. Dalam ayat itu menjelaskan bahawa solat itu mampu mencegah perbuatan-perbuatan keji dan munkar.
Solat juga selalu dikaitkan dengan zakat dalam menangani masalah resah gelisah, kedekut dan lain-lain yang dihadapi oleh manusia sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Ma’arij, ayat 19-26 yang bermaksud.
Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat resah gelisah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta) dan orang-orang yang percaya hari pembalasan.
Selain dari itu, perlu juga ditegaskan di sini bahawa Islam juga berpendapat bahawa kelemahan dan kemunduran umat Islam bukan hanya disebabkan oleh kejahilan tentang pengajaran Islam, tetapi juga disebabkan oleh kepincangan struktur ekonomi dan sosial sebagaimana firman Allah s.w.t dalam al-Quran, surah al-Fajr, ayat 17-20 yang bermaksud:
Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampuradukkan (yang halal dan yang haram) dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.
Oleh itu, Islam menegaskan supaya kekayaan tidak tersebar di kalangan orang kaya sahaja, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hashr, ayat 7 yang bermaksud Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.
Sebagai persediaan kita umat Islam dalam menghadapi permasalahan pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang maka setiap pihak berkewajipan mengemukakan fikiran yang objektif bagi mengatasi masalah yang wujud dan boleh dianggap sebagai penghalang bagi melahirkan masyarakat ”Khayra ummah”.
Semua pihak berhasrat supaya masyarakat yang ingin diwujudkan adalah sebuah masyarakat yang maju de-ngan pengetahuan agama dan mengamalkan nilai-nilai agama dan etika yang kuat, begitu juga mempunyai keyakinan diri dan maju dari segi ekonomi dan pembangunan material dan fizikal.
Bagi memastikan kejayaan memartabatkan umat Islam, penglibatan semua pihak umat Islam dalam bidang masing-masing adalah sangat-sangat diperlukan. Ia hendaklah dijalankan secara bersepadu oleh segenap lapisan masyarakat, kerana ia adalah tugas berat yang perlu dipikul bersama oleh semua umat Islam.
* PROF. MADYA DATUK DR. ABDULLAH MUHAMMAD ZIN ialah Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.