Kehidupan manusia di atas muka bumi ini perlu ada keseimbangan di antara kehendak rohani dan jasmani. Tumpuan kepada rohani semata-mata boleh meruntuhkan kekuatan bekerja seseorang. Tuhan sebenarnya tidak suka hamba-Nya mengislahkan diri daripada pekerjaan dan urusan-urusan keduniaan.
Apabila kualiti dalam kerja terlaksana dan dipraktikkan sebagai amalan harian, maka ia akan membentuk satu budaya kualiti yang menyeluruh dan berkekalan dalam sesebuah organisasi. Budaya ini lahir daripada manifestasi nilai, sikap dan amalan. Ia merupakan satu set kefahaman utama yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Perlakuan yang sama oleh anggota organisasi ini akhirnya akan menjadi perlakuan khas yang dimiliki bersama oleh sesebuah masyarakat.
Budaya kerja cemerlang yang menjadi amalan kerja bersama ini perlu dihayati dan diperkukuhkan dengan sistem, proses, prosedur, peraturan yang jelas dan mudah dilaksanakan. Ia perlu dimulakan oleh peringkat atas pentadbiran organisasi, seterusnya diturun dan diimplementasikan di kalangan pengurusan eksekutif atau pertengahan dan seterusnya diamal dan dihayati oleh pekerja bawahan.
Persoalan kualiti kerja dalam Islam ini berkait rapat dengan mencapai kecemerlangan. Dalam Islam, kecemerlangan ini merujuk kepada mardhatillah (keredhaan Allah). Ia tidak sekadar diukur mengikut pertimbangan utilitarian semata-mata berasaskan konsep sekular. Teras kepada kualiti dan kecemerlangan ini adalah pembinaan sahsiah yang unggul.
Di samping itu mereka perlu melakukan sesuatu tugasan atau kerja dengan lebih komprehensif dan lebih besar ruang lingkup dari apa dikehendaki melalui konsep ihsan (berbuat baik). Sebagai contoh seseorang pekerja yang diarahkan membuat laporan ringkas tentang sesuatu projek membuat lebih daripada apa yang disuruh dengan menyediakan laporan yang komprehensif dan padat dalam bentuk yang menarik.
Dalam hal ini konsep ihsan iaitu berbuat baik dan berakhlak patut diamal dengan membuat sesuatu bukan berdasarkan ganjaran dan upah, tetapi mengharapkan ganjaran pahala, ketenangan fikiran, kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan lain-lain lagi.
Kita biasa mendengar orang mengucapkan `terima kasih, semoga panjang umur, semoga murah rezeki, semoga Tuhan merahmati anda’ tetapi jarang kita memikir dan mengambil iktibar daripada kata-kata itu. Ini juga sebenarnya adalah bentuk ganjaran yang tidak nampak tetapi kita merasai kenikmatannya, misalnya dalam kesempitan wang, tiba-tiba rezeki yang tidak disangka-sangka diterima.
Seharusnya kita bersyukur dan bekerja dengan sebaik mungkin dan dengan kualiti yang terbaik. Kita perlu sentiasa memberi tanpa mengharapkan balasan berbentuk material. Sekiranya ini diamalkan, sudah tentu kita dan masyarakat tidak akan sekali-kali terjerumus perbuatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Ini kerana kita mengharapkan balasan dan rezeki daripada Tuhan, bukannya ganjaran daripada manusia yang bersifat sementara dan tidak kekal.
Bagi orang Islam, Nabi Muhammad s.a.w. adalah qudwah hasanah (ikutan yang baik), yang melebihi kecemerlangan. Justeru, melakukan tugas secara cemerlang, cekap dan mahir seharusnya menjadi tanggungjawab setiap orang Muslim.
Seseorang Muslim juga hendaklah bermuhasabah tentang apa yang telah dilakukannya pada hari ini dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan kerjanya dan seterusnya melakukan yang lebih baik pada keesokan harinya.
Nilai dan budaya kerja berkualiti ini memerlukan undang-undang dan peraturan yang betul serta jelas, program yang tersusun dan sistematik dan pelaksanaan yang betul berdasarkan peraturan dan program yang telah disusun dalam sesebuah organisasi.
Selain itu, perkara yang tidak kurang penting dari segi kerjasama setiap anggota organisasi untuk mencapai matlamat nilai kualiti dan budaya kerja cemerlang yang diimpikan. Dengan itu akan lahirlah manifestasi dalam bentuk produktiviti yang meningkat, kos minimum, keuntungan maksimum, kesegeraan dan ketepatan masa selaras dengan standard dan piawaian yang ditentukan oleh organisasi.
Sebagaimana yang diperkatakan oleh Yusuf Qaradhawi mengenai kualiti kerja iaitu seseorang Muslim itu takut masanya akan berlalu dari tangannya, sedangkan dirinya dalam keadaan kekosongan tanpa sempat melakukan sebarang pekerjaan. Oleh sebab itu, dia tidak akan menunda pekerjaannya sehingga keesokan hari, sebab pekerjaan yang lain telah menunggu pada hari tersebut. Orang Muslim juga sentiasa bercita-cita untuk menjadikan harinya lebih baik dari hari kelmarin dan hari esoknya adalah lebih baik dari hari ini.
* Fadillah Mansor ialah Pensyarah Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.