Di celah-celah kehidupan

Walaupun nampak pada dasarnya masalah gadis-gadis belum berumah tangga ini tidaklah begitu berat penanggungannya untuk difikirkan, namun sebelum kita dapat mengorek atau menyelami apa sebenarnya yang tersimpan dalam jiwa mereka, maka selama itulah kita tidak boleh mendakwa masalah mereka tidak berat.

Saya paparkan masalah anak-anak gadis andartu ini setelah beberapa kali menerima panggilan telefon daripada seorang gadis yang cuma mahu menamakan dirinya sebagai Sal sahaja dari negeri Johor. Katanya, dia sudah lama menyimpan masalah ini tetapi tidak ada siapa yang mahu mendengar pandangannya.

Sebaliknya ramai yang mendakwa andartu tidak ada masalah kerana mereka hidup sebatang kara, tidak ada beban tanggungan dan tidak ada siapa yang mesti mereka fikirkan.

Namun Sal mempunyai pandangannya yang tersendiri. Katanya hanya andartu sepertinya sahaja yang memahami masalah mereka, khususnya yang telah berusia hampir 50 tahun atau lebih 40 tahun, tetapi tidak mempunyai ibu bapa lagi.

“Masa ada ibu bapa kita ada tempat untuk bergantung dan berlindung hidup, tetapi setelah tua, tetapi masih tidak ada teman hidup dan tidak ada anak, kepada siapa kita harus mengadu dan membawa diri?

“Saya rasa nasib ibu-ibu tunggal lagi lebih baik daripada kami andartu. Kami bukan tidak mahu kahwin, tetapi jodoh pertemuan telah ditentukan oleh Allah. Tidak ada siapa yang tidak mahu kahwin, cuma yang berbezanya dalam usia begini mereka mahu menjodohkan kita dengan lelaki yang sudah tua, mempunyai anak dan cucu yang ramai.

“Saya rasa itu adalah satu perbuatan yang tidak baik. Tujuan mereka seakan-akan mahu masukkan kita ke mulut harimau. Sebagai manusia kita juga mahu mempunyai keluarga sendiri dan ada anak. Apa boleh buat… jodoh kita lewat dan terus terlewat hingga berusia dekat 50 tahun. Kalau nak kahwin memang kita tidak boleh mempuyai anak sendiri, jadi kalau untuk kahwin semata-mata untuk menjaga anak cucu orang kita rasa kita sudah tidak termampu lagi, kita sudah tua.

“Sebab selama ini kita sudah membuang masa dan tenaga kita membantu ibu membesarkan anak-anak hingga mereka bersekolah tinggi dan akhirnya mempunyai keluarga sendiri. Kini kita tidak mempunyai ibu bapa lagi. Sudah tentu kita terpaksa menumpang di rumah adik-adik dan menjaga anak-anak mereka, kita tahu nasib kita tidak akan sampai ke mana.

“Bayangkanlah ada sesetengah anak-anak ibu bapa mereka sendiri pun mereka tak boleh jaga terutama setelah mereka tua, inikan lagi kita cuma bersaudara. Kita mungkin cuma diperlukan semasa tenaga kita masih kuat, boleh membantu mereka, setelah itu apa akan jadi kita tidak tahu. Apakah hayat kita akan dihabiskan di rumah kebajikan atau di mana.

“Saya tak katalah adik-beradik saya, tetapi inilah kenyataannya terhadap andartu lain yang seusia saya, mereka juga melahirkan pandangan yang sama, malah mereka mendakwa, tenaga mereka cuma diperlukan semasa masih ada tenaga dan ketika anak-anaknya masih kecil, setelah itu nasib kita akan terumbang-ambing kerana sudah tidak berguna lagi.

“Sebenarnya apa yang saya katakan ini tidak melibatkan nasib andartu yang bekerja tetap yang jadi pegawai, eksekutif dan berpendapatan tetap. Tetapi apa yang saya lahirkan ini adalah berdasarkan kepada kami golongan andartu yang sudah tua dan tidak ada pekerjaan tetap.

“Sebabnya sebagai anak-anak yang tua, dulu kita banyak membantu ibu membesarkan adik-adik, akhirnya kita sendiri tidak bersekolah tinggi dan sudah pastilah tidak bekerja. Bila masa berlalu, kita akhirnya jadi anak dara pingitan. Akhirnya kerana tidak pernah berpeluang jumpa orang maka kita pun lambat kahwin kini kita terpaksa hidup sendirian. Bila ibu sudah mati kita terpaksa menumpang di rumah adik-beradik yang mana sesuai. Tetapi sampai bila?

“Kalau boleh kerajaan tolong kami golongan andartu ini, kalau golongan ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu tinggal boleh dan diberikan perhatian, mengapa abaikan kami? Kami pun manusia, kami pun menyokong kerajaan, biar setiap hari parti pembangkang bergilir ganti mengadakan ceramahnya, tapi kami orang selatan tetap sokong kerajaan, tetap setia pada kerajaan, sebab kami tahu perjuangan mereka.

“Ada orang kata mengapa tak bekerja di kilang dan sebagainya, sebenarnya bukan kami tak mahu. Pernah dua tiga orang rakan senasib saya mencuba nasib bekerja di kilang, tetapi mereka terpaksa berhenti. Pertama sesetengah kilang tak sukakan kami bekerja sebab sudah berumur lebih. Kedua kami sendiri merasakan tidak sesuai bekerja dengan remaja dan gadis-gadis muda.

“Sebabnya perbezaan umur, budak-budak muda itu tak sukakan kami, sebab kerja kilang duduk bersama, jadi mereka tak seronok kalau kami melihat kelakuan mereka yang kurang baik, dan mereka sendiri suka mencemuh kami. Akhirnya kawan-kawan saya terpaksa berhenti kerja. Inilah sebabnya kami tak mahu kerja kilang, sebab bukan sahaja kilang tak terima kami, kami pun tak sesuai benar bekerja berganding bahu dengan anak muda, sebab kami tak dapat sesuaikan diri dengan mereka yang tengah muda belia itu.

“Kalau boleh kami mencadangkan kerajaan mengadakan sebuah projek perumahan khas untuk kami golongan andartu yang tak bekerja ini, memberikan kami rumah PPRT ke, rumah panjang ke ataupun beri kami rumah murah. Sebab kami di selatan ini tidak boleh membeli rumah murah, pertama sebab tak bekerja, kedua mereka utamakan ibu tunggal.

“Sebenarnya kami tak mahu ditempatkan di rumah-rumah orang tua. Tapi kalau kami ditempatkan di rumah panjang atau PPRT itu mereka bolehlah mencarikan peluang pekerjaan kepada kami. Kami mungkin boleh diajar membuat kraf tangan dan sebarang pekerjaan di mana tenaga kami masih boleh digunakan.

“Berbalik kepada masalah saya dan ibu-ibu tunggal ataupun ibu-ibu tinggal, mereka pada pandangan saya lebih bernasib baik daripada kami golongan andartu yang tidak bekerja ini. Sebabnya mereka sudah ada aset, kalaupun bukan harta benda mahupun kekayaan, tetapi ada anak-anak yang boleh dijadikan aset mereka pada hari tua.

“Contohnya mereka boleh hidup dengan sempurna dan tenteram apabila hari tua mereka ada anak-anak yang boleh menjaga mereka di samping menyara. Tetapi kami golongan andartu tak bekerja ini, kepada siapa kami mahu mengadu?

“Dalam pada itu ada juga orang khususnya jiran sekampung dan jiran setaman yang bertanyakan kami kalau bimbang tak ada orang nak jaga semasa tua dan sakit-sakit nanti, mengapa tak pelihara anak-anak angkat, mungkin mereka boleh bantu.

“Untuk menjawab soal mereka amat mudah. Bayangkan sedangkan untuk meneruskan hidup, makan minum dan pakaian kami diganti oleh adik-beradik, di manakah logiknya kami boleh menjaga anak-anak angkat, siapa yang nak bagi makan minum, pakaian dan persekolahan mereka nanti? Mahukah adik-beradik membantu, sedangkan mereka sentiasa sesak dengan anak-anak mereka. Dan kami golongan andartu ini tak mahu menyusahkan mereka.

“Sebenarnya apa yang saya luahkan ini bukan semata-mata curahan hati saya sahaja, tetapi juga luahan hati orang lain yang segolongan dengan saya juga. Malah nasib mereka lebih teruk lagi. Kami juga ingin mencadangkan kalau boleh ditubuhkan persatuan andartu. Kalau ibu-ibu tunggal ada persatuan mengapa kami tak boleh. Kami lebih terdesak lagi.

“Kami tahu tenaga kami masih boleh digunakan oleh kerajaan, daripada mengimport banyak pekerja dari luar negara, kami juga boleh bekerja mengikut kemahiran dan kebolehan masing-masing, cuma masa, tempat dan waktunya sahaja yang boleh dirancangkan mengikut kesesuaian seseorang itu di samping melihat kepada minatnya.

“Terus terang juga tidak ada kalangan kami yang mahu menjadi isteri yang tugasnya hanya membesarkan anak-anak tiri dan menjaga cucu-cucu sahaja. Sebab kami sudah kehabisan tenaga selama ini. Dan pasti anak-anak tiri tidak suka mempunyai ibu tiri yang cuma duduk lain daripada yang mereka harapkan. Dan kami tak mahu dituduh pemalas sebab kami sudah tua, cepat penat.

“Kami mengharapkan hasrat kami ini benar-benar menjadi sebuah kenyataan. Pembaca jangan mentertawakan cadangan kami ini, sebab keadaan ini berlaku banyak berpunca daripada kurangnya jumlah lelaki yang sesuai dijadikan suami.

“Kerana seperti kita semua sedia maklum, zaman ini telah ramai jumlah pemuda lulusan pusat serenti, tidak kurang juga yang sudah jadi zombi yang hidup mereka berkeliaran menunggu matinya sahaja. Jadi masalah kami jadi andartu ini… janganlah persalahkan kami semata-mata. Banyak sebab mengapa perkara ini boleh berlaku.

“Saya tidak memandang masalah andartu ini sekarang sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu, dan saya mengakulah apa yang saya katakan ini adalah curahan rasa dari hati saya sendiri dan disokong oleh beberapa orang teman andartu senasib saya,” demikian cerita Sal panjang lebar tentang masalah yang dihadapinya.

Kita yakin bukan Sal seorang saja yang melalui masalah hidup sepertinya, malah lebih ramai lagi cuma seperti kata Sal, sehingga ini tidak ada orang yang mahu menceritakan masalah mereka berterus terang dan tidak ada orang mahu memulakan langkah kerana malu.

Sebenarnya untuk memulakan sesuatu langkah itu memang berat dan banyak halangannya. Tetapi ia akan menjadi lebih mudah apabila ada sebuah kumpulan yang sanggup berusaha.

Seperti ketika Persatuan Ibu Tunggal ingin saya tubuhkan beberapa tahun dahulu, ramai yang memandang serong niat suci saya mengusulkan penubuhan persatuan itu. Ada yang mendakwa saya mahu menyamakan dengan persatuan wanita Barat. Tidak kurang juga yang mencemik bila menyebut Persatuan Ibu Tunggal. Tetapi sekarang kita lihat ramai wanita berani mengatakan mereka ibu tunggal dan menyertai persatuan tersebut.

Untuk memulakan memang susah, pelbagai kutukan didengar, tetapi sekarang Persatuan Ibu Tunggal semakin banyak kita dengar berkembang di seluruh negara. Ia sudah jadi biasa. Dan banyak ibu tunggal dan anak-anak mereka sudah mendapat faedah. Kini kita tanya siapa yang mahu memulakan Persatuan Andartu?