MUKADIMAH
RANG Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 telah diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember lalu. Namun selepas lebih seminggu berlalu, cakap-cakap tentangnya masih terus kedengaran. Paling mendapat perhatian ialah isu poligami dan harta sepencarian.
Bagi kumpulan mewakili golongan wanita, dakwaan berbangkit ialah pelaksanaannya hanya lebih memudaratkan masa depan golongan wanita itu sendiri. Dalam bahasa mudah, ia mendiskriminasi si isteri.
Polemik yang timbul itu membimbangkan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Beliau bimbang kerana ia mungkin akan menimbulkan persepsi negatif kaum lain terhadap kesucian agama Islam itu sendiri.
“Seolah-olah Islam hanya tertumpu kepada soal kahwin banyak (poligami) dan pembahagian harta sepencarian sahaja. Sebenarnya aspek-aspek lain turut ditekankan,” katanya kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar HALIM KHALID dalam satu pertemuan di kediamannya di Gombak, Jumaat lalu.
Malah menurut Ahli Parlimen Baling ini, sebenarnya terdapat enam rang undang-undang yang turut dibentangkan, lima daripadanya telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja termasuk Rang Undang-Undang Keluarga Islam manakala satu lagi iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah sehingga kini masih dalam kajian.
Empat yang lain iaitu Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Rang Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, Rang Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Rang Undang-Undang Tatacara Mal (Harta) Mahkamah Syariah telah diluluskan tanpa masalah kecuali Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang menimbulkan perdebatan demi perdebatan.
Dalam pertemuan hampir sejam itu, Dr. Mashitah menjelaskan, ikatan perkahwinan adalah satu proses yang berterusan justeru ia perlulah dibajai dengan sebaik-baiknya.
“Bila berkahwin kita tidak sepatutnya memikirkan soal perceraian. Orang berkahwin, fikir tentang perceraian, diharamkan dalam Islam,” katanya.
MINGGUAN: Apabila timbul polemik ini, apa yang menjadi kebimbangan Datuk?
DR. MASHITAH: Saya bimbang ia akan memberi persepsi bahawa Undang-Undang Keluarga Islam itu adalah tentang poligami sahaja. Ini mungkin mengundang salah tanggapan kepada penganut agama lain – Islam tidak ada benda lain, asyik bab nikah satu lagi. Kedua mengundang wanita-wanita takut berkahwin – sebab dengar betapa mudahnya lelaki hendak berkahwin satu lagi dan sebagainya.
Kenapa perlu pindaan?
DR. MASHITAH: Untuk tujuan penyelarasan dan penyeragaman. Perkara ini selaras dengan keputusan Majlis Raja-Raja. Kita mahu menambah baik undang-undang yang ada, memantapkannya dengan memasukkan beberapa peruntukan yang antaranya untuk kepentingan wanita juga. Dahulu, kalau suami ingin berkahwin lagi, isteri tidak boleh tuntut apa-apa pun. Kecuali sudah bercerai, baru boleh fail di mahkamah, tuntut harta sepencarian. Sekarang sebut sahaja hendak poligami, isteri sudah boleh tuntut, walaupun belum bercerai. Masih duduk sebumbung tetapi dapat hak kita.
Apa yang sepatutnya masyarakat perlu faham apabila bercakap tentang isu ini?
DR. MASHITAH: Sebut tentang poligami, kita bercakap soal hukum Allah s.w.t . – satu ketentuan yang telah ada di dalam agama dan bukan mana-mana pihak baik lelaki atau wanita cuba menidakkannya. Tetapi apa yang cuba kita hendak buat ialah kita menerima perkara ini tetapi dalam masa yang sama melihat tentang aspek pelaksanaannya. Kalau hendak berpoligami, hendaklah tidak menzalimi mana-mana pihak isteri atau suami. Kadang-kadang suami pun terkena juga. Kita tidak mahu kalau kita bercakap sekarang, kita tetapkan tidak boleh berpoligami. Minda kita mesti jelas bahawa ini adalah hukum Allah tetapi undang-undang yang kita buat cuba untuk mengelakkan berlakunya penzaliman dan mencari keadilan kalau hendak berkahwin lain.
Selain itu, kita perlu faham perkahwinan itu merupakan satu ikatan yang sangat suci. Ia melibatkan soal perasaan. Tidak semudah kita kata apabila suami hendak berkahwin lagi, kita terus – awak ambil harta awak, saya ambil harta saya. Undang-undang ini pula bukan sebagai jalan pertama untuk menyelesaikan masalah apabila suami hendak berpoligami. Tetapi kita lalui dahulu dengan berbincang, tolak ansur, perdamaian dan suluh. Jika tidak berjaya keempat-empat aspek ini, akhir sekali apabila menemui jalan buntu – baru ke mahkamah melihat bagaimana undang-undang cuba mengatasinya bila perasaan diketepikan.
Apa respons yang Datuk sendiri terima selepas isu ini hangat diperbincangkan?
DR. MASHITAH: Ada yang tiada masalah rumah tangga mula menelefon bertanya, kereta saya atas nama suami, perlukah saya menukar nama sebab saya (isteri) yang bayar? Kalau suami isteri hidup elok, tidak usahlah berbincang perkara ini. Mereka takut tanpa sebab.
Ada langkah-langkah tertentu yang sedang diambil oleh pihak kerajaan. Sekiranya keadaan mendesak, kita akan memberi penjelasan di seluruh negara. Kita mahu rakyat faham tujuan utama mengapa pindaan undang-undang ini dilakukan. Kita mahu memastikan kerukunan rumah tangga bertambah utuh, bukannya renggang oleh sebab-sebab yang tidak munasabah.
Persepsi sekarang apabila ingin berpoligami orang akan melihat soal hak – harta. Adakah ia dilihat sebagai isu utama?
DR. MASHITAH: Saya tidak mahu mengatakan ia dijadikan isu yang pertama. Abang hendak kahwin satu lagi, baik saya akan failkan ke mahkamah, bahagi-bahagikan harta – seolah-olah perkahwinan ini hanya berkaitan dengan soal harta. Kita tidak sepatutnya mengambil kira ini harta siapa, itu harta siapa. Dalam al-Quran ayat 20 surah An-Nisa’ menyebut: Kalau kamu hendak ganti isteri kamu dengan isteri yang lain sedangkan kamu telah memberikan kepada mereka harta yang banyak, jangan kamu ambil barang sedikit pun.
Maknanya kalau mana-mana harta yang telah diberikan atau suami hadiahkan, sudah tiada kena-mengena lagi, orang perempuan tidak perlu bimbang. Yang kita bercakap ini soal harta sepencarian. Yang lain tidak boleh ambil. Tuhan kata, “Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan satu jalan dusta dan dosa yang nyata?” Maknanya kamu hendak berbohong mengatakan ini harta kamu dan ini harta isteri kamu? Ayat 21 menjelaskan: Bagaimana kamu hendak membahagikan harta di antara kamu, sedangkan sebahagian kamu telah bercampur dengan suami dan isteri dan isteri kamu telah mengambil satu perjanjian yang kuat.
Maknanya macam mana kita hendak tahu harta suami atau isteri. Kita ke pasar kadang-kadang, isteri bayar, kadang-kadang suami bayar. Kadang-kadang isteri advance, suami bayar bulan-bulan. Kadang-kadang beli rumah pakai loan isteri tetapi suami bayar. Bagaimana hendak bahagikan? Sebenarnya ini bukan soal pembahagian harta sahaja, tetapi perasaan. Cuma undang-undang ini memberi keadilan paling tidak, kalau suami kahwin lagi, ada jaminan, hartanya tidak terusik, hak tidak terabai.
Konsepnya kita kena faham. Roh di sebalik membincangkan undang-undang kekeluargaan bukan hanya soal orang bercakap menjadi suami boleh bekukan harta isteri atau sebaliknya.
Sebenarnya apa yang patut dilakukan?
DR. MASHITAH: Apabila berkahwin, kita tidak sepatutnya memikirkan soal perceraian. Ini kerana orang berkahwin kalau fikir tentang perceraian, macam kahwin muta’ah, diharamkan terus dalam Islam. Tetapi mahkamah sebagai penenang jiwa – sudah bergelar janda, status dah lain, paling tidak pun ada hak dalam harta sepencarian.
Apa sebenarnya pandangan Islam tentang konsep berpoligami?
DR. MASHITAH: Poligami ini bukan sesuatu yang disuruh oleh Islam. Saya cukup bimbang apabila orang bercakap, dalam Parlimen dan sebagainya, poligami ini hanya dilihat sebagai satu sunah. Sedangkan kalau kita kaji, asalnya orang jahiliah berkahwin antara 25 hingga 30 isteri. Apabila sampai Islam, dihadkan kepada empat orang sahaja. Dan sebaiknya al-Quran kata kahwin seorang sahaja. Yang memang sudah kahwin satu kenapa hendak pergi sampai empat? Sebab itu bukan tuntutan roh, di sebalik tuntutan agama itu yang kita kena faham. Bukan maknanya hak lelaki ini boleh sampai empat. Kita kena faham perkara ini.
Mengapa isu ini dibangkitkan seolah-olah ia masalah besar?
DR. MASHITAH: Saya melihat banyak istilah undang-undang yang tidak begitu difahami dengan jelas. Misalnya ia dianggap memudahkan lelaki berpoligami. Istilah undang-undang itu yang menyebabkan wujud sedikit kekeliruan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan wanita dan masyarakat umum. Kalau diperjelaskan dengan betul istilah undang-undang ini, saya fikir semua pihak dapat menerima dengan hati tenang.
Perbincangan hangat di Parlimen menimbulkan kebimbangan khususnya di kalangan wanita. Apa komen Datuk?
DR. MASHITAH: Saya rasa kita, terutamanya wanita tidak perlu bimbang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri memberi jaminan bahawa, pindaan boleh dibuat dengan mengambil kira pandangan-pandangan wanita. Maknanya, perkara ini tidak muktamad di sini. Kalau kita rasa perlu melakukan pindaan lagi, ia akan dilakukan. Yang penting niat kita dalam penggubalan ini ialah mencari satu keadilan dan bagaimana untuk mengelakkan kezaliman daripada berlaku. Tuhan sendiri berkata, untuk berpoligami, suami itu perlu adil. Persoalannya sekarang ialah bagaimana pelaksanaannya. Bagaimanapun dalam soal pelaksanaan, andai kata timbul sebarang usaha yang boleh diperbaiki, kita masih boleh terus memperbaikinya.
Masyarakat mungkin tertanya-tanya mengapa kelemahan yang wujud tidak difikirkan terlebih dahulu sebelum pindaan itu dibentangkan di Parlimen?
DR. MASHITAH: Sebenarnya undang-undang ini digubal di peringkat negeri. Sebelum ini setiap negeri mengamalkan undang-undang tersendiri. Jadi undang-undang ini telah dihantar ke negeri. Dan kalau diikut prosesnya di satu-satu negeri, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang misalnya, mereka akan membuat semakan pertama berdasarkan undang-undang model yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Undang-Undang Keluarga Islam ini hak Majlis Agama Islam Negeri di bawah kuasa sultan. Ia bermula pada pembentangan peringkat jawatankuasa teknikal, Majlis Agama Islam Negeri, pra-Exco kerajaan negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum mendapat kelulusan dan semakan akan dibuat sekali lagi oleh Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan tiada sebarang kesilapan dilakukan sebelum membuat pewartaan.
Sekarang ini semua negeri telah melalui proses jawatankuasa teknikal ini. Bermakna di peringkat negeri, semua pihak terlibat, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) atau sebagainya. Saya percaya dalam mesyuarat pra-Exco pun, ada wakil wanita memberi pandangan.
Ada NGO mewakili golongan wanita mendakwa mereka tidak dilibatkan secara langsung dalam membuat pindaan akta?
DR. MASHITAH: Seperti saya katakan, ia bermula di peringkat negeri. Di Wilayah Persekutuan berbeza kerana untuk meluluskan mana-mana pindaan atau akta, ia perlu dibawa ke Dewan Rakyat – terus kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Wilayah tiada sultan.
Adakah penyeragaman undang-undang ini telah meliputi semua negeri?
DR. MASHITAH: Sekarang ini yang masih tidak ikut hanya Kedah dan Terengganu. Kelulusan ini bergantung kepada keputusan DUN masing-masing. Kelewatan di dua negeri ini mungkin disebabkan ia belum dibangkitkan di DUN. Maknanya selagi sultan tidak memberi perkenan baginda, ia belum boleh dilaksanakan. Tetapi di negeri-negeri lain, undang-undang ini telah dipersetujui dan diseragamkan.
Ada masalah lain yang berbangkit?
DR. MASHITAH: Itu saya tidak pasti, apa halangannya atau mereka perlu membincangkannya lebih lanjut dan sebagainya. Sebenarnya matlamat penyeragaman di semua negeri dibuat kerana kita hendak memudahkan prosedur – keseragaman dan penyelarasan seterusnya memantapkan undang-undang sedia ada. Katakanlah seorang suami membuat permohonan di Selangor, dia tidak dibenarkan berkahwin tetapi apabila ke Kedah, boleh. Disebabkan tiada keseragaman, undang-undang itu sukar dikuatkuasakan. Apabila telah diseragamkan, maknanya di mana-mana negeri pun, keputusannya adalah sama.
Apa pandangan Datuk tentang NGO-NGO yang terlalu bimbang dengan isu ini?
DR. MASHITAH: Mereka melihat isu ini dalam suasana tertentu sahaja. Kalau kita melihat poligami sebagai isu pokok, memang kita hendak marah sahaja. Saya tidak menafikan, saya sendiri pun tidak setuju. Tetapi kalau kita melihat secara menyeluruh – bagaimana tafsiran mahkamah, istilah undang-undangnya dan bila ia patut digunakan iaitu setelah tiada jalan lain, kita akan dapat melihat kebaikannya.
Kita sebenarnya tidak boleh terlalu ghairah untuk memperjuangkan persamaan. Yang perlu kita perjuangkan ialah soal keadilan. Jika tidak, akan menjadi polemik.
Golongan mana sebenarnya yang mendapat lebih manfaat berikutan berlaku pindaan Undang-Undang Keluarga Islam ini?
DR. MASHITAH: Tentunya kedua-dua belah pihak. Kerana tujuan kita ialah hendak memberi keadilan kepada suami dan juga isteri. Islam sentiasa mementingkan keadilan kepada kedua-dua pihak.
Apa isu-isu lain yang sering ditimbulkan oleh pihak-pihak yang kurang bersetuju dengan pindaan yang dilakukan?
DR. MASHITAH: Ada beberapa persepsi istilah `dan’, `perlu’ dan `patut’. Kalau dahulu seorang suami berpoligami kerana sekiranya didapati `perlu dan patut’. Dakwaan yang timbul apabila ada pindaan, kalau dulu `perlu dan patut’ maknanya suami itu patut kahwin tetapi tidak perlu, jadi kena dua sekali. Jadi sekarang menjadi `patut atau perlu’. Maknanya kalau dia kata, dia patut kahwin, kenapa? Sebab kalau tidak kahwin siapa yang hendak tanggung dosa? Kita sudah kata `patut’ dan tidak payah lagi `perlu’. Jadi seolah-olah nampak macam longgar. Sebenarnya tidak. Ini berkaitan dengan tafsiran undang-undang sahaja.
Satu lagi apabila Seksyen 52, memberikan hak fasakh kepada suami dan isteri selaras dengan hukum syarak. Ini dibangkitkan, suami telah ada hak talak, isteri ada fasakh, cukuplah. Sekarang hendak bagi hak fasakh dan talak pula kepada suami, lagilah berkuasa mereka – fasakh boleh, talak pun boleh. Ada beza antara kedua-dua ini. Kalau talak, suami masih bertanggungjawab soal nafkah, kalau fasakh tidak kena. Sebab fasakh itu membatalkan terus perkahwinan. Sedangkan talak memberhentikan perkahwinan yang ada (setakat itu sahaja kena bertanggungjawab). Dalam agama memang ada peruntukan fasakh pada suami.
Isu ini menjadi besar kerana dibincangkan di Parlimen. Adakah ini berlaku kerana para pemimpin sendiri kurang memahami matlamat undang-undang itu?
DR. MASHITAH: Saya cuma boleh mengatakan bahawa mereka cuba memperjuangkan nasib wanita. Mahu wanita mendapat pembelaan terbaik. Sebagai mewakili rakyat, mereka berhak menyuarakan pandangan. Dewan Negara dan Dewan Rakyat adalah medan terbaik menyuarakan kegusaran sama ada bersetuju atau tidak terhadap sebarang penggubalan akta. Suara-suara ini baik untuk didengar. Dalam hal inilah kita perlu berbincang. Jadi segala kepincangan boleh diperbetulkan. Jika Jakim merasakan apa yang mereka lakukan itu adalah yang terbaik, kita cuba mempertahankannya. Tetapi tidak bermakna kita akan menolak terus apa yang disuarakan. Kalau baik, kita akan ambil kira, mengkaji semula di mana kita boleh menokok tambah kekurangan.
Tetapi perkara ini telah juga menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai?
DR. MASHITAH: Mungkin ada baiknya pada masa akan datang, kita dapat memanjangkan sesi taklimat kepada senator dan ahli yang berhormat yang lain. Ini supaya apabila mendapat persetujuan, di dalam Dewan tidak terlalu memakan masa yang panjang untuk membincangkan isu begini.
Selain poligami, apa isu lain yang Datuk lihat sepatutnya diberi penekanan dalam soal Undang-Undang Keluarga Islam ini?
DR. MASHITAH: Seorang suami perlu membayar nafkah kepada isteri dan anak-anak (jika ada). Ini yang saya lihat paling penting. Salurannya mungkin melalui pemotongan gaji secara automatik dan sebagainya. Ini perlu diperketatkan. Sekarang jika bekerja dengan kerajaan saja boleh dipotong gaji. Tetapi kalau bekerja sendiri, suami memberi banyak alasan.
Bagi saya suami bukan hanya perlu membayar nafkah tetapi semua nafkah tertunggak. Kalau betul suami mampu berpoligami, selama isteri tidak pernah tuntut nafkah (kalau bagi, bagilah), suami perlu kira. Memang perkahwinan soal perasaan dan perkongsian hidup tetapi saat suami berubah, hak isteri tidak sepatutnya hilang. Nafkah yang tertunggak, suami perlu bayar. Selama ini isteri tidak kisah sebab suami sayang pada isteri. Tetapi kalau suami berniat untuk berpoligami, isteri patut menuntut hak mereka, ini tidak salah.
Dalam hal ini mengapa golongan wanita dilihat lebih bimbang berbanding lelaki?
DR. MASHITAH: Saya tidak menafikan bahawa poligami ini umpama mimpi ngeri bagi setiap wanita. Kerana ia melibatkan perasaan. Tetapi adakah selepas mendapat harta, kita akan menjadi lebih gembira? Tentunya tidak. Mana-mana perempuan sekalipun hatta apabila Saidina Ali menyuarakan untuk berkahwin seorang lagi, Rasulullah s.a.w. pernah menyebut, “Engkau jangan menyakiti hati Fatimah. Kalau engkau menyakiti hatinya umpama engkau menyakiti hatiku.” Soal ini sensitif. Ia melibatkan berbagai-bagai aspek. Sebab itulah wanita lebih banyak respons dalam hal-hal ini. Tetapi saya berharap mereka dapat memahami bahawa apa yang cuba hendak kita jalankan ini adalah bertujuan mencari keadilan kepada wanita selain lelaki.
Apa lagi isu yang selalunya menjadi kebimbangan mereka?
DR. MASHITAH: Antaranya mereka berkata, suami berhak menuntut sebahagian harta isteri atau isteri-isteri yang ada apabila berpoligami. Jadi mereka anggap senanglah, mula-mula kahwin tidak ada apa-apa sedangkan isteri ada 10 buah rumah, tiba-tiba kahwin, selepas 10 tahun, hasil daripada 10 buah rumah menjadi 20, suami pun mempunyai hak, pada hal rumah itu bukan hak suami. Tetapi sebenarnya tafsiran harta sepencarian, kalau harta itu hak isteri, ia tetap menjadi hak isteri.
Nasihat Datuk kepada mereka yang masih bimbang berhubung isu ini?
DR. MASHITAH: Kalau wanita itu celik undang-undang atau faham undang-undang, dia tidak akan teraniaya. Tetapi kebanyakan wanita jarang mahu mengambil tahu soal undang-undang kerana kadang-kadang dia sayang pada suami. Jadi tidak kisah, bubuh sahaja nama suami. Kerana semasa itu kita sayang. Kita sepatutnya tidak lupa bahawa dalam Islam hak wanita memang dipelihara. Jadi kalau hak kita (wanita), bubuh nama kita. Sayang bab lain. Betul kita sayang pada suami tetapi itu tidak bermakna kita tidak perlu faham hak yang telah diperuntukkan oleh agama dan undang-undang kepada wanita. Bagi saya tidak timbul hal ini kalau kita faham.
Bagaimana untuk memulihkan semula persepsi masyarakat terhadap isu ini?
DR. MASHITAH: Ada baiknya kalau kita sediakan biro bantuan guaman di pejabat-pejabat agama. Wujudkan di setiap jabatan atau Majlis Agama Islam. Kalau seseorang isteri datang, ada yang menerangkan tentang hak-hak mereka. Yang bertugas perlu memberi peluang kepada si isteri membuat keputusan sama ada mahu meneruskan tuntutan atau sebaliknya. Saya juga sebenarnya cukup mengalu-alukan apabila pihak Jakim mengatakan akan memasukkan pemahaman Undang-Undang Keluarga Islam ini di dalam kursus perkahwinan. Saya sendiri sebelum ini pernah menekankan betapa perlunya kursus selepas berkahwin. Kursus yang saya maksudkan itu seperti inilah, tentang apa hak kita, pengurusan selepas perkahwinan kerana perkahwinan tidak terhenti setakat itu sahaja sebaliknya ia merupakan suatu proses yang berterusan.
Ramai wanita kita masih kurang memahami tentang undang-undang atau hak mereka. Ini berlaku kerana mereka tidak mengalami pengalaman ini. Bila terkena, baru sedar. Itu sebab kalau boleh di setiap jabatan atau majlis agama Islam, ada biro bantuan guaman. Mana-mana isteri yang rasa teraniaya, tidak lagi terkapai-kapai, tidak tahu hendak ke mana.
Adakah pihak kementerian sedang mempertimbangkan perkara ini?
DR. MASHITAH: Kita boleh mencadangkan perkara ini kerana ia penting untuk mengelakkan kebimbangan. Secara peribadi saya berpendapat, sekiranya usaha ini dapat dilaksanakan, ia mampu mengurangkan sedikit kerisauan di kalangan wanita.
Selain itu, hakim wanita juga kurang, apatah lagi hakim syarie. Saya pernah bertanya kepada bekas pelajar saya, tetapi dia sendiri tidak berminat menjadi hakim. Bagaimanapun, sekarang ini, wanita kena tolong wanita. Kalau lebih ramai yang berminat untuk mengisi jawatan-jawatan ini, mungkin akan mengurangkan persepsi masyarakat. Ada pandangan yang mengatakan wanita tidak boleh dilantik menjadi hakim syarie. Tetapi sebenarnya cuma Mazhab Shafie yang tidak membolehkannya sedangkan mazhab-mazhab lain tiada masalah. Kita boleh mencadangkan supaya wanita diberi ruang untuk dilantik.
Sekiranya dilantik wanita sebagai hakim syarie, Datuk yakin masalah persepsi ini boleh diselesaikan?
DR. MASHITAH: Satu yang kita kena terima ialah hakim juga manusia. Dia membuat tafsiran berdasarkan peruntukan yang telah diberikan untuk mencari keadilan. Mungkin cara ini boleh menjadi salah satu jalan keluar. Kita kena optimis dalam hal ini. Sekiranya kebimbangan berterusan dalam jiwa wanita, ada baiknya kita cuba untuk melaksanakannya.
Satu lagi persepsi yang timbul ialah orang sering mendakwa hakim-hakim syarie selalunya lebih menyebelahi golongan lelaki?
DR. MASHITAH: Kita perlu memberi kepercayaan kepada hakim. Cuma macam saya katakan tadi, hakim juga manusia, kita tidak menafikan sifat-sifat kemanusiaannya itu. Tetapi dalam hal ini, saya melihat faktor-faktor penghujahan oleh para peguam yang akan menyebabkan sesuatu keputusan itu dibuat.
Masalah yang lebih besar sekarang ialah berhubung isu pelaksanaan. Jika pelaksanaan undang-undang itu adil, tidak timbul isu hakim lelaki atau wanita.
DR. MASHITAH: Manusia cuba buat yang terbaik tetapi kita tidak boleh lari daripada sifat-sifat sebagai manusia. Sebab itu dalam Islam mengatakan, seseorang hakim kalau dia berijtihad dan ijtihadnya tepat, dia dapat dua pahala. Kalau ijtihadnya tidak tepat, dia dapat satu pahala. Maknanya hakim itu, etikanya sudah ada. Mereka akan membuat keputusan yang terbaik dalam pelaksanaan undang-undang. Jadi keyakinan kita kepada pihak hakim kena ada.
Bagaimana kita mahu memastikan seseorang hakim itu dapat menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama?
DR. MASHITAH: Ini soal integriti, soal amanah dan tanggungjawab. Dia kena pastikan dirinya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Jika tidak, kewibawaannya akan terus dipertikaikan orang ramai.
Apa iktibar yang perlu kita ambil daripada kemelut yang berlaku?
DR. MASHITAH: Apabila kita membicarakan perkara ini, perkara utama yang perlu kita letakkan dalam kepala ialah bagaimana melaksanakan tuntutan Islam itu secara adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak. Maknanya kita mahu keadilan. Jadi tidak boleh ada persepsi tertentu yang tidak menjurus kepada kebaikan. Sebenarnya kita tidak bertujuan memberi kelebihan kepada satu pihak dan menganiaya pihak lain. Tetapi mencari bagaimana pelaksanaan terbaik. Poligami tidak digalakkan, tetapi jika berlaku, kita mahu memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Sebab itu dalam istilah ini (poligami), saya lebih suka menggunakan pendekatan tiga `U’ – perlu, mahu, mampu. Tiga perkara ini kena diambil kira. Dia perlu berkahwin kerana tiada zuriat, hartanya banyak dan dia mampu berbuat demikian, tetapi dia tidak mahu. Jadi dia tidak buat. Tetapi sesetengah orang, dia perlu, mahu dan dia mampu. Maka dalam hal ini, dia ada ruang. Saya melihat poligami sebagai satu ubat kepada sesetengah perkahwinan. Jangan kita melihat benda-benda negatif sahaja.
Secara umum bagaimana Datuk melihat nasib wanita di negara ini?
DR. MASHITAH: Saya lihat wanita di Malaysia bertuah kerana kita ada hak-hak tertentu seperti poligami dan harta sepencarian ini. Di negara-negara lain tidak ada. Pergilah ke Arab Saudi atau negara-negara Islam yang lain. Orang lelaki di sana, kalau hendak berkahwin lagi, kahwinlah itu hak mereka.
Itu sebab saya katakan, sebelum kita berbincang, kita perlu melihat perkahwinan sebagai satu ikatan yang sangat suci. Semua agama mengiktiraf perkahwinan. Mana-mana agama tidak mengiktiraf bersekedudukan. Hendak hidup bersama lelaki dan perempuan ialah melalui jalan perkahwinan. Sebab itu undang-undang ini adalah jalan terakhir. Perkahwinan bukan bermaksud kita fikir fasal mahkamah. Atau kahwin sahaja senaraikan harta-harta yang ada. Seolah-olah matlamat perkahwinan itu telah lari daripada matlamatnya yang asal.
Apa yang perlu dilakukan sekarang?
DR. MASHITAH: Wanita kena bantu wanita. Kita perlu lebih ramai petugas wanita di jabatan agama supaya mereka boleh memberi nasihat dan panduan sewajarnya. Pendidikan berterusan juga perlu ada. Agar wanita boleh sentiasa bersikap waras. Yang hak tetap hak. Itu jelas telah termaktub. Yang penting jangan sampai sayang itu mengatasi kewarasan.
Harapan Datuk tentang isu ini?
DR. MASHITAH: Yang pasti sekarang telah ada peruntukan undang-undang, agama telah tersedia dosa dan pahala, kini manusialah yang menentukan di mana mereka hendak meletakkan diri mereka – tepuk dada tanya iman.