BICARA UGAMA


Oleh ZUNAIDAH ZAINON

“BERKORBAN adalah satu bentuk ujian daripada Allah s.w.t. kerana dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita harus melakukan pengorbanan. Hidup tanpa pengorbanan adalah kehidupan yang gagal.

“Dalam menjalani hidup yang baik, kita mesti berkorban masa dan tenaga misalnya berusaha mencari rezeki yang halal bagi mengelakkan kemiskinan. Ia merupakan tuntutan hidup,” kata pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Roslan Mohamed mengenai konsep berkorban dalam Islam.

Korban berasal daripada perkataan Arab iaitu udhiyah. Ia menjurus kepada peristiwa pengorbanan satu keluarga iaitu Nabi Ibrahim dan isterinya, Hajar yang sanggup mengorbankan sesuatu yang amat mereka sayangi iaitu anaknya, Nabi Ismail demi kasih dan cinta kepada Allah s.w.t.

“Ini adalah nilai pengorbanan yang cukup tinggi di sisi Allah s.w.t. kerana ia bukan sahaja menguji kesabaran Nabi Ibrahim tetapi menduga sejauh mana ketakwaan Nabi Ibrahim. Maka Allah s.w.t. menggantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor biri-biri.

“Sebagai orang Islam yang beriman, elakkan perasaan rugi dan sia-sia atas pengorbanan yang dilakukan kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya yang merujuk kepada surah as-Saffat, ayat 100 hingga 111.

Dalam Islam, Allah s.w.t. menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Bahawa apabila kita dapat korbankan sesuatu yang paling berharga untuk orang lain, kelebihan yang akan kita peroleh nanti lebih daripada yang dikorbankan.

“Oleh itu, dalam melakukan sesuatu pengorbanan, jangan menganggapnya sebagai sia-sia tetapi sebagai satu cara untuk mendapat peluang yang lebih baik. Allah s.w.t. menjanjikan ganjaran pahala kepada mereka yang sanggup melakukan pengorbanan dan beramal kebajikan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” ujar Roslan.

Mengenai konsep mengorbankan binatang pada hari-hari tasyrik, secara idealnya adalah lambang kepada sebuah pengorbanan yang menuntut makna tersirat di sebalik yang tersurat. Konsep ibadah korban lebih luas dan mampu melahirkan insan yang berwawasan serta memiliki anjakan paradigma.

“Jika dikaitkan ibadah korban dengan realiti semasa hari ini, kita boleh dianggap sebagai gagal sekiranya tidak dapat berkorban untuk orang lain walaupun mampu untuk mengorbankan seekor lembu atau unta.

“Dalam konteks ini, kita harus memperbetulkan persepsi dalam masyarakat. Ramai yang mampu mengorbankan binatang tetapi dalam erti kata sebenar tidak dapat menjiwai pengertian korban,” kata Roslan mengaitkan ibadah korban dengan pengertian pengorbanan.

Untuk menyemai semangat pengorbanan yang semakin hilang penghayatannya, beliau berkata, ibu bapa boleh menterjemahkannya dalam bentuk amalan harian dengan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Secara tidak langsung, tindakan ini akan melahirkan anak-anak yang mudah membantu orang lain yang kurang bernasib baik.

“Kita perlu lahirkan keluarga yang ada nilai-nilai pengorbanan kerana pada hari ini, masyarakat Islam khususnya melalui transformasi dunia yang penuh cabaran.

“Sudah sampai satu tahap, umat Islam jangan hanya sekadar membaca sejarah dan kisah mengenai Nabi Ibrahim sebaliknya melihat erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Senario menarik yang turut berkait dalam isu pengorbanan ialah penglibatan ramai remaja Islam dengan gejala sosial seperti mat rempit, menghisap dadah, pelacuran dan sebagainya. Bagi membanteras permasalahan ini, banyak pihak perlu tampil untuk menyelamatkan remaja yang telah terkorban jiwa dan akhlak mereka akibat terpengaruh dengan rentak dunia yang semakin mencabar.

Tegas beliau, erti pengorbanan masih belum diungkap sepenuhnya kerana persepsi masyarakat yang mengaitkannya dengan pemikiran yang sempit. Pengorbanan yang jelas dapat diungkap apabila anak-anak berkorban menjaga ibu bapa yang sakit, suami menjaga isteri yang sakit, isteri menjaga suami yang sakit atau ada yang mengorbankan kehidupan mereka demi memberi nafas baru kepada golongan kurang bernasib baik.

Mengenai umat Islam luar negara yang ditindas seperti mana yang berlaku di negara-negara barat, Roslan berkata, pengorbanan yang boleh dilakukan untuk membantu mereka ialah sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. memohon kesejahteraan mereka selain menghulurkan bantuan dari segi tenaga dan kewangan.

Dalam situasi begini juga, umat Islam perlu memiliki sifat hiba, sedih dan marah apabila melihat saudara seIslam ditindas dan hak mereka diketepikan.

Semangat berkorban perlu dijadikan satu budaya agar ia sebati dalam kehidupan seluruh umat manusia. Situasi ini akan menjana keutuhan masyarakat secara keseluruhannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mempedulikan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan orang Islam.

Dalam erti kata lain, budaya berkorban yang diterapkan dalam masyarakat mampu menghindarkan sifat dendam, dengki, khianat dan perbalahan sebaliknya membina umat Islam yang ampuh dan berkualiti.

“Dalam Islam, pengorbanan ialah melakukan apa yang mampu kita lakukan termasuk korbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan. Contohnya, dalam korban binatang, ada usaha rakyat Malaysia yang melakukannya di Kemboja, Vietnam dan Thailand,” jelas Roslan.

Menurut beliau, seseorang yang tidak pernah berkorban untuk orang lain sebenarnya tidak menghargai kehidupan yang dilaluinya di dunia. Pepatah ada menyebut, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Apabila seseorang membantu orang lain yang dalam kesusahan, bantuan itu akan diingat dan dikenang hingga ke akhir hayat. Secara tidak langsung ia membawa kepada keakraban dalam kalangan umat Islam.

Ilmu tasawuf membicarakan secara amali bagaimana cara menghayati nilai keimanan dan cara membebaskan diri daripada nifak.

Dewasa ini, ramai umat yang tertarik untuk meningkatkan kefahaman agama lalu menyertai pelbagai kumpulan tarekat. Malangnya, muncul pula perkara-perkara karut dalam amalan tarekat ini.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDDIN ABDULLAH menemu bual bekas pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Musa Fathullah Harun bagi membincangkan isu ini.

Apakah maksud tasawuf Islam?

DR. MUSA: Ada beberapa pertikaian pendapat tentang maksud tasawuf. Ada pendapat mengatakan ia diambil daripada sufi berasal dari perkataan suf (bulu domba). Tasawuf bererti memakai bulu domba.

Golongan ini mendakwa penamaan tersebut disebabkan para sufi menjadikan bulu domba sebagai pakaian mereka bagi menunjukkan kesederhanaan dan jauhnya mereka daripada kemewahan.

Ada yang mengatakan perkataan tasawuf diambil dari perkataan assafah iaitu bangunan yang dibangunkan oleh Rasulullah di sudut Masjid Nabawi. Baginda menempatkan para sahabat yang fakir daripada Muhajirin yang berhijrah ke Madinah tanpa mempunyai sebarang harta. Mereka digelar Ahli Sufah yang hidupnya amat sederhana, sentiasa dalam keadaan berjihad ke medan perang atau beribadat.

Tasawuf Islam pula mempunyai beberapa takrifan. Ini disebabkan ia melalui pelbagai macam peringkat dan keadaan. Setiap definisi pula mungkin hanya menunjukkan kepada sebahagian jawapan tertentu dan tidak merangkumi yang lain.

Bagaimanapun, apa yang jelas, ia mempunyai asas yang dipersetujui iaitu akhlakiat iaitu berkaitan pendidikan jiwa, pengendalian nafsu atau keinginan dan pendisiplinan manusia dengan akhlak yang mulia yang diambil dari Islam. Syeikh Mohamad Zakaria Al-Kandahlawi menyatakan, tasawuf adalah jalan yang dengannya dapat diperoleh sifat ihsan.

Ini kerana Islam itu berdiri atas tiga landasan iaitu akidah, syariat dan ihsan. Ihsan itu adalah kita beribadat kepada Allah seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu, kita kena yakin yang Allah sentiasa melihat kita. Jangan pula kita lupa tugas kita sebagai manusia untuk beribadat kepada Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Az-Zariat: 56.

Apakah sumber tasawuf Islam?

Sumber tasawuf Islam atau Sunni itu adalah Islam sendiri. Secara kasarnya, tasawuf itu terbahagi kepada dua. Pertamanya, tasawuf dini yang menjadi fenomena bersama di antara seluruh agama, sama ada agama samawi atau agama budaya yang ada di Timur. Yang kedua, tasawuf falsafah yang juga kuno dan merupakan peninggalan falsafah Yunani.

Tasawuf adalah akhlak dini yang diambil sumber utamanya dari al-Quran dan sunah. Ia juga diambil berdasarkan ucapan para sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak terkeluar daripada lingkungan al-Quran dan sunah.

Berdasarkan penelitian, jelaslah kepada kita bahawa para sufi telah meletakkan gambaran bagi suluk menuju Allah bermula dengan mujahadah al-nafsi akhlaqiyaan (jihad melawan nafsu dari segi akhlak). Ia kemudian beransur-ansur memasuki tingkatan yang pelbagai yang dikenali sebagai maqamat (jamak makam) dan ahwal (jamak hal) yang berkesudahan kepada makrifat Allah yang menjadi matlamat akhir perjalanan.

Ramai yang bersemangat mendalami ilmu agama lalu menyertai tarekat tanpa menilai dari segi akidah dan syariat. Apa kesan daripada perbuatan sebegini?

Mereka yang memasuki tarekat sebelum mempunyai asas akidah dan syariat yang kukuh tidak akan mencapai ke tahap ihsan. Sebabnya mudah saja. Bagaimana orang yang tidak mengetahui dapat membezakan suruhan dan larangan Allah. Ini akan menyebabkan orang tersebut mudah terpengaruh kepada kesesatan yang dibawa oleh tarekat tersebut.

Kita mesti menyedari jika sejak zaman ribuan ulama termasuk Imam Ghazali dan Imam Sya’rani masih hidup penyelewengan tasawuf sudah demikian hebat, apa lagi zaman kita yang bilangan ulama sudah berkurangan. Sudah tentu penyelewengannya lebih hebat dan lebih banyak tarekat yang sesat.

Mengikut Imam Ghazali, ilmu tasawuf termasuk ilmu jalan ke akhirat yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim. Sayangnya, ia dicemari oleh berbagai-bagai pencemaran seperti penyusupan pandangan ilhadiyah (yang menyimpang daripada agama) yang bertentangan dengan yang dipersetujui oleh ahli sufi Ahli Sunah Wal Jamaah yang terkenal.

Kita perlu mencontohi sikap Imam Sya’rani dalam bab ini. Beliau tidak mahu melakukan sesuatu amalan meskipun dianggap baik oleh sesetengah ulama melainkan setelah nampak jelas kesesuaiannya dengan al-Quran dan sunah.

Ada pengikut tarekat yang mengatakan jika menyertai tarekat, mesti terima apa yang diajar oleh guru atau mursyid. Dengan kata lain, ketepikan akal tentang betul atau salahnya. Benarkah?

Ini adalah sebahagian perkara karut yang sering ditemui yang dinyatakan oleh pengikut tarekat. Begitu juga dakwaan syahadat kebanyakan ustaz atau orang yang tidak memasuki tarekat tidak sah kerana tidak ada guru atau tidak ada salasilahnya.

Dakwaan tersebut jika diterima amat merbahaya. Ia akan memberi jalan kepada setiap orang untuk menetapkan hukum melalui dakwaan yang seumpamanya. Selain itu, ia juga mengandungi tuduhan Rasulullah s.a.w belum menyampaikan kesemua wahyu Allah semasa hayat Baginda.

Ada juga tarekat yang mengajar pengikutnya beribadat hanya dengan niat sahaja tanpa perbuatan. Menurut mereka, ini kerana Rasulullah bersabda sesungguhnya perbuatan itu cukup hanya dengan niat.

Ada di antaranya yang mengatakan tidak perlu belajar ilmu fikah. Mana boleh begitu kerana fikah ialah ilmu yang mengajar syariat iaitu ilmu hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan amalan kita sebagai Muslim.

Saya juga selalu bertanya jika saya memasuki tarekat ini, kemudian saya dapati ada sebahagian atau salah satu amalannya bertentangan dengan syariat, bolehkah saya menyingkirkan perkara yang bertentangan itu?

Sebahagian mereka tidak mahu memberi jawapan yang pasti. Sebahagian yang lain mengatakan tidak boleh. Kata mereka, jika hendak mengamalkan tarekat, maka hendaklah mengamalkan kesemuanya, tidak boleh amal sebahagian tolak sebahagian.

Antara masalah utama memulihkan ahli tarekat yang sesat agar kembali ke pangkal jalan ialah taksub atau fanatik kepada mursyid mereka. Apa puncanya?

Memang benar. Penyakit paling merbahaya menimpa diri seseorang yang menganuti sesuatu jalan atau fahaman adalah taksub atau fanatik. Apabila dihinggapi penyakit tersebut amat sukar untuk membetul atau menyedarkan akan kesalahan serta kesesatannya. Dengan sebab fanatik itu, banyak ahli tarekat yang berkenaan menutup telinga atau langsung tidak mahu mendengar sebarang teguran.

Sememangnya, kita perhatikan bahawa kebanyakan ajaran sesat berusaha mengikat pengikutnya supaya jangan lari. Caranya, melalui perasaan taksub.

Allah mengurniakan kita akal fikiran di samping menurunkan syariat-Nya sebagai panduan. Maka, hendaklah kita menjadikan kedua-duanya sebagai perisai. Kita perlu sentiasa berwaspada dan sesuatu yang diamalkan sekian lama hatta 100 tahun pun kalau salah dari segi agama perlu dibetulkan.

Ini kerana asas tarekat itu tidak boleh lari daripada akidah dan syariat. Jika ada di antaranya yang bercanggah, maka ia sesat dan wajib kita tolak.

Apakah panduan sebelum menyertai tarekat?

Pelajarinya ilmu tasawuf melalui kitab-kitab yang penting seperti Ihya’ Ulumiddin, al-Munqiz Min al-Dalal dan Fadaih al-Batiniah tulisan ulama muktabar seperti Imam Ghazali.

Selain itu, kitab karangan Imam Sya’rani seperti Tanbih al-Mughtarin, Qawa’id al-Sufiyah dan Al-Mizan al-Kubra.

Cuma jangan memasuki tarekat sufiah sebelum memiliki ilmu untuk menilai kesesuaian tarekat tersebut dengan akidah dan syariat.

Kalau mengikut pandangan Imam Ghazali, mereka yang mahu memasuki tarekat ini perlu diuji terlebih dahulu tentang kefahaman mereka berkaitan akidah dan syariat. Bukan main tangkap muat sahaja. Sesiapa yang datang diterima masuk.

Namun, setakat ini saya belum berjumpa mana-mana tarekat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertainya. Pemimpin-pemimpinnya juga masih jauh daripada memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagai mursyid atau guru.

Seorang sheikh tarekat itu mesti menguasai ilmu agama yang mantap bukan sahaja berkaitan syariat seperti usul fiqh tetapi merangkumi bab akidah serta muamalat. Mereka juga perlu menguasai keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunah dan tidak cukup hanya mengetahui satu mazhab sahaja.

Demikian juga dinyatakan oleh Imam Sya’rani bahawa mana-mana mursyid tarekat yang tidak menguasai ilmu akidah dan syariat tidak boleh kita ikuti.

Sabda Rasulullah s.a.w

DARIPADA Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w sabdanya: Tinggalkan saya selama saya tinggalkan kamu. Sesungguhnya mereka sebelum kamu telah binasa disebabkan persoalan dan pertelingkahan mereka terhadap para Nabi mereka. Bila saya tegah kamu dari sesuatu, maka jauhilah dan bila saya perintahkan dengan suatu urusan, kerjalah sedaya upaya kamu.

Pengertian

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w mengingatkan supaya mengawasi dari penyakit paling berbahaya yang telah membinasakan mereka yang terdahulu, iaitu pertengkaran dan pergaduhan sesama sendiri. Baginda mengajar supaya mereka menjauhkan diri dari tegahannya dan menjunjung segera setiap perintahnya dengan kemampuan yang ada, tanpa menimbulkan persoalan yang mengganggu ketenteraman umum.

Kesimpulan

Suruhan agama hendaklah dilaksanakan, larangannya hendaklah ditinggalkan. Jangan cuba menimbulkan sesuatu yang tidak diterangkan bukan kerana lupa tetapi semata-mata rahmat dan kemurahan Allah s.w.t kepada kamu.

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Kaki kanan saya seumpama terpelesuk dalam lubang, yang sukar hendak ditarik keluar, biarpun kaki kiri masih di permukaan bumi, tetapi semakin tidak bermaya longlai.

Saya mempunyai isteri yang terpelajar dan berpendidikan agama. Rumah tangga kami asalnya begitu bahagia, tetapi setelah hampir 11 tahun, saya seumpama tidak sedar, macam mana saya boleh jatuh cinta dengan seorang gadis.

Secara berterangan saya memberitahu isteri yang saya ingin mengahwininya. Isteri saya tidak membantah atau setuju, tetapi menyuruh saya menceraikannya.

Masalah besar ialah apabila ibu saya tidak mengaku saya anaknya, kalau saya meneruskan hasrat untuk mengahwini gadis ini. Ibu bersikap demikian mungkin kerana ia merasa betapa akrabnya hubungan kami dua keluarga.

Saya mencari jalan keluar, memutuskan hubungan dengan gadis ini dan rasa amat kesal serta kecewa. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia hiburan, tetapi berakhir dengan kehidupan yang langsung tidak saya duga sama sekali selama ini, iaitu melanggani pelacur kelas atasan.

Saya tahu dosa-dosa besar melakukan zina, tetapi saya benar-benar kecewa, kerana masyarakat memandang serong dan ganjil sesuatu yang halal, iaitu poligami. Tetapi menganggap sebagai “perkara biasa” terhadap dunia pelacuran atau persundalan. Masyarakat Islam perlu memahami hukum Islam yang berkaitan dengan poligami, sebagai satu jalan keluar mengatasi masalah zina. Pendapatan saya lebih daripada sembilan ribu ringgit setiap bulan.

– Lazim, KL

Jawapan: Islam mengharuskan poligami dengan syarat si suami berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini. Adil yang berkaitan dengan harta seperti nafkah, urusan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan sebagainya termasuk yang berkaitan dengan anak. Lumrahnya, tanggungjawab ini di dalam keupayaan manusia.

Masalah utama yang saudara hadapi ialah isteri yang meminta diceraikan kalau mahu berkahwin lagi, manakala keluarga terutama kedua-dua ibu bapa menganggap saudara anak derhaka kalau berkahwin lagi satu.

Islam tidak mensyaratkan poligami mesti dengan izin isteri. Namun adalah sukar biarpun bukan mustahil untuk menyatakan adanya isteri yang boleh memberi izin kepada suaminya berkahwin lagi, biarpun seorang ustazah yang memahami bahawa Islam mengharuskan poligami. Tabiat semula jadi manusia, tidak mahu berkongsi kasih.

Tergambar dalam fikiran bagaimana si suami memadu kasih dengan madunya. Mungkin dalam mengingatinya kepala berdetap menjadi sakit, dunia gelap gelita.

Tindakan suami mungkin boleh dianggap mencabar kesetiaannya selama ini, seolah-olah si suami telah “menduakannya” biarpun poligami itu diharuskan oleh Islam.

Islam tidak menggalakkan berpoligami, tetapi mengharuskannya sebagai salah satu jalan keluar mengatasi masalah seperti ketika isteri uzur, sakit dan tidak berupaya melayani naluri suami. Suami kuat nafsu dan sebagainya.

Namun tanpa alasan seperti ini, sekiranya seorang lelaki itu bernikah lagi, pernikahan itu tetap sah, asalkan semua syarat dan rukun perkahwinan itu dipenuhi.

Banyak orang berkahwin tanpa ada alasan seperti yang dijelaskan atau dorongan seperti ini, lebih-lebih lagi orang yang mempunyai banyak wang seperti saudara. Ia tetap sah dan tidak berdosa andainya sifat adil itu, ada pada diri dan berkeyakinan berupaya melaksanakannya.

Mungkin sukar untuk menyokong sikap seorang suami yang dikatakan menyintai isteri dan anak-anaknya, tetapi dalam masa yang sama bercinta dengan perempuan lain.

Namun begitu, ia bukan mustahil berlaku lebih-lebih lagi bagi orang yang mempunyai selera tinggi, sukakan yang cantik dan muda. Orang seperti ini kadang-kadang pada peringkat awal tidak minat sangat untuk berkahwin lagi, lebih-lebih lagi bagi yang banyak tugas dan sibuk, tetapi kerana naluri dalamannya tanpa disedari bila bermula, dia akhirnya terjebak ketika ‘bermain dengan api atau ombak’, menyebabkan jatuh kasih atau rasa simpati atau ihsan kerana kasih itu tidak ubah seumpama sekam dalam api.

Dalam masa yang sama dia tetap mengasihi isteri yang ada, sayang rumah tangga yang begitu lama dibina, juga anak-anak di rumah.

Izin isteri bukan merupakan syarat kesahihan pernikahan lelaki berpoligami. Bagi orang lelaki yang berusaha untuk berkahwin lagi, tetapi tertahan kerana sebab tertentu, terutamanya untuk mendapatkan keizinan isteri, akan melakukan pelbagia cara untuk melaksanakannya.

Terdapat kes suami menipu isteri untuk menurunkan tanda tangan, kahwin lari ke sempadan, kahwin yang dinikahkan oleh wali perempuan tanpa merujuk ke pejabat kadi dan sebagainya, termasuk melalui sindiket palsu.

Saudara mempunyai keupayaan untuk berkahwin lagi, tetapi terhalang kerana isteri meminta cerai, manakala ibu bapa menganggap saudara anak derhaka.

Tanpa melihat, sama ada pro atau kontra lelaki berpoligami, ketika berhadapan dengan situasi seperti yang saudara hadapi, seseorang itu mesti menghulurkan mesej syarie yang hakiki. Saudara mempunyai keupayaan dari segi kebendaan, seorang yang terpelajar dan mempunyai ciri-ciri sifat adil serta yakin untuk melaksanakannya.

Kerana itu, jalan keluar bagi saudara ialah berkahwin lagi. Dalam kes ini, mungkin dengan kekasih saudara.

Namun, untuk mengelakkan keadaan rumah tangga yang bercelaru dan dianggap anak derhaka, saudara mencari jalan sesat dengan melanggani perempuan jalang dan sehingga sekarang, saudara merasakan amalan itu sebahagian daripada rutin hidup, sebagai budaya mingguan.

Tidak ada statistik membuktikan 99 peratus pelanggan pelacur adalah lelaki yang beristeri. Mungkin anggapan saudara itu ada lojiknya berdasarkan pemerhatian saudara. Dalam masa yang sama, bukan mudah untuk membuktikan anggapan seperti ini benar dan tepat.

Walaupun demikian pemerhatian saudara terhadap apa yang berlaku tidak boleh dijadikan satu hujah atau sokongan terhadap apa yang saudara lakukan, ataupun dijadikan alasan menghilangkan rasa berdosa melanggani pelacur.

Saya tidak membicarakan dosa zina kerana saudara sedia memahaminya, tetapi saudara perlu ingat bahawa berzina itu dosa. Dosa itu najis dan najis itu kotor, yang kotor itu lumrahnya busuk. Bagi orang terlibat dengan dosa zina buat kali pertama dia akan menyesal sama seperti dengan orang yang bersentuh atau terhidu najis.

Dia menjadi tidak menentu, merasa loya atau muntah, tetapi kalau terus berulang, ia menjadi sebahagian hidup, berasa tidak janggal dan tidak seronok kalau tidak melakukan dosa atau berasa asing tidak terhidu najis. Begitu juga dengan peri laku zina yang menjadi rutin.

Saudara terlalu malang andainya mengakhiri sisa-sisa hidup dalam maksiat, ketika menapak kaki melanggani kupu-kupu malam atau menghembuskan nafas di pangkuannya, pada hal saudara seorang yang pernah taat sembahyang, puasa, tidak minum arak dan tidak menerima rasuah. Salah satu ciri insan bertakwa yang tidak mudah dimenangi oleh semua orang.

Kalau benar ada isteri yang lebih rela suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suami dapat memenuhi tuntutan berpoligami, ini bererti secara langsung atau tidak langsung dia adalah terlibat dengan peri laku si suami.

Pada hakikatnya, keharusan poligami dan cara penyelesaiannya lebih tertakluk kepada kes yang berbeza. Tuntutan isteri agar diceraikan untuk membolehkan suami berkahwin lagi memang banyak berlaku, memperlihatkan protes atas keinginan suami tadi.

Walaupun demikian mungkin tidak berlaku pada semua orang, terutamanya pada isteri yang uzur, tua, sakit, mempunyai ramai anak dan tidak bekerja. Seperkara lain, biarpun tuntutan cerai itu banyak berlaku, kata putus yang ditetapkan oleh syarak ialah di tangan suami. Mereka yang beriman dan takutkan Allah menggunakan kuasa ini sebaik mungkin kerana isteri itu amanah Allah, yang dihalalkan baginya dengan ikatan perkahwinan.

Biarpun poligami seumpama mencabar kesetiaan seorang isteri, pendapat saudara, poligami sebagai pengorbanan terhadap wanita yang dikahwini terutamanya yang menghadapi masalah anak banyak, keselamatan diri, maruah dan sebagainya memang ada logiknya.

Kerana itu dalam keadaan seumpama itu, ada perempuan yang rela dijadikan isteri kedua. Walaupun, bagi yang meminati gadis muda dan cantik, sukar sedikit untuk merangkumkan perkahwinan seperti ini termasuk dalam kategori pengorbanan, biarpun tidak dinafikan ianya melibatkan pengorbanan.

Perilaku saudara juga seumpama bertindak balas terhadap sikap isteri dan keluarga. Biarpun mereka mempunyai kaitan terhadap tindak-tanduk saudara, dosa yang dilakukan seseorang, tidak akan ditanggung orang lain.

Memang benar seperti yang saudara jelaskan bahawa masyarakat memandang amalan berpoligami itu sebagai sesuatu yang halal tetapi dianggap “janggal” atas sebab-sebab yang saling berkait. Berbanding dengan lelaki yang melanggani pelacur-pelacur, bersekedudukan atau perempuan simpanan kadang-kadang dirasakan orang yang berpoligami itu seolah-olah merobek naluri budaya hidup.

Keadaan ini berlaku atas sebab yang saling berkait, di antaranya ialah kerana penyalahgunaan keharusan poligami. Selain dari itu, poligami diamalkan secara berterangan, secara rasmi pada hal amalan melanggani pelacur, bersekedudukan atau menyimpan perempuan simpanan itu dilakukan secara tersembunyi. Walaupun demikian saya berkeyakinan, masyarakat umum tidak akan memandang serong terhadap suami yang berpoligami yang bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya,

Manusia dalam banyak hal lebih mudah malu kepada jiran-jiran, kawan sekerja dan masyarakat sekeliling berbanding dengan Tuhan yang sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka, sama ada malam atau ketika sunyi sepi.

Tidak mudah untuk menyatakan isteri lebih rela suaminya melanggani perempuan jalang, mempunyai perempuan simpanan atau bersekedudukan daripada suaminya berkahwin lagi. Bagi isteri yang terpelajar, berilmu dan menyayangi suaminya, begitu juga ibu bapa atau keluarga akan merelakan seorang suami itu berkahwin lagi daripada terlibat dengan kancah maksiat.

Masyarakat Melayu Islam tahu, poligami adalah sesuatu yang diharuskan, tetapi sesetengah orang tidak gemarkan amalan poligami kerana sikap atau kelakuan sebahagian daripada mereka yang melakukan poligami atau beristeri lebih daripada satu tidak berlaku adil. Ramai yang berpoligami tetapi kewangannya tidak mencukupi. Ada yang tidak mempunyai kerja tetap malahan hidup di atas tulang empat kerat isteri-isteri yang dikahwini. Ketidakadilan itu juga sering berlaku kerana suami yang berkahwin semata-mata kerana nafsu. Mereka inilah yang menyalahgunakan keharusan yang diberi atau ditetapkan oleh Islam.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila aduan yang dilakukan oleh isteri yang terlibat ke pejabat-pejabat kadi kurang mendapat perhatian kerana kekurangan kakitangan yang terlatih, menyebabkan isteri-isteri terus menerus menderita mencari nafkah diri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lebih rumit apabila ketetapan yang diputuskan oleh mahkamah syariah tidak dilaksanakan. Terlalu banyak punca menyebabkan keharusan poligami menjadi sebagai sesuatu yang menakutkan.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Hari ini kita tentunya berbangga mendengar angka umat Islam mencecah hampir 1.8 billion. Namun, bilangan yang ramai sahaja tidak memadai untuk mentakdirkan mereka sebagai umat yang kuat, gemilang dan terbilang. Sebaliknya, umat Islam hari ini rata-ratanya lemah hingga begitu mudah diperkotak-katikkan.

Antara punca utama titik kelemahan umat Islam hari ini amat terkait dengan senario perselisihan dan perpecahan yang begitu membarah di kalangan mereka. Malah jika diperhalusi, perpecahan yang melanda umat berakar-umbikan kepada penyimpangan dan penyelewengan terhadap ajaran sebenar agama.

Sebab itulah, Allah s.w.t. sentiasa memberi penegasan terhadap kepentingan berpegang teguh kepada akidah yang benar bagi mengukuhkan kesatuan umat (Ali-Imran:103 dan Al-An’am:153). Dalam satu hadis Nabi s.a.w. seorang sahabat Abu Najih Al-Irbadh bin Sariyah r.a. pernah diriwayatkan berkata: Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan nasihat yang menggentarkan hati dan mencucurkan air mata kami.

Lalu kami berkata kepada baginda: “Duhai Rasulullah, nasihat ini bagaikan seseorang yang ingin mengucapkan selamat tingal. Lantaran itu berilah kami suatu wasiat”. Maka baginda s.a.w. bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu agar sentiasa bertakwa kepada Allah Azzawajalla serta teguh menurut perintah dan taat, walaupun orang yang memerintahkan kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya orang yang masih hidup di kalanganmu nanti akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka ketika itu hendaklah kamu berpegang-teguh kepada jalanku dan jalan para Khulafa Ar-Rasyidin yang beroleh petunjuk (dari Allah), gigitlah ia dengan gerahammu. Awaslah daripada perkara-perkara yang diada-adakan. Sesungguhnya setiap bidaah itu menyesatkan”. (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi).

Ini merupakan salah satu hadis terakhir Rasulullah sebelum baginda wafat. Hadis tersebut jelas membayangkan realiti umat Islam akhir zaman yang berhadapan dengan pelbagai penyimpangan dan pertelingkahan.

Sememangnya senario perpecahan di dalam Islam bagaikan roda pusingan dan pasang-surut alunan ombak. Ada ketika umat berada di kemucak walaupun masih wujud riak-riak perselisihan. Tetapi ada kalanya kerajaan Islam hancur akibat penyelewengan dan perpecahan.

Lihatlah sorotan sejarah sejak zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin hinggalah kepada empayar-empayar ternama seperti kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah, Islam Andalusia dan Uthmaniah, semuanya tidak terlepas daripada mengalami pasang-surut kegemilangan dan kehancuran.

Sayyid Muhammad Rasyid Ridho dalam tafsirnya Al-Manar menggariskan empat punca utama yang mencetuskan perpecahan hingga terlahirnya pelbagai firqah atau kelompok di dalam Islam. Ini termasuklah soal politik dan perebutan kuasa, pembelaan kepada keturunan dan warisan, pertelingkahan mazhab dalam soal-soal usul mahupun cabang dan mengolah isu-isu agama dengan hanya menurut rasional akal.

Professor Hamka dalam tafsir Al-Azhar pula menyimpulkan bahawa punca perpecahan sebenarnya amat terkait dengan sikap sesetengah pihak yang cuba membawa masuk unsur-unsur asing ke dalam agama. Lebih buruk lagi apabila timbul taksub dan pelampauan yang keras mempertahankan pendirian hingga akhirnya mencetuskan pertentangan hebat sesama Islam.

Telahan Professor Hamka memang ada benarnya kerana jika diterokai sejarah, pelbagai penyimpangan akidah dan aliran pemikiran seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah, Asy’airiyah, Al-Maturudiiyyah dan banyak lagi kelompok lain pada hakikatnya terbina di atas premis politik dan kerakusan untuk berkuasa. Ini termasuklah ajaran yang diharamkan seperti Al-Arqam.

Kebanyakan kelompok penyimpangan ini cuba mengenengahkan idea-idea pelik dan asing daripada kerangka Islam sejati. Pemimpin-pemimpin kumpulan yang berkepentingan pula memanfaatkan kejahilan umat hingga tergamak memperdaya para pengikutnya dengan mencipta hujah dan mengolah doktrin pemikiran tersendiri termasuklah dalam perkara-perkara yang melibatkan akidah mahupun ibadah.

Umat sering tertipu dengan perwatakan mereka yang pada zahirnya tampak warak, kuat beribadah dan hebat bermuamalah. Namun ibadah dan muamalah mereka tidak ada makna lantaran akar akidahnya sesat lagi menyesatkan. Rasulullah s.a.w. turut menukilkan sifat golongan ini: “Mereka membaca al-Quran namun tidak sampai melewati tulang selangka mereka kerana terkeluarnya agama mereka sebagaimana terkeluarnya anak panah dari sasarannya.”

Keserakahan dan ketaksuban kepada jemaah juga seringkali mendorong mereka mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat bahkan menjual-beli kalimah-kalimah Allah untuk menjustifikasi tindakan dan mempertahan pendirian. Sebab itulah Saidina Ali r.a. pernah menyangkal hujah golongan ektrimis agama dengan kata-katanya: “Kalimah yang hak dipergunakan untuk maksud yang batil”.

Justeru umat harus berwaspada terhadap sebarang unsur penyelewengan yang dicetuskan oleh kelompok berkepentingan seperti ini. Islam tidak boleh difahami secara agak-agakan. Islam tidak harus ditelusuri berasaskan nafsu serakah. Sebaliknya Islam harus ditekuni bersandarkan ilmu yang sahih dan dipelajari melalui guru yang berwibawa dan alim. Hanya berpaksikan ajaran Islam sebenar, umat mampu kembali mencipta kejayaan dan kegemilangan hakiki sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Oleh Dr. Amran Kasimin

Soalan:
Bapa saudara saya meninggal lebih kurang dua bulan lepas. Ketika hidupnya, beliau menghadapi masalah yang boleh dikatakan hebat dan menyebabkan kehidupan hariannya tidak begitu tenteram. Menurut seorang ustaz, juga seorang tua yang melibatkan diri dengan perubatan tradisional, bapa saudara saya ini ada saka yang hendak bertuankan dirinya, tetapi kerana amalannya kuat, saka itu tidak berupaya mengganggunya.

Daripada mereka berdua juga, saya mendapat tahu saka ini hendak bertuankan kepada saya. Saya terasa apa yang mereka katakan ada kebenarannya kerana sejak bapa saudara meninggal, kehidupan saya menjadi tidak menentu, cepat marah biarpun kerana sebab yang kecil. Sukar tidur malam, bermimpi didatangi oleh makhluk berjubah hijau pada malam-malam Jumaat beberapa ketika. Ada kalanya saya tidak sedarkan diri apa yang saya lakukan, berjalan seorang diri seolah-olah ada satu kekuatan menarik-narik untuk menapak di belakang rumah waktu maghrib dan banyak lagi perkara yang saya sendiri tidak dapat menghuraikannya.

Apa yang sebenarnya berlaku pada diri saya ustaz? Umur saya sekarang lebih kurang 42 tahun, telah beristeri dan mempunyai beberapa orang anak. – KASSIM, Klang

JAWAPAN:

Tidak mudah untuk membicarakan masalah yang saudara hadapi, kerana ia adalah di luar pengetahuan manusia secara jelas dan dapat dibuktikan dengan pasti.

Persoalan pertama ialah punca masalah yang saudara hadapi yang dikatakan berpunca daripada “saka”. Tidak mudah untuk menjelaskan masalah yang dihadapi oleh saudara itu berpunca daripada saka, yang melibatkan makhluk ghaib; jin-jin, hantu-hantu dan seumpamanya. Hanya mereka yang mempunyai ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib, alam jin-jin sahaja yang boleh menjelaskannya. Itu pun belum pastinya betul.

Berdasarkan alasan ini, orang yang memberi jawapan punca masalah yang sedang saudara hadapi sekarang ini dipercayai mempunyai ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib, tidak kira sama ada dia seorang ustaz ataupun orang yang terlibat dengan perubatan tradisional. Tanpa ilmu yang berkaitan dengannya, seseorang itu tidak berupaya memberi penjelasan punca masalah seperti yang saudara hadapi.

Punca penyakit utama boleh dibahagikan kepada tiga, pertama penyakit berpunca daripada kecederaan fizikal seperti luka, serangan kuman, virus, stres, keracunan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pelbagai masalah timbul termasuk kesukaran tidur malam, mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Punca kedua adalah gangguan daripada jin-jin yang dikaitkan dengan iblis dan syaitan. Punca kedua ini dinafikan oleh sesetengah orang.

Dalam peristiwa yang berlaku di antara Adam dan iblis, iaitu ketika Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepada Adam, semua malaikat sujud, kecuali iblis. Kerananya, Allah menjadi murka lalu melaknat iblis, dihukumkan kafir, akan dimasukkan dalam neraka lalu dihalau dari syurga.

Iblis merasakan bahawa kerana Adamlah maka ia dihukumkan kafir dan dimurkai Allah. Kerana itu dia bersumpah akan menyesatkan manusia, kecuali mereka yang ikhlas di kalangan manusia. Selain menyesatkan, iblis sentiasa menyakiti dan menipu keturunan Adam. Banyak contoh dan bukti betapa iblis cuba mengganggu Adam dan Hawa, mengganggu Nabi Ayub termasuk menipu Qabil dan Habil yang akhirnya mereka berbunuhan. Allah memerintahkan setiap orang agar berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam. Sekiranya gangguan atau ancaman itu tidak wujud, maka apa perlunya seseorang itu berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

Gangguan iblis dan syaitan merangkumi iktikad atau kepercayaan yang boleh menyebabkan seseorang itu sesat; kufur, syirik atau murtad. Selain daripada itu iblis dan syaitan juga mengganggu otak manusia, menyebabkan seseorang mangsa itu berhadapan dengan masalah yang berkaitan dengan otak, pada hati, menyebabkan timbulnya rasa waswas, tidak percaya pada Tuhan, pada agama yang dianuti dan sebagainya. Iblis juga mengganggu jasad manusia menyebabkan seseorang itu berasa sakit pada bahagian jasad yang berkenaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam menurut perjalanan darah.

Punca ketiga ialah gangguan fizikal yang dituruti dengan gangguan iblis dan syaitan. Orang yang lemah tubuhnya akibat kecederaan fizikal, disertai dengan roh yang lemah lebih mudah diganggu oleh iblis dan syaitan berbanding dengan mereka yang tidak menghadapi masalah fizikal. Orang yang berhadapan dengan masalah stres berpanjangan, lebih mudah diserang histeria berbanding dengan mereka yang hidup tenang, suasana yang menggalakkan dan berupaya meraih ketenangan hidup.

Gangguan iblis dan syaitan ke atas manusia adalah sesuatu yang benar. Ia boleh berlaku yang melibatkan bahagian otak, hati, jasad. Seperti manusia, apabila kehidupan makhluk ghaib itu diganggu oleh manusia, biarpun perbuatan tersebut dilakukan di luar pengetahuan, makhluk ini akan bertindak balas. Gangguan boleh berlaku sama ada ketika berada di hutan, di tempat sunyi jauh daripada manusia, di kubur-kubur dan sebagainya. Tanpa kesalahan atau kesilapan manusia makhluk ini juga sering mengganggu manusia kerana di kalangan makhluk ini memang terkenal dengan kejahatannya. Inilah yang dinamakan “gangguan”.

Apabila kegiatan manusia itu disokong atau disertai oleh jin-jin, yang terdiri daripada syaitan atau sebagainya, sama ada makhluk tersebut dibela atau dibuat sahabat, maka ketika itu, orang yang berkenaan telah melakukan perbuatan yang dinamakan “sihir”. Orang yang melakukannya dinamakan “tukang sihir”. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin seperti yang dijelaskan.

Meresap

Dengan ilmu kebatinan yang dipelajari dengan sengaja atau tidak disengajakan, orang yang seperti ini berupaya menyeru jin atau jin-jin tersebut meresap masuk dalam tubuhnya. Ketika itu jasad manusia berkenaan akan menjadi seumpama sarung semata-mata. Kegiatan berikutnya yang dilakukan oleh makhluk iaitu jin yang meresap dalam tubuh tadi.

Ketika inilah orang yang berkenaan boleh melakukan kegiatan tertentu bergantung kepada keadaan. Ia boleh melakukan rawatan, yang dikenali sebagai “rawatan tradisional”, di mana kegiatan tersebut ada kalanya melibatkan amalan menurun, menilik, mengurut dan sebagainya. Penglibatan makhluk ini dalam tubuh, membolehkan seseorang itu melakukan pergerakan silat, biarpun dia tidak pernah mempelajari pergerakan fizikal ilmu persilatan sebelum itu, menjadi kebal dan sebagainya.

Selain daripada itu, makhluk ini juga boleh digunakan untuk menyakiti, atau menyihir orang lain. Menyebabkan lahirnya ilmu penunduk, ilmu penggerun, ilmu pemanis muka dan sebagainya. Perlu diperjelaskan bahawa kegiatan yang dijelaskan di atas ini tidak akan berlaku tanpa adanya penglibatan jin atau jin-jin yang meresap dalam tubuh manusia.

Apabila orang yang memiliki ilmu seperti ini meninggal dunia, makhluk yang terlibat dengan kegiatan individu berkenaan perlu berdampingan atau “dibela” oleh orang lain, semata-mata untuk menyesatkan manusia yang biasanya terdiri daripada saudara-mara. Dari sinilah lahirnya istilah “saka”, iaitu makhluk jin yang berdampingan dengan waris terkeatas itu diturunkan atau dipusakai oleh waris terkebawah, di mana penurunan ini selalunya berlaku di kalangan waris yang rapat.

Penurunan saka ini boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama ia berlaku secara terus, di mana orang yang mempunyai saka itu dengan terang-terangan memberitahu yang dia menurunkan ilmunya kepada orang tertentu. Waris yang terlibat kebanyakannya tidak menyedari bahawa apa yang diturunkan atau yang dipusakai itu adalah terdiri daripada jin-jin atau hantu-hantu. Mereka beranggapan bahawa mereka adalah istimewa berbanding dengan waris-waris lain kerana mewarisi ilmu kebatinan. Keduanya, penurunan ini berlaku menurut kehendak jin itu sendiri, lebih-lebih lagi sekiranya pewaris itu telah meninggal dunia.

Saya tidak pasti bahawa apa yang diperkatakan oleh dua individu yang saudara temui itu benar di mana saudara berhadapan dengan masalah saka. Biar dalam keadaan apa sekalipun, masalah yang berkaitan dengan saka seperti yang saya jelaskan adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku.

Saya perjelaskan lagi bahawa saka dalam kehidupan manusia, dalam konteks ini iaitu manusia Melayu adalah sesuatu yang bukan mustahil berlaku. Ia melibatkan jin-jin, membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu yang luar biasa seperti yang diterangkan. Dan apabila seseorang itu menerima saka, ia akan mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu seperti yang dilakukan oleh orang yang mempunyai saka yang asal.

Selain daripada jenis saka yang saya jelaskan di atas, satu jenis lain ialah saka yang merupakan penyakit atau gangguan daripada jin-jin tidak melibatkan rawatan. Orang yang terlibat apabila diganggu saka, ada kalanya fungsi otaknya menjadi tidak normal, berjalan di tengah malam tanpa dapat mengawal diri, duduk termenung sendirian, marah tidak menentu, mengamuk dan sebagainya termasuk menghantuk-hantukkan kepala ke dinding.

Apabila orang yang berkenaan meninggal, saka tersebut diwarisi oleh seorang atau beberapa orang waris tertentu. Kesan daripadanya mangsa akan menghadapi masalah yang hampir sama dengan masalah yang ditanggung oleh pewaris asal. Ini adalah di antara simptom utama memperlihatkan bahawa masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berpunca daripada saka.

Manusia mudah terdedah kepada masalah termasuk penyakit kerana manusia itu tidak mempunyai ketahanan diri yang ampuh yang dikenali sebagai “body resistance”. Orang yang seumpama ini mudah dijangkiti kuman batuk, selesema, sakit kulit dan sebagainya berbanding dengan orang yang mempunyai ketahanan diri yang kuat.

Begitu juga dengan kekuatan roh, yang berupaya menolak pelbagai masalah kebatinan atau kerohanian termasuk apa yang dikenali sebagai “saka” dalam perbincangan ini.

Kerana itu untuk memperlengkapkan diri daripada diganggu oleh saka iaitu jin-jin tadi, saudara perlu mempunyai roh yang kuat.

Roh yang kuat perlu pemahaman agama, di mana ia akhirnya diterjemahkan melalui amalan atau ibadah. Hanya dengan ilmu sahaja seseorang itu menaruh keyakinan terhadap Allah dan ada rasa ikhlas ketika melakukan amalan-amalan tersebut. Itulah yang dikenali sebagai amalan bertakarub, iaitu memperhambakan diri kepada Allah lalu akhirnya seseorang itu mendapat kurnia kasih Allah. Apabila ini berlaku, orang yang berkenaan akan memperoleh kekuatan zahir dan batin. Ketika ini apabila dia bermohon, Allah akan memperkenankannya, dan ketika memohon perlindungan, Allah akan melindunginya. Demikianlah janji-janji Allah terhadap hamba kekasih-Nya.

Amalan ini melibatkan ibadah pada waktu malam, dimulai dengan sembahyang taubat, kemudian beristighfar, sembahyang tahajud, sembahyang tasbih, berzikir, selawat dan diakhiri dengan sembahyang hajat.

Amalan ini mempunyai kaedah tersendiri yang perlu dipelajari. Untuk keterangan lanjut saudara boleh merujuk buku-buku bertajuk, Memperkasa Diri atau buku bertajuk Tanda Sihir & Kekuatan Roh Untuk Mengatasinya, yang ditulis oleh Dr. Amran Kasimin. Semoga Allah memberi hidayah kepada saudara juga mereka yang menghadapi masalah yang serupa.

Oleh: SYEIKH YUSUF AL-QARADAWI

PERKATAAN kafir adalah satu perkataan yang amat berbahaya, yang wajib ke atas semua muslim berhati-hati dan berfikir sejenak sebelum mengucapkannya – walaupun dia berhak atau layak melafazkannya ke atas orang lain – memandangkan bahaya yang dibawa oleh perkataan itu kepada orang yang berkata dan orang yang dikata, di dunia dan di akhirat.

Malah saya ingin tegaskan di sini bahawa hukum mengkafirkan seseorang manusia adalah satu jatuhan hukum yang benar-benar berbahaya.

Ini memandangkan kepada kesan-kesan berbahaya yang terjadi ekoran perbuatan tersebut, antaranya ialah:

1. Tidak halal bagi si isteri kekal bersamanya serta wajib dipisahkan antara kedua-duanya. Ini kerana, menurut ijmak (persepakatan) ulama, seorang perempuan Islam tidak sah menjadi isteri kepada seorang kafir.

2. Anak-anaknya tidak harus kekal di bawah jagaannya kerana dia tidak lagi bertanggungjawab ke atas mereka serta dikhuatiri akan mempengaruhi anak-anak dengan kekafirannya.

3. Hilang hak memerintah serta hak mempertahankan masyarakat Islam selepas dia keluar daripadanya dengan kekafiran yang nyata. Malah, dia wajib dipisahkan dan dikenakan sempadan serta had moral dalam masyarakat sehingga dia sedar dan kembali kepada kewarasannya.

4. Dia wajib dihakimi di hadapan hakim-hakim Islam untuk dilaksanakan ke atasnya hukum murtad selepas dinasihatkan supaya bertaubat, dihilangkan segala keraguan daripada pemikirannya dan dikemukakan kepadanya hujah-hujah.

5. Apabila meninggal, tidak dijalankan ke atasnya hukum-hukum Islam. Maka dia tidak dimandikan, tidak disembahyangkan dan tidak ditanam di tanah perkuburan Islam serta tidak berhak membuat wasiat sebagaimana dia tidak boleh mewarisi harta pesaka.

6. Sekiranya dia mati dalam keadaannya kafir, ia mengundang laknat daripada Allah, dijauhkan daripada rahmat-Nya serta kekal di dalam api neraka jahanam.

Justeru, ekoran hukuman-hukuman yang berbahaya ini, maka wajib ke atas sesiapa sahaja yang ingin mengkafirkan makhluk Allah berfikir berulang kali sebelum berkata apa yang ingin dikatakan.

Sehubungan itu, kita wajib merujuk kepada nas-nas daripada al-Quran dan sunah bagi menetapkan suatu kaedah atau fakta-fakta syari’e yang wajib dipegang dalam membahaskan tajuk berbahaya berkaitan agama Allah dan kehidupan manusia seperti kes pengkafiran ini.

Pegangan dan pergantungan kita secara keseluruhannya adalah kepada nas-nas yang tetap dan terpelihara daripada kitab Allah dan sunah rasul-Nya. Apabila kita bersaksikan dengan kata-kata sesetengah ulama, itu tidak bermakna kita mengiktiraf kata-kata mereka sebagai hujah, tetapi untuk mengambil nasihat atau pandangan daripada kefahaman mereka terhadap nas-nas supaya kita tidak terjerumus ke dalam keraguan dan waswas atau melagakan ayat-ayat dan hadis-hadis antara satu sama lain.

Dalam pada itu, kita juga berpegang bahawa umat terdahulu yang terdiri daripada sahabat dan sesiapa yang mengikut mereka adalah umat yang paling lurus jalannya, paling sah kefahaman dan yang paling fakih tentang roh Islam.

Maka, setiap apa yang kita peroleh daripada ulama salaf tentang sesuatu petunjuk atau panduan, kita tidak akan berpaling kepada ciptaan dan rekaan orang yang selepas mereka. Dengan penyaksian daripada Rasulullah s.a.w, mereka berada dalam sebaik-baik kurun.

Seterusnya, sesiapa yang mengikuti perkembangan dan sebab-sebab yang membawa kepada gejala pengkafiran ini, mereka akan dapati beberapa perkara, antaranya:

1. Merebaknya kekufuran dan kemurtadan secara nyata dalam masyarakat Islam serta sikap berlengah anggota masyarakat terbabit dengan kebatilan golongan kafir ini. Malah mereka menggunakan alat-alat penyiaran dan sebagainya untuk menyebarkan kekufuran mereka kepada masyarakat awam tanpa ada sesiapa yang menghalang atau mengembalikan mereka daripada kekufuran dan kesesatan.

2. Sikap mengambil mudah sesetengah ulama terhadap golongan kafir sebenar dan kewujudan serta bilangan mereka dalam masyarakat Islam sedangkan Islam bebas daripada golongan berkenaan.

3. Kelemahan kempen pemikiran Islam yang sejati dan dakwah Islamiah yang selari dengan al-Quran dan sunah. Selain itu, perbuatan membebankan diri mereka sendiri dan menyempitkan lingkungan dakwah mereka.

Bagi golongan pemikiran bebas, kelemahan dan sikap menyempitkan sedemikian hanya akan melahirkan hala tuju pemikiran yang menyeleweng, jauh daripada cahaya petunjuk serta perbincangan terbuka.

4. Kekurangan bekalan dalam diri pemuda-pemudi Islam dalam memahami Islam dan usul-usulnya serta tidak mendalami ilmu-ilmu Islam dan ilmu bahasa.

Keadaan ini menyebabkan mereka mengambil hanya sesetengah nas dan meninggalkan setengah yang lain ataupun mengambil nas-nas yang syubhat (diragui) dan melupakan nas-nas yang muhkamat (tetap). Mereka juga hanya mengambil serpihan-serpihan dan melupakan kaedah-kaedah yang menyeluruh serta memahami sesetengah nas dengan kefahaman yang tidak mendalam.

Begitulah keadaannya bagi mereka yang mengeluarkan fatwa pada perkara-perkara yang berbahaya tanpa keahlian dan kelayakan yang mencukupi.

Keikhlasan sahaja tidak mencukupi tanpa disandarkan kepada pemahaman yang mendalam terhadap syariat Allah dan hukum-hukum-Nya. Jika tidak, nescaya mereka akan terjerumus ke lembah yang pernah dihuni oleh kumpulan Khawarij sebelum ini, kumpulan yang mengesahkan hadis-hadis dengan pelbagai wajah atau cara, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahmad. Itupun dalam keadaan mereka benar-benar menjaga serta memelihara akidah dan amalan ibadat mereka.

Atas alasan inilah, imam-imam daripada ulama salaf mewasiatkan supaya ilmu dituntut sebelum beribadat dan berjihad supaya tidak terpesong dari jalan Allah tanpa disedari.

Imam Hassan Al-Basri pernah berkata: “Orang yang beramal tanpa ilmu ibarat orang yang berjalan tanpa jalan. Dan orang beramal tanpa ilmu lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Maka tuntutlah ilmu dengan cara yang tidak memudaratkan ibadat dan beribadatlah dengan cara yang tidak memudaratkan ilmu.”

Oleh Mohd. Zain Abd. Rahman
PENGARUH pemikiran tasawuf Imam Ghazali di alam Melayu dapat dilihat dalam pelbagai penghasilan ulama alam Melayu, daripada para bijaksana abad ke-17 Masihi seperti Syeikh Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatarani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf al-Singkili dan Yusuf al-Makasari, hingga ke barisan budiman abad ke-19 Masihi seumpama Muhammad Nafis al-Banjari, Abdul Samad al-Palembani, serta Daud al-Fatani.

Karya-karya yang merentas zaman ini merupakan bukti kukuh tentang wujudnya satu rantaian intelektual yang menghubungkan ilmuwan dunia Melayu, bukan semata-mata dengan tiga tokoh tersohor di atas, tetapi juga dengan nama-nama besar seperti Ibn Arabi, Ibn Ata’ Allah al-Sakandari, Junayd al-Baghdadi, al-Jili, al-Sha’rani, al-Qushashi, al-Burhanpuri, al-Kurani dan al-Sammani.

Kesan pemikiran Imam Ghazali juga dapat dijejaki dalam berbagai naskhah Jawa. Wejangan Seh Bari atau kitab Sunan Bonang, misalnya, mencatatkan dua karya Imam Ghazali, iaitu Ihya’ Ulum al-Din dan Minhaj al-’Abidin, sebagai bahan rujukan masyarakat Jawa pada kurun ke-16 Masihi.

Malah, Serat Centhini yang menceritakan majlis diskusi Jeyangresmi dengan tokoh-tokoh agama menyebutkan 20 buah kitab Arab yang menjadi rujukan dan sebahagian daripadanya adalah karangan Imam al-Ghazali.

Dampak pendekatan tasawuf Imam Ghazali di alam Melayu menjadi lebih jelas dan nyata apabila karya-karyanya mula diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi. Ulama-ulama yang bertanggungjawab terhadap usaha ini ialah Syeikh Abdul Samad al-Palimbani dan Syeikh Daud al-Fatani.

Mereka berdua telah menterjemahkan tiga magnum opus Imam Ghazali, iaitu Ihya’ Ulum al-Din, Bidayat al-Hidayah dan Minhaj al-’Abidin.

Antara karya-karya Shaykh Abd al-Samad al-Palimbani yang beredar luas di alam Melayu adalah Hidayat al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqiin dan Sayr al-Salikin ila Ibadah Rabb al-Alamin. Kedua-dua karya ini ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi dan ditujukan khas kepada penduduk tempatan yang kurang mahir dengan bahasa Arab.

Hidayat al-Salikin yang diselesaikan di Mekah pada tahun 1778 dicetak beberapa kali di Mekah (1870 dan 1885), Bombay (1895), Kaherah (1922), Surabaya (1933), Singapura, Malaysia dan Patani (tanpa tarikh). Manakala kitab Sayr al-Salikin, yang terdiri daripada empat bahagian dalam dua jilid ditulis di Mekah dan Taif antara tahun 1780 dan 1788.

Ia juga dicetak beberapa kali di Mekah (1888) dan Kaherah (1893 dan 1953) dan selanjutnya diulang cetak di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Patani.

Hidayat al-Salikin yang membicarakan aturan-aturan syariat dari sudut tasawuf sering dianggap sebagai semata-mata terjemahan karya Imam Ghazali berjudul Bidayat al-Hidayah. Namun demikian, adalah lebih tepat sekiranya karya ini dianggap sebagai adaptasi daripada Bidayat al-Hidayah sebab al-Palimbani sendiri, di samping menterjemahkan karya al-Ghazali, turut menambah sejumlah tajuk-tajuk dan bahan-bahan lain.

Kitab ini, selain menyatakan kelebihan, kaifiat dan adab berzikir dalam kehidupan harian, juga membicarakan kaifiat berbuat taat, beribadat secara zahir dan batin, serta menjauhkan diri daripada segala maksiat yang zahir dan batin.

Dalam pada itu, kitab Sayr al-Salikin yang merupakan lanjutan perbincangan Hidayat al-Salikin adalah saduran kitab Lubab Ihya’ Ulum al-Din yang didakwa ditulis oleh adik Imam Ghazali sendiri, iaitu Ahmad bin Muhammad al-Ghazali.

Seperti Hidayat al-Salikin, Sayr al-Salikin bukan sekadar terjemahan Lubab Ihya’ kerana al-Palimbani turut memasukkan bahan-bahan tambahan daripada para ulama lain seperti Ibn Arabi, al-Jili, Ibn Ata’ Allah, al-Sha’rani, al-Burhanpuri, al-Qushashi, al-Kurani, dan al-Sammani, selain menyadur karya-karya para pendahulunya di alam Melayu seperti Abdul Ra’uf al-Sinkili dan Shamsuddin al-Sumatrani.

Di dalam kitab tersebut al-Palimbani membahagikan proses pembelajaran ilmu tasawuf kepada tiga peringkat, yakni permulaan (mubtadi), pertengahan (mutawassit), dan penamat (muntahi).

Di samping menghuraikan setiap peringkat tersebut, beliau turut menyediakan senarai lengkap bahan-bahan bacaan bagi setiap tahap. Bahan-bahan bacaan bagi peringkat permulaan yang semuanya berjumlah 56 buah, termasuk 6 karya utama Imam al-Ghazali, merupakan huraian tentang kewajiban memenuhi syariat di sepanjang jalan kerohanian, selaras dengan kata-kata Imam Malik ibn Anas “man tasawwafa wa-lam tafaqqaha, faqad tazandaqa. Wa man jama’a baynahuma faqad tahaqqaqa” (barang siapa yang mendalami ilmu tasawuf tanpa menguasai ilmu fikah, maka sesungguhnya jadilah ia zindiq. Dan barang siapa menghimpunkan kedua-duanya, maka sesungguhnya berolehlah ia akan ilmu hakikat, iaitu makrifat akan Allah).

Seorang lagi pendokong tasawuf Ghazali di alam Melayu ialah Syeikh Daud al-Fatani yang menterjemahkan kitab Minhaj al-Abidin, karangan al-Ghazali, ke dalam bahasa Melayu. Terjemahan bahasa Melayu dengan tulisan jawi ini disiapkan di Mekah pada tahun 1825 dan pertama kali diterbitkan di Istanbul pada 1887.

Ia kemudiannya dicetak di Mesir oleh Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyah, sebuah syarikat penerbitan buku terkemuka di Mesir yang masih beroperasi hingga ke hari ini. Terjemahan ini diulang cetak berbilang kali oleh syarikat penerbitan tempatan seperti Ma’arif Press di Pulau Pinang dan Muhammad Nahdi di Patani dengan menggunakan edisi cetakan Mesir, dan masih beredar di pasaran Nusantara sehingga ke hari ini.

Dari segi kandungannya, Minhaj al-Abidin memberi penekanan kepada penjagaan lima pancaindera badan iaitu mata, telinga, lidah, perut, dan hati daripada sebarang maksiat yang akan memudaratkan pekerjaan agama.

Di samping itu, perkara halal dan haram dalam kehidupan harian turut ditekankan kerana rezeki yang kita nikmati akan menjadi darah daging kita, justeru ia menentukan kesucian hati seseorang.

Dengan demikian, diri ruhani seseorang akan terpelihara dan seterusnya dapat meningkatkan rasa takwa kepada Allah Taala.

Rangkuman ketiga-tiga kitab di atas tadi, iaitu Ihya’ Ulum al-Din, Bidayat al-Hidayah, dan Minhaj al-Abidin, menyediakan satu metodologi sempurna untuk memelihara diri lahir dan batin daripada dihinggapi sebarang penyakit yang bukan sahaja merosakkan keperibadian seseorang Muslim, malah menghakis segala mutu ibadatnya.

Sesungguhnya sajian ketiga-tiga karya ini tidak terbatas oleh ruang lingkup tempat dan masa. Malah pengajarannya sangat diperlukan oleh masyarakat sekarang akibat gejala keruntuhan akhlak yang semakin meruncing.

Oleh yang demikian, saranan-saranan yang diberikan oleh Imam Ghazali sebenarnya cukup penting untuk dijadikan ubat mujarab bagi mengubat penyakit yang mendasari tingkah laku dan perangai manusia.

Sehubungan dengan itu, Syeikh Daud menyimpulkan bahawa “Ihya’ Ulum al-Din kitab yang menghidupkan segala hati yang mati, tempat kembali pekerjaan yang dicita atasnya di dalam amal dan mulazamah akan dia oleh empunya qulub.”

Malah Shaykh Abd al-Qadir al-Aydarus dalam kitabnya Ta’rif al-Ahya’ bi-Fada’il al-Ihya’ menyebutkan: “Bermula kitab Ihya’ Ulum al-Din itu terhimpun di dalamnya itu sekalian rahsia ilmu syariat dan ilmu tarekat; dan kitab Bidayat al-Hidayah itu terhimpun di dalamnya ilmu takwa iaitu ilmu yang membawa takut akan Allah Ta’ala; dan kitab al-Arba’in fi Usul al-Din itu terhimpun di dalamnya kenyataan jalan yang sebenar-benarnya; dan kitab Minhaj al-Abidin itu terhimpun di dalamnya jalan menyampaikan kepada Allah Ta’ala; dan kitab al-Khulasah fi al-Fiqh itu terhimpun di dalamnya ilmu dan amal yang menerangi akan hati sekalian manusia.”

- Mohd. Zain Abd. Rahman adalah sarjana penyelidik di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel abumannan@hotmail.com

Wacana Islam
Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID
DALAM kehidupan kita seharian, perkataan `amanah’ sudah menjadi bahasa sehari-hari. Sebutan `amanah’ dianggap sebagai kata biasa atau bersifat umum sedangkan kata amanah seperti yang tercatat di dalam al-Quran dan hadis mengandungi makna yang begitu mendalam dan merupakan salah satu kunci dalam konsep syariah, khususnya yang berkaitan dengan urusan muamalat.

Dalam konteks yang lebih luas, kata amanah mempunyai makna yang mendalam dan fundamental dalam Islam. Ia bukan saja mempunyai kaitan yang erat dengan hakikat kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga sarat dengan nilai-nilai etika yang dapat diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Justeru itu Allah berfirman dalam surah al-Ahzaab ayat 72 yang bermaksud:

Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Hanya manusia yang mampu untuk memikul dan mengembangkan amanah yang ditawarkan oleh Allah s.w.t. kerana manusia memiliki kemampuan yang dianugerahkan oleh Allah, walaupun mereka kemudian ternyata gagal melaksanakan amanah Allah s.w.t. Malah sebaliknya melakukan pelbagai penyelewengan dan kezaliman terhadap dirinya sendiri mahupun orang lain serta bertindak bodoh dengan mengkhianati amanah itu.

Amanah adalah salah satu prinsip kepimpinan. Seorang pemimpin atau ketua negara, adalah seorang pemegang amanah, baik amanah daripada Tuhan mahupun rakyat.

Justeru dalam menegakkan keadilan, pemimpin perlu bersifat amanah iaitu jangan sampai terpengaruh oleh hubungan suka atau tidak suka kepada seseorang. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang atau golongan atau kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.

Firman Allah yang bermaksud:

Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. – (sebahagian maksud al-Quran surah al-Ma’idah ayat 8).

Dalam ilmu-ilmu sosial dijelaskan bahawa segala tindakan manusia yang sudah pasti ialah melanggar keadilan iaitu tindakan menggunakan kekuasaan. Oleh sebab itu, kekuasaan dalam agama kita harus dilihat sebagai amanah Allah s.w.t. Dan amanah itu harus kita laksanakan dengan seadil-adilnya.

Jangan sekali-kali kita menyalahgunakan kekuasaan yang diamanahkan oleh rakyat, sebab kuasa mutlak yang kita miliki bukan bersifat kekal. Kerana kadang-kadang kekuasaan itu cenderung membawa manusia untuk melakukan penyelewengan. Justeru kekuasaan tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan oleh masyarakat.

Al-Quran ada menyebut tentang penyalahgunaan kekuasaan iaitu dengan bertindak melindungi tindakan-tindakan yang salah. Melalui kekuasaan itu mereka akan melakukan apa sahaja helah atau tipu daya untuk melindungi kesalahan orang lain yang ternyata bersalah.

Membenarkan perbuatan yang salah atau menyeleweng dengan menggunakan legal device (muslihat hukum) adalah bercanggah dengan pengertian amanah yang dikehendaki oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah ayat 188).

Memiliki kekuasaan sebagai ketua jabatan bukan hak peribadi, tetapi ia adalah hak masyarakat. Apa jua pemberian atau hadiah yang diberi kerana ada hubungan atau kaitan dengan jabatan yang kita kuasai, ia seharusnya ditolak. Dalam satu peristiwa di zaman Nabi ada seorang pekerja pejabat yang menerima hadiah dan enggan menyerahkannya kepada negara, lalu Nabi bersabda: Cubalah dia duduk di rumah ibunya, apakah ia diberi hadiah?

Janganlah jadikan kata `amanah’ sekadar di bibir sahaja. Sangat besar dosanya orang yang menganjurkan agar bersifat amanah tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. (Maksud al-Quran surah as-Saf ayat 2-3).

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Oleh Abd. Manaf Ahmad

PEMIMPIN agung kita Nabi Muhammad s.a.w mengutamakan perdamaian daripada peperangan. Peperangan adalah jalan keluar terakhir apabila tidak ada lagi pilihan lain.

Selagi ada ruang untuk berdamai, maka peluang itu dipergunakan sepenuhnya. Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah yang terakhir telah menunjukkan jalan dan contoh terbaik kepada kita bagaimana hendak menjayakan satu-satu perundingan.

Baginda selalu berlembut dan bersabar, walaupun berhadapan dengan orang yang keras kepala dan tidak tahu adab perbincangan.

Sejarah perdamaian Hudaibiah yang terkenal itu patut dikaji dan dicontohi.

Mengikut catatan ahli sejarah Islam termasyhur Imam Abul Fida Ismail bin Kathir (701-774 Hijrah), bahawa Nabi Muhammad telah berangkat menuju ke Kota Mekah untuk menunaikan ibadat umrah dalam bulan Zulkaedah bersama-sama 1,400 orang Islam.

Menurut Sirah ibn Hisham, Nabi Muhammad telah memakai pakaian ihram dengan tujuan hendak menunaikan umrah.

Memakai ihram adalah satu lambang perdamaian kerana di dalam Islam orang yang memakai ihram untuk mengerjakan umrah atau haji dilarang sama sekali bergaduh apatah lagi berperang.

Apabila Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya yang berpakaian ihram sampai di satu perkampungan bernama Hudaibiah yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari kota Mekah, kaum Quraisy menghalang mereka supaya tidak meneruskan perjalanan ke kota Mekah. Mereka meninjau dan merisik keadaan sebenar ketibaan Muhammad dengan angkatannya yang besar itu.

Pihak berkuasa Quraisy yang berpusat di Mekah telah menghantar seorang pengintip bernama Budail bin Waraqah untuk membuat risikan terperinci.

Beliau kemudian menyedia dan menghantar laporan berkenaan kepada perhimpunan Quraisy. Beliau menyebut bahawa ketibaan Nabi Muhammad itu bukanlah bertujuan hendak berperang tetapi hendak menziarah Kaabah.

Pemimpin Quraisy tidak mengiktiraf dan tidak mempercayai laporan itu malah memarahi Budail.

Selepas itu mereka menghantar seorang yang lebih dipercayai bernama Hulais. Selepas menyiasat dan mengintip, didapati Nabi Muhammad sebenarnya datang untuk beribadat semata-mata bukan bertujuan hendak berperang.

Mengikut at-Tabari, laporan Hulais itu mendapat kritikan yang lebih hebat lagi.

Pemimpin Quraisy tidak mempercayai laporan itu benar. Oleh kerana Hulais adalah seorang pemimpin suku kaum yang terkenal di kalangan mereka, beliau telah mengugut hendak menarik diri daripada pakatan dengan kaum Quraisy hingga mereka terpaksa berlembut.

Setelah berbincang panjang, mereka membuat keputusan memilih seorang tokoh baru bernama `Urwah bin Mas’ad, tetapi beliau menolaknya kerana kekasaran yang dilakukan terhadap orang yang ditugaskan sebelumnya. Mereka meminta maaf dan merayu supaya Urwah dapat menunaikan keputusan yang telah dibuat itu. Beliau akhirnya bersetuju.

Untuk mendapatkan kepastian, Urwah sendiri pergi menemui Nabi Muhammad. Setelah selesai tugas, Urwah pun pulang membuat laporan kepada pemimpin-pemimpin Quraisy. Laporannya serupa dengan utusan-utusan yang terdahulu tetapi Urwah menambah:

“Saya telah banyak kali berpeluang menghadap raja-raja di dunia ini tetapi belum pernah saya lihat keagungan dan kebesaran seperti Nabi Muhammad.”

Dengan itu kaum Quraisy telah mengadakan perbincangan yang panjang dan berhari-hari menyebabkan kaum muslimin merasa gelisah. Nabi Muhammad telah membuat keputusan menghantar utusannya pula kepada kaum Quraisy, tetapi malangnya utusan itu cuba dibunuh tetapi terselamat apabila dihalang oleh pengikut Al Hulais, utusan Quraisy yang kedua dulu.

Selepas itu junjungan besar kita memilih Umar bin al-Khattab untuk berunding dengan kaum Quraisy di kota Mekah, tetapi beliau menasihati Rasulullah supaya memilih orang lain kerana beliau seorang yang terkenal kasar dan garang di Mekah dahulu.

Pemilihannya tidak akan mendatangkan hasil yang baik kepada misi Rasulullah. Beliau mencadangkan supaya tanggungjawab yang sensitif itu diserah kepada Uthman bin Affan yang bersifat lemah lembut dan bersopan santun serta pemurah.

Nabi Muhammad telah menerima saranan Umar dan Uthman pula bersedia menjalankan tugas yang berat itu.

Setelah selesai membuat perundingan dengan kaum Quraisy, Uthman ditawarkan mengerjakan ibadah tawaf, tetapi beliau menolaknya sambil berkata, “Saya tidak akan bertawaf sebelum Rasulullah sendiri bertawaf. Kami semua datang hendak beribadat dan menziarahi Kaabah kemudian pulang semula ke Madinah.”

Pemimpin Quraisy Mekah menegaskan kepada Uthman bahawa Nabi Muhammad tidak dibenarkan sama sekali masuk ke Mekah tahun ini. Perbincangan dan perundingan itu memakan masa yang lama hingga timbul waswas dan syak di kalangan pengikut Nabi Muhammad bahawa orang Quraisy telah membunuh Uthman sehinggalah beliau pulang dengan selamat. Selepas itu suasana menjadi tenang semula. Kesan penjelasan Uthman kepada kaum Quraisy itu membuka hati mereka untuk memulakan rundingan perdamaian dengan menghantar utusan mereka yang bernama Suhail bin Omar menemui Nabi Muhammad.

Rundingan perdamaian itu berjalan begitu panjang. Kadang-kadang suasana menjadi begitu tegang dan hampir gagal, tetapi baginda Rasulullah berhati-hati dan sangat bersabar dengan harapan rundingan perdamaian itu mendapat kejayaan.

Bagaimanapun sahabat-sahabat Nabi yang menyaksikan perundingan itu mendengar sahaja perbincangan yang berjalan, walaupun ada sesetengah daripada mereka merasa geram dengan sifat utusan dan wakil Quraisy Suhail bin Omar yang kasar dan jauh sekali beradab dalam perbincangan.

Baginda telah meminta Saidina Ali bin Abi Talib mencatat butiran persetujuan yang tercapai. Baginda memulakan suara perjanjian itu dengan menyebut:

“Bismillahir rahmanir rahim.” Suhail segera membantah. “Tunggu dahulu. Aku tidak mengerti ini semua!” Nabi menerima bantahannya. Nabi merencanakan semula kepada Saidina Ali butir-butir berikut: “Ini perjanjian perdamaian di antara Muhammad Rasulullah dengan Suhail bin Omar.” Rasulullah terhenti kerana Suhail mencelah lagi dengan katanya, “Kalau kami percaya yang engkau itu Rasulullah tentulah kami tidak berperang dengan kamu.”

Selepas itu Rasulullah bersabda, “Tulislah: Inilah perjanjian damai di antara Muhammad bin Abdullah…”

BERSAMBUNG…

Next Page »