KELUARGA


HIDUP berjiran memerlukan kita banyak bersabar, kerana ada jiran yang boleh makan sepinggan dengan kita. Tetapi kalau bernasib malang, kita akan menerima tekanan hidup sepanjang hayat apabila jiran bertindak sebaliknya.

Tetapi banyak pepatah orang tua-tua kita yang memuji-muji hidup berjiran yang menggalakkan hidup bermuafakat terutama kalau kita berada dalam kepayahan, jiranlah orang pertama yang akan datang menghulurkan bantuan, bukannya saudara-mara kita yang tinggal berjauhan. Sebab itu jiran amat penting dalam hidup kita.

Orang tua-tua memuji-muji jiran tetangga yang baik seperti pepatah yang berbunyi, `Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat,’ ataupun `Jiran muafakat membawa berkat’ dan banyak lagi.

Namun kita tidak nafikan ada jiran tangga yang bukan sahaja tidak boleh bertentang mata dengan jirannya, malah sering berperang. Jiran seperti ini tidak salah kalau saya katakan jiran yang paling malang hidup mereka, sebab mereka tidak tahu nikmat berbaik-baik dengan jiran.

Orang tua-tua pernah berkata, jiran tetangga yang baik merekalah adik-beradik kita di dunia dan di akhirat. Sebabnya ketika kita berada dalam keadaan kesusahan terutama ketika sakit pening pada waktu malam, merekalah orang pertama yang akan datang menghulurkan bantuan kepada kita sebelum adik-beradik atau saudara-mara kita datang.

Sebab itulah orang tua-tua menganggap jiran adalah adik-beradik yang paling rapat kerana zaman sekarang ini jarang benar kedapatan adik-beradik duduk berjiran dengan kita seperti di kampung.

Bercakap pasal jiran inilah saya membawakan sebuah kisah yang mungkin pahit untuk ditelan oleh jiran malang ini. Kisah ini datangnya daripada seorang jiran yang hanya menamakan dirinya sebagai Id sahaja dalam e-mel yang dikirimkan kepada penulis.

“Saya mungkin antara golongan jiran yang paling malang sekali sebab saya mendapat jiran yang bukan sahaja menyusahkan hidup saya, sebaliknya sering mengguris perasaan kami anak-beranak dengan perbuatan dan sikap anak mereka yang amat menyakitkan hati kami semua.

“Kalau ada orang lain merasa gembira kerana jiran mereka amat baik dan sering membantu ketika menghadapi kesulitan, sebaliknya jiran saya anak-beranak telah menyusahkan kami, tak tahulah apa nasib kami mendapat jiran seperti ini.

“Biarlah saya berterus terang bahawa hubungan kami sekeluarga dengan jiran tetangga kami kini telah retak akibat perbuatan dua orang anak perempuannya, dalam belasan tahun, yang mempunyai tabiat pelik dan amat buruk iaitu suka mencuri. Pantang terpandang benda-benda baru dalam rumah kami di ambilnya macam miliknya sendiri.

“Tak cukup di situ satu lagi perbuatan buruknya ialah suka mencuri pakaian kita di ampaian, terutama kalau melihat pakaian anak saya yang elok-elok sikit ataupun yang berjenama. Mereka berani ambil dan kemudian memakainya di depan mata kami sendiri, bila kita tanya dia boleh selamba kata dialah yang punya dan emak bapak dia yang beli.

“Beberapa tahun dulu memang kita tak kuasa nak panjangkan cerita, bila dia kata dia punya kita cuma diam aja, tetapi semakin usia anak saya bertambah besar begitu juga dirinya, kami rasa kami tak patut berdiam diri lagi. Kerana perbuatan mereka memang mencabar kesabaran kita yang mengalah selama ini.

“Mereka boleh ambil sesuka hati harta benda kita, tak kira sama ada kasut itu terletak di luar ataupun di tempat kasut. Begitu juga dengan pakaian yang berjenama dia berani ambil semua. Lepas itu mereka boleh pakai sehingga lusuh, bila dah jahanam bangkainya pun kami tak jumpa, entah tong sampah mana dibuangnya.

“Budak-budak tu pandai memilih barang apa yang popular di pasaran, bila mereka lihat anak-anak saya pakai, siap tak lamalah dalam simpanan dan perhatian kami, pakai dok hilang ajalah. Takkan kasut pun nak simpan dalam almari? Kita fikirkan jiran tentu baik takkanlah mereka sampai nak ambil harta benda kita pulak buat macam harta sendiri.

“Antara barangan yang menjadi kegemaran mereka termasuklah baju T yang berjenama, kemeja dan trackpants dan kasut. Sebenarnya bukan baru kini sahaja kejadian ini berlaku dah lama dah, kurang lebih tujuh lapan tahun. Sekali dua bolehlah kita kata mungkin mereka beli di kedai yang sama ataupun memang jenama popular semua orang suka. Tetapi kalau pakaian tersebut memang jarang orang beli dan kita dapatpun sebagai hadiah dari kawan-kawan di luar negara, tentu kita syak itu kita punya.

“Dari peristiwa-peristiwa seperti itulah akhirnya kami anak- beranak dapat tangkap bahawa memang mereka yang ambil barangan milik kami. Tetapi malangnya bila kita tanya mati balik hiduppun mereka tak mengaku, walaupun pakaian tersebut jelas-jelas ada tanda-tanda khas yang kami buat.Ê Contohnya baju panjang yang ada hood jelas baju itu milik anak kami, tapi dia tak mengaku. Lepas tu dia boleh lalu lalang depan kami memperagakan pakaian tersebut. Hati siapa tak sakit.

“Peristiwa yang kami tak boleh lupakan bila anak saya yang sudah hilang sabar kerana dia tahu pakaian itu miliknya maka diapun pergilah bertanya dengan kawannya itu, tetapi malangnya ibunya boleh cakap “Kau orang ingat kau sorang aja yang banyak baju dan mampu beli pakaian yang mahal-mahal, kau ingat kami anak-beranak tak mampu? Kau orang datang bertanya biar baik-baik jangan nak cari pasal tuduh orang bukan-bukan.”

Lantas menghempas pintu depan muka kami.

“Orang lelaki ini (suami saya) biasalah tak mahu campur tangan dalam soal-soal tetek-bengek ini, hinggalah satu hari anak saya mula mengira baju-baju dan seluarnya yang hilang. Akhirnya anak saya minta izin ayahnya untuk berjumpa dengan ayah jiran kami itu (kawan dia jugalah). Ayahnya hari itu agak rasional sikit dia terus naik ke bilik untuk mengira baju dalam almari anaknya.

“Apabila dah setuju barulah dia benarkan anak kami pergi bertanya sekali lagi, pendek kata sudah beberapa kali anak kami pergi bertanya, sebab anak kami merasa amat pasti pakaian tersebut miliknya, begitu juga tentang kasut dan topi yang menjadi kegemarannya. Kadang-kadang kami naik pelik mengapa budak-budak remaja ini mempunyai sifat mencuri seperti ini dan langsung tidak ada perasaan malu apabila mengambil pakaian dan kasut orang di ampaian ataupun yang terletak di tempat kasut.

“Kadang-kadang saya terfikir juga adakah anak-anak ini menjadi tabiat suka mengambil harta orang kerana sikap ibu dan bapa mereka yang tidak melarang atau menasihati anak-anak mereka sendiri. Ataupun kerana ikut jejak langkahÉ macam pepatah kata orang tua-tua `bapak borek anak rintik.’

“Saya juga merasa sedih dan bersalah, sebab dulu saya sering mendakwa pakaian yang hilang kerana dicuri oleh budak-budak jahat yang sering lalu lalang di hadapan rumah kita ataupun budak-budak peminta sedekah. Rupa-rupanya yang jahat itu adalah anak-anak jiran kami sendiri yang sepatutnya mempunyai sifat tolong-menolong dan membantu memerhatikan kalau ada harta benda kami yang hilang, malangnya mereka bolehlah kami samakan seperti pepatah Melayu `Harapkan pagar, pagar makan padi.’

Kadangkala saya merasa terkejut juga, pakaian yang baru kami sidai boleh hilang dalam sekelip mata. Pernah juga berlaku baju kami koyak apabila mereka tidak berjaya menariknya dari pagar rumah yang kami jadikan tempat menyidai pakaian.

“Sebenarnya pernah juga berlaku ibunya memetir memarah anak-anak saya menyuruh mereka masuk memeriksa pakaian yang hilang di dalam rumahnya. Sebenarnya bukanlah kami nak buktikan sampai begitu sekali, cukuplah sekadar bertanya `benarkah pakaian yang dipakainya itu milik kami?’ Malangnya ibunya yang memetir mendakwa kami jahat mengata keluarga mereka yang mencuri. Dan menyuruh kami masuk ke rumahnya mencari sendiri pakaian yang dicuri.

“Saya benar-benar tak faham tentang keluarga ini, sebab lepas bertanya itu anak-anaknya akan keluar rumah dan memakai pakaian milik anak-anak kami. Siapa yang tak sakit hati. Mereka seolah-olah mencabar kesabaran kami anak-beranak.

“Bagaimanapun kami bukanlah nak tuduh dia mencuri pakaian kami selalu, cuma sekali-sekala apabila kami alpa. Tapi cuba puan-puan fikirkan takkanlah lepas mencuri pakaian dan bila pakaian disidai saya terpaksa menjaga pakaian tersebut sampai kering dan terus bawa masuk. Kita pun suri rumah banyak kerja lain yang kita kena buat, bukan nak jaga pakaian aja.

“Malangnya dalam kealpaan kami inilah mereka akan mengambil pakaian kami, kadang tu bukan untuk dipakaipun mungkin untuk mereka buangkan. Sebenarnya saya sungguh-sungguh tak faham apakah tujuan sebenar jiran kami ini apakah mereka benar-benar berminat dengan pakaian kami atau nak buangkan ataupun dengan tujuan lain.

“Peristiwa baru-baru ini yang membuatkan kami terkejut beruk bila saya sendiri ternampak dari dalam rumah buluh kecil digunakan untuk mengait baju yang baru saja saya sidai dari belakang rumahnya. Tidak membuang masa saya segera keluar tetapi bila anaknya dengar saya buka pintu dan berlari saya lihat buluh tadi segera ditarik dan mereka menghilang. Yang jelas kelihatan pagar kami bergoyang menandakan dakwaan saya benar, cuma orangnya sahaja yang tidak kelihatan.

“Baru-baru ini saya sendiri terperangkap dalam kesabaran, puncanya bila saya terlihat anak jiran saya ini memakai baju-T milik saya yang sudah beberapa bulan hilang, saya fikirkan tentulah saya salah letak ataupun tertinggal di rumah saudara, rupa-rupanya anak jiran saya yang pakai.

“Saya nampak anaknya pakai ketika keluar rumah, untuk memastikannya saya tunggu sampai dia balik dan tanya dia berdepan. Mati-mati dia mendakwa saya bohong tetapi apabila saya buktikan dengan gambar yang saya pakai baju tersebut barulah mereka anak-beranak terdiam. Tetapi masih tak mengaku, malah menyuruh kami anak-beranak masuk ke rumah dia dan ambil mana-mana pakaian yang kami suka. Sebab kami asyik tuduh mereka mencuri.

“Pada pandangan saya, sebelum membela anak atau memarahkan jiran cuba buat siasatan sendiri jangan percaya cakap anak semata-mata, dah siasat baru cakap supaya hati jiran tak terguris. Memang dulu saya cuba bawa bersabar, tapi kalau dah selalu siapa boleh bersabar lagi, sebab itulah saya tanya dia berdepan-depan supaya dia pula buat siasatan, nampaknya kami pula dimarahkan,” demikian cerita Id panjang lebar tentang masalah yang dihadapinya bersama jiran.

Pada pandangan saya jiranlah orang paling dekat di hati kita bukan saudara-mara, sebab susah payah kita, sakit pening, merekalah yang cepat datang menghulurkan bantuan apatah lagi mereka yang sudah tidak lagi mempunyai ibu bapa dan saudara-mara tinggal berjauhan. Jadi anggaplah jiran itu seperti saudara kita sendiri.

- MAIMUNAH (dcckmonaum@hotmail.com)

“DULU saya pernah mendengar wang boleh memutuskan hubungan silaturahim antara jiran, adik-beradik dan keluarga. Pendek kata ramai yang berkata bahawa wang itu sama seperti syaitan, jika kita terlalu menyanjung wang kita pun boleh hancur. Tetapi saya yakin wang ada kebaikannya berbanding apa yang didakwa, terutama jika dapat digunakan sebaik mungkin malah ia boleh memberikan seribu satu macam kenikmatan hidup.

“Bagaimanapun saya hampir-hampir kurang yakin dengan apa yang saya percaya selama ini yang menjadi falsafah hidup saya. Tetapi setelah saya kaji dan selidik secara terperinci saya kembali yakin dengan pegangan saya, malah saya menyalahkan sikap segelintir manusia yang boleh hancur dan hilang harga diri kerana wang, sebab mereka tak tahu menilai wang. Hanya orang seperti bekas ipar saya boleh hancur kerana wang.”

Demikian cerita Haiza dalam suratnya kepada penulis. Walaupun Haiza telah lama menghantar suratnya, tetapi kami cuma dapat berbual kira-kira dua minggu lalu. Kata Haiza dia tidak boleh bersabar lagi kerana dia bimbang kalau berdiam diri, ada orang lain yang akan menjadi mangsa. Dia harap wanita yang jadi guru besar itu terbaca kisah ini dan berfikir berkali-kali sebelum mengambil keputusan berkahwin dengan bekas iparnya itu.

“Saya tahu jodoh pertemuan ditentukan Allah, tetapi kita masih boleh atasi dan mengelakkannya jika kita berfikir secara logik dan bersabar, tidak mengambil tindakan tergesa-gesa,” demikian permintaan Haiza ketika kami berbual di telefon.

Bagaimanapun untuk mengetahui apa sebenarnya kisah yang ingin dibawa oleh Haiza ini elok rasanya kita mengikuti cerita beliau di bawah ini, mungkin baik untuk dikutip oleh wanita lain untuk dijadikan panduan.

“Apa yang ingin saya ceritakan adalah perangai abang ipar saya, yang sepanjang hayatnya menyusahkan hidup kakak saya. Semasa dia masih bekerja dia gunakan semua duit gajinya untuk dirinya sendiri yang tak pernah cukup itu. Apabila tamat perkhidmatan cuma bergantung hidup kepada kakak saya yang masih lagi bekerja.

“Sebenarnya dia boleh bekerja dan pernah berkhidmat di syarikat swasta setelah mendapat latihan, tetapi dia tak mahu bekerja sebab dah seronok ditanggung oleh kakak, bukan sahaja kereta, minyak kereta, pakaian dan makan minumnya ditanggung hinggakan nak melancong ke luar negara pun minta duit kakak.

“Kakak memang penyabar, berlainan sungguh sebelum berkahwin dahulu, sifat dan kelakuannya bertukar sebaik sahaja dia berkahwin. Semua kehendak Zen diikutkan hingga datang bertandang ke rumah emak pun ikut perintah suaminya bernama Zen itu. Kalau tak dibenarkan dia tak boleh datang.

“Memang gaji kakak tak banyak, mana nak bayar ansuran rumah, kereta dan belanja menguruskan hidup anak-anak, tetapi untuk menanggung beban itu semua beliau terpaksa mengadakan kelas tuisyen di rumah. Dengan cara itu dia dapat menampung kos menanggung suaminya yang tak pernah mahu berusaha dan bekerja itu.

“Sebenarnya kami adik-beradik berfikir kakak berubah menjadi penyabar kerana terlalu takut dengan Zen dan dia terpaksa memikirkan malu yang terpaksa ditanggungnya kalau keadaan sebenar diketahui jiran-jiran.

“Apabila berhenti kerja Zen dapat wang sagu hati sesen pun tak diberi kepada kakak atau membantu menyelesaikan hutang, semua digunakan untuk dirinya sendiri. Azamnya nak buat bisnes tetapi sampai hari ini bayang bisnes pun tak nampak. Sebaliknya kakak pula yang terpaksa tanggung hutang yang dibuat dengan kawan-kawan. Bila dah terdesak kakak terpaksa minta bantuan emak dan adik-beradiknya.

“Kami sedar masalah utama suaminya ialah suka main nombor ekor, itulah punca dia berhutang sebab nak kaya cepat. Sejak bekerja lagi tabiat buruknya itu susah dibuang sampailah sekarang. Akhirnya penderitaan kakak berakhir apabila dia meninggal dunia. Kematiannya amat mengejutkan kami sekeluarga. Arwah meninggal kerana jangkitan kuman dalam rahimnya yang sudah serius kerana lambat dirawat.

“Suami arwah mahu jenazah dikebumikan di kawasan itu sahaja, tetapi kami membantah sebab jauh di negeri lain dan di kawasan yang kami tahu tidak ada siapa yang akan menziarah nanti. Sedangkan Zen sendiri tak suka duduk di situ tetapi terpaksa kerana ikut kakak bertukar. Akhirnya jenazah kakak selamat dikebumikan di kampung kami. Emak terus diserang sakit jantung kerana amat terkejut kehilangan anak yang dianggapnya masih sihat dan bertenaga itu. Sebab tak ada tanda-tanda dia sakit.

“Lama emak keluar masuk hospital kerana sakitnya melarat.Ê Mungkin kerana tak sabar Zen berusaha mahu mendapatkan cop jari emak saya. Dia mahu mengeluarkan simpanan koperasi kakak yang menamakan emak sebagai pewaris tunggal. Emak tak mahu membantah malah tak mengiakan bila Zen meminta, dia cuma mendiamkan diri kerana emak masih bersedih sebab kakak baru sahaja meninggal dunia ketika itu.

“Namun Zen tak berdiam diri, dia terus membuat permohonan untuk mengeluarkan wang tersebut, tetapi ditolak oleh pihak koperasi sebab menggunakan cop jari palsu yang bukan milik emak. Allah masih mengasihani emak dan anak-anak yang ditinggalkan oleh kakak.

“Apa yang kami rasa pelik sikap dan perangai Zen berubah menjadi lebih garang langsung tidak mahu bercakap dengan kami semuanya kerana sedikit sebanyak harta kakak. Kakak tinggalkan rumah yang dibelinya dengan pinjaman kerajaan. Sementara duit KWSP, simpanan dalam bank, Tabung Haji dan ASB yang berjumlah lebih kurang RM50,000 semua berjaya dikeluarkan oleh Zen.

“Kami tak akan hampa kalau kami tahu dia menggunakan dengan jalan yang baik tetapi perangai lamanya itulah yang amat membimbangkan kami. Kami tak mahu anak-anak saudara kami nanti langsung tak merasa wang peninggalan arwah ibunya.

“Dalam pada itu kami juga tahu kakak pernah dipaksa oleh Zen untuk membeli beberapa keping tanah berjumlah lebih empat atau lima ekar milik bersama adik-beradiknya yang dibeli melalui pinjaman koperasi dan daripada emak. Tetapi malangnya semua tanah itu belum bertukar nama lagi, masih nama keluarganya. Tentu pembaca boleh bayangkan apa akan berlaku kepada tanah tersebut jika pindah milik kepada Zen.

“Apa yang lebih menyedihkan kami sekarang terutama emak, Zen menjadi seorang yang pembengis dan membenci kami sekeluarga semata-mata kerana permintaannya supaya emak menandatangani surat tukar milik duit koperasi tidak dituruti. Kami sekeluarga sebenarnya tak mahu duit tersebut yang kami pun tak tahu jumlahnya. Apa yang kami harapkan, kalau pun duit itu ada RM1,000, berikan kepada anak-anak kakak, biarlah mereka merasanya. Walaupun secara sah memang milik emak tak ada sesiapa pun yang boleh tuntut tetapi emak tidak berniat begitu.

“Sekarang memang kami dapat lihat kehidupan Zen amat berubah sekali, dia mewah, bukan sahaja dapat duit terpijak tetapi dapat pencen kakak yang boleh digunakan secara bebas. Apa yang kami kesal kami tidak rapat dengan anak-anak arwah sebab disekat.

“Sebenarnya suka saya bercerita sedikit tentang kelakuan Zen supaya guru besar yang sedang diminatinya itu mengetahuinya. Memang Zen di luar kelihatan baik, tetapi di rumah isterinya sahaja yang tahu siapa dia yang sebenar. Kalau di luar dengan jiran dan kawan-kawan Zen nampak baik kerana dia buat-buat baik dan peramah.

“Tetapi dengan isterinya dia macam harimau, tidak tahu kata tidak selain ya! Orang luar nampak Zen baik jaga anak-anak semasa kakak berkursus beberapa minggu kerana tugasnya. Semua orang kata susah nak dapat suami macam Zen, boleh diharap jaga anak-anak dan baik benarkan isterinya pergi berkursus untuk tempoh yang lama.

“Tetapi tahukah anda berapa banyak duit yang terpaksa kakak tinggalkan untuk diberikan kepadanya sepanjang dia tinggalkan rumah berkursus. Duit itu bukan semuanya untuk belanja makan minum anak-anak tetapi termasuk duit minyak, rokok dan untuk membeli nombor ekor yang amat dicintainya. Kalau tak dapat dia akan mengamuk sakan.

“Sebenarnya memang tugas dialah yang sepatutnya membantu mengawasi dan memberi makan anak-anak sepeninggalan isterinya bertugas, sebab dia sendiri tak bekerja, dia tak patut minta upah dan duit untuk makan minum anak-anaknya sendiri. Sepatutnya dia berterima kasih kepada isterinya yang bekerja keras menyara hidup anak-anak.

“Apa yang menyakitkan hati kami sekarang sudahlah dia tak mahu berkunjung ke rumah kami lagi tetapi menganggap kami macam musuh ketatnya, anak-anak juga langsung tidak dibenarkan datang. Sebabnya dia bimbang kami hasut anak-anaknya terhadap apa yang dilakukan pada harta pusaka peninggalan kakak.

“Sebenarnya kami memang hendak menasihati anak-anaknya. Sebagai ibu dan bapa saudara sudah menjadi tugas kami mengingatkan mereka supaya jangan menghabiskan duit yang diwarisi sementara rumah dan tanah peninggalan ibu mereka tidak dijual.

“Apa yang amat dibimbangkan kalaulah rumah tempat mereka berteduh itu terjual juga satu hari nanti. Sebab setahu kami, rumah itu milik kakak. Bila kakak meninggal dunia sudah pasti ansuran rumah tersebut diselesaikan oleh pihak insurans.

“Mengikut pandangan mata kasar kami, bila si isteri meninggal dunia sudah tentu rumah dan hartanya menjadi pusaka dan sepatutnya dibahagikan mengikut faraid. Dan suami dapat satu perlapan sahaja, yang lain jatuh kepada anak-anak, sebab kakak ada anak lelaki dan perempuan. Apa yang kami takut nama rumah itu bertukar tangan dan boleh dijual kepada orang lain. Faham sajalah kalau dah kaki ekor, semua perkara boleh berlaku.

“Jadi kami mahu menasihati anak-anak saudara kami yang sudah besar panjang itu supaya berfikir dengan lebih mendalam, fikirkan masa depan adik-adik yang masih kecil, di mana mereka hendak berteduh kalau rumah dah tak ada nanti. Jangan bersikap lepas tangan dan membiarkan apa sahaja bebas dilakukan oleh ayah mereka.

“Cerita baru yang kami dengar sekarang Zen sedang sibuk nak kahwin lagi, dah ada pun calonnya, konon ceritanya kami dengar wanita yang dia idamkan itu adalah kawan baik arwah kakak dan dia amat simpati dan kesiankan Zen ditinggalkan isteri, lagi pun Zen baik orangnya, bertimbang rasa dan tak banyak cerita.

“Sebenarnya wanita itu tak tahu siapa Zen yang sebenar. Sebab kakak memang baik dan penyabar, dia tak pernah memburuk-burukkan suaminya, sebab itu tak ramai orang tahu kisah hidup dan penderitaan kakak yang sebenar. Kami juga cuma kesiankan wanita itu dan kami harap dia tidak menjadi mangsa Zen, sebab Zen memang licik. Depan orang dia peramah, baik, penyayang dan amat mengambil berat, tetapi kelakuannya yang sebenar adalah sebaliknya. Kepada wanita tersebut berhati-hatilah.”

Demikian nasihat Haiza kepada pembaca terutama kepada wanita yang bakal berkahwin dengan bekas abang iparnya itu.

Pada zaman ini macam-macam perkara boleh berlaku, yang tak terfikir terjadi sebenarnya wujud. Kerana itu ramai yang menghubungi penulis, ada yang ingin bertukar-tukar fikiran dengan mereka yang pernah memaparkan masalahnya. Kalau setakat berbual di telefon dan menghantar e-mel mereka tak puas. Jika boleh mereka juga mahu ditubuhkan sebuah kelab atau persatuan di mana mereka boleh datang dan bertukar-tukar fikiran untuk melegakan rasa hati yang kecewa. Kerana mereka yang bermasalah sahaja yang akan faham. Bagaimana, anda setuju? Nak buat kelab apa ye!

_ dcckmonaum@hotmail.com- MAIMUNAH

KISAH yang dipaparkan pada 4 Februari lalu tentang pandangan encik Jo yang bertajuk Wanita wajib betulkan diri untuk pikat suami nampaknya terus menerima banyak pertanyaan dan komen daripada para pembaca. Seperti biasa ada yang bersetuju, ada juga yang membelasah. Disebabkan banyaknya pandangan mereka rasanya penulis patut memaparkan tulisan mereka di ruangan DCCK ini serba sedikit untuk tatapan pembaca.

Oleh kerana ada pandangan mereka agak panjang penulis terpaksa menyedut patinya sahaja. Pandangan pertama datangnya daripada Anida melalui e-melnya.

Beliau berkata: “Saya tertarik membaca DCCK wanita wajib betulkan diri untuk pikat suami. Menarik sekali Encik Jo berceloteh dan menegur kaum wanita lebih-lebih lagi yang sudah ada anak. Saya tidak mahu celoteh panjang tapi saya rasa perlu juga Encik Jo consider.

“Kebanyakan wanita yang hantar surat dan e-mel mereka kepada Maimunah adalah mengenai masalah rumah tangga mereka sebab perangai ketua keluarga atau suami mereka yang tidak adil. Tidak adil dengan maksud mereka sendiri tidak mahu menolong isteri yang sering sibuk dengan keadaan rumah dan anak-anak.

“Bagi Jo, mungkin anda memang seorang suami yang tahu tanggungjawab, seperti katanya dialah yang menjahit bantal, selimut entah apa lagi untuk menyambut kelahiran anaknya. Pada saya kalaulah semua orang lelaki bersikap seperti Jo, tentu tidak ada wanita atau isteri komplen mengenai sikap suami mereka. Sebab suami mereka baik.

“Tetapi wanita yang merungut kepada Maimunah adalah kerana suami mereka yang tidak prihatin langsung. Pernah ke suami mereka menghadap isteri ketika dalam kesakitan melahirkan anak atau tolong memasak untuk isteri ketika dalam pantang. Atau melayan anak-anak yang ada waktu isteri sedang sibuk masak atau membasuh pakaian.

“Malangnya tidak, kebanyakan orang lelaki mereka hanya tahu lauk-pauk siap atas meja. Mereka langsung tak ucap terima kasih atas penat lelah isteri seharian di rumah, di dapur dan melayan kerenah anak-anak. Terdapat juga ramai suami yang langsung tak pedulikan hal anak-anak, tengokkan sama ada mereka dah membuat kerja sekolah atau menghantar ke klinik atau bangun waktu malam bila anak sakit? Pada pandangan saya kalau ada suami macam Jo, bilangan mereka boleh dikira dengan jari.

“Kalaulah semua suami bersikap macam Jo, tentu tidak ada perceraian dan bermadu. Cuba Jo buka mata lihat sesetengah suami yang kaki dadah, suka pukul isteri macam mana pula? Perlukah mereka ini kita hormati? Malangnya kalau suami seperti ini cuba kita nasihatkan supaya sembahyang dan jadilah ketua yang baik, nasib tak baik kita pulak kena sepak terajang. Cuba Jo fikir apa harus wanita buat kalau dapat suami macam tu?

“Mungkin Jo ada cara bagaimana hendak handle suami macam tu. Saya ingin bercerita panjang lagi, tapi berilah peluang orang lain.” Demikian cerita Anida.

Sementara itu Zaiba pula memberitahu dia ingin berkenalan dengan Jo yang mendakwa seorang profesional. “Saya ingin tahu sangat apa jenis kerja Jo yang sebenar. Saya seorang ibu berusia 44 tahun telah mendirikan rumah tangga 25 tahun. Anak sulung saya seorang doktor lulusan United Kingdom, dua lagi di universiti tempatan. Janganlah jadi otak *****. Mana ada seorang isteri hinggakan baju dan seluar dalampun dibelikan oleh suami. Cerita saudara profesional kita ni tak detail. Mana ada rumah tangga yang tidak ada masalah. Berapa usia saudara kalau baru 40an, bersiap-siaplah. Masa tu segala dugaan hidup akan datang, keperluan anak-anak bertambah. Isteri yang tegang dah mula kendur. Masa itulah nanti saudara akan mencari tongkat ali dan manjakani untuk isteri anda.

“Ewah! Ewah!… baik sangat ke saudara kita ni, sampai jahitkan baju anak-anak. Tiap-tiap bulan duit gaji tu bagi dua? Saya membeli lauk-pauk di kedai sebab suami saya kata buat apa menyusahkan diri berkungfu di dapur. Kalau saya masak sejenis dua lauk suami saya tambah beli di kedai. Kalau dapat duit, suami saya akan lambakkan atas katil dan tanya nak buat apa dengan duit tu? Saudara Jo ada buat macam suami saya tu?

“Kalau bilik mandi dan peti ais kotor suami saya bantu basuh. Sejak kawin suami saya tidak pernah kutuk kalau saya pakai kemeja T. Sebab dia sendiri pakai kain pelikat di rumah. Kami terima diri kami seadanya, hidup ini tidak boleh dipaksa.

“Walaupun suami saya baru 51 tahun, perut pun dah gendut, kepala dah gondol, tapi sebagai isteri saya tak pernah komplen. Tapi kalau suami jenis gatal isteri baru 30 tahun pun dia kata dah berkedut. Cuba Jo semak fail-fail yang bertimbun di pejabat kadi semua komplen pasal suami yang jadi punca keretakan rumah tangga.

“Kami isteri-isteri bukan nak suami kaya raya, tapi kebahagian, kejujuran, keikhlasan, kalau boleh hidup dan mati bersama. Malangnya suami selalu doakan isteri mati dulu. Peliknya balu yang bertambah-tambah sebab kematian suami,” kata Zaiba.

Seorang pembaca bernama Azwar pula menulis dalam e-melnya berbunyi: “Saya terpanggil untuk menulis sedikit setelah membaca mengenai pengalaman ikhlas Encik Jo sepertimana dalam ruangan DCCK keluaran 4 Mac. Syukurlah saudara Jo mendapat isteri seperti yang digambarkan dan sudah tentu isterinya beruntung mendapat suami seperti saudara. Semoga jodoh anda berkekalan sehingga ke akhir hayat. Anda juga beruntung kerana rumah tangga anda tiada campur tangan mertua, ipar-duai dan masalah orang ketiga.

“Alhamdulillah setakat ini saya sama seperti saudara, seorang profesional hidup bahagia bersama keluarga dan isteri saya tidak bekerja dan ribuan lagi pasangan seluruh dunia tidak kira apa agama sama ada isteri bekerja atau tidak, hidup bahagia, hidup harmoni, taat dan hormat, cuma sebagai orang Islam kita ada kelebihan di dunia dan akhirat.

“Cuma saya menulis ini ingin mengingatkan bahawa sesungguhnya Allah jadikan kehidupan sesebuah keluarga itu tidak sama dengan kombinasi komponen-komponen iaitu bekerja tidak bekerja suami atau isteri, anak-anak sihat/tidak sihat/anak cacat atau tidak, ada campur tangan mertua dan ipar-duai atau bermasalah dengan orang ketiga.

“Bayangkanlah satu dunia yang ideal di mana semua institusi keluarga di dunia sejak dari zaman Nabi Adam sehingga kiamat kita boleh hidup seperti keluarga saudara Jo, Allah s.w.t sahaja yang mengetahui kenapa tidak dijadikannya begitu. Mungkinkah kehidupan akan menjadi bosan kerana semuanya sama sahaja, tiada konflik rumah tangga atas apa sebab jua pun. Maka tiadalah berita yang dapat ditulis dan tiada apa yang nak dibaca. Oleh itu saya berdoa semoga suasana kehidupan rumah tangga dalam keharmonian, taat dan hormat di kalangan keluarga Islam di Malaysia.

“Mana-mana keluarga Islam yang menghadapi masalah yang berpunca daripada suami tidak kurang juga daripada kaum wanita seperti yang sering dipaparkan dalam DCCK oleh Maimunah, kita doakan Allah s.w.t tunjukkan kebenarannya.”

Sementara itu Suhaimi dalam e-melnya menambah, “Kami sebahagian daripada golongan profesional begitu tertarik dengan kandungan artikel Encik Jo 4 Februari lalu. Pengalaman Jo dalam menghayati perjalanan rumah tangga amat kami kagumi. Kami amat berbesar hati agar DCCK sudi memberi alamat e-mel saudara Jo semoga pengalamannya dapat dikongsi bersama oleh kaum Adam yang lain. Saya yakin saudara Jo tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman demi kebahagian masyarakat kita.”

Ardi dari PP juga ingin memberikan pandangannya. “Sebelum membaca luahan hati Jo dalam tulisan Maimunah, saya selama ini menyangka bahawa apa yang dilalui oleh Encik Jo hanya dilalui oleh saya sahaja. Walaupun apa yang dilalui oleh Jo tidak saya lalui sepenuhnya, namun sedikit sebanyak ada persamaan.

“Luahan Jo begitu mengharukan, bukan kerana ia luahan hati seorang lelaki tetapi kerana turut mewakili diri saya sendiri. Sebelum kahwin, saya sudah memasang niat untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik dan apabila berkahwin saya yakin niat saya pasti terlaksana kerana wanita yang saya kahwini adalah pilihan saya sendiri.

“Terus terang saya katakan bahawa sebelum berkahwin, tidak banyak ilmu rumah tangga yang diperturunkan oleh ibu bapa kepada saya. Saya banyak mengutip ilmu melalui pembacaan dan nasihat daripada mereka yang veteran. Namun saya tidak lupa untuk mengingat kembali cara bapa saya mengendalikan rumah tangganya, baik cara dia melayani isteri dan anak-anak. Dengan bekalan itu saya yakin mampu menempuh alam rumah tangga. Salah satu perkara pokok ialah saya sentiasa mahu ringankan beban tugas isteri saya.

“Mungkin bagi kebanyakan suami, apabila berkahwin mereka beranggapan beban mereka akan berkurangan terutama dalam urusan mencuci dan mengosok pakaian serta makan minum kerana sudah punya isteri akan mengambil alih tugas itu. Namun tidak bagi saya. Mungkin kerana saya sudah terdidik sejak kecil melakukan semua tugas itu serta makan ambil sendiri, jadi saya terbawa-bawa sikap ini setelah berkahwin.

“Tanyalah pada setiap suami, siapakah antara mereka (suami) yang tidak merasa lega dan senang hati kalau isteri mencuci dan mengosok baju mereka serta menyediakan makan minum mereka setiap hari. Saya juga pasti merasa demikian.

“Namun kerana ingin meringankan tugas isteri (kerana isteri saya bekerja dan kami punyai seorang anak), saya mencuci dan mengosok baju sendiri, malah turut membantu isteri mencuci bajunya dan baju anak, menyidai dan mengangkat baju di ampaian, melipat baju dan meletakkannya di dalam almari, mengemas rumah, mencuci pinggan dan memasak terutama pada hujung minggu atau kalau saya sampai dulu ke rumah.

“Semua saya lakukan demi kebahagiaan dan kesenangan bersama. Tambah pula saya sudah biasa melakukannya malah saya juga minat memasak maka apa yang saya lakukan tidak langsung saya rasakan ia beban. Kerana suami diamanahkan memberi nafkah zahir dan batin, menyediakan makan minum serta perlindungan pada isteri dan anak-anaknya.

“Bukan setakat itu aja, malah saya turut menguruskan anak-anak seperti membuat susu, menukar lampin, memandi dan menyiapkan pakaian anak serta menyuap anak makan sudah menjadi semacam `rutin’ bagi saya walaupun saya seorang suami.

“Tidak terlintas pandangan negatif orang lain tentang apa yang saya lakukan kerana saya yakin apa yang saya lakukan demi kebaikan rumah tangga saya. Saya ingin bertanya kepada mereka yang bergelar isteri… apakah apabila seorang suami turut sama melakukan tugas-tugas di rumah seperti yang saya nyatakan sebelum ini tidak meringankan tugas isteri di rumah? Apakah perkara yang dilakukan itu bukan satu bentuk pengorbanan? Tidakkah sikap suami yang ringan tulang mengusik hati isteri untuk terus menghormati, mentaati suami dan menjadikan mereka (isteri) lebih bertanggungjawab?

“Sememangnya tidak ramai suami sanggup melakukan tugas-tugas isteri, malah bila suami terlampau rajin, isteri pula naik tocang serahkan `tugas isteri’ kepada suami. Sebagai suami, harapan mereka daripada isteri hanyalah ketaatan dan hormat pada suami kerana ia melambangkan siapa isteri itu yang sebenar. Kalau suami yang sudah maklum tentang beratnya amanah Allah sanggup `meletakkan dirinya pada kedudukan isteri’ maka isteri harus faham.”

Setelah membaca beberapa pandangan di atas tentu para suami dan isteri sudah boleh membetulkan apa juga kesilapan yang telah anda lakukan.

- dcckmonaum@hotmail.com- MAIMUNAH

BANYAK surat, pertanyaan dan panggilan telefon diterima daripada pembaca tentang maksud penubuhan kelab ataupun persatuan. Dalam pada itu ada juga orang memberitahu, apa salahnya tubuhkan organisasi khusus asalkan mereka dapat berkumpul dan bertukar-tukar fikiran dan berbincang tentang pelbagai masalah yang dihadapi.

Hanya mereka yang bermasalah yang lebih faham tentang masalah orang lain. Lagipun lebih mudah bercerita dengan orang yang faham daripada yang tidak tahu hujung pangkal. Jadi, kalau ada tempat untuk berjumpa, berbual dan bertukar-tukar fikiran apa salahnya, asalkan tujuannya baik. Pucuk pangkalnya siapa yang hendak tolong mulakan dan siapa yang patut usahakan pada peringkat permulaan. Inilah yang penulis perlukan kalau ada pembaca yang suka memberikan khidmat secara sukarela.

Dalam pada itu ada juga pihak bertanya tentang Kumpulan Ibu Tunggal yang pernah ditubuhkan dulu. Bercakap tentang ibu tunggal, suka penulis terangkan bahawa penulislah orang pertama memulakan dan memperkenalkan perkataan ibu tunggal sebagai ganti kepada perkataan janda yang paling dibenci oleh wanita.

Sebenarnya banyak cerita di sebalik perkataan ibu tunggal ini, hinggalah ia menjadi popular dan penulis turut berbangga apabila setiap negeri sudah ada Persatuan Ibu Tunggal masing-masing. Untuk memperkatakan tentang Kumpulan Ibu Tunggal (KIT) yang mula-mula penulis tubuhkan dahulu, rasanya elok kita cerita mengenainya pada minggu-minggu akan datang, sebab ceritanya panjang. Dan penulis tidak berasa bersalah mendakwa bahawa ruangan DCCK inilah yang pertama memperkenal dan mempopularkan perkataan ibu tunggal dahulu. Hingga pernah satu ketika ia menjadi isu hangat di kalangan pembaca yang tidak menggemari dan memberi pelbagai nama mengejek nama tersebut. Tetapi syukurlah kini ia terus digunakan secara meluas.

Bagaimanapun, tidak usahlah penulis bercakap panjang tentang ibu tunggal ini, elok kita ikuti kisah yang dipaparkan minggu ini yang tidak kurang menariknya. Kisah ini datangnya daripada Puan Inah dari Kuala Lumpur. Kata Inah, dia ingin menyertai ruangan DCCK ini kerana terpanggil dengan kisah yang dipaparkan oleh Puan Zai pada 29 Julai laluÊmengenai kisah rumah tangganya yang dibina berbelas tahun tetapi akhirnya punah dalam sekelip mata. Katanya, kisah hidup dia dan Puan Zai lebih kurang sama. Demikianlah nasib wanita.

“Dulu ruangan ini saya baca sambil lewa saja dan tidak pernah terfikir kisah hidup yang dipaparkan akan menimpa saya. Rasanya biar saya namakan suami saya sebagai Zabri dan episod sedih dalam hidup bermula sejak saya mengandungkan anak ketiga. Sejak itu saya lihat perubahan berlaku dalam hidup Zabri. Kami bekerja di tempat sama. Tetapi setiap hari Zabri tidak sabar-sabar hendak menghantar saya pulang ke rumah dan mengambil anak, kemudian dia terus keluar dan balik pukul 1.00 pagi.

“Bila hari cuti ada-ada saja alasannya hendak keluar, subuh-subuh dah joging atau main badminton. Hobi yang tidak pernah dibuatnya dulu dilakukan, tapi atas sikap percaya dan sayang saya tolak cerita jiran dan keluarga yang mengatakan Zabri ada makwe lain.

“Saya percayakan Zabri seratus peratus, dan perasaan itu ada dalam diri saya mungkin kerana terlalu sayangkan dia. Isteri mana tak sayangkan suami? Ketika kandungan masuk lapan bulan, saya memberanikan diri tanya Zabri. Alangkah hancurnya hati bila Zabri dengan senyum mengaku dia ada makwe lain. Dan dia tanya saya boleh tak dia kahwin lagi. Bayangkanlah… saat-saat saya melahirkan anak hampir tiba, suami pula buat perangai. Air mata jangan dikata, dialah jadi teman sejati. Kesian tengok anak-anak masih kecil, yang masih perlukan kasih sayang dan perhatian ayah, tapi ayah sibuk bercinta lagi.

“Kekasihnya masih muda berumur 20-an dan masih belajar, katanya dia tak tahu Zabri dah ada anak. Cubalah bayangkan mengapa Zabri tak bercerita pada kekasihnya itu (Mek) yang dia dah kahwin dan ada anak? Saya dapat tahu Zabri mula kenal dengan Mek ketika dia selalu lepak-lepak di pejabat sepupunya. Kebetulan asrama tempat Mek belajar berdekatan. Mereka selalu berjumpa di medan selera.

“Ketika berjumpa inilah Zabri mendakwa hidupnya tak bahagia, hanya Mek yang berjaya menggembirakan hatinya. Dia lupa selama berkahwin sayalah selalu membantu bila dia sesak setiap bulan. Dia tak tahu bayar bil elektrik, air, kereta, belanja dapur semuanya jadi tugas saya, dia lupakan nafkah anak-anak kerana dia tahu saya bekerja dan ada duit untuk menguruskan semua itu. Lagipun gajinya bukan banyak sangat.

“Pengakuan Zabri membuat saya berfikir panjang dalam linangan air mata. Akhirnya saya membuat keputusan apa yang berlaku adalah kerana kesalahan dan kebodohan saya sendiri. Saya terlalu percayakan dia, sayangkan dia hingga saya sanggup buat apa sahaja asalkan dia sayangkan saya. Tentang duit ringgit saya tak pernah berkira. Rupa-rupanya sikap saya itu telah menyeksa hidup saya sendiri dan anak-anak.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk memberi kata dua kepada Zabri kalau dia nak kahwin juga saya tak mahu bermadu. Saya minta dilepaskan. Saya pernah baca kisah yang disiarkan dalam DCCK tentang bermadu ada manisnya. Tolong, tolong, jangan nak tipu! Perempuan mana rela berkongsi kasih. Lainlah kalau laki kita jutawan!

“Langkah kedua saya tak bayar lagi ansuran kereta, saya suruh dia keluar duit untuk belanja dapur. Buat apa saya susah payah `ikat perut’ bayar minyak, bayar kereta, sedangkan dia ke sana ke sini usung perempuan lain. Si Mek itu pun dah naik sedap, ke mana nak pergi suruh Zabri hantar. Tak payah susah-susah tunggu bas atau teksi. Kalau nak makan sedap sikit call aje handset Zabri, for sure Zabri berlari datang nak belanja. Yang anak kita di rumah nak minta beli ayam KFC dia boleh buat muncung panjang. Nak senang lagi Zabri belikan dia handset. Bilnya Zabri bayar, yang pernah mencecah RM500 sebulan. Tapi dengan anak bini dia kedekut nak keluar belanja. Suami jenis apa ni?

“Sebelum dia ada Mek, Zabri pun selalu tak lekat di rumah. Dia tak mahu bantu saya jaga anak-anak sebaliknya dia lebihkan masa bersama kawan-kawan minum teh atau dengar ceramah politik sampai pukul 1 atau 2 pagi. Boleh dikatakan setiap hari dia keluar, isteri mana yang boleh tahan. Dia ingat kita ini tunggul kayu? Buat rumah macam hotel, suka-suka keluar, suka-suka balik, alasannya isteri tidur awal pukul 10 malam. Apa dia tak fahamkah kita pun kerja, nak masak, jaga anak, basuh kain, kemas rumah dan 1,001 macam tugas yang orang perempuan sahaja yang tahu.

“Pernah saya tanya dia kenapa selalu keluar? Dia kata kalau duduk di rumah asyik menghadap muka saya saja satu sen pun tak akan dapat tapi saya tahu dia bukannya keluar buat kerja lebih tetapi menghabiskan masa di gerai borak pasal politik. Ini tak betul, itu tak betul! Kena secawan teh tarik duduk berjam-jam. Kalau hari cuti tak reti duduk diam macam cacing kepanasan. Kalau ditanya dia menengking kita balik, bahasa pun kasar cakap hang, engkau, aku tapi dengan kekasihnya dia lemah lembut.

“Semasa asyik bercinta semua kita buat salah, semua tak betul, salah kecil-kecil pun dia nampak, lupa terus kitalah banyak bantu dia selama ini. Dia saja betul dan tak bersalah langsung, dia sajalah baik. Egonya tinggi, sampai tak nak mengaku kesalahan sendiri.

“Selepas selamat melahirkan anak ketiga, ibu dan keluarga tak habis-habis berdoa semoga saya selamat melalui saat-saat pantang bersalin. Masa dalam pantang pun Zabri selalu pergi outstation dengan Si Mek. Ada sampai dua hari tak balik. Satu malam, ZabriÊbawa Mek balik ke rumah, sebelum masuk dia beri amaran kepada saya jangan buat bising bila Mek tidur di rumah malam itu sebab Mek tengah susah hati kerana rahsia mereka sudah terbongkar. Ibu bapa Mek tak suka dia kawan dengan suami orang.

“Bayangkan betapa hancurnya hati saya bila melihat Mek masuk ke rumah. Kita pula ketika itu dalam pantang. Zabri kata kalau nak cakap pun tunggu esok, dia tak mahu hati Mek terganggu sebab dia nak ambil peperiksaan tak lama lagi. Kenapa dia ambil berat tentang hati dan perasaan Mek? Macam mana dengan saya? Apa saya dah tak ada perasaankah? Dahlah kita dalam pantang, suami pula menyakitkan hati. Semalaman saya tidak dapat lelapkan mata. Untuk pengetahuan pembaca masa itu umat Islam baru mula berpuasa.

“Rumah ada dua bilik, Mek tidur bilik sebelah, Zabri macam cacing kepanasan tak lena tidur, esoknya saya bangun sahur pukul 4 pagi menyiapkan makanan. Saya kejut Mek bersahur. Nasi yang saya beri pada Mek tidaklah banyak sangat, tapi dia bagi dua dengan Zabri, jelas kemesraan antara mereka. Zabri buat saya macam babu dan tunggul kayu saja.

“Esoknya sebaik lepas subuh saya bersemuka dengan mereka berdua, saya tanya sejauh mana hubungan mereka. Zabri kata dia mahu kahwin lagi, Mek pula kata dia sedia bermadu dan akan kahwin setelah tamat pengajian nanti. Mereka dah buat hubungan lebih setahun. Kata Mek ibu bapanya dah bercerai sebab bapanya nak kahwin lagi. Jelas keadaan hidup mereka sama seperti saya. Saya tanya Mek apakah dia tahu perasaan emaknya bila dapat tahu bapanya kahwin lagi?

“Kebetulan pagi itu emak saya datang ke rumah nak tengok baby. Dia terkejut besar melihat Mek ada dalam rumah.ÊEmak nasihatkan Mek supaya lupakan Zabri sebab dia masih muda, masih belajar, mungkin dia boleh dapat suami yang lebih baik lagi jika dia sabar.

“Beberapa hari kemudian saya dapat hubungi emak Mek. Saya ceritakan hubungan Mek dan Zabri, emaknya menangis, mereka adik-beradik berkumpul menasihati Mek jangan kahwin, habiskan belajar dulu, lagipun Zabri taklah berpelajaran tinggi macam Mek.Ê

“Dalam pada itu hubungan saya dengan Zabri semakin jauh hinggakan kami pergi kerja berasingan walaupun satu pejabat. Saya naik Putra LRT dia naik kereta, di pejabat bila berselisih kami buat tak kenal.

“Dalam hati saya Zabri sudah tidak wujud lagi, cuma ada Mek. Setiap minggu mereka bersama. Di rumah, kami tidur pun berasingan. Saya dalam bilik, dia di ruang tamu. Bukan setakat itu, Zabri juga menyakitkan hati saya dalam banyak hal, dia dera mental saya, nasib baik iman saya kuat dan tak jadi gila seperti yang dikehendakinya.

“Akhirnya saya mengadu ke pejabat kadi, Zabri dipanggil untuk kaunseling. Malangnya, kata Zabri, dia tak mahu kaunseling, dia mahu ceraikan saya. Saya terkejut besar. Namun Zabri berjanji nak bagi nafkah. Tapi Maimunah jangan terkejut, dia masih tinggal sebumbung dengan saya konon tak sanggup berpisah dengan anak-anak. Lepas bercerai saya yang dahulunya takut bertukar jadi lebih berani. Lebih baik jadi ibu tunggal daripada jadi patung cendana. Lagipun dia memang tak mampu kalau berpoligami.

“Kini setelah beberapa bulan bercerai saya dapat tahu Zabri duduk merempat, tumpang sana, tumpang kawan sini, dalam kereta dia penuh dengan pakaian. Kereta tu dah jadi macam rumah dia. Baru-baru ni syarikat finance kereta telefon saya, Zabri sudah 3 bulan tidak bayar ansuran kereta. Dalam pada itu Mek pula memaki hamun saya konon sebab sayalah dia gagal dalam peperiksaan dan terpaksa mengulang. Dia yang tak belajar, asyik bercinta, salahkan kita pula. Pada saya inilah balasan Tuhan. Agaknya Tuhan mendengar dan mengabulkan doa saya sebagai seorang isteri yang teraniaya.

“Kini saya rasa hidup lebih aman, tenang dan bahagia sebab tak ada orang yang sakitkan hati saya setiap hari. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dalam hidup saya selama ini. Kepada Mek kalau ada jodoh kahwinlah dengan Zabri dan rasakanlah apa yang telah saya rasakan dulu. Tapi tak tahulah kalau awak pandai ikat kaki dia.” Demikian cerita Inah panjang lebar tentang pengalaman hidupnya yang amat pahit.

Sepatah kata Inah, orang lain tidak akan faham masalah kita kalau mereka tidak melaluinya. Dan pengalaman seperti inilah amat dikehendaki oleh pembaca yang senasib. Nasihat anda memberikan kekuatan kepada orang lain. Inilah gunanya kelab atau kumpulan sokongan yang bakal ditubuhkan nanti kalau ditakdirkan ada rezeki.

- dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

PENYAKIT Disfungsi Ereksi (ED) atau lemah tenaga batin sering menjadi sungutan di kalangan lelaki. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, Jepun dan Malaysia, 52 peratus daripada penghidapnya adalah mereka yang berusia 40 hingga 70 tahun.

Walaupun lebih separuh daripada pesakit ED terdiri daripada lelaki pertengahan umur, namun ia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan.

Malah, lelaki seawal usia 29 tahun juga boleh diserang masalah ED jika tidak diberi rawatan semasa di peringkat awal.

Naib Pengerusi Persatuan Perancang Keluarga Selangor dan Wilayah Persekutuan, Dr. Guna Sittampalam berkata, ED adalah istilah perubatan bagi penyakit lemah tenaga batin atau mati pucuk.

“Ia merupakan ketidakupayaan yang berterusan untuk mencapai dan mengekalkan ketegangan zakar yang mencukupi untuk persetubuhan yang memuaskan,” jelasnya.

Dr. Guna memberitahu, ia adalah masalah biasa yang mana dijangkakan lebih dari satu juta lelaki di Malaysia mengalaminya.

“Walau secara lazimnya ED lebih kerap menyerang mereka yang berumur, namun ia biasanya dikaitkan dengan penyakit tertentu atau pengambilan ubat yang mengganggu fungsi seksual,” katanya.

Menurut Dr. Guna, ramai yang beranggapan bahawa Ed berlaku dengan semula jadi akibat bekerja terlalu kuat, ketegangan dan tekanan yang meningkat.

“Walaupun faktor psikologi memainkan peranan bagi sesetengah lelaki, kebanyakan kes ED ada kaitan dengan keadaan fizikal,” katanya.

Antaranya ialah keadaan perubatan yang mengakibatkan pengaliran darah ke zakar tersekat seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis atau kadar kolesterol dalam darah yang tinggi.

Ia juga boleh berlaku ekoran kecederaan akibat kemalangan atau pembedahan prostat dan pengunaan ubat-ubatan untuk merawat tekanan darah tinggi dan kemurungan.

“Malah, gaya hidup seperti merokok, pengambilan minuman keras atau beralkohol dan penyalahgunaan dadah juga boleh menyumbang kepada masalah itu,” tegas beliau.

Di samping itu, katanya, walaupun 70 peratus daripada pesakit mengalami ED disebabkan masalah organik, namun psikologi turut menjadi punca bagi kebanyakan pesakit lain.

Antaranya ialah kerisauan terhadap keupayaan seksual, hilang minat dan keretakan hubungan suami isteri.

Masalah psikiatri seperti kerisauan tidak terkawal, kegundahan, trauma, tekanan yang melampau dan Endocrine atau hyperprolactinaemia juga dikenalpasti sebagai antara punca.

“Kesihatan seksual adalah mustahak bagi kesihatan fizikal dan emosi keseluruhannya dan persetubuhan dapat menaikan taraf kesihatan serta hubungan suami isteri walau di peringkat umur berapa pun.

“Keupayaan seksual tidak mempunyai tarikh luput, Jika anda mempunyai tanda-tanda ED, segeralah berjumpa doktor kerana ia boleh dirawat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, tambah Dr. Guna, suami isteri perlu berjumpa doktor untuk berbincang tentang pilihan yang sedia ada bagi merawat penyakit tersebut.

Katanya, mereka boleh mendapatkan nasihat kaunseling, menggunakan ubatan oral, alat vakum atau pam angin, suntikan ubatan ke dalam zakar, memasukkan ubat ke dalam saluran kencing dan pembedahan pemulihan fungsi zakar.

DALAM sesebuah perkahwinan, hubungan seks antara pasangan mempunyai peranan penting dan harmoninya hubungan berkenaan adalah prasyarat keutuhan rumahtangga.

Namun, ramai lelaki beranggapan bahawa mereka tidak sepatutnya memikirkan tentang keinginan seksual atau menikmatinya lagi apabila mencapai usia yang tertentu.

Bagaimanapun, jika wanita mengalami menopaus, lelaki yang berumur antara 40 hingga 55 tahun juga akan menempuh fenomena yang sama iaitu andropaus.

Penurunan kadar hormon testosteron dalam badan ini menyebabkan lelaki kurang minat terhadap seks.

Bukan setakat itu sahaja, fenomena itu juga menyebabkan lelaki yang mengalami masalah itu mudah marah, sakit tulang dan sendi, kesukaran tidur, sering keletihan dan masalah-masalah lain.

Pakar Sakit Tuan dari Hospital Perkhidmatan Damai, Dr. Guna Sittampalam berkata, keinginan dan daya seksual lelaki bergantung kepada tahap testosteron.

“Kekurangan daya seksual, rasa mudah tersinggung, tekanan emosi, kegelisahan dan mati pucuk akibat kekurangan hormon akan menjejaskan kualiti hidup.

“Jika anda mempunyai ciri-ciri tersebut, jangan biarkan masalah itu merosakkan hidup anda. Segeralah mendapatkan nasihat doktor untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Guna, Kekurangan Separa Androgen Lelaki Berumur (PADAM) atau andropaus boleh diubati melalui rawatan yang dipanggil Terapi Pemindahan Testosteron.

Ia merupakan penyelesaian berkesan bagi membolehkan kaum lelaki kembali menikmati hidup yang ceria dalam meniti usia tua.

“Rawatan terapi pemindahan testosteron boleh didapati dalam bentuk pil dan suntikan.

“Bagaimanapun, doktor akan pastikan kaedah mana yang sesuai berdasarkan pemeriksaan fizikal dan ujian darah,” tegasnya.

Berdasarkan maklum balas, terapi pemindahan testosteron bukan sahaja meningkatkan daya seksual, tetapi juga memperbaiki kualiti tidur, menstabilkan emosi dan meningkatkan tenaga mental dan fizikal.

Selain pemindahan testosteron, perubatan biasa seperti pengambilan pil khasiat, vitamin, ubat herba dan antidepressan juga dapat membantu sedikit sebanyak.

Malahan, aktiviti aerobik yang sederhana dapat menambahkan paras testosteron dan meningkatkan nafsu

“SEBENARNYA saya tak tahu di mana harus saya mulakan cerita saya ini, kerana walaupun pendek, tetapi berbelit-belit semuanya kerana tidak ada kejujuran antara suami ataupun isteri dalam hubungan keluarga,” demikian cerita Puan Liyana dari selatan tanah air dalam e-melnya kepada penulis beberapa minggu lalu.

Kata Liyana, sepatutnya dalam hubungan bersuami isteri, kedua-dua pihak mesti ada kejujuran, sifat saling percaya-mempercayai, setia dan yang paling penting mesti tahu tanggungjawab sebagai suami.

“Saya katakan demikian kerana ramai suami kini, cuma suka berumah tangga konon nak menambah zuriat, tetapi tidak faham tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar, mereka suka bergelar suami dan dipanggil ayah, tetapiÊ masih mentah dalam mengurus hal anak-anak dan isteri. Bahkan ramai yang menyerahkan tugas kepada isteri mereka.

“Sebagai contoh perjalanan hidup saya selama enam tahun berumah tangga apa yang saya rasakan bukannya kebahagiaan, tetapi penderitaan dan tekanan. Dan saya dapat rasakan dakwaan ramai suri rumah tangga yang selama ini mendakwa pahit-maung hidup mereka di alam rumah tangga. Pada saya bukan semua wanita bernasib baik dapat membina keluarga dalam kebahagiaan dan harmoni. Dan saya adalah salah seorang daripadanya.

“Dulu semasa masih gadis saya sering mengikuti ruangan DCCK. Saya rasa bagaikan sebuah cerita khayalan bila ada isteri mengadu suami mereka kaki pukul, walaupun sebelumnya mereka kahwin suka sama suka. Bila saya baca cerita macam tu saya kata wanita itu mengarut, manja sikit, suami marah mereka mula mengadu sana sini.

“Sekarang bila saya melalui semuanya barulah saya tahu apa sebenarnya yang dikatakan pahit-maung rumah tangga, kerana saya tidak pernah terfikir akan melalui nasib yang sama. Sekarang bila membaca DCCK saya rasa terubat sikit jiwa saya, kerana ada orang yang senasib dengan saya dan saya tidak keseorangan dalam dunia yang tak keruan ini.

“Sebelum menulis ke ruangan DCCKÊ ini saya sudah beberapa kali menghantar surat ke ruangan soal jawab agama meminta nasihat dan pandangan mereka yang arif dalam hukum-hakam ilmu berkeluarga dan memberikan pandangan tentang kes saya ini, tetapi malangnya tidak ada jawapan. Kemudian barulah saya menghantar e-mel ke ruangan ini dengan harapan dapat mengubati sedikit jiwa dan hati saya yang begitu tertekan.

“Saya berusia 27 tahun dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun. Berkahwin suka sama suka. Tapi apa yang merunsingkan saya ialah suami saya bernama Kay yang sudahpun berusia 35 tahun ini masih lagi berperangai seperti orang bujang. Kay kerap melepak di rumah kawan-kawan bujangnya, balik rumah pukul 12 tengah malam ataupun 1 pagi.

“Apa yang paling merunsingkan saya ialahÊKay sering mengambil benda-benda mengkhayalkan seperti ubat batuk yang dicampur coke, ganja dan arak. Bagaimanapun dia menafikan sekeras-kerasnya apabila kita tanya. Dikerat lapan pun dia tak akan mengaku. MemangÊKay pandai berselindung dan menafikan tuduhan kami, dia boleh buat muka sepuluh sen kalau tuduh dia bertalu-talu. Sebaliknya dia marah kita pula.

“Walaupun kita syak dia buat benda tak baik, tetapi setelah dia tak mengaku, kita pun percaya cakap dia. Tetapi akhirnyaÊrahsianya terbongkar juga bila saya tengok dia sering kelam-kabut semacam. Lebih daripada itu ada juga orang menyampaikan berita bahawa Kay ada mengambil `barang-barang’ khayal tu. Dan baru-baru ini saya sendiri terjumpa bekas yang telah digunakan untuk membancuh benda tersebut. Bila dah jumpa barulah saya percaya sangkaan saya selama ini. Rupa-rupanya sebelum kahwin dengan saya lagi Kay dah buat kerja yang tak baik itu.

“Dalam pada itu kawan-kawan yang seangkatan dengan Kay juga sering jadikan rumah kami sebagai markas tempat berkhayal dan berdengung dan ada yang menghisap ganja. Waktu yang dia sering gunakan adalah waktu makan tengah hariÊatau pada malam hari selepas pulang ke rumah.

“Saya pula kalau marah tak suka buat bising, tapi muncung. Saya tak suka bertekak, apatah lagi bergaduh sebab malu didengar oleh jiran-jiran. Tetapi itulah yang menjadi kesilapan besar saya. Setiap kali kawan-kawan Kay datang ke rumah walaupun saya tak suka tetapi saya mendiamkan diri, paling tidak saya muncung. Bila muncung mulalah Kay tuduh dan marahkan saya macam-macam kerana tak layan kawan-kawannya.

“Tetapi sebenarnya saya tak suka mereka datang sebab mereka buat benda tak betul seperti menghisap ganja dan berdengung. Namun kedatangan mereka adalah atas undangan Kay sendiri, sebab dia dah naik sedap, buat salah pun saya tak marah.

“Pada peringkat awal saya tak tahu aktiviti Kay. Saya fikirkan dia suka melepak di rumah kawan-kawan kerana dia diajak, masih berperangai macam orang bujang. Tetapi bila sedikit demi sedikit aktivitinya saya sedari, perkahwinan kami pula sudah bertambah tahun, jadi saya bimbang masalahnya menjadi masalah saya pula. Saya juga bimbang dipersalahkan kerana aktiviti Kay ini.

“Bagaimanapun bila saya mula membenci kehadiran kawan-kawannya ke rumah kami, Kay mula marah, mulalah tuduh saya macam-macam. Bila ditegur, Kay dengan suara tinggi mengatakan dia anak jantan dan boleh buat apa dia suka. Dan katanya saya tak boleh pandang serong terhadap kawan-kawannya. Kalau saya tahuÊdari awal Kay kaki berdengung saya takkan kahwin dengannya. Sekarang sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur.Ê

“Walaupun Kay suka menjerit-jerit dengan niat memalukan saya kepada jiran-jiran, tetapi saya tak boleh mendiamkan perangai buruknya itu. Saya tetap tegur dan mengamuk juga bila tak dapat mengawal diri. Kerana itulah saya kerap dimarah dan dipukul. Tambahan pula saya seorang yang sensitif dan kuat merajuk, maka bertambah senanglah Kay membawa teman-temannya masuk ke rumah, kerana dia tahu bila saya merajuk saya tak akan marahkan dia dan kawan-kawannya.

“Perangai buruk Kay ialah panas baran, saya sendiri naik takut kerana selalu sangat di- pukul, ditampar dan ditendang. Pernah juga dia mencekik saya bila `setan’ dah naik ke kepala kerana kehendaknya tidak dipedulikan.Ê Beberapa kali juga Kay cuba memukul saya menggunakan kayu golf, tali pinggang dan menyimbah minyak dari kuali.

“Alhamdulillah hingga kini kayu golf, tali pinggang dan minyak panas masih belum hinggap ke tubuh saya lagi, mungkin kerana takut saya report polis. Mungkin dia tahu risikonya. Kini saya menjadi semakin berani tak takut lagi.

“Perangai buruk Kay yang membuatkan saya lebih membencinya ialah dia tidak pernah rasa bersalah selepas memukul saya apatah lagiÊminta maaf. Selamba aje dia akan berbaik semula dengan saya selepas beberapa hari saya dipukul. Saya pula sudah bertukar sifat menjadi seorang pendendam. Saya juga menjadi terlalu berkira fasal wang kalau dia minta tolong. Pada saya buat apa berbudi dengannya sedangkan dia balas budi saya dengan tahi. Saya tak nafikan, kalau tak bergaduh, Kay memang baik gila-gila. Tetapi bak kata orang, baik ada makna.

“Sebenarnya dua tahun lepas, saya pernah membuat laporan polis apabila Kay memukulÊ saya, tapi mereka kata kes akan berpanjangan. Mereka seolah-olah tidak menggalakkan saya buat laporan polis. MungkinÊtak ada bekas seperti luka dan berdarah. Sebab tu saya tak dilayan oleh polis. Agaknya sehingga patah, berdarah dan ditikam sampai mati baru ada kes.

“Saya tak tahu pada siapa saya hendak mengadu. Kakak-kakak ipar saya semuanya akan menyebelahi adiknya sebab Kay tak pernah mengaku dia penagih. Lagipun Kay kemas dan bergaya. Kedua-dua mertua saya telah meninggal dunia.ÊAyah dan ibuÊsaya bingung tak tahu nak buat macam mana.ÊAyah saya takut nak tegurÊKay. Itu yang peliknya.

“Sebenarnya Kay sedang menunggu bicara mahkamah kerana mempunyai kes dengan polis dan kerajaan. Jika sabit kesalahannya Kay boleh dipenjara tujuh tahun.ÊItu pun dia masih tak serik-serik lagi. Masa mula-mula saya dapat tahu melalui kawannya dia berdengung kerana minum ubat batuk bercampur coke, saya terkejut juga. Bila saya tanya, KayÊ mengaku ambil sikit-sikit aje. Dia berjanji akan hentikan sambil bersumpah depan Quran. Tapi saya kecewa sungguh apabila dia terus menjadi-jadi berdengung.

“Bila saya tanya mengapa dia suka berdengung Kay jawab dia ambil untuk sedapkan badan supaya tak letih dan supaya boleh berkomunikasi lebih baik dengan pelanggan sebab dia buat part time jual beli kereta. Paling tak sedap dia ikut kawan-kawannya yang bekerja sebagai despatch seperti dia.

“Saya pernah jumpa bomoh untuk menghentikan penagihannya itu tapi tak baik pun. Sebenarnya saya jadi serba salah, tak tahu apa nak buat lagi. Kalau dia tak minum campuran coke dengan ubat batuk tu dia akan kelihatan letih, pening kepala dan badannya semua sakit. Lepas sehari kita akan nampak perubahan dirinya, itu mesti dah kena ganja ataupun coke ubat batuk, paling tidak up john dan pil-pil khayal lain.

“Dan saya juga ingin bertanya kepada pembaca, apa lagi yang patut saya lakukan untuk menyelamatkan rumah tangga saya selama ini. Sebenarnya ramai juga kawan Kay yang telah berusaha menasihatkannya supaya insaf tapi nampaknya kelam. Sebaliknya kalau ada kawan-kawan yang bersimpati menasihatkannya, dia akan cepat `angin’ dan pernah kawannya kena tumbuk kerana dituduh campur tangan dalam keluarganya.

“Nasihat saya juga dia tak pakai, sebaliknya dia suruh saya ikut isteri kawan-kawannya yang langsung tak campur tangan dalam urusan suami. Dia tuduh saya tak makan nasihat, kalau saya bersuara lagi pasti kena pukul.

“Paling saya benci kalau kawan-kawannya datang ke rumah waktu malam. Kalau tak layan kena marah, tapi saya memang `angin’ sebab kalau mereka duduk beramai-ramai. Rumah saya bau ganja, busuk betul, berasap macam orang bakar sampah, sebab itu saya marah kawan-kawannya datang. Mereka bukan baik, semuanya berkelakuan tak senonoh.

“Bila saya tak hidangkan makanan atau minuman untuk kawan-kawannya dia akan mengamuk. Bila saya lawan (sebab saya tak suka bau ganja) dia kata saya melawan suami, isteri kurang ajar dan menderhaka. Pernah saya kata padanya menderhaka pun tak apalah kalau tak ikut cakap dia, sebab saya tak suka dia jadi macam kawan-kawannya yang teruk itu.

“Memang saya akui isteri kawan-kawannya itu tak berani memarahi suami mereka, tak macam saya, tetapi saya tak mahu mendiamkan diri. Saya tak mahu bersubahat dan saya masih sayangkannya dan tak mahu dia jadi penagih. Kalau ketagihannya yang masih boleh diubati itu tidak dibendung dari sekarang, bila lagi? Mula-mula ketagih coke ubat batuk, bertambah ganja, lepas itu pil, habis pil tentulah pergi kepada dadah lain. Itulah yang saya tak mahu.

“Perkara baru yang menakutkan saya sekarang dia dah mula cakap fasal nak cari Tai Long (Along) yang baik-baik untuk pinjam buat bisnes. Orang macam dia mana boleh bisnes. Saya takut bisnes tak jadi, hutang yang banyak, lagipun mana ada Tai Long yang baik-baik. Semuanya penyangak. Kalau tak bayar nyawa padahnya. Bila saya cakap dengan kakaknya mereka tak percaya, mereka yakin adiknya orang baik.

“Saya sebenarnya takut bergelar janda tapi jiwa saya sengsara hidup dengan Kay. Saya takut saya akan kalah apabila saya mengadu ke pejabat agama. Inilah dilema yang paling menakutkan dalam hidup saya sekarang. Saya tak tahu apakah betul tindakan saya untuk meninggalkannya kalau dia berbaik-baik dengan Tai Long. Saya tak mahu nyawa saya anak-beranak turut tergadai,” demikian cerita Liyana yang memang menggerunkan.

Kepada Liyana, rumah tangga kita, kitalah penentunya. Kita tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Dan banyakkan memohon kepada Allah agar ditunjukkan jalan yang baik untuk dilalui.

- dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

RAMAI bayi mengalami kekeliruan puting terutama pada minggu-minggu awal selepas ibu kembali bekerja. Ini kerana sesetengah bayi lebih sukakan puting tiruan kerana susu lebih mudah dihisap keluar dari botol berbanding susu badan.

Jika anda dan bayi anda menghadapi masalah tersebut, di sini ada beberapa cadangan bagi mengatasinya.

Antaranya dengan mendukung bayi seolah-olah mahu memberikan susu badan, sebaliknya puting kosong diletakkan ke dalam mulut bayi.

Selepas bayi menghisap puting kosong itu beberapa kali, cabut dan letakkan puting payu dara dekat dengan mukanya.

Bayi itu kemudian akan menghisap puting tersebut. Cara ini perlu dilakukan beberapa kali sebelum bayi kenyang. Sebaik sahaja susu mula mengalir, bayi akan mula menyusu dengan gembira.

Kaedah ini perlu dilakukan beberapa petang berturut-turut sehingga bayi itu dapat memahami bahawa dia boleh mendapatkan susu ibu sama ada dari botol atau puting payu dara.

Ibu-ibu yang berhasrat untuk terus memberikan susu badan perlu mengehadkan pendedahan bayi kepada puting tiruan.

Jika bayi anda enggan menyusu badan, perah susu dan berikan kepadanya dengan menggunakan sudu, picagari atau cawan khas.

Bagi memastikan bekalan sentiasa ada walaupun bayi tidak mahu menyusu susu badan, ibu-ibu perlu memerah susu secara berterusan.

Kebanyakan bayi boleh mula mengambil susu badan yang diperah dari cawan khas sekitar umur empat hingga lima bulan.

Pastikan pengasuh memanaskan susu itu secukupnya kerana kebanyakan bayi enggan mengambil susu yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

Elakkan memanaskan susu menggunakan ketuhar gelombang mikro kerana walaupun bahagian luar botol itu terasa sejuk, susu di dalamnya mungkin terlalu panas dan boleh mengakibatkan mulut bayi melecur.

Sebaliknya, letakkannya botol susu di dalam sedikit air panas dengan memastikan puting terkeluar dari air itu.

Sebelum menyusukan bayi, periksa suhu susu dengan menitiskannya sedikit ke bahagian dalam pergelangan tangan anda.

Selain itu, jangan biarkan susu suam terdedah lebih 20 minit sebelum menyusukan bayi kerana kuman boleh membiak dalam suhu sedemikian.

Di sini ada beberapa cadangan mengenai permulaan pemberian susu botol kepada bayi yang telah diberikan susu badan sepenuhnya sebelum ini.

Pastikan puting pada botol susu bayi anda adalah jenis yang mengalirkan susu dengan perlahan supaya bayi tidak dibiasakan meminum susu badan (atau rumusan) yang diisi dalam botol yang mengalir dengan banyak.

Kebanyakan bayi tidak selesa jika susu mengalir dengan cepat dan sesetengah bayi mungkin terbelahak dan enggan menyusu menggunakan puting tersebut.

Selepas menggilirkan antara botol dan susu badan sesetengah bayi kecewa apabila menetek kerana dos susu tidak mengalir serta-merta seperti menggunakan botol.

Dalam kes-kes seumpama itu, perah sedikit susu pada puting anda dan titiskan pada bibir bayi dahulu sebelum anda mengendungnya dalam kedudukan untuk menyusukannya.

Minta pengasuh picitkan puting untuk mengeluarkan titisan susu yang secukupnya ke dalam mulut bayi agar mereka dapat merasai susu dan tahu kenapa anda memasukkan objek asing ke dalam mulutnya.

Kadang-kadang selepas bayi anda sedar bahawa dia akan mendapat susu ibu yang biasa disusuinya, dia akan menyusu pada botol itu.

Sesetengah bayi mungkin tidak mahu langsung menyusu botol. Dalam kes-kes sedemikian anda perlu terlebih dahulu memberikan susu kepada bayi anda dengan menggunakan sudu sebelum dia biasa kepada sumber susu ibu selain daripada puting payudara.

Berikan beberapa pakaian anda atau sesuatu barangan yang mempunyai bau anda kepada pengasuh dan suruh dia memegangnya semasa dia menyusukan bayi dengan menggunakan botol.

Apabila bayi itu tercium bau ibunya, dia pastinya akan lebih mudah menyusu menggunakan botol. Sesetengah bayi lebih mudah menyesuaikan diri dengan botol semasa mereka sedang tidur.

Minta pengasuh menyusukan bayi ketika dia sedang tidur dan selalunya dia akan minum beberapa auns susu dengan cara itu dan lebih mudah memaafkan puting tiruan yang dibencinya itu.

KISAH yang berkisar tentang rumah tangga, bermadu, berebut kekasih atau suami memang tidak pernah sunyi dalam kehidupan kita sama ada berlaku dalam keluarga, saudara-mara, jiran-jiran mahupun kawan-kawan baik kita. Pendek kata ada-ada sahaja cerita yang kita dengar tentang masalah yang mereka hadapi.

Tidak ketinggalan kita sering mendengar rungutan yang berlaku dalam pejabat jika kita sudi menjadi pendengar setia tanpa menambah dan menghebahkan kepada teman lain.

Menurut Puan Zai dalam surat yang dihantarkan kepada penulis, beliau sering kali mengikuti kisah yang disiarkan melalui ruangan Di Celah-Celah Kehidupan sejak beberapa tahun lalu untuk dijadikan panduan dan mengambil iktibar daripadanya.

“Bagaimanapun saya merasa amat sedih kerana saya tidak pernah terfikir satu hari nanti hidup saya akan jadi lebih kurang sama dengan kisah yang pernah dipaparkan. Cuba anda bayangkan kini saya sendiri melalui kepahitan yang amat memilukan hati, rumah tangga yang dibina selama berbelas-belas tahun hancur dalam sekelip mata sahaja.

“Kebahagiaan yang diimpikan agar berpanjangan hingga ke akhir hayat telah diragut oleh kehadiran orang ketiga. Dulu kisah yang saya baca dalam DCCK saya fikir ia tidak mungkin berlaku ke atas saya, rupa-rupanya kini saya jadi mangsa. Kalau dulu saya baca kisah yang dipaparkan sebagai hiburan kini saya turut jadi penyumbangnya. Untuk memudahkan biarlah saya namakan suami sayaÊZek dan kekasihnya sebagai Yus.

“Apa yang menyedihkan saya anak-anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa termangu-mangu merindui ayahnya yang sudah lupa jalan pulang ke rumah.ÊHibanya hati ini hanya Allah yang tahu, kesetiaan dan pengorbanan yang saya curahkan dibalas dengan tuba yang meracuni fikiran dan hati kita.Ê

“Penderitaan hidup saya bermula apabila suami saya diberhentikan kerja, dia memilih untuk memandu teksi sebagai kerjaya terbarunya.ÊWalaupun hati rasa sedih, tetapi saya terpaksa menerima qadak dan qadar yang telah ditetapkan kepada saya. Saya berazam untuk terus berkorban apa sahaja kepada suami saya demi kebahagiaan keluarga dan rumah tangga ini. Rezeki di tangan Tuhan, biarlah Zek cuma jadi drebar asalkan halal.

“Saya sanggup ditinggalkan malam hari, sendirian menguruskan anak-anak dan rumah tangga, sanggup bergadai barang kemas untuk menolong suami bila kesempitan wang. Bukan itu sahaja, malah duit gaji saya pun habis untuk membayar sewa teksi bila pendapatannya tidak berbaloi untuk membayar sewa setiap bulan.

“Oleh kerana bawa teksi ini tugas baru yang saya tak tahu hujung pangkal, bila dia kata tak ada orang nak naik teksi, duit tak cukup bayar sewa teksi, saya percaya habis, saya tidak pulak bertanya mana pergi duit teksinya walaupun tak cukup.

“Saya menutup mulut tidak mahu bertanya kerana saya fikirkan tentu dia susah hati sebab tak cukup duit nak bagi saya, dan dia pun tentu tak suka jadi pemandu teksi. Jadi demi menjaga hati dan perasaannya saya tak banyak soal. Bila dia mahu duit saya bagi, saya bantu setakat yang mampu kerana saya sedih dan kesiankan dia.

“Saya juga membuat perkiraan sendiri mungkin dia terpaksa membayar hutang lapuknya yang banyak sebelum menjadi pemandu teksi. Saya simpati dan kesiankan dia, sebab saya fikir dia terpaksa berhenti kerja dan dia pun tak mahu jadi pemandu teksi. Tetapi semakin hari dia dibantu semakin menjadi pula, hingga lupa waktu untuk bersama anak-anak dan isteri. Dia sering sibuk bawa teksi, konon kena cari duit banyak.

“Nak jadikan cerita di saat-saat saya mengandungkan anak kelima, ketika itu kandungan berusia empat bulan, saya menunggu suami pulang untuk ucapkan selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-12.Ê Malangnya sampai ke tengah hari esoknya dia tak balik. Pelik juga jadi pemandu teksi terpaksa kerja macam pemandu lori, tak tahu siang malam. Untuk membunuh kerisauan dan kesedihan saya tumpukan perhatian untuk berkemas rumah. Tak disangka-sangka dalam berkemas itulah saya jumpa nota cinta seorang wanita yang masih lagi jadi isteri orang.

“Terkejut beruk saya. Hampir jatuh pitam saya bila terbaca nota itu yang ditujukan kepada Zek. Setelah berulang kali membaca nota tersebut untuk mencari kepastian, saya tunggu suami saya pulang. Malangnya dia tidak mengaku nota itu miliknya.ÊSehinggalah kandungan saya berusia empat bulan barulah terbongkar rahsia apabila handphone kekasihnya tertinggal di rumah. Apalagi, saya mula jalankan penyiasatan dan bersemuka dengan Yus.

“Tetapi saya tidak memarahinya. Untuk apa, dia juga perempuan pasti tahu perasaan saya yang sedang hamil itu.ÊSemasa menemui Yus, suami saya pulak kelam-kabut takut saya marahkan Yus. Malangnya, hati saya terlalu lembut, yang mampu saya lakukan ialah menasihatkanya supaya berfikir dan meminta ihsannya supaya tidak ganggu suami saya lagi. Malangnya mereka bertambah galak berhubung malah suami saya terlalu ambil berat tentangnya sehingga dia lupakan saya yang sedang sarat mengandung.

“Bil handphone saya yang digunakannya meningkat sehingga RM2,000. Saya terduduk melihat bil-bil tersebut kerana setiap panggilan kebanyakannya untukÊYus, setiap kali telefon bilnya mencecah lebih RM10. Hati siapa yang tak hancur, dengan kita nak telefon pun susah.ÊApa salah saya dihukum sebegini?

“Akhirnya saya ambil keputusan untuk berpisah dengannya. Namun Zek enggan melepaskan saya dengan alasan dia masih sayangkan saya. Tapi di manakah kasih sayangnya itu sebab dia selalu tinggalkan kami tanpa berita sebaliknya kami dipaksaÊ berkongsi kasih dengan orang ketiga.

“Maka berlakulah perang mulut setiap kali kami berjumpa, ialah bila dua atau tiga hari beliau tak balik di lehernya ada love bite. Isteri mana boleh sabar! Dengan isteri sendiri dia tidak bernafsu, tapi balik membawa neraka untuk saya.

“Akhirnya, suatu hari kami bertengkar besar tanpa saya sedar saya telah menamparnya bila dia balik dengan love bite di leher dan memakai baju T baru. Saya menghalau dia pergi ke rumahÊYus kalau itu yang dia mahu. Sejak peristiwa itu dia ambil kesempatan menuduh saya menghalaunya. Sebenarnya saya tak terniat untuk berbuat begitu.

“Waktu itu saya hilang sabar bila dicabar sedemikian. Pengorbanan saya selama ini sia-sia. Kerana marah dia pergi meninggalkan saya membawa beberapa helai pakaian. Luluhnya hati Tuhan saja yang tahu. Sebenarnya saya tidak terniat menghalaunya tetapi sesiapa juga dalam keadaan saya mungkin bertindak demikian bila merasa diri sudah tidak dihargai lagi, terutama bila anak dah ramai dan kita hamil lagi.

“Nak jadikan cerita, baru-baru ini teksinya telah ditarik oleh syarikat atas sebab-sebab tertentu. Salah satu sebabnya apabila saya telah menarik semula semua cek yang telah saya berikan kepadanya untuk membayar sewa teksinya. Saya berbuat begitu kerana saya tidak ada lagi wang simpanan, sedangkan duit gaji dan simpanan saya yang terdahulu yang digunakan oleh Zek masih belum digantinya lagi. Saya terfikir untuk apa saya berkorbanÊlagi sedangkan suami sayaÊmengatakan wanita yang jadi kekasihnya itu lebih banyak membantunya daripada saya semasa dia membawa teksi.

“Tetapi berapa lama dia dapat bertahan? Bila hidupnya sudah terhimpit Zek meminta saya menerimaÊYus sebagai isteri keduanya.ÊHilang harga diri saya bila dibuat begitu oleh suami tercinta.ÊBagi saya Zek memang tidak mampu beristeri dua, dia sendiri terpaksa berjuang untuk hidup apalagi mahu dikongsikan dengan Yus. Sememangnya pendapatan Zek tidak mencukupi, sebab belanja hidupnya kasar.

“Kini Zek sudah jarang balik ke rumah sedangkan saya mengandung lapan bulan.ÊSakit pening saya tidak pernah ditanya, telefon pun tidak pernah. Di mana dia tidur, makan, minum, mandiÊatau sembahyang saya tidak pernah tahu. Dalam hati saya merintih merinduinya. Terlalu sedih mengenangkan keadaan hidup anak-anak dan diri sendiri yang terabai pada saat-saat kita amat memerlukan perhatiannya.

“Kalau nipis iman mahu saja saya menjerit, boleh jadi sasau, Allah Maha Mengetahui. Namun setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya yang kita tak nampak. Tetapi bila Zek dakwa saya ada teman lelaki saya merasa diri terlalu hina. Umur dekat 40 tahun siapa yang mahukan saya dengan anak ramai ini. Lagi pun saya sudah hilang kepercayaan kepada kaum lelaki, mereka semua mahu menganiaya wanita untuk kepentingan diri.

“Kaum lelaki terlalu ego, mereka kering hati apabila menganiaya isteri. Mereka berpendapat isteri mesti takut kena cerai kalau mereka mahu kahwin lagi, jadi disebabkan rasa takut itulah maka isteri akan menerima saja dengan sabar perbuatan mereka kahwin dua yang terus terang pada pandangan saya menganiaya isteri dan anak-anaknya, juga menghina isterinya konon sudah tidak layak menjadi isterinya lagi.

“Saya pernah bertanya kepada Zek apa silap saya hingga dia sanggup menganiaya saya dan kahwin lagi. Dia menjawab dia sendiri kurang pasti dan apabila dipaksa dia akan menjawab saya tidak bersalah cuma dia saja mahu kahwin seorang lagi. Tidak ada salah, tidak ada dosa, tidak ada kelemahan, tidak juga menyebut saya tak pandai layan dia.

“Kerana tidak ada sebab itulah maka saya buat kesimpulan dia mahu kahwin lagi sebab mahu memuaskan nafsunya, mahu ikut kelakuan kawan-kawan yang bermegah-megah kahwin dua dan seronok sendiri. Adilkah kalau dia saja mahu seronok sedangkan hidup saya bersama anak-anak susah tertekan kerana tak cukup sara hidup?

“Oleh kerana saya merasa diri tidak bersalah, maka saya tidak menegah dia untuk kahwin lagi, jika itu keputusannya yang muktamat. Apa yang saya mahukan ialah dia mestilah melepaskan saya. Saya terpaksa membuat keputusan yang amat berat itu setelah dia sendiri mendakwa dia tidak boleh memutuskan hubungan dengan kekasihnya itu kerana dia terlalu menyayanginya. Kalau wanita itu lebih penting daripada saya yang telah berkorban lebih 10 tahun hidup susah senang bersamanya, maka tidak ada gunanya saya bersuami lagi, apalagi terus berkorban untuknya.

“Di sini saya ingin mengambil kesempatan menasihatkan para isteri supaya lebih berhati-hati menyayangi suami yang nampak di mata kita terlalu baik, rupanya dalam baik ada benda lain yang beliau mahukan daripada kita. Kini saya menunggu keadaan yang menentukan segalanya dan sentiasa berdoa agar kekusutan ini segera berakhir sebelum saya melahirkan anak tidak lama lagi.

“Namun masalah besar saya sekarang ialah wang. Mana saya nak cari wang, suami tidak bekerja hilang entah di mana, gaji saya cuma cukup untuk bayar hutang piutang yang banyak. Anak-anak nak makan, apalagi saya akan bersalin tidak lama lagi, kesemuanya perlukan wang. Ya Allah, ya Tuhanku! Kau kuatkan semangat aku untuk menghadapi keadaan yang amat tertekan ini. Tunjukkanlah kepadaku jalan yang benar. Dan dalam saat ini memang aku memerlukan seseorang terutama suamiku untuk menjaga anak-anak ketika aku dimasukkan ke hospital nanti.”

Demikian permintaan dan seruan Zai dalam suratnya yang panjang lebar. Kepada Zai saya dan para pembaca juga turut berdoa agar beliau selamat melahirkan anak dan biarlah segala masalah yang dihadapinya segera berakhir.

Bukan semua wanita boleh berdiri teguh menghadapi masalah maha berat itu, dan benar seperti katanya kalau tipis iman boleh jadi sasau. Namun marilah kita mendoakan supaya beliau terus terselamat daripada sebarang masalah dan tekanan semasa dalam pantang. Semoga Allah s.w.t. memakbulkan doanya dan menyelamatkan anak-anaknya.

- dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

MINGGU lalu saya berjanji untuk menyiarkan bahagian kedua kisah Puspa kerana surat yang dihantarkannya terlalu panjang, bagaimanapun untuk bahagian ini beliau banyak memberikan pandangan berupa nasihat untuk kita sama-sama pertimbangkan, khususnya kepada ibu-ibu tunggal senasib dengannya, wanita bergelar isteri juga kepada gadis-gadis yang ingin berkahwin. Tidak ketinggalan kepada lelaki bergelar suami, ketua keluarga dan pemimpin kecil kepada keluarganya.

Jangan nama sahaja jadi pemimpin tetapi diri sendiri tak tahu apa dia tugas sebenar sebagai pemimpin. Jangan nama sahaja jadi bapak, tetapi kelakuan tak ubah seperti anak-anak. Sedangkan dialah sepatutnya melindungi keluarganya daripada segala masalah.

“Oleh kerana saya sudah jadi ibu tunggal (IT) dan mempunyai banyak pengalaman pahit sebelum memegang title ini, saya rasa saya paling layak menjadi penasihat. Walaupun belum layak menjadi pakar perunding, kerana masalah kita lebih kurang sama disebabkan kelemahan kita sendiri yang terlalu sayang, cinta dan takutkan suamiÊ dan bimbang untuk menjadi ibu tunggal, akhirnya kita sendri yang hidup merana.”

Demikian nasihat Puspa kepada para ibu tunggal supaya tidak mengikut tindakan atau langkah yang telah dilaluinya. Di bawah ini diperturunkan beberapa panduan dan nasihat beliau yang mungkin sesuai untuk anda ikuti.

“Sebagai ibu tunggal anda sepatutnya bersyukur kerana tidak perlu melayan kerenah suami yang tidak bertanggungjawab, janganlah menangis setelah bercerai. Buang masa aje. Dan anda tidak perlu lagi bersengkang mata mencuci pakaian, menggosok, memasak, mengemas rumah dan menguruskan anak-anak sebaik sahaja pulang dari kerja.

ʓCuba fikirkan adakah adil kita tonggang- tonggeng di dapur memasak, sedangkan dia duduk menunggu makanan terhidang di meja, anak pun dia tak mahu jaga. Dan anda tak perlu berperang bila nak balik ke kampung sama ada bercuti atau Hari Raya, faham ajelah suami sering paksa kita balik ke kampungnya. Apa dia ingat kita anak yatim piatu?

Ê“Berdikarilah cari rezeki yang halal. Jangan jadi GRO yang terpaksa melayan lelaki cari wang untuk teruskan hidup ini. Wang haram tidak boleh bagi makanÊ anak-anak. Bagaimanapun saya bersimpati pada GRO. Sepatutnya janda seperti mereka ini perlu dibantu. Latih mereka berniaga kecil-kecilan dan kerajaan bolehlah mengadakan institusi kemahiran bagi membantu mereka mendapatkan kemahiran. Dan anak-anak mereka patut diberi biasiswa atau pinjaman untuk melanjutkan pelajaran.

Ê“Dalam pada itu didik anak sebaik mungkin, luangkan masa dengan anak-anak.ÊÊÊ Ingat, ibu adalah guru pertama anak-anak. Ajaran ibu akan diingat sehingga mereka tua kelak.

ʓSayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain (jika anda nak kahwin lagi). Kalau boleh cari suami berkemampuan dan stabil dalam pekerjaan. Jika tidak, baik tak payah kahwin takut nanti anda terpaksa menanggung biawak hidup pulak. Tersilap langkah kena cerai lagi. Tak ke kes naya. Tak malu ke asyik turun naik Mahkamah Syariah?

ʓJaga penampilan diri, mesti bergaya jangan selekeh. Mesti vogue, tapi jangan over-over nanti kena tempelak. Sebagai IT kita mesti jaga diri supaya tak dikata selekeh punca kena cerai. Jaga maruah, kerana IT selalu dituduh miang goda suami orang.

Ê“Kalau anda tak bekerja dapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Baitulmal. Anda perlu berlaku jujur menceritakan keadaan hidup anda yang sebenar dan Biro Bantuan Guaman (BBG) juga ada menyediakan kaunseling undang-undang syariah. Jangan malu minta bantuan. Daripada pengalaman saya sendiri, BBG sentiasa membantuÊ apabila saya perlu ke Mahkamah Syariah.

ʓJangan lupakan Allah, sentiasa berdoa agar dikuatkan iman supaya tabah menghadapi dugaan. Ingatlah bahawa dugaan yang datang menandakan bahawa Allah sayang kepada kita lalu diujinya kita dengan pelbagai penderitaan namun ganjaran pahala yang kita dapat sekiranya kita tabah adalah sangat besar.

Ê“Paling akhir saya juga ingin nasihatkan anda mesti redha hadapi apa juga dugaan yangÊ disuratkan ke atas anda. Kesabaran kita pasti ada ganjarannya daripada Allah. Dan bukti kepada masyarakat bahawa IT juga boleh hidup seperti orang lain. Janda boleh!

“Sementara itu kepada gadis-gadis yang ingin berkahwin suka saya menasihatkan kepada anda beberapa panduan supaya anda tidak tersilap langkah memilih pasangan yang menyusahkan hidup anda sendiri. Sebab mulut manis sebenarnya tersimpan racun yang bias dan muka yang manis menutup wajah sebenar si putar alam.

“Kalau boleh cubalah cari bakal suami yang berkemampuan, ada kerja dan punya pegangan agama yang kukuh. Nak bercinta, cintalah juga. Tetapi ingat, bakal suami anda tu mampu ke nak tanggung anda dan anak-anak bila berkahwin dan berkeluarga nanti.

“Dek Non oi, percayalah cakap akak ni, zaman sekarang ni payah nak cari lelaki setia kerana cinta boleh berubah dik! Ingat pesan akakÉ ni. Duit pun penting juga kalau nak hidup selesa. Takkan bila dah kahwin nanti Dek Non sanggup nak sewa bilik aje. Sampai bila Dek Non nak sabar, takkan Dek Non tak ada hati perut nak hidup macam kawan-kawan Dek Non yang lain tu, ada rumah, ada kereta dan keluarga.

“Bercinta boleh, tetapi cinta tak boleh kenyang, tak boleh bagi rumah, sampai bila nak mati kerana cinta Dek. Itu aje nasihat akak pasal cinta. Kalau boleh cubalah buat anggaran perbelanjaan lepas kahwin. Sebab setelah tolak itu ini barulah boleh tahu bakal suami anda tu boleh ke tanggung kita ni dan anak-anak kelak! Jadi fikir masak-masak supaya jangan tergadai cinta kerana janji yang tak setia.

“Terkadang tu saya fikir inilah sebabnya ada ibu bapa yang lebih suka bermenantukan orang senang daripada orang susah, bukan apa siapa yang nak tengok anak sendiri susah, kan? Takkan nak tengok anak perempuan mereka berjalan kaki ke sana ke mari sambil gendong anak kecil. Turun bas naik bas sambil heret anak berderet-deret.

“Kita pun tak mahu anak-anak kita jadi macam tu. Cuma masalahnya bila tengah dilambung cinta kita terlupa nak fikir itu semua. Semua kita sanggup semua kita berkorban demi cinta konon, malangnya kita aje yang berkorban suami kita tidak. Dia ikut selera dia aje, kita akan ditinggalkan bila dia senang-lenang nanti. Biasalah!

“Bagi saya sekiranya kita kahwin dengan orang berkemampuan kita boleh meminta nafkah anak sekiranya bercerai, tapi kalau terkahwin dengan orang susah, bila bercerai jangan harap nak dapat nafkah, silap-silap langkah dapat penyepak free. Betul tak Dek Non? Cuba fikir baik-baik cakap akak ni. Jangan mimpi siang hari dalam bab bercinta ni!

“Seperkara lagi selalu gadis-gadis ingat perkahwinan itu penamat cinta, tapi sebenarnya adalah bermulanya satu penghidupan yang penuh ranjau dan duri. Tanya diri sendiri, mampukah aku menghadapi ranjau itu, apakah persiapan aku?

“Cinta sahaja tidak cukup, oleh itu kalau boleh jangan sesekali anda berhenti kerja sekiranya anda berumah tangga kelak. Kerana kalau ditakdirkan perkara buruk berlaku anda masih ada kerja untuk menampung hidup.Ê Ini pengalaman saya sendiri. Dulu saya berhenti kerja kerana mengikut kehendak suami, akhirnya saya yang merana bila dia `kahwin’ lagi dan saya diceraikan.

“Kepada anda yang sering mengikuti DCCK tentu anda membaca kisah hidup saya minggu lalu, oleh kerana itu jadikanlah pengalaman saya itu sebagai sempadan dan teladan hidup anda. Kalau boleh jangan ulangi masalah yang telah saya hadapi.

“Kepada para isteri pula saya suka mengingatkan anda mesti pikul prinsip semakin lama anda kahwin, semakin cantik dan bergaya. Sebenarnya memang inilah yang kita dapat lihat, masa kita remaja dahulu kita tidaklah cantik setelah kita berusia 30-an tahun. Tak percaya cuba lihat gambar-gambar lama, cuba bandingkan, sudah pasti anda lebih segak dan cantik selepas berkahwin. Cuma segelintir sahaja menjadi semakin teruk dan pasti golongan wanita seperti inilah yang bermasalah. Kita boleh lihat daripada raut wajah mereka. Bila hati dan fikiran berserabut wajah pun sentiasa kelihatan berkerut-kerut.

“Kalau muka dah tak cantik macam ratu, kita perbetulkan bentuk badan atau pun rambut kita, potong rambut selalu, biar kemas dan segak, kalau yang bertudung tu jangan biar rambut panjang bila basah tak kering memang baunya masam, bila buka tudung orang sebelah boleh tutup hidung. Inilah yang mematahkan selera suami.

“Belajar menghias diri, zaman sekarang ni senang tengok sesetengah artis kita tu bukan cantik sangat tapi bila dah diwarnakan rambut, potong fesyen rambut ala artis Barat dan pakai mekap, nah anda akan kelihatan berlainan daripada dulu. Biar suami yang cemburukan anda bukannya anda yang cemburu suami.

“Dan seperkara lagi kalau anda bertudung ubahkan stail pakai tudung, rajin-rajin selak majalah Wanita, macam-macam fesyen bertudung ada. Ada ala Wardina sampailah ala Arab. Kan vogue gitu! Mekap pun bukannya susah pakai bedak two way cake dan bergincu warna muda sudah cukup.

“Kalau rajin baca majalah banyak boleh kitaÊ tiru cara mereka mekap. Jangan ingat dah beranak-pinak anda tak perlu bergaya lagi. Harus cantik selalu Dek Non! Bagaimanapun bukan semua suami suka isteri mereka mekap lebih-lebih, jadi buatlah ala kadar aje ikut kemampuan. Dan lagi jangan percaya suami 100 peratus, jangan manjakan dia dengan wang ringgit. Kelak dia hanya akan cintakan duit ringgit sahaja bukan diri anda.

“Lagi satu jangan tunjukkan duit bank kepada suami nanti memakan diri. Sebabnya wanita ini amat lurus bendul. Sebaiknya kalau ada masalah berbincanglah dengan keluarga jangan diamkan. Tak payahlah nak makan hati lama-lama. Dah tak sesuai. Jangan korbankan diri semata-mata mencintai lelaki yang tak berguna. Bertindak tegaslah kalau mahu selamatkan rumah tangga kita.

“Kepada suami-suami jagalah amanah Allah iaitu isteri dan anak-anak sebaik mungkin. Kalau tak suka tengok muka isteri pucat, tak cantik, gemuk dan tak pandai bergaya belilah benda-benda yang patut supaya dia boleh bergaya.

“Dan jangan hipokrit brother, isteri disuruh bertudung, tutup sana tutup sini, tak boleh bersolek dan pakai jubah, tetapi biji mata terbeliak lihat wanita cantik. Dan biasanya kalau mencari yang kedua pasti yang tak bertudung, tak ke hipokrit namanya tu.

Ê“Ingatlah balasan Tuhan sekiranya anda mengabaikan tanggungjawab menjaga anak isteri. Jangan buat isteri seperti orang gaji. Hargailah pengorbanannya yang bersusah payah mengandung dan melahirkan anak untuk anda. Setialah ke akhir hayat sebab hanya kesetiaanlah mampu memanjangkan usia perkahwinan anda.” Demikian nasihat Puspa kepada semua, tak kira anak dara, suami atau pun wanita yang sudah bersuami.

Nasihat Puspa banyak betulnya, sebab dia bercakap daripada pengalamannya sendiri. Tetapi yang payahnya kepada yang belum merasa pahit maung hidup sama ada wanita apatah lagi dengan anak-anak gadis kita mereka sering mencemek kalau ada orang nak bagi nasihat dan pandangan. Bagi golongan ini baiklah kita biarkan aje, sebab mereka hanya akan sedar diri bila dahi sudah bengkak. Bak kata pepatah orang tua-tua dahulu `dah terhantuk baru nak tengadah’. Waktu itu sesalan sudah tidak berguna lagi.

Tak salah kita mendengar nasihat dan pandangan orang yang berpengalaman paling tidak jadikan sempadan supaya kita tidak terlanjur. Bagaimanapun terpulanglah kepada anda sendiri, `tepuk dada tanyalah selera’.

- dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

Next Page »