KEMUSYKILAN


Persoalan Agama: Wanita berzina mahu panduan taubat nasuha
Bersama Jakim

SAYA gadis berusia 20-an yang pernah berzina dengan bekas teman lelaki. Kini saya menyesal dan malu kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dia juga sudah memberi kesedaran dan saya ingin bertaubat. Saya hanya mengerjakan solat wajib tetapi saya sedar ia belum mencukupi. Saya ingin taubat nasuha tetapi tidak tahu cara mengerjakannya.

Aidah
Johor

Syabas. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai sekalian Mukmin, semoga kamu mendapat kemenangan” (Surah an-Nur: ayat 31). Taubat adalah perasaan kesal yang amat sangat dan menimbulkan keazaman dan niat untuk berubah. Manusia yang bertaubat tahu maksiat adalah halangan memperoleh kasih sayang Allah SWT, oleh itu dia akan bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat yang pernah dilakukan dan memohon keampunan Allah SWT. Cara dan syarat taubat nasuha ialah:

Berazam meninggalkan maksiat serta-merta walaupun berkemungkinan seseorang tergelincir sekali lagi dalam melakukan kesalahan. Seperti firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Bijaksana).” (Surah al-Nisa, ayat 17)

Menyesal dan benci dengan sebenar-benarnya perbuatan maksiat iaitu sedaya upaya menjauhinya. Ada ulama menyatakan jika seseorang dapat menahan godaan maksiat itu tujuh kali atau tujuh tahun, maka dia tidak akan dihinggapi maksiat berkenaan selama-lamanya.

Melakukan ketaatan dan kebaikan bagi menebus kesalahan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap orang yang melakukan dosa, kemudian dia berwuduk dan memperbetulkan, lalu dia bersembahyang dua rakaat dan memohon keampunan, Allah SWT akan mengampunkannya.” (Riwayat Ahmad)

Bagaimanapun dalam kes zina, seseorang yang ingin bertaubat perlu merahsiakan kesilapannya. Jika dia mengaku kepada pemerintah atau diketahui pemerintah, hukuman hudud wajib terhadapnya tetapi taubatnya juga sah.

Persoalan Agama: Lelaki malas sara isteri dosa seumur hidup
Bersama Jakim

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Saya bekerja, manakala suami hampir enam bulan menganggur selepas berhenti kerja. Kami kini menumpang di rumah ibu.

Saya musykil, apa hukumnya suami yang enggan mencari rezeki, sebaliknya tanggungjawab itu diambil alih isteri?

Bagaimana pula dengan hakikat kami menumpang di rumah ibu sedangkan tanggungjawab itu sepatutnya terletak di bahu anak?

Hamba Allah
Kuala Lumpur

Suami bertanggungjawab menyediakan nafkah kepada isteri dan anak. Namun, pemasalahan yang puan ajukan ini membabitkan dua isu iaitu nafkah anak kepada isteri dan nafkah anak kepada orang tua.

Mengikut syariah Islam, ada lima kategori pembahagian nafkah iaitu nafkah terhadap diri sendiri, usul (ibu bapa), furu’ (anak cucu), nafkah suami ke atas isteri dan nafkah terhadap orang lain. Masing-masing ada kewajipan atau keutamaan mengikut keadaan.

Dari aspek kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri bukan lumrah atau logik akal semata-mata, tetapi sabit kepada tuntutan syariah seperti firman Allah SWT bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas wanita, dan juga kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian harta mereka…” (Surah al- Nisa’, ayat 34).

Begitu juga pesanan Nabi Muhammad SAW dalam khutbahnya pada haji wida dalam memperingatkan lelaki yang mengambil wanita sebagai isteri, wajib bertanggungjawab menjaga dan melindungi mereka.

Tanggungjawab kepada ibu bapa pula, walaupun mereka mampu dari sudut kewangan dan pengurusan hidup, anak patut menjaga, melindungi dan mengasihi ibu bapa bukan menyusahkan dan membebankan emosi, fikiran dan fizikal mereka. Seperti firman Allah SWT bermaksud “… dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman, ayat 15).

Justeru, berbincang secara baik dengan suami serta beri motivasi agar dia kembali bersemangat dan berusaha memperbaiki diri dan menyedari tanggungjawab yang terpikul di atas bahunya.

Jika suami sakit dan tidak mampu bekerja, baru ada keringanan dan kemaafan. Jika dia sihat dan mampu mencari pekerjaan tetapi enggan, dia akan menanggung dosa itu selama hidupnya.

Puan juga dinasihatkan banyak berdoa dan bersabar terhadap ujian yang menimpa. Semoga keberkatan dan rahmat Allah SWT terus memayungi hidup puan sekeluarga.

Di sediakan oleh;
Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Bahan rujukan;

Ringkasan Kitab Jalan Mereka Yang Menuju Allah, Imam Ahmad bin Qudamah al- Maqdisi, Pustaka Salam, Kuala Lumpur 2005.

Bimbingan Mu’min, Imam Ghazali, Pustaka Nasional, 1978.

Bersama: MOHD. YUSOF ABAS

SOALAN: Saya adalah orang kurang upaya (OKU) yang lanjut usia dan banyak hutang serta mempunyai ramai tanggungan yang masih kecil dan tidak bekerja. Masalahnya dalam menanggung keluarga, saya tidak ada pilihan lain buat masa ini melainkan mendapat hasil melalui punca pendapatan yang haram seperti tikam ekor dan sebagainya. Apa pandangan tuan?

– Malik Sulaiman,Balik Pulau.

Jawapannya: Dalam masaalah ini, saudara mempunyai kelonggaran yang diberikan oleh agama sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang terpaksa melakukan perkara yang haram dalam kaadaan cemas (terancam dan bahaya yang boleh mengancam jiwanya) sedangkan dia tidak berniat untuk melakukan dosa dan tidak sengaja melakukan kesalahan (yang dilarang dalam agama) maka tidak ada sebarang kesalahan (dosa) ke atasnya, (al-Baqarah ayat 173).

Ini bererti, saudara perlu berhati-hati memilih dari perkara dosa yang hendak dilakukan itu setelah berusaha sepenuh hati untuk mendapatkan yang halal.

Pada pendapat saya, saudara masih dapat berusaha untuk mengelak dari melakukan perbuatan yang haram, kerana sabda Nabi bermaksud: setiap daging yang terjadi dari sumber yang haram itu maka neraka lebih utama untuknya (Hadis Masyhur).

Sebagai sebuah negara yang digelar lubuk emas dan masyarakatnya yang terkenal sebagai masyarakat penyayang, saudara boleh mendapatkan bantuan pihak tertentu termasuk zakat atau hutang. Malah saudara boleh dimasukkan dalam salah satu asnaf yang mempunyai hak yang sama dengan orang lain seperti fakir miskin dan algharimin atau arriqab yang sekarang ini tidak ada lagi mereka yang bernama hamba. Jadi bahagian mereka ini siapakah yang dapat menerimanya kalau tidak saudara yang layak diberikan.

Sama juga dengan sebarang kemudaratan yang hendak diambil terhadap seseorang, kenalah dipilih yang paling ringan dan kurang bahayanya . Kerana selagi ada cara halal lain yang dapat saudara lakukan maka selama itulah kelongaran tadi tidak akan diberikan kepada saudara. Kerana sesuatu darurat itu, akan dikira sesuai dengan kadar keperluannya sahaja. Sebab itu dalam ayat yang lain Allah ada memberikan kelonggaran itu bagi mereka yang benar-benar bertakwa. Allah berfirman yang bermaksud : Maka tidak ada dosa ke atasnya itu, bagi mereka yang bertakwa, (Surah al-baqarah – 203).

Kelonggaran itu bagi mereka yang bertakwa, tetapi kalau sesaorang itu sengaja mencari alasan hendak melakukan perkara dosa, tandanya dia tidak benar-benar bertakwa dan tidak berhak sebarang kemudahan atau kelongaran dalam agama itu. Urusan mereka seperti itu kita serahkan sahaja kepada Tuhan yang maha mengetahui dengan segala isi hati hamba-Nya dan akan memberi balasan yang setimpal dengan niat dan amalannya. Di dunia ini, seseorang itu boleh memberi berbagai-bagai alasan, tetapi di hari akhirat nanti semua anggotanya akan dimeteri dan tidak dapat bercakap atau memberi apa-apa alasan lagi, kerana segala urusannya pada masa itu di dalam kuasa Allah.Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: pada hari agama itu setiap diri tidak ada mempunyai sebarang hak lagi kerana segala urusannya di tangan Tuhannya (al-infitir ayat 19). Wallahualam.

Hukum menderma anggota badan

Soalan: Saya keliru dalam masalah derma anggota badan. Adakah anggota badan manusia juga boleh didermakan seperti harta yang milikinya. Tidakkah badan kita itu milik Allah bukan milik kita hamba-Nya, dan bila milik Allah maka kita tidak boleh bebas untuk mendermakannya?

– Muhammad Danial Aliff, Cenderung Batu, Tumpat.

Jawapannya: Benar semua anggota malah seluruh badan kita ini adalah kepunyaan Allah s.w.t. yang mutlak sebab itu kita tidak dibenarkan mencampakkannya sesuka hati, tetapi disuruh kita menguruskannya dengan sebaik-baiknya. Sebab itu kata ulama kita hari ini, seseorang itu boleh mendermakan dan mengambil faedah daripadanya, seperti harta juga, ianya adalah milik Allah yang mutlak. Allah berfirman yang bermaksud: Berikanlah kepada mereka dari harta Allah s. w. t yang telah diberikan kepadamu, (Surah-Nur ayat – 33) Tetapi Allah telah memberi kuasa kepadanya untuk menguruskannya dengan baik. Sebab itu kalaulah dengan harta manusia dibenarkan untuk berderma begitu juga dengan sebahagian anggotanya, boleh dia berderma kepada mereka yang memerlukannya. Cuma bezanya manusia dibenarkan berderma dengan seluruh hartannya sesuai dengan darjat kemampuan dan kedudukannya seperti Abu Bakar r.a., tetapi badannya tidak dibenarkan untuk didermakan semua sekali. Sebab itu seseorang itu dilarang membinasakan dirinya untuk menyelamatkan orang lain, tetapi sebagaimana dia dibenarkan untuk terjun ke laut untuk menyelamatkan mereka yang hampir lemas atau dalam bahaya, begitu juga dia dibolehkan menderma sebahagian anggota dirinya untuk menyelamatkan orang lain. Dan seharusnya dia tidak cuma menjadi penonton terhadap sesuatu bahaya yang sedang menimpa sesaorang tanpa berbuat sesuatu sebagai mana kaedah kita ada mengatakan bahawa bahaya itu pasti dihilangkan dan perlu diatasinya.

Islam adalah agama yang amat sesuai dan menganjurkan hambanya untuk besedekah dan berderma dengan segala kebaikan dan makruf. Ini termasuklah juga derma dengan sebahagian anggota badannya sendiri. Dalam hubungan ini Nabi bersabda yang bermaksud: Pada setiap sendi tubuh badan manusia itu ada pahala sedekah, (Riwayat Muslim).

Justeru itu kita agak hairan dengan mereka yang begitu bakhil dan kedekut dengan barang yang bukan kepunyaan miliknya sendiri, malah mengatakannya haram pula kepada mereka yang ingin berderma .

Dalam hal ini Allah s.w.t. pernah mengingatkan kita dengan fiman-Nya bermaksud: Sesiapa yang terlepas dan dipelihara dari penyakit kikir dan kedekut mereka itulah orang yang beroleh kejayaan, (al-Hasyar: 9).

Apa lagi terhadap mereka yang sebangsa dan seagama atau jiran tetangga dan senegara, terutama mereka yang telah berjasa dengan kita, perlulah kita hargai. Begitu juga terhadap mereka yang ingin berdamai atau berharmoni dengan kita semua, kita sebagai umat Islam tentu lebih utama lagi .Sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada umat-Nya supaya lebih harmoni dan terbuka untuk bermesra dan berdamai dengan mereka yang menghulurkan tangan perdamaian dengan kita seperti mana firman-Nya bermaksud: Dan sekiranya mereka menghulurkan tali perdamaian maka sambutlah tali perdamaian itu dan bertawakallah kepada Allah, (al-Anfal: 61) Kita berasa malu bila orang lain dari umat Islam lebih terbuka dan maju atau lebih dermawan dan harmoni sedangkan kita umat Islam masih lagi dengan sikap sombong,kikir dan busuk hati, sedangkan mengakui dirinya lebih baik dan mulia daripada orang lain. Tidakkah mereka sedar bahawa Allah pernah memberi amaran-Nya iaitu firman-Nya bermaksud: Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubah sikap yang ada dalam diri mereka sendiri, (Arra’du – 11) Semoga ayat ini dapat menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita semua . Wallahualam.

Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN 1

Saya ada mendapat e-mel mengatakan pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah haram kerana ASB ada membuat pelaburan yang tidak berlandaskan syarak.

Pada mulanya, memang saya kurang percaya, takut ia e-mel palsu, tetapi setelah saya semak dengan e-fatwa di website Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ada fatwa yang menyebut tentang pelaburan ASB ini dalam fatwa Hukum Wang Dividen Dan Bonus ASB. Soalan saya:

1. Apakah hukumnya pelaburan saya di dalam ASB tersebut?

2. Sebelum ini, saya ada mengeluarkan zakat simpanan ASB tersebut. Apakah hukum zakat saya itu?

3. Saya hendak berhenti melabur dalam ASB, saya bercadang untuk mengeluarkan jumlah wang yang saya telah simpan sahaja dan melabur di pelaburan lain. Mengenai bonus dan dividen ASB tu, apakah tindakan yang paling sesuai untuk saya ambil? Bolehkah dividen dan bonusnya saya gunakan untuk membayar hutang seperti hutang pinjaman pelajaran? Ataupun, bonus dan dividen itu saya derma atau sedekahkan?

JAWAPAN: Persoalan mengenai ASB mendapat perhatian daripada Jawatan Kuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor, justeru keputusannya adalah seperti berikut;

* Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut:

*.i. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB

Keputusannya: Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syarak.

*.ii. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah.

Keputusannya: Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syarak, maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.

Maka dapatlah disimpulkan di sini seperti berikut:

Sekiranya sebelum ini kita melabur tanpa mengetahui hukumnya, maka kita dianggap tidak tahu. Namun setelah mengetahui keterlibatan pelaburannya yang tidak syarie, adalah salah dan berdosa untuk terus terlibat dengannya. Seakan-akan kita reda dan bersetuju malah memberi sokongan kepada sesuatu yang tidak dibenarkan syarak.

Zakat simpanan memang perlu dikeluarkan daripada wang simpanan tersebut kerana ia adalah wang kita yang telah mencapai haul dan nisab zakat.

Namun pertambahan yang terhasil daripada simpanan tersebut (dividen, bonus dan lain-lain) tidak perlu dizakat kerana ia terhasil daripada urusniaga yang tidak syarie. Motif zakat adalah menyucikan harta yang halal kerana perkaitannya dengan hak golongan asnaf dan bukan menyucikan harta yang status asalnya memang tidak halal untuk dihalalkan.

Dividen dan bonus yang terhasil masih perlu dikeluarkan supaya ia tidak lagi berkembang (dilupuskan). Melupuskannya melalui pembayaran hutang atau pinjaman pelajaran, bermakna kita masih mengambil manfaat daripada harta yang tidak syarie.

Jadi cara terbaik adalah dengan menyalurkannya kepada pertubuhan awam atau pertubuhan berkaitan khidmat sosial yang memerlukan dana seperti pertubuhan sukarela yang bertindak dalam waktu-waktu kecemasan, bencana alam atau sebagainya (kemaslahatan awam).

Bukan dengan niat sedekah atau amal jariah, sekadar satu bentuk pemberian dan sokongan terhadap khidmat sosial mereka yang menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status agama, bangsa dan sebagainya.

SOALAN 2.
Saya mendapati ada fatwa yang menyebut tentang hukum insurans nyawa. Saya mengambil insurans dengan sebuah syarikat insurans tetapi skim berlandaskan Islam (menurut agen insurans saya). Harap ustaz dapat beri penjelasan tentang hukum insurans ini, sebab saya memang keliru.

JAWAPAN: Mengikut keputusan majlis fatwa kebangsaan disebut insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip jual beli dalam Islam;

a. mengandungi gharar (ketidaktentuan)

b. mengandungi unsur judi.

c. mengandungi muamalah riba

Secara puratanya kebanyakan ulama tidak menyetujui konsep insurans nyawa hari ini kerana terdapat unsur perjudian, ketidaktahuan dan ketidaktentuan dalam kontrak tersebut.

Sistem takaful telah dibincangkan secara intensif oleh para ulama mutakhir dalam mencari penyelesaian terhadap produk atau muamalah yang boleh menangani atau mengurangi kesulitan individu apabila berlaku kecelakaan.

Ia diimplimentasi pada hari ini dan sewajarnya menjadi pilihan untuk menghadapi risiko pada masa akan datang. Syarikat-syarikat Takaful yang menawarkan produk ini mendapat sambutan yang memberangsangkan sehingga memaksa institusi lain (insurans konvensional) menerbit dan melancarkan produk takaful mereka walaupun mungkin sebahagiannya tidak mendapat pengiktirafan daripada Badan Penasihat Syariah yang berautoriti.

Oleh kerana itu, setiap pelanggan perlu bertanya secara mendalam tentang maklumat produk khususnya berkaitan sijil pengiktirafan syariah daripada badan yang berautoriti, contohnya Bank Negara Malaysia. Pastikan kita meminta untuk melihat sijil ini kerana sebahagian agen sendiri mungkin agak keliru terhadap sistem insurans nyawa konvensional dengan takaful.

Soalan:
Saya seorang janda dan kini ingin berkahwin semula. Tempoh idah sudah lama berlalu. Masalahnya saya tidak mempunyai wali kerana semuanya sudah meninggal.

Begitupun, saya ada sepupu lelaki sebelah ayah yang berusia lebih 80 tahun ke atas dan agak pelupa orangnya. Bagaimana saya perlu menyelesaikan masalah wali ini?

- Soraya Bakar
Kota Bharu, Kelantan

Jawapan:
Terdapat pandangan bahawa seseorang janda mempunyai lebih hak tentang perkahwinannya daripada walinya. Mengenai perkahwinan semula seorang janda, surah al-Baqarah ayat 232 menyatakan:

Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya, apabila terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang ma’ruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Namun, Seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 menyatakan bahawa persetujuan wali diperlukan agar sesuatu perkahwinan itu diakui sah oleh undang-undang Islam di Malaysia.

Oleh kerana wali merupakan salah satu rukun perkahwinan menurut Mazhab Shafi’i, adalah perlu untuk memastikan bahawa orang yang menjadi wali sesuatu perkahwinan itu adalah wali yang sebenarnya.

Senarai keutamaan wali nasab adalah dinyatakan dalam perenggan 4(d) Jadual Keempat kepada Enakmen di Kelantan. Wali abaad (wali yang jauh) tidak berkuasa menjadi wali sekiranya wali akrab (wali yang lebih dekat) masih hidup dan berupaya menjadi wali, iaitu wali akrab itu bukannya kanak-kanak, tidak gila atau cacat akal, tidak fasik dan tidak menganuti agama lain.

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002, Jadual Keempat menyenaraikan susunan keutamaan orang-orang yang berhak menjadi wali iaitu: bapa, datuk sebelah bapa, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara sebelah bapa yang seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa yang yang sebapa dan seterusnya.

Jika puan sudah mencari wali mengikut tertib keutamaan seperti yang dinyatakan di atas, maka sepupu lelaki sebelah bapa tersebut mestilah saudara lelaki bapanya yang seibu sebapa atau saudara lelaki bapa yang sebapa.

Sekiranya keadaan pelupanya agak serius, beliau mungkin tidak layak mewalikan perkahwinan tersebut.

Seterusnya, puan perlulah memulakan permohonan untuk wali raja supaya mewalikan pernikahan puan.

Permohonan hendaklah dibuat ke Mahkamah Syariah di Kota Bharu oleh sebab puan bermastautin di sana.

Nota:

Perbezaan pendapat antara mazhab Hanafi dan mazhab Sunni yang lain mengenai soal perwalian nikah adalah kerana ayat-ayat suci al-Quran dalam hal ini tidak menyatakan dengan jelas sama ada kehadiran atau persetujuan wali adalah syarat yang perlu bagi melangsungkan perkahwinan seseorang gadis yang dewasa.

Antara hadith yang dirujuk oleh mazhab Hanafi ialah:

Dari Aisyah bahawa seorang gadis berjumpanya dan berkata bapa gadis itu telah mengahwinkannya kepada anak saudaranya supaya kepapaannya dialihkan darinya. Aisyah menyuruh gadis itu tunggu.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w mendengar aduannya, beliau menyuruh memanggil bapanya. Beliau kemudian di hadapan bapa gadis itu membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihannya.

Kemudian gadis itu berkata: “Ya Nabi! Sesungguhnya saya membenarkan apa yang telah dibuat oleh bapa saya. Saya tidak ada niat lain selain dari membolehkan kaum perempuan tahu bahawa mereka mempunyai kuasa yang penuh atas diri mereka dalam perkara itu.” (Nasai, al-Sunan, Karachi Jilid 2 di ms. 6)

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Panel Peguam Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000, Petaling Jaya atau telefon 03-7960 6122 pada hari Isnin dan Jumaat sahaja atau faks 03-7960 4737 atau e-mel: sistersinislam@pd. jaring.my.

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)

Pekerjaan suami buat isteri tertekan

SOALAN: SAYA seorang ibu beranak lima. Suami bekerja kongsi dengan seorang Cina menjual ikan. Pergi kerja pagi hari, lebih kurang pukul 10 pagi pulang sekejap kemudian pergi semula. Petang pergi lagi dan balik waktu malam.

Saya begitu tertekan dengan rutin hidup sedemikian rupa dan terasa sunyi. Akhirnya saya berkenalan dengan seorang lelaki dan keluar dengannya dua kali tetapi saya telah melakukan perbuatan terkutuk. Saya terlanjur. Saya tidak pernah curang sebelum ini dan jarang sekali meninggalkan sembahyang. Saya benar-benar insaf, menyesal dan selalu menangis. Hidup tidak menentu. Saya ingin taubat nasuha. Adakah perlu saya memberitahu suami?

- Syeeda, Kajang.

JAWAPAN: rutin kerja menjual ikan memang seperti yang puan jelaskan. Pergi pagi-pagi dari rumah untuk memastikan bekalan ikan tersedia ada untuk pembeli yang juga datang membeli di pagi hari.

Setelah semuanya siap sedia, suami puan balik rumah, menjenguk anak dan puan. Memastikan semuanya selamat sambil membawa balik apa yang difikirkan perlu untuk makanan harian.

Setelah menjamu selera pagi dan berehat, suami keluar rumah, menyambung kerjanya semula. Waktu tengah hari balik untuk makan tengah hari. Kali ini rehatnya lebih panjang. Waktu petang pergi lagi dan malam baru balik.

Bagi seorang penjual dan pembekal ikan apatah lagi bekerja dengan orang Cina yang rajin, rutin kerja seperti yang puan jelaskan memang perkara biasa.

Suami puan sebenarnya boleh berehat di tempat lain, sambil makan minum di warung-warung atau di mana jua tanpa balik ke rumah. Tetapi kerana sayangkan keluarga dia balik. Dia bekerja sedemikian rupa semata-mata kerana menanggung keluarga. Untuk memberi makan anak-anak dan isteri, iaitu puan. Untuk membayar sewa rumah, duit sekolah, bil api, air dan segala-galanya.

Nature kerja seumpama ini menjadikan puan terasa sunyi dan tertekan. Bagi seorang suami yang bekerja menjadi pembekal dan penjual ikan, adakah puan mengharapkan dia keluar pukul 7 pagi dan balik rumah pukul 5 petang seperti orang bekerja pejabat, ataupun seorang guru yang boleh tiba rumah pada pukul 2 petang dan duduk di rumah ketika sekolah cuti?

Kalau beginilah cara yang dilakukan, perniagaan akan tutup dan kongsi niaga akan hilang. Pembeli akan beralih ke tempat lain. Ikan tetap berlonggok sehingga petang hari. Hendak disimpan semula tempat tidak cukup. Kalau ada tempat sekalipun, mata ikan akhirnya bertukar menjadi merah dan pecah perut, kerana banyak kali keluar masuk peti sejuk.

Akibat rasa sunyi dan tertekan puan berusaha mengatasinya dengan mencari lelaki lain. Apakah kesunyian yang melanda dan tekanan yang mengorek otak itu boleh terhapus dengan cara demikian rupa. Bagi seorang lelaki yang mempunyai nafsu syahwat, bertemu dengan seorang perempuan yang sedang bermasalah seperti puan yang berakhir dengan perzinaan bukan sesuatu yang memelikkan. Malah hal demikian memang dapat diduga.

Apa manfaatnya atau perlunya seorang lelaki berdampingan dengan perempuan seperti puan kalau bukan kerana seks. Puan mencarinya untuk melepaskan kesunyian dan tekanan. Apa peranan lelaki ini dalam kehidupan puan? Pada hal puan mempunyai suami.

Puan adalah manusia yang tidak tahu bersyukur atau mengenang budi. Dikasihi oleh seorang suami. Dijenguk biarpun sekejap bagi memastikan keselamatan. Puan juga tidak sedarkan diri, anak sudah lima orang, masih mencari lelaki lain. Secara tidak langsung merasa hina dengan pekerjaan suami, pada hal kerja itulah yang menanggung keperluan keluarga, termasuk diri puan. Perilaku puan tidak ubah seperti menjerut sampai maut di leher sendiri. Puan sengaja masuk dalam lukah yang dipasang di air keruh.

Dalam sebuah hadis dari Abu Umamah, Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Bagi seorang mukmin, setelah bertakwa kepada Allah tidak ada sesuatu yang terbaik, selain daripada isteri yang soleh, iaitu isteri apabila disuruh, dia mentaatinya, apabila dipandang menggembirakannya, apabila diberi janji, diterimanya dan apabila ditinggalkan pergi, dirinya dijaga dengan baik begitu juga harta suaminya. Hadis riwayat Ibn Majah.

Dalam sebuah hadis lain, daripada Saad bin Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk. Hadis riwayat Ahmad.

Berdasarkan hadis-hadis ini jelas bahawa puan bukan seorang perempuan yang soleh, tidak amanah dan tidak berupaya menjaga maruah diri. Ada tanda-tanda kecelakaan berlaku dalam keluarga akibat perbuatan puan.

Dalam kehidupan berkeluarga, isteri adalah nakhoda dalam rumah. Isteri merupakan penenang jiwa suami tempat bermanja, tempat luahan segala yang tersemat dalam hati. Cukup untuk menghilangkan rasa penat seharian biarpun hanya dengan menjengukkan leher beberapa minit. Isteri adalah sekutu hidup, pengatur rumah. Ibu dari anak-anak yang dilahirkan, tempat menumpahkan rahsia dan mengadu nasib.

Perilaku puan menyebabkan fungsi seorang ibu yang menjadi tunjang kebahagiaan itu terhapus. Sebagai seorang ibu yang diharap, puan bertindak melayari nafsu serakah lalu akhirnya tertipu. Apa perlunya seorang ibu yang mempunyai lima orang anak itu berzina. Adakah kerana sibuk menjual dan membekalkan ikan, keluar di pagi pekat dan balik di malam yang sepi itu menyebabkan puan tidak puas dengan nafkah batin atau layanan yang diberi oleh suami?

Cuba puan bayangkan, ketika suami bergelut dengan hamis lekit ikan untuk memberi makan anak dan diri puan, puan masih boleh memusuhi apa yang dilakukan olehnya. Puan boleh sampai hati mencari lelaki lain dan berzina dengannya. Puan perlu sedar, apa yang dilakukan oleh lelaki ini langsung tidak ada kaitan dengan kasih sayang, jauh sekali kerana simpati atau rasa ihsan kerana puan adalah isteri orang. Puan hakikatnya hanya satu objek bernyawa menjadi pelapis nafsu tambahan secara percuma sahaja.

Memang benar sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah perlakuannya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Demikianlah jaminan Allah seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, surah al-Ankabut ayat 45. Jaminan Allah s.w.t ini pasti benar. Zina adalah perbuatan mungkar dan kejahatan.

Walaupun demikian, biar betapa tetap sembahyang seseorang itu, tetapi kalau hati dan anggotanya pergi menapak, merangkak, menyusuri gedung-gedung maksiat, fungsi sembahyang itu akan terhindar jauh. Begitulah yang terjadi pada puan. Puan sembahyang lima waktu, tetapi kaki puan masih ingin menapak mencari lelaki lain biarpun sudah beranak lima, akibat hati dan perasaan yang memberontak, menyalahkan pekerjaan suami lalu akhirnya terjebak dengan zina.

Dalam keadaan seperti ini, mungkin lebih selamat biarpun seseorang itu tidak sembahyang langsung, tetapi kakinya tidak berjalan mencari lelaki yang memasang lukah ataupun mencari peluang melepaskan nafsunya. Biar dalam keadaan apa sekalipun sembahyang yang cukup dalam waktunya sambil menjaga pergerakan anggota tubuh, itu adalah lebih baik dan selamat.

Puan berdosa kepada Allah kerana berzina, satu perbuatan yang tergolong dalam dosa besar. Dalam masa yang sama puan telah curang kepada suami.

Tidak ada jalan terbaik yang mesti diambil selain daripada bertaubat. Puan sepatutnya telah bertaubat nasuha lebih awal lagi dan jangan bertaubat hanya setelah mendapat nasihat melalui surat khabar. Malah setiap orang mesti ingat bahawa taubat nasuha tidak semestinya dilakukan hanya setelah seseorang itu melakukan dosa besar.

Seorang yang bertaubat mesti mengembalikan hak yang berkaitan dengan hak anak Adam. Mesti bayar hutang pulangkan harta kepada si ampunya, mohon maaf kalau ia melibatkan fitnah dan sebagainya. Begitulah yang perlu dilakukan oleh seseorang apabila kesalahan itu melibatkan hak anak Adam.

Dalam kes puan, puan telah berlaku curang kepada suami. Puan perlu minta maaf kepadanya. Walaupun demikian kalau maaf itu dipinta di samping menjelaskan kecurangan itu boleh mem-bahayakan diri puan, mungkin puan dipukul, diceraikan menyebabkan rumah menjadi porak peranda, puan tidak perlu menjelaskan kecurangan tadi kerana keburukannya lebih banyak.

Jelasnya, puan perlu menyesal, bertaubat nasuha berbuat baik seberapa boleh sebagai seorang isteri yang soleh, perbanyakkan amalan yang terangkum di dalamnya amalan-amalan sunat terus-menerus. Insaf diri. Yakinlah bahawa Allah s.w.t. Maha Pengasih lagi Pengampun.

Soalan
SAYA sering terkeliru mengenai zihar. Apakah jatuh hukum tertentu jika suami hanya bergurau apabila mengatakan tubuh atau bahagian tertentu saya seperti anggota ibunya.

Jika sabit hukuman, apakah cara terbaik untuk memperbaiki keadaan atau memulihkan semula hubungan.

Intan (Petaling Jaya)

Jawapan

MENGIKUT istilah fikah, zihar membawa maksud seorang suami menyamakan isteri dengan belakang, punggung atau apa-apa bahagian anggota zahir ibunya atau perempuan-perempuan lain yang menjadi mahram kepada suami.

Contohnya, seorang suami menyatakan kepada isteri; “tangan engkau serupa dengan tangan ibuku.”

Perbuatan tersebut hukumnya adalah haram. Berdasarkan ayat 2 surat al-Mujadalah yang bermaksud, Orang-orang yang menzihari isterinya dari kalangan kamu adalah orang-orang yang bersalah, kerana isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka.

Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka dengan melakukan yang demikian memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan ingatlah sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha pengampun.

Pada asalnya zihar merupakan amalan masyarakat Arab jahiliyah. Mereka menggunakan perkataan zihar dengan maksud talaq (perceraian) dan bertujuan untuk menceraikan isteri. Dengan ucapan seperti di atas, maka jatuhlah talak ke atas isteri mereka untuk selama-lamanya.

Selepas kedatangan Islam, amalan tersebut dibatalkan dan perkataan zihar tidak lagi membawa erti perceraian.

Sebaliknya Islam telah menggantikannya dengan satu peraturan iaitu suami dilarang menyetubuhi isterinya sebelum dia membayar kifarah ziharnya.

Hukum zihar di dalam Islam bermula dari peristiwa seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Aus bin Somit yang telah menziharkan isterinya Haulah binti Malik bin Tha’laba.

Isterinya mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia telah berkahwin dengan Aus pada usia muda dan pada waktu itu beliau sangat dicintai dan disayangi oleh Aus.

Tetapi apabila usianya lanjut dan perutnya mula berkedut, suaminya telah menganggap beliau seperti ibunya.

Rasulullah s.a.w menjawab bahawa Baginda belum dapat memutuskan perkara seumpama itu, maka turunlah ayat dari Allah s.w.t sebagaimana surah Al-Mujadalah ayat kedua.

Daripada ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa Allah s.w.t amat tidak suka kepada mereka yang melakukan perbuatan zihar dan kita semua wajib menghindarinya sama sekali.

Walau bagaimanapun, dalam kehidupan bersuami isteri, timbul gurau senda atau puji-pujian dari seorang suami terhadap isteri.

Sekiranya suami ada menyebut perkataan menyamakan isteri dengan ibunya, maka para ulama berpendapat masalah ini adalah bergantung kepada qasad atau tujuan si suami berkata demikian.

Jika suami menyamakan isteri dengan ibunya dengan tujuan zihar, maka termasuklah dalam zihar, tetapi jika suami tidak bermaksud demikian, maka tidaklah termasuk dalam bahagian zihar.

Begitu juga jika si suami menyamakan isterinya dengan mana-mana perempuan yang menjadi mahramnya.

Bagi mengelakkan timbul sebarang syak wasangka, lebih baik si suami jangan memuji isteri dengan menyamakannya dengan perempuan yang menjadi mahramnya. Tidak perlulah meletakkan hubungan suami isteri dalam keadaan serba salah.

Bagi mereka yang ragu-ragu tentang perbuatannya, segera bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t serta tidak mengulangi lagi perbuatan seumpama itu.

Manakala bagi suami yang telah terlanjur melakukan zihar secara jelas, hendaklah membayar kifarah terlebih dahulu sebelum mengadakan hubungan kelamin semula dengan isterinya.

Sekiranya si suami berterusan melakukan hubungan kelamin dengan isteri sebelum membayar kifarah maka hukumnya haram sebagaimana haram orang yang berzina tetapi tidak boleh dihukumkan sebagai orang yang berzina.

Dan jika isteri yang dizihar itu hamil, anak yang lahir itu tidak boleh dikatakan anak zina atau anak haram, kerana yang haram adalah perbuatan suami yang melakukan hubungan kelamin dengan isteri yang diziharinya sebelum membayar kifarah.

SOALAN:
Saya seorang remaja berusia 20-an. Saya mewarnakan rambut, kerana terikut-ikut dengan kawan. Saya merasa keliru tentang hukumnya, kerana terdapat pada pewarna itu tanda logo halal, seperti yang terdapat pada barang-barang keluaran yang dijamin bersih, tetapi sesetengah ustaz pula mengatakan haram.

Soalan saya, apa hukum mewarnakan rambut dengan warna-warna perang dan hitam. Bagaimana dengan mandi hadas bagi mereka yang memakai pewarna rambut. Apa hukum jika tujuan mewarnakan rambut itu untuk menutup uban atau supaya dikata orang usianya masih muda. Jawapan tuan sangat saya hargai. – NOR, Alor Gajah, Melaka.

Jawapan: Soalan tentang hukum mewarnakan rambut perlu dilihat dari pelbagai aspek, seperti tujuan mewarna, jenis-jenis warna dan pihak-pihak yang terlibat dengan kegiatan mewarna serta kesannya kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Sehubungan ini ada sebuah hadis berkaitan dengan penjagaan rambut yang diriwayat Abu Dawud daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda yang membawa maksud: Sesiapa yang menyimpan rambut hendaklah ia mengemaskannya. (Miskat, 2/491). Mengemaskan rambut ertinya tidak membiarkannya kusut masai, tidak terurus, berterbangan apabila ditiup angin atau dibiar menjadi sarang tempat kutu membiak dan sebagainya.

Sebaliknya, rambut hendaklah dibersihkan setiap hari, diikat dan disapu minyak, supaya kelihatan sentiasa berseri. Bagi wanita pula hendaklah didandan atau diikat kemas, diwarnakannya jika sudah beruban dan tidak lagi diminati suaminya, tetapi hendaknya tidak dipamer kepada lelaki bukan mahramnya. Bagi wanita yang sudah lanjut usia dan tidak bersuami, tidak perlu lagi berbuat demikian, kerana tiada motif sebenar daripada pewarnaan rambutnya.

Sebahagian ulama melarang perbuatan mewarnakan rambut secara mutlak, seolah-olah warna rambut tidak boleh diubah daripada warna asalnya, namun sejauh yang diperhatikan, dalil-dalil yang dikemukakan bagi pengharaman itu tidak lengkap, atau larangan itu hanya kepada lelaki sahaja, sedangkan wanita dikecualikan, atau larangan dikhaskan kepada wanita tua yang mewarnakan rambutnya, supaya kelihatan muda dan bergaya, lalu diminati lelaki yang tertipu dengan rambut kepala yang kononnya masih hitam.

Saya berpendapat, mewarnakan rambut hukumnya harus bagi wanita yang bersuami, jika tujuannya memperlihatkan kecantikan kepada suaminya sahaja, tetapi hendaklah tidak mempamerkannya kepada umum. Amalan ini boleh dimasukkan di bawah tuntutan penjagaan rambut, sebagaimana dalam hadis di atas.

Selain itu menjaga keharmonian antara suami dan isteri sangat besar tuntutannya. Isteri tidak sia-sia, jika rambutnya yang putih itu tiba-tiba kelihatan hitam di hadapan suaminya. Bagaimanapun, wanita lebih suka memperlihatkan kecantikan dirinya kepada orang lain, bukan kepada suaminya.

Abd. Rahman ibn al-Jawzi (114-1201 M.) berpendapat, lelaki juga harus mewarnakan rambut ubannya dengan apa jua warna, termasuk hitam. Beliau menjawab hadis-hadis yang melarang mewarna rambut itu sebagai khusus kepada mereka yang bermotif untuk memelihara nafsu mudanya, sekalipun usianya sudah cukup tua, sehingga tiada tanda-tanda ingin insaf atau semangat kembali kepada cara hidup yang mengutamakan hari akhirat.

Sehubungan ini juga ada riwayat menyatakan, kaum Yahudi dan Nasara beranggapan mewarnakan rambut itu menjejaskan nilai-nilai agama dan ibadat seseorang manusia, justeru itu, kalangan agama dan paderi-paderi Yahudi dan Nasara tidak mewarnakan rambut mereka. Anggapan ini dikira suatu keterlaluan dalam agama yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Baginda Rasulullah s.a.w. melarang umat Islam mencontohi Yahudi dan Nasara, sebaliknya mereka hendaklah menunjukkan cara hidup dan budaya yang berbeza dengan budaya mereka. Dalam konteks ini baginda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. bersabda yang bermaksud: Kaum Yahudi dan Nasara tidak mewarnakan rambut mereka. Warnakan rambut kamu supaya tidak menyerupai mereka.

Bagaimanapun, ulama sepakat berpendapat, mewarnakan rambut itu tidak wajib, ia hanya sunat sahaja. Sahabat-sahabat nabi yang arif tentang sunah seperti Ali ibn Abu Talib, Ubayy ibn Ka’b dan Anas ibn Malik tidak mewarnakan rambut mereka.

Saya lebih cenderung kepada pandangan Ibn al-Jawzi yang dinyatakan di atas, iaitu setiap orang harus mengenali dirinya sendiri. Jika mewarnakan rambut itu bertujuan memungkinkan dirinya bersama-sama orang muda dalam gelanggang maksiat dan memuja nafsu, pada hal usianya sudah tiba untuk kembali bertaubat dan sentiasa ke masjid, sebenarnya orang ini masih belum sedarkan diri. Uban pada hakikatnya adalah penanda bahawa usia sudah tua, perjalanan hidupnya mungkin lebih separuh usia telah berlalu.

Soalan selanjutnya, apakah jenis-jenis warna yang dibenarkan? Adakah meliputi semua warna seperti hitam dan perang atau warna-warna tertentu sahaja. Ulama berpendapat, orang tua yang rambut kepala dan janggutnya sudah beruban putih, tidak wajar lagi memilih warna hitam, kerana warna ini hanya sesuai bagi orang muda. Jika berminat, pilihlah inai bagi mewarnakannya.

Keharusan bagi orang tua, sesuai dengan sebuah hadis yang menyatakan, tetakala Abu Quhafah, iaitu bapa Abu Bakar al-Siddiq dibawa kepada nabi s.a.w. pada hari pembebasan Mekah, apabila baginda melihat rambut kepala dan janggutnya beruban putih, lalu bersabda: Warnakan rambut dan janggutnya, tetapi jangan pilih warna hitam. (Muslim: bilangan 2102). Warna hitam dilarang, kerana Abu Quhafah adalah seorang tua yang tidak lagi sesuai dengan warna itu.

Hadis ini menurut sesetengah ulama bermaksud, jika orang muda ditumbuhi uban pada kepala dan janggutnya, sedangkan ia masih pada usia yang biasanya belum lagi beruban, maka harus baginya mewarnakan rambut kepala dan janggutnya dengan apa jua warna termasuk hitam, lebih-lebih lagi jika jiwanya merasa keberatan menerima kenyataan bahawa ia beruban pada usia itu.

Hukum ini samalah dengan seorang yang cacat anggota, ia sangat malu dengan kecacatannya, maka Islam mengharuskannya memperbaiki kecacatan itu, supaya hidupnya lebih tenteram, perasaannya lebih tenang, kerana Allah tidak memberati seseorang, kecuali setakat termampu olehnya.

Sehubungan ini Imam ibn Syiba al-Zuhri menyatakan: Kami berpendapat harus memilih warna hitam, jika kulit muka seseorang itu masih belum berkedut, giginya masih belum goyang, maksud beliau ialah waktu umurnya masih muda. Antara sahabat yang berpendapat harus memilih warna hitam ialah, Sa’d ibn Abu Waqqas, Uqbah ibn’ Amir, al-Hasan dan al-Husain, Jarir dan lain-lain.

Sebahagian ulama termasuk Imam Syafi’i berpendapat haram menghitamkan rambut uban, kecuali bagi tentera ketika perang. Tujuannya supaya musuh berasa takut dan keliru dengan usianya yang masih muda. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zarr al-Ghifari r.a. katanya: Sabda nabi s.a.w. yang bermaksud: Sebaik-baik pewarna bagi warnakan uban kamu ialah inai dan katam. Katam ialah pewarna yang diambil daripada sejenis pokok (Tirmizi: 1753. Abu Dawud: 4205). Hadis ini difahamkan warna inai hendaklah menjadi pilihan mereka yang ingin mewarnakan rambutnya.

Melihat kenyataan yang ada dalam masyarakat Islam hari ini, kalangan muda mudi Islam ada yang mewarnakan rambut mereka dengan warna perang, kerana meniru atau terpengaruh dengan orang Barat yang perang warna rambutnya. Sebahagiannya pula mewarna-warnikan rambut, kerana mengamalkan budaya punk kononnya. Fenomena ini tidak wujud pada zaman awal Islam, terutama ketika orang Barat belum dianggap sebagai bangsa yang maju di dunia.

Hukum Islam jelas dalam hal ini, iaitu melarang umatnya meniru dan menyerupai budaya dan cara hidup orang kafir. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia tergolong dalam kumpulan mereka. Tidak syak lagi, meniru budaya asing secara membuta tuli, tanpa memikirkan faedahnya, adalah suatu amalan yang salah dan membuktikan pendewaannya kepada bangsa yang dicontohinya.

Berbalik kepada soalan tentang bahan pewarna yang bertanda logo halal yang biasanya menunjukkan bahan itu bersih dan halal diguna. Saya kurang pasti sama ada pewarna itu untuk mewarna makanan dan minuman atau untuk mewarna rambut. Sepanjang pengetahuan saya, logo halal biasanya diletak pada makanan dan minuman sahaja. Barang-barang lain seperti pakaian dan alat-alat solek tidak diletakkan tanda itu.

Kita di sini berbincang soal halal haram bukan pada makanan, kerana makanan bergantung kepada sama ada suci atau najis sesuatu bahan yang hendak dimakan, sedangkan hukum mewarna rambut tidak kena-mengena dengan sama ada suci atau najis bahan itu, tetapi pada dalil, tujuan dan motif pewarnaan itu dilakukan.

Untuk pengetahuan puan yang bertanya juga, hukum mewarna rambut ini tiada kena-mengena dengan hukum mandi hadas dan wuduk kerana hukum mandi hadas dan wuduk ialah wajib meratakan air pada anggota badan yang wajib dibasuh. Jika bahan yang diguna bagi mewarnakan rambut itu menghalang sampainya air kepada anggota yang dibasuh maka hendaklah dibuang terlebih dahulu bahan itu, terutama sebelum wuduk dan mandi hadas.

Ini bermakna bukan semua pewarna menghalang sampai air, puan dengan mudah sahaja dapat membezakan antara pewarna yang menghalang dan tidak menghalang sampai air. Bahan-bahan seperti kunyit tidak menghalang, tetapi bahan seperti cat dan cecair getah tentunya melekat dan menghalang. Seseorang yang ingin mandi hadas atau berwuduk, hendaklah mempastikan diri atau anggota wuduknya bersih daripada bahan-bahan seperti cat dan getah terlebih dahulu.

Pembaca yang ada kemusykilan
alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin,
Lot 3673, Jalan Aman,
Kampung Sungai Merab Luar,
43000 Bangi, Selangor.

Kelebihan malam Nisfu Syaaban
(Institut Alam dan Tamadun Melayu)

SOALAN: Pada malam Nisfu Syaaban yang lalu, seperti tahun-tahun lepas kami mengadakan bacaan Yassin, sembahyang sunat khas dan berdoa beramai-ramai di masjid. Dalam keghairahan mengharapkan keredhaan Allah memberkati apa yang kami lakukan, ada orang berkata, amalan ini adalah bidaah, bukan daripada amalan Rasulullah s.a.w.. Begitu juga dengan sembahyang pada malam Lailatulqadar di bulan Ramadan adalah tidak sah, bermaksud hadis yang dijadikan sandaran itu tidak diterima daripada Rasulullah s.a.w.

Saya menjadi lemah hati dan terkeliru apatah lagi pendapat ini datang daripada seorang yang dianggap memahami agama. – ROSLAN SOFIAN, Kuala Lumpur.

Jawapan:
Persoalan-persoalan seperti ini memang sering timbul, termasuklah amalan lain, yang menjadi sebahagian daripada budaya Melayu seperti amalan membaca wirid dan tahlil selepas setiap kali sembahyang waktu, membaca talkin selepas mayat dikebumikan, mengadakan kenduri ataupun membaca tahlil dan doa arwah pada tiga hari berturut-turut selepas kematian, tujuh hari, empat puluh hari, seratus hari dan juga pada setiap tahun.

Tidak perlu rasanya dijelaskan alasan-alasan untuk memperkukuhkan keterangan keharusan amalan ini. Seorang yang ikhlas apabila berhadapan dengan sesuatu perbincangan perlu menyematkan dalam pemikirannya untuk menerima, menolak atau mengkaji lebih mendalam hujah-hujah yang dikemukakan. Walaupun demikian, bagi mereka yang telah tersemat dalam diri bahawa sesuatu amalan itu dikatakan bidaah, tidak ada sumber daripada Rasulullah, para sahabat dan sebagainya, penerangan-penerangan sama ada daripada hadis ataupun amalan Rasulullah sendiri, perbincangan seumpama ini hanya membuang masa.

Memang tidak ada petunjuk secara jelas yang Rasulullah s.a.w. ataupun para sahabat mengadakan kenduri arwah pada hari pertama sehingga hari ketiga berturut-turut setelah mayat dikebumikan, yang dituruti dengan kenduri pada hari yang ketujuh, ke-40, ke-100, yang dituruti pada setiap tahun.

Oleh kerana ketetapan hari itu tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., tidak terdapat keterangan daripada hadis mengenainya, maka ia dinamakan sebagai bidaah. Lebih jelas diperkatakan bahawa amalan ini hanya rekaan manusia di zaman kini.

Walaupun demikian tiada sesiapa pun yang dapat menafikan kebaikan membaca al-Quran, membaca Yassin, amalan mendoakan kesejahteraan roh yang menemui Allah, juga kebaikan bersedekah memberi makan mereka yang hadir. Tidak ada sesiapa pun yang menafikan kebaikan himpunan seumpama ini di antara saudara-mara, jiran-jiran dan tetamu yang datang.

Jelas di sini bahawa apa yang dianggap sebagai bidaah tersebut ada kebaikannya. Malah bidaah itu sendiri pun bukan semuanya sesat. Ada bidaah yang baik biarpun amalan tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Mungkin ada kebenarannya kalau seseorang itu mewajibkan kenduri pada hari-hari yang telah ditetapkan, tidak boleh dilakukan pada hari-hari lain.

Ketetapan hari mengadakan majlis tersebut lebih merupakan satu budaya Melayu yang telah disepakati secara tidak langsung. Apabila berlaku kematian, pada lazimnya saudara-mara, jiran-jiran dan jemaah masjid berkumpul untuk bertahlil.

Orang yang tidak dijemput tetapi mengetahui tarikh berkenaan mungkin akan turut bersama tanda simpati, takziah yang dilakukan melalui kunjungan di samping mendoakan kesejahteraan roh yang telah pergi.

Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu para sahabat tentang bulan Syaaban. Bulan tersebut dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.

Kelebihan bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah Taala kepada hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, menyatakan yang beliau telah didatangi oleh malaikat Jibril pada malam Nisfu Syaaban. Jibril menyatakan bahawa pada malam itu, pintu-pintu langit juga pintu-pintu rahmat dibuka, maka bangunlah dan sembahyang, angkat kepala dan kedua belah tangan ke langit.

Rasulullah s.a.w. bertanya apakah erti malam tersebut. Jibril menjawab menyatakan bahawa pada malam tersebut 300 pintu rahmat dibuka. Allah s.w.t mengampuni mereka yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan mereka yang terdiri daripada ahli sihir, tukang tilik, orang yang suka bermusuh-musuhan, peminum arak juga mereka yang terus menerus melakukan zina, pemakan riba, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapa, orang yang suka mengadu-domba dan orang yang memutuskan silaturahim. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni sehinggalah mereka bertaubat tidak mengulanginya. Rasulullah s.a.w. bangun sembahyang sambil menangis dalam sujudnya sambil berkata: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan-Mu dan kemurkaan-Mu dan aku tidak menghitung pujian-pujian ke atas-Mu seperti Engkau puji diri-Mu sendiri, maka segala puji adalah bagi-Mu.

Orang yang berpuasa pada bulan ini amat besar pahalanya. Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Barang siapa berpuasa tiga hari daripada permulaan Syaaban, pada tiga hari pertengahannya dan tiga hari akhirnya, maka Allah s.w.t akan mencatatkan baginya pahala 70 orang nabi, dan ia adalah seperti orang yang beribadah kepada Allah Taala selama 70 tahun. Andainya ia mati di tahun itu, ia adalah seperti mati syahid.

Rasulullah s.a.w. memperbanyakkan puasa pada bulan ini. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Shah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. tidak berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban. Sesungguhnya baginda berpuasa seluruhnya dan terkadang-kadang berpuasa sebahagian kecil sahaja.

Dalam lafaz yang lain beliau berkata: Saya tidak melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan penuh selain pada bulan Ramadan, dan saya tidak pernah melihat akan dia banyak berpuasa selain pada bulan Syaaban.

Hadis pertama menjelaskan bahawa baginda kadang-kadang berpuasa penuh pada bulan Syaaban, dan ada kalanya hanya berpuasa sebahagian daripadanya sahaja.

Hadis kedua menjelaskan bahawa baginda banyak berpuasa dalam bulan Syaaban, tetapi tidak penuh puasa sebulan. Berdasarkan keterangan di atas, sebahagian ulama mengatakan bahawa kedua-dua bentuk ataupun cara puasa tersebut pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa hadis kedua menafsirkan hadis pertama. Lafaz “Nabi berpuasa seluruhnya” itu bermaksud bahawa baginda berpuasa sebahagian besar daripada hari-hari bulan berkenaan.

Orang yang memuliakan bulan ini dengan beribadah akan terpelihara daripada maksiat, taubatnya diterima Allah, dan insya-Allah terpelihara daripada bencana pada tahun berkenaan. Begitulah juga dengan mereka yang menghidupkan malam dua hari raya dengan ibadah. Hati mereka sentiasa hidup, beriman dengan Allah.

Memang ada pendapat menyatakan amalan membaca Yassin dan sembahyang sunat khas dua rakaat pada malam berkenaan sesudah melakukan sembahyang maghrib, iaitu setelah mendirikan sembahyang sunat ba’diah adalah rekaan semata-mata.

Dikatakan juga bahawa sesetengah umat Islam amat suka menghidupkan malam ini mungkin kerana terdorong oleh kenyataan yang pernah disebutkan oleh sebahagian ulama dalam kitab-kitab tafsir dan hadis yang menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban serta bagi menggalakkan umat Islam merebut peluang ini.

Persoalan-persoalan seperti ini memang sering dibesar-besarkan untuk mengelirukan dan melemahkan semangat untuk beribadah. Tanpa memberi sandaran ataupun bukti daripada hadis-hadis seseorang yang ingin melihat saudaranya menghidupkan malam dengan ibadah akan menyedari betapa pendapat-pendapat seperti ini boleh melemahkan hasrat menebal seseorang untuk menjadi seorang hamba kekasih Allah.

Kalau kita toleh kembali sejarah pendidikan orang Melayu, didapati ada orang yang menyatakan bahawa orang Melayu lebih gemar menghantar anak-anak mereka kepada guru-guru membaca al-Quran berbanding dengan kecenderungan anak-anak ke sekolah Inggeris. Guru-guru itu sendiri tidak tahu makna al-Quran yang diajarkan. Mereka mempelajarinya tidak ubah umpama burung kakaktua, yang lebih menekankan lagu dan bacaan.

Pandangan seperti ini ada kebenarannya. Memang benar anak-anak Melayu dari mula-mula Islam bertapak ke Tanah Melayu mempelajari al-Quran hingga sekarang tanpa mengetahui makna. Ini kerana mereka diajar untuk membaca al-Quran, bukan belajar di sekolah-sekolah Arab ataupun agama. Belajar membaca al-Quran memadai dengan guru seumpama ini. Walaupun demikian pendapat yang menyatakan kaedah belajar seumpama ini tidak ubah seperti burung kakaktua boleh membantutkan niat atau usaha seseorang untuk mempelajari al-Quran lebih-lebih lagi mereka yang kurang minat agama.

Mungkin seseorang itu akan memberhentikan anaknya mengaji apabila merasakan belajar al-Quran seumpama itu hanya sia-sia belaka, padahal hasil daripada mengaji seumpama itulah yang akan dijadikan asas sembahyang, mempelajari agama dan sebagainya.

Pegangan dan pandangan seperti ini lebih banyak menimbulkan masalah-masalah remeh-temeh yang sebenarnya hanya memecahbelahkan pemikiran mereka yang ingin menghampirkan diri kepada Allah s.w.t pada waktu-waktu dan keadaan tertentu berdasarkan kepada sandaran-sandaran yang mereka pelajari dan fahami.

Hakikatnya, terlalu banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam yang merangkumi pelbagai masalah yang berkaitan dengan hak manusia, hak Allah, atau hak kedua-duanya. Beri sokongan mereka untuk membina diri dan jangan sama sekali timbulkan masalah-masalah remeh-temeh seumpama ini.

Makmum tidak harus paksa imam
Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)
SOALAN: SAYA bertugas sebagai imam di salah sebuah surau di Kuala Lumpur. Saya selalu menunaikan solat dua rakaat sebelum maghrib, walaupun antara jemaah surau ini ada yang melarang saya menunaikannya. Menurut mereka tiada solat sunat sebelum maghrib kerana tiada hadis yang boleh dijadikan dalil.

Saya menerima baik teguran itu dan tidak lagi menunaikan solat sunat sebelum maghrib, tiba-tiba datang pula kumpulan yang lain menyuruh saya memberi masa kepada mereka sebelum maghrib sekadar cukup untuk menunaikan dua rakaat solat sunat.

Saya berasa serba salah dalam hal ini, sama ada untuk terus menunaikan solat maghrib atau memberi peluang solat sunat dua rakaat seperti yang disarankan.

Harap ustaz berikan jawapan serta dalil dan hujah mana yang benar di antara dua pendapat itu dan bagaimana pertimbangan yang sebaik-baiknya. Terima kasih atas jawapan ustaz. – HARUN, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Saya memahami masalah saudara yang seolah-olah ditekan oleh jemaah yang suka bermain dengan masalah khilafiah, walaupun ia tidak banyak mendatangkan faedah, selain menghabiskan saki baki usia yang ada. Biasanya mereka ini dijangkiti virus terlalu mempercayai diri sendiri, walhal ia tidak sedar bahawa sebenarnya ia tidak tahu, atau yang diketahui hanya sepatah, tetapi seolah-olah langit dan bumi dikuasai ilmunya, lalu membetulkan siapa jua yang dianggapnya tidak betul menurut pengetahuannya. Guru-guru, imam-imam dan semua orang tidak terkecuali daripada teguran dan kritikannya.

Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena, sama ada pada imam yang memimpin solat atau pada makmum yang dipimpin. Imam harus patuh pada disiplinnya bagi menjamin kebebasan dalam kepimpinan solat jemaah. Imam hendaklah diberi kebebasan menentukan amalan menurut pilihannya, sama ada ingin melakukan sunat-sunat tertentu atau tidak, doa mana yang suka dibaca atau surah dan ayat mana yang menjadi pilihannya. Makmum tidak perlu menentu atau memilih bagi pihaknya.

Makmum hanya boleh menyuarakan pendapat jika diminta, pandangan mereka boleh diterima dan boleh juga ditolak, sekalipun tanpa alasan. Jika tidak diminta, biarlah imam membuat keputusan sendiri bagi menjalani urusan solat atas kedudukannya sebagai imam yang diberi tauliah atau telah dipilih dengan persetujuan ramai.

Jika imam tidak bebas menentukan pilihan yang terbaik bagi menjalani urusan solat bersama para jemaahnya, kerana makmum suka mengganggu atau memaksa imam yang sepatutnya tidak dipaksa, maka suatu keadaan kelam-kabut dijangka berlaku.

Sebuah negara tidak menjadi aman jika pemimpinnya tidak diberi kepercayaan membuat sesuatu keputusan bagi faedah rakyat dan negara pimpinannya.

Merujuk kepada soalan di atas, saya sempat membaca kitab Fiqh al-Sunnah karangan Sayyid Sabiq, katanya: Dua rakaat sebelum mahgrib ini termasuk antara solat sunat yang tidak muakkad. Sesiapa suka bersolat serta ada waktunya, bolehlah ia bersolat.

Tetapi jika tiada waktu, misalnya bilal terus iqamah (kamat) sebaik sahaja azan disempurnakan, maka sebaik-baiknya ia terus solat bersama-sama jemaah dan imam yang bertugas. Sekalipun ia belum melakukan solat tahiyyatul masjid atau dua rakaat sebelum maghrib.

Sunat rawatib yang dikira muakkad dan sepatutnya tidak ditinggalkan hanya 10 rakaat sahaja, iaitu 2 rakaat sebelum subuh, 2 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas zohor, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isyak.

Dalam sebuah riwayat daripada Ibn Umar dan lain-lain menyatakan 10 rakaat seperti di atas, adalah sunat muakkad yang selalu dikerjakan oleh Nabi s.a.w. Hadisnya boleh dirujuk dalam Bukhari (al-Tatawwu 3/48), Muslim (al-Sunan al-Ratibah bilangan 729).

Demikianlah 10 rakaat yang selalu dilakukan oleh Nabi s.a.w di samping itu solat witir juga antara sunat muakkad yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam sesetengah hadis menyebutkan, 4 rakaat sebelum zohor juga termasuk antara sunat rawatib. Sunat-sunat yang disebutkan itu hendaklah tidak diabaikan kerana nanti akan menyempurnakan kekurangan yang mungkin berlaku pada solat fardu dan berfungsi memberatkan timbangan amalan kebajikan pada hari akhirat.

Dua rakaat sunat sebelum maghrib tidak termasuk antara sunat yang selalu dikerjakan oleh Nabi s.a.w. Justeru, ia tidak dimasukkan dalam kumpulan sunat muakkad. Bagaimanapun ada riwayat dalam sahih Bukhari 2/91, Muslim, bilangan 838 dan lain-lain daripada Abdullah bin Mughaffal menyatakan: Masa antara azan dan iqamah (kamat) boleh dikerjakan solat sunat, iaitu bagi sesiapa yang ingin mengerjakannya. Berpandukan hadis ini, dua rakaat solat sunat selepas azan maghrib, termasuk antara solat yang disunatkan juga.

Jika didapati antara jemaah masjid ada orang yang menunaikan solat sunat selepas azan maghrib, imam atau bilal seharusnya membiar atau memberi mereka masa secukupnya sebelum solat maghrib didirikan. Demikian juga jika ada orang baru melangkah masuk masjid, kemudian menunaikan solat tahiyyatul masjid, ia juga harus dibiarkan.

Namun jika menjadi suatu kelaziman bagi imam, tunaikan terus solat maghrib sebaik sahaja azan disempurnakan. Para jemaah yang tidak sempat menunaikan dua rakaat tahiyyatul masjid hendaklah beranggapan bahawa dengan mengerjakan solat fardu maghrib secara berjemaah sudah mencukupi bagi maksud solat tahiyyatul masjid itu.

Saya tidak sependapat dengan sesetengah jemaah yang memaksa imam supaya memberi mereka peluang menunaikan solat sunat sebelum maghrib atau menunaikan solat tahiyyatul masjid bagi orang yang baru tiba. Imam harus diberi kepercayaan melakukan apa yang difikirnya terbaik. Jika makmum ada hak memaksa imam menuruti kehendak mereka, maka seolah-olah makmum boleh menentukan solat imam sesuka hatinya.

Solat jemaah yang dipimpin seorang imam samalah dengan sebuah kerajaan yang dipimpin seorang ketua. Rakyat tidak harus mengenakan tekanan terhadap pemimpin, kecuali jika keadaan benar-benar buruk dan memburukkan. Jika pemimpin sentiasa dalam tekanan, bermakna pimpinan itu lemah dan tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Tugas imam dalam sesebuah masjid sangat tinggi dan bebas, dia tidak terikat dengan membaca surah-surah tertentu, dia bebas memilih doa yang hendak dibaca, makmum hendaklah ikut dan patuh mengikut hukum-hukum solat jemaah. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a yang menyatakan hubungan antara imam dan makmum, sabda Nabi s.a.w. bermaksud:

Imam dilantik untuk diikut, kamu jangan sekali-kali berselisihan. Jika dia takbir, ikutlah takbirnya. Jika dia rukuk, ikutlah rukuknya. Jika dia sujud, ikutlah sujudnya (Bukhari, al-Jamaah 2/174. Muslim (al-Solat, bilangan 414).

Sesetengah makmum yang tidak memahami adab solat jemaah terlalu banyak mengganggu imam, mereka ingin menentukan surah dan ayat yang hendak dibaca imam, doa dan selawat yang dipilih, lagu yang dibawa serta panjang dan pendek masa yang diambil bagi menyempurnakan sesuatu ibadat. Sebaliknya makmum secara tidak langsung boleh dipaksa imam menerusi bacaan dan gerak-geri solat mengikut aturan berjemaah.

Imam solat pada hakikatnya guru dan pemimpin rohani menerusi kepercayaan jemaah. Justeru itu imam dipilih daripada yang terbaik daripada kalangan jemaah sama ada pada bacaannya yang dikehendaki terbaik, ilmunya paling mendalam dan usia pula tua dan cukup matang. Jemaah tidak harus khuatir lagi terhadap keupayaannya.

Saya mempunyai suatu pengalaman yang agak baik dan boleh dikongsikan bersama. Pada suatu hari saya mengimamkan solat Jumaat. Sebaik sahaja solat selesai diimami, saya terus membaca doa yang agak ringkas tetapi mencukupi kerana saya beranggapan masa pada waktu itu sudah lewat.

Setelah selesai berdoa, tiba-tiba datang seorang jemaah mengkritik saya, mengapa saya tidak membaca surah-surah tertentu selepas solat Jumaat, sambil menunjukkan saya sebuah kitab berjudul Perukunan, karangan salah seorang ulama Semenanjung.

Saya tergamam seketika dibuatnya kerana sebelum ini saya tidak pernah dikritik dalam perkara seumpama itu. Saya bertanya pengkritik itu, apakah dia masih bertugas atau sudah bersara. Dia menjawab, sudah lima tahun bersara.

Saya dengan jenaka menyambung, patut pun saudara mencadangkan saya supaya membaca surah itu dan ini kerana saudara banyak masa, tetapi bagaimana dengan rakan-rakan yang terpaksa memburu masa untuk ke pejabat, kerana masa sekarang sudah melebihi pukul dua petang?

Imam Malik dikatakan pernah meninggalkan bacaan surah al-Sajdah pada pagi Jumaat, padahal Nabi s.a.w. selalu membaca surah itu dalam solat subuh pada pagi Jumaat. Beliau mengambil sikap itu bertujuan mengajar masyarakat supaya tidak menganggap amalan itu sebagai wajib dibaca, biar apa pun suasananya.

Memang surah al-Sajdah telah menjadi seolah-olah wajib dibaca pada pagi Jumaat terutama di masjid-masjid dan surau-surau di Lembah Klang, sehingga ada orang mengatakan solat subuh pada pagi Jumaat mengandungi tiga rakaat. Bahkan ada orang memandang ganjil jika imam gagal membaca surah itu dengan sempurna pada pagi itu.

Demikian juga jika ada kalangan makmum yang tidak berminat membaca zikir selepas solat atau tidak berminat solat sunat setiap kali selepas solat fardu, imam tidak harus memaksa jemaahnya supaya membaca dan bersolat, mungkin mereka ada sesuatu hal yang mahukan mereka keluar segera. Jika mereka memilih untuk membaca doa dan zikir, maka imam sepatutnya sependapat dan bersama-sama mereka, terutama jika keputusan itu mewakili kumpulan majoriti kerana menurut kaedah umum, kumpulan minoriti hendaklah mengikuti kumpulan majoriti.

Bagaimanapun, imam ada tempatnya yang boleh ditegur oleh makmum, bahkan ada kesalahan yang boleh dimufarakah, seperti imam yang melakukan kesalahan yang membawa kepada batalnya solat atau tiada jalan lagi yang boleh dipertahankan kesalahannya.

Imam harus tidak memaksa dirinya menuruti kehendak jemaah yang berpecah belah dengan berbagai-bagai cadangan, tetapi hendaklah positif dengan tugas dan amalannya untuk menyatupadukan jemaah menerusi ibadat yang menjernihkan hati nurani.

Segala permasalahan yang remeh tidak harus menjadi punca jauh hati antara anggota jemaah kerana masjid hanya dibina untuk perpaduan bukan untuk pecah belah, masjid dibina bagi menjinakkan hati dan mengeratkan hubungan persaudaraan Islam.

Masjid adalah tempat kasih sayang dan kerjasama atas dasar iman dan takwa.

Next Page »