KESIHATAN


Pakar Kanak-kanak: Kurang enzim G6PD
Bersama Dr Syed Nazir Syed Kadir (Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya)

KEKURANGAN glukos-6-fosfatase dehidrogenase atau G6PD? Penyakit apa itu? Tidak pernah dengar pun! Inilah komen yang sering diterima daripada ibu bapa setiap kali doktor atau pakar kanak-kanak menyebut perkataan kompleks itu.

G6PD ialah enzim dalam sel darah merah. Kekurangannya menyebabkan sel darah merah cepat pecah dan keadaan ini dipanggil anemia hemolitik (kiraan sel darah merah yang rendah dan tidak normal).

Masalah kekurangan enzim G6PD lebih lazim pada sesetengah bangsa dan insiden paling tinggi dilaporkan di negara tropika Afrika, Timur Tengah, Asia (tropika dan subtropika) dan sesetengah tempat di Mediterranean.

Ia adalah masalah keturunan yang diwariskan melalui bahan baka seks atau kromosom X. Untuk pengetahuan pembaca, perempuan mempunyai kromosom XX dan lelaki pula XY. Oleh kerana masalah ini diwariskan melalui kromosom X, lebih ramai lelaki mengalami kekurangan G6PD berbanding perempuan kerana lelaki hanya ada satu kromosom X.

Bagaimanapun, wanita pembawa G6PD juga boleh mengalami serangan kemusnahan sel darah merah (hemolisis). Kemusnahan sel darah merah boleh berlaku apabila individu G6PD terdedah kepada sesetengah jenis ubat, mengalami tekanan atau jangkitan.

Di seluruh dunia, kekurangan G6PD dialami kira-kira 400 juta orang. Seperti diterangkan, ia adalah masalah keturunan. Jadi ia kekal sepanjang hayat dan tidak boleh berjangkit melalui sentuhan. Justeru, anda tidak perlu berasa takut atau bimbang untuk membenarkan anak anda berkawan dengan kanak-kanak G6PD.

Kebanyakan kes G6PD tiada gejala klinikal. Namun bagi sesetengah pesakit, terutama bayi baru lahir (kurang daripada empat minggu), mereka boleh mengalami jaundis neonatal dan anemia hemolitik akut (kemusnahan sel darah merah berlaku secara tiba-tiba).

Jaundis neonatal biasanya berlaku pada bayi berusia antara satu hingga empat hari, pada masa sama atau awal sedikit berbanding jaundis atau demam kuning fisiologi. Manakala anemia hemolitik akut pula biasanya diakibatkan faktor tekanan, terdedah kepada ubat oksidatif, bahan kimia, jangkitan atau memakan kacang buncis.

Gejala umum yang biasa dilaporkan ialah air kencing berwarna gelap, limpa bengkak, letih, pucat, degupan jantung menjadi cepat, tercungap-cungap dan kulit berwarna kuning (jaundis).

Pesakit yang mengalami jaundis neonatal biasanya memerlukan pemindahan darah. Dalam keadaan teruk, pesakit mungkin mengalami masalah batu hempedu dan limpa bengkak.

Antara ubat yang boleh menyebabkan kemusnahan sel darah merah ialah:

Ubat anti malaria

Aspirin

Ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs)

Kuinin

Sesetengah jenis antibiotik

Ujian makmal

Biasanya ujian dilakukan untuk menentukan aktiviti enzim G6PD dan bukan jumlah protein G-6-PD. Ujian yang dijalankan ketika sel darah merah mengalami kemusnahan atau penambahan sel darah merah yang tidak matang (retikulositosis) boleh menjejaskan keputusan sebenar.

Kiraan sel darah merah yang tidak matang (retikulosit) bertujuan menentukan tahap anemia dan fungsi sumsum tulang.

Pencegahan dan rawatan

Ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah G6PD atau individu G6PD perlu sentiasa berhati-hati sebelum mengambil sebarang ubat. Periksa lebih dulu kandungan ubat bagi mengelak masalah tidak diingini.

Secara umumnya pesakit tidak memerlukan rawatan, kecuali dalam kes tertentu. Bayi yang mengalami jaundis neonatal berpanjangan akan diletakkan di bawah cahaya khas iaitu cahaya bili untuk mengurangkan kekuningan.

Pemindahan darah juga mungkin perlu dilakukan bagi kes jaundis neonatal yang serius atau kemusnahan sel darah merah akibat memakan kacang buncis.

Sentiasa periksa dan baca label ubat yang anda beli tanpa preskripsi doktor. Jika ragu, bawa ubat berkenaan apabila anda berjumpa doktor untuk mengesahkan sama ada ia selamat dimakan atau sebaliknya.

Berhati-hati, terutama apabila anda mahu mengambil ubat berasaskan herba, naturopati atau rawatan alternatif lain.

Peringatan penting

G6PD adalah masalah kesihatan yang diwarisi dan tidak boleh berjangkit atau merebak kepada orang lain. Jadi tiada halangan untuk anak anda berkawan dan bermain dengan kanak-kanak G6PD.

Kebanyakan orang yang mengalami kekurangan G6PD boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain selagi mereka mengelak mengambil sesetengah jenis makanan dan ubat.

Penentuan tahap enzim G6PD boleh dilakukan di kebanyakan klinik swasta dan semua hospital kerajaan. Keputusannya akan ditulis sebagai: G6PD — Normal atau Kekurangan.

Oleh: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

DIANGGARKAN lebih satu juta kes baru dan kira-kira 400,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun. Statistik ini cukup menakutkan, apatah lagi apabila ketumbuhan, satu petanda kanser payu dara, mula dikesan.

Oleh itu, wanita perlu lebih peka tentang penyakit ini serta pilihan yang ada untuk menghalang atau merawatnya. Golongan Hawa sepatutnya sedar bahawa kanser payu dara merupakan ancaman kesihatan terbesar di negara ini.

Walaupun terdapat 10 jenis kanser pembunuh utama di negara ini, seperti paru-paru, serviks, usus besar, leukemia, perut, hati dan ovari, kanser payu dara kekal sebagai kanser pembunuh nombor satu kepada wanita.

Menurut Profesor Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Yip Cheng Har, secara keseluruhan kanser payu dara adalah kanser paling biasa dan amat sinonim di kalangan wanita Malaysia berumur seawal 20 tahun ke atas.

Menurut Cheng Har, dianggarkan, satu daripada 20 orang wanita berisiko menghidap kanser payu dara.

“Kanser payu dara paling biasa di kalangan wanita Cina, kemudian India dan akhirnya Melayu.

“Kanser payu dara menyumbang 31 peratus daripada jumlah kes kanser wanita yang didiagnosis pada tahun 2003 berbanding 30.4 peratus dalam 2002,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Fakta Kanser di Malaysia’ pada Latihan Kewartawanan; Penjagaan Kesihatan: Mencari Penawar, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, Daftar Kanser Kebangsaaan pada tahun 2003 melaporkan, sebanyak 3,738 kes kanser payu dara dicatatkan di negara ini.

“Mengikut Kadar Piawai Umur (ASR) angka itu boleh ditafsirkan sebagai 46.2 bagi setiap 100 000 wanita menghidap kanser payu dara.

“Mengikut pecahan kaum pula, wanita Cina mencatatkan kadar paling tinggi iaitu 59.7 bagi setiap 100,000 orang, manakala India pula 55.8 bagi setiap 100,000 orang dan Melayu dengan kadar 33.9 bagi setiap 100,000 orang,” jelasnya.

Cheng Har berkata, fenomena ini berlaku mungkin disebabkan dengan faktor orang Cina mempunyai anak yang sedikit, lewat mendapat anak pertama dan tempoh menyusu badan yang singkat berbanding wanita Melayu.

Namun, beliau memberitahu, terdapat juga sesetengah kes kanser payu dara tidak dilaporkan dan ini antara masalah yang berkemungkinanan berlaku di kalangan wanita Melayu.

Sementara itu, Daftar Kanser Singapura juga melaporkan insiden kanser yang lebih rendah di kalangan wanita Melayu berbanding wanita Cina dan India.

Cheng Har memberitahu, Singapura mencatatkan peningkatan pada kadar 3.7 peratus setiap tahun bagi insiden kanser payu dara dari 1968 hingga 1997.

“Insiden yang spesifik mengikut umur menunjukkan kadar tertinggi dalam julat umur 40-49 tahun dan kemudian kadarnya turun.

“Ini bukan seperti insiden mengikut umur bagi wanita di Amerika Syarikat yang meningkat dengan cepat sampai umur 50 tahun tetapi kemudian kadarnya perlahan tetapi masih tetap naik tetapi pada kadar yang lebih perlahan,” katanya.

Tambah Prof. Cheng Har, pada tahun 1993 hingga 2003, terdapat sejumlah 1,818 pesakit kanser payu dara di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Bilangan pesakit kanser payu dara meningkat setiap tahun dengan bilangan tertinggi tercatat pada 2003. Ini enam kali ganda bilangan pesakit kanser payu dara pada 1993.

“Menurut kajian, kanser payu dara lebih biasa di kalangan wanita Cina berbanding wanita Melayu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dua peratus daripada pesakit ini berumur kurang daripada 30 tahun dan majoriti pesakit kanser dalam lingkungan umur 40-49 tahun apabila mereka mula-mula didiagnosis. Jelasnya, bagaimanapun ini bukan spesifik kepada umur tetapi mungkin berlaku akibat kedudukan hospital tersebut dan pelanggan mereka.

“Mungkin ini disebabkan oleh populasi bandar yang lebih muda atau pihak kampung lebih suka mendapat rawatan tradisi.

“Tiga puluh hingga 40 peratus daripada jumlah pesakit mula-mula didiagnosis pada tahap lewat dan walaupun wanita hari ini semakin mula didiagnosis dengan tumor yang lebih kecil, pengurangan dalam saiz masih belum cukup nyata,” jelasnya.

Beliau menerangkan, secara umumnya, kaum wanita di negara ini hanya mendapatkan rawatan apabila kanser mereka pada tahap yang lewat.

“Ini kerana kekurangan kesedaran mengenai kanser payu dara di kalangan wanita mengakibatkan mereka berjumpa dengan pihak doktor hanya pada tahap lewat.

“Demi mengesyorkan kadar penyembuhan yang lebih baik, penyakit ini mesti di kenal pasti seawal mungkin,” jelasnya.

Cheng Har menjelaskan, pendidikan kesihatan perlu diberikan kepada wanita, di samping menyediakan khidmat yang komprehensif dalam diagnosis dan rawatan oleh pasukan profesional terlatih dalam kanser payu dara.

“Pengesanan awal kanser payu dara menyelamatkan payu dara, kehidupan, wang dan masa serta mengelakkan kimoterapi.

“Antara kaedah pengesanan yang boleh dilakukan ialah mamografi, pemeriksaan payudara sendiri dan pemeriksaan secara klinikal,” katanya.

Secara keseluruhan, dengan pengesanan awal, mastektomi atau pembuangan keseluruhan payudara sebenarnya tidak diperlukan.

Tanda-tanda kanser payu dara

Kanser payu dara biasanya berupa biji atau ketumbuhan yang tidak menyakitkan. Bagaimanapun, tidak semua biji atau ketumbuhan pada payu dara itu merupakan kanser. Tanda-tanda lain kanser payu dara termasuk:

1) Keluar cecair (jernih atau berdarah) dari puting payu dara.

2) Puting payu dara tertarik ke dalam.

3) Perubahan bentuk dan saiz payu dara yang luar biasa.

4) Kedutan luar biasa pada payu dara yang mungkin menyerupai bahagian luar kulit buah oren.

Faktor Risiko

Kanser payudara lebih kerap berlaku:

1. Apabila umur semakin meningkat.

2. Jika telah mendapat kanser payu dara pada sebelah lagi payu dara.

3. Jika ada ahli keluarga terdekat mengidap kanser payu dara (seperti ibu, adik beradik perempuan).

5. Jika haid pertama terjadi pada umur yang sangat muda (sebelum umur 12 tahun) atau lambat putus haid (selepas umur 55 tahun).

6. Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama selepas umur 35 tahun.

7. Jika mempunyai berat badan yang berlebihan.

8. Terutamanya jika berat badan bertambah semasa dewasa dan lebih-lebih lagi selepas putus haid.

Info

Kimoterapi – Cara rawatan yang menggunakan bahan kimia tertentu untuk merawat dan mengawal sesetengah penyakit (terutamanya penyakit kanser)

Mamografi – Teknik menggunakan sinar-X untuk memeriksa payu dara sebagai langkah awal mengesan penyakit barah.

Doktor,
SUAMI saya menghidap penyakit tumor di bahagian mata sebelah kiri. Dia mula-mula mengalami mata berair dan sakit kepala yang teruk, terasa berdenyut-denyut. Suami pernah membuat pemeriksaan mata sebanyak tiga kali di salah sebuah hospital universiti pada tahun 1993 tetapi kini, tidak lagi.

Ini kerana, dia seorang yang terlalu penakut orangnya. Buat masa sekarang, kelopak mata dan kening sebelah kirinya sudah tersembol tinggi dan kelihatan bengkak seperti mata buaya. Saya rasa, tumor yang dihadapinya itu berada pada bahagian belakang biji matanya.

Suami saya ada bertanya dengan kawannya yang juga merupakan seorang doktor mengenai keadaan matanya itu. Menurutnya, sekali pun dibedah, peluangnya adalah 50/50 sahaja dan kemungkinan ia akan berakhir dengan buta. Ini menambahkan lagi kengeriannya untuk menjalani pemeriksaan mata yang sempurna.

Soalan saya doktor, adakah mata suami boleh diubati dengan cara laser di mana- mana pusat rawatan yang menawarkan perkhidmatan sebegitu kerana saya tahu ada beberapa institusi di negara kita yang memang menawarkannya? Ini kerana, suami saya tidak mahu matanya dibedah.

Saya pernah menghubungi beberapa hospital yang menggunakan laser ini tetapi mereka menasihatkan agar saya membawa suami berjumpa pakar mata terlebih dahulu.

- DOLLY

Dolly,

Berdasarkan penerangan yang diberikan, keadaan mata suami puan nampaknya serius. Terdapat pelbagai jenis tumor atau barah yang boleh melibatkan kawasan mata, sama ada di dalam bebola mata ataupun persekitarannya.

Tumor ini boleh jadi tumbuh secara akut atau merebak secara perlahan-lahan seperti di dalam kes yang menimpa suami puan.

Puan tidak memberi penjelasan tentang keadaan penglihatan mata suami puan, sama ada masih seperti dahulu atau sudah kabur kerana salah satu kesan serius tumor pada kawasan mata adalah ia menghimpit saraf optik mata dan boleh menyebabkan kebutaan.

Saya tidak dapat memberikan penjelasan sama ada tumor suami puan ini boleh dirawat secara laser atau bedah ataupun tidak, tanpa membuat pemeriksaan teliti.

Suami puan juga kemungkinan besar memerlukan pemeriksaan CT Scan kepala dan orbit untuk mengetahui saiz tumor dan sejauh mana ia telah merebak.

Apa yang boleh saya sarankan di sini adalah supaya puan membawa suami berjumpa doktor pakar mata dengan segera.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Mata, Hospital Pakar Shah Alam, Selangor.

Doktor,
SAYA ingin bertanya doktor tentang anak lelaki saya yang berusia 2 tahun 3 bulan. Baru-baru ini saya membawa anak bermain buaian di taman permainan. Ketika asyik bermain dalam sekelip mata anak saya terjatuh dari buaian tersebut. Kepalanya terhentak ke tanah. Dia menangis sekejap dan terus tertidur.

Lebih kurang pukul 3 pagi dia bangun dan termuntah, saya dan suami mula panik dan bimbang. Dia terus muntah beberapa kali lagi sehinggalah ke pagi. Dia nampak tidak bermaya namun masih boleh bermain. Kami terus membawanya ke klinik. Saya bercerita apa yang berlaku dan berbincang apa yang patut kami lakukan.

Saya mencadangkan agar dilakukan CT Scan atau sinar x, namun doktor menolak. Kata doktor, perkara ini tidak begitu serius memandangkan anak saya tidak pengsan selepas jatuh, dan masih mahu bermain. Katanya lagi, CT Scan atau sinar x akan meninggalkan kesan yang tidak baik pada kanak-kanak dan ia hanya akan dilakukan jika keadaan benar-benar terdesak.

Doktor menyarankan agar diberi sedikit masa untuk melihat perkembangan anak saya, sama ada dia makin sihat atau sebaliknya. Saya dan suami akur. Doktor memberikan ubat menahan muntah, selepas beberapa kali diberi dia tidak muntah lagi. Rasa bersalah dan bimbang masih tetap menghantui saya. Walau baru berusia 2 tahun, dia selalu bercerita kepada kami yang dia pernah jatuh dari buaian dan menunjukkan tempat dia jatuh kepada kami.

Soalan saya, adakah anak saya selamat dan tiada kesan jangka panjang akibat insiden tersebut? Adakah saya perlu membawa anak saya membuat CT Scan di klinik atau hospital? Saya amat berharap agar doktor dapat memberi penjelasan kerana saya merasa sangat bimbang berikutan kejadian itu. Terima kasih doktor.

- TNTA

Puan,

Lazimnya kecederaan pada kepala jatuh dalam dua kategori iaitu luaran (kulit kepala) dan dalaman yang melibatkan tengkorak, saluran darah dalam tengkorak serta pada otak.

Mujurlah kebanyakan kecederaan kepada kepala hanya mengakibatkan luka kepada kulit kepala sahaja, yang lebih menakutkan sebenarnya daripada membahayakan.

Kecederaan dalaman boleh mengakibatkan masalah yang lebih serius kerana tengkorak itu berfungsi sebagai pelindung kepada otak.

Kecederaan luaran

Puan sebenarnya berkongsi kerisauan dan kebimbangan dengan ramai ibu bapa berkenaan masalah ini.

Hampir semua kanak-kanak dalam lingkungan umur 1.5 hingga 3 tahun pasti pernah terhantuk atau jatuh melibatkan bahagian kepala dan ada pula di antara mereka yang lebih kerap mengalaminya berbanding yang lain.

Jika terdapat sebarang keraguan walaupun nampak remeh, nasihat doktor haruslah diperoleh. Percayalah pada naluri anda!

Perlu diingat bahawa kulit kepala kaya dengan saluran darah dan jika tercedera walaupun dengan luka yang kecil, pendarahan yang banyak mungkin berlaku.

Bengkak berupa telur selalu terjadi selepas kepala terhantuk yang berpunca daripada bendalir atau pendarahan di bawah kulit akibat saluran darah yang tercedera.

Apakah yang harus dilakukan?

Panggil doktor anda jika anak anda seorang bayi atau pun dia telah pengsan walaupun seketika atau, anak anda tanpa mengira umurnya, mempunyai tanda-tanda seperti berikut:

* Tidak henti menangis

* Mengadu sakit kepala dan leher

* Susah hendak dipujuk

* Tidak berjalan dengan biasa

Jika anak anda bukan bayi dan tidak pengsan, aktif dan berkelakuan biasa:

* Letakkan pek ais selama kira-kira 20 minit

* Pantau anak anda untuk 24 jam jika ada sebarang tanda-tanda luka dalaman.

* Jika kejadian berlaku hampir dengan waktu tidur dan jika anak tertidur, periksa anak setiap beberapa jam sekiranya tangan dan kaki bergetar atau terdapat perubahan dalam pernafasan dan warna kulit.

Kecederaan dalaman

Otak kita sebenarnya terapung dikelilingi oleh cecair tetapi suatu hentaman yang kuat ke kepala boleh menyebabkan otak terhentak ke tepi tengkorak atau mencederakan saluran darah. Sebarang kecederaan dalaman seperti kepada tengkorak, saluran darah terkoyak atau kecederaan kepada otak sendiri adalah serius dan bahaya.

Ada beberapa peringkat kecederaan yang memerlukan tindakan berbeza. Adakalanya, sukar untuk menentukan tahap kecederaan. Oleh itu, adalah penting untuk membincangkan tentang kecederaan kepala ini dengan doktor anda.

Tanda yang jelas menunjukkan masalah yang serius adalah pengsan atau mempamerkan ciri-ciri kelakuan yang keliru.

Apa yang perlu diawasi

Dapatkan rawatan segera jika anak anda menunjukkan tanda-tanda berikut:

* Pengsan

* Pernafasan yang tidak normal

* Luka yang serius

* Darah atau cecair mengalir dari hidung, telinga atau mulut

* Percakapan atau penglihatan terganggu

* Saiz anak mata yang berbeza

* Pitam

* Sakit leher

* Sawan

* Muntah lebih daripada dua hingga tiga kali

* Hilang kawalan air kencing dan air besar

Konkusi atau gegaran otak juga merupakan sejenis kecederaan dalaman. Ia adalah satu keadaan di mana terdapat hilang fungsi otak yang sementara akibat hentakan.

Antara tanda-tanda gegaran pada otak adalah muntah-muntah, sakit kepala, penglihatan kabur dan sensitif terhadap cahaya, kepala terasa ringan seperti khayal, sukar menumpukan perhatian dan keletihan melampau.

Konkusi yang berulang boleh menghasilkan kecederaan kekal pada otak. Salah satu dari punca utama konkusi di kalangan kanak-kanak adalah acara sukan-sukan lasak.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi kanak-kanak untuk memakai alat-alat keselamatan seperti topi keledar keselamatan dan sebagainya.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.

ANDA mempunyai sebarang kemusykilan perubatan atau berminat untuk mengetahui lanjut tentang penyakit-penyakit tertentu, terus dari pena pakar?

Menerusi kolum Tanya Dr. Salam@ Kesihatan setiap dua minggu sekali ini, soalan anda akan dijawab oleh pakar-pakar perunding dari Hospital Pakar Shah Alam, Selangor yang terdiri daripada pelbagai bidang.

Cuma, sertakan nama sebenar, alamat, nombor telefon (tidak akan disiarkan) dan nama samaran untuk dihubungi, jika perlu.

Kemudian, alamatkan sahaja segala pertanyaan anda itu kepada Tanya Dr. Salam@Kesihatan, Mingguan Malaysia, 46M Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel, kesihatan@utusan.com.my atau faks: 03-92213752.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ULSER peptik luka terbuka yang terdapat di bahagian dalam lapisan perut, bahagian atas usus kecil atau esofagus, merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh kebanyakan orang.

“Tidak lama dahulu, tanggapan popular mengaitkan ulser peptik dengan cara seseorang itu menjalani kehidupannya. Terlalu banyak tekanan dan terlalu banyak makanan pedas-pedas mungkin menyebabkan seseorang mendapat ulser.

“Tetapi kini, penemuan baru membuktikan bahawa punca kebanyakan ulser di perut dan bahagian atas usus kecil (duodenum) adalah jangkitan kuman atau ubat-ubatan dan bukannya stres atau diet,’’ kata Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, ulser esofageal juga boleh terjadi dan lazimnya dikaitkan dengan refluks asid perut.

Ulser mempunyai nama yang berbeza-beza bergantung kepada lokasinya. Jika terjadi di dalam perut, ia dikenali sebagai ulser gastrik manakala ulser duodenal terletak di dalam bahagian pertama usus kecil atau duodenum.

Sementara itu ulser esofageal mengambil bahagian bawah esofagus dan sering dikaitkan dengan penyakit refluks gastroesofageal (GERD).

Simptom-simptom

Rasa sakit seakan terbakar merupakan simptom biasa bagi ulser peptik. Rasa sakit ini disebabkan oleh ulser dan ia bertambah sakit apabila asid perut terkena kawasan ulser. Rasa sakit ini mungkin:

* Dirasai di mana-mana kawasan dari pusat ke tulang dada

* Mengambil masa daripada beberapa minit ke beberapa jam

* Menjadi lebih teruk apabila perut kosong

* Bertambah pada waktu malam

* Boleh dikurangkan sementara dengan memakan pelbagai makanan yang akan menampan asid perut atau dengan mengambil ubat yang mengurangkan asid

* Datang dan pergi untuk beberapa hari atau minggu

Adakalanya, ulser akan menunjukkan tanda-tanda seperti muntah darah (seakan kemerahan atau kehitaman), darah pekat di dalam najis atau najis yang kehitaman atau seakan tar, rasa mual atau muntah-muntah, hilang berat badan yang tidak diketahui puncanya dan, sakit dada.

Punca-punca

Dr. Abd. Hamid berkata, kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria yang berbentuk ‘cockscrew’ Helicobacter pylori (H.pylori).

“H.pylori tinggal dan bercambah di dalam lapisan mukus yang menyelaputi dan melindungi tisu-tisu di dalam perut dan usus kecil. Ia jarang mendatangkan sebarang masalah.

“Tetapi, adakalanya H.pylori akan mengganggu lapisan mukus, menyebabkan radang serta menghakis tisu-tisu pencernaan yang akan menghasilkan ulser,’’ katanya.

Satu sebab hal ini terjadi adalah kerana mereka yang mempunyai ulser peptik telahpun merosakkan lapisan di dalam perut atau usus kecil, menyebabkan bakteria mudah menceroboh dan menyerang tisu-tisu tersebut.

“H.pylori merupakan satu jangkitan gastrousus yang biasa. Di Amerika Syarikat, satu dalam lima orang di bawah 40 tahun dan separuh daripada mereka yang berumur lebih 60 tahun dijangkiti bakteria ini,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Walaupun caranya merebak tidak begitu dikenalpasti, ia mungkin disebarkan melalui sentuhan intim seperti ciuman, makanan dan minuman.

Walaupun jangkitan H.pylori merupakan punca yang paling biasa bagi ulser peptik, namun ia bukanlah satu-satunya punca ulser. Lain-lain faktor yang memburukkan keadaan:

* Ubat-ubatan mengurangkan sakit. Ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) boleh menyebabkan rengsa pada lapisan di dalam perut dan usus kecil.

* Merokok. Nikotin yang terkandung di dalam tembakau meningkatkan tahap kepekatan asid di dalam perut dan meningkatkan risiko menghidap ulser. Merokok juga boleh memperlahankan pemulihan sewaktu rawatan ulser.

* Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh merengsa dan menghakis lapisan mukus di dalam perut serta meningkatkan jumlah asid perut yang dihasilkan.

* Stres. Walaupun stres sahaja bukanlah satu-satunya punca ulser peptik tetapi ia merupakan faktor yang menyumbang kepada penyakit ulser. Ia memburukkan lagi simptom-simptom ulser peptik dan dalam beberapa kes, mampu melengahkan proses perawatan.

Diagnosis

Pada mulanya, doktor mungkin melakukan sinar X di bahagian atas gastrousus yang menunjukkan esofagus, perut dan duodenum.

“Sewaktu sinar X dilakukan, anda akan menelan cecair metalik berwarna putih (barium) yang akan melapisi trek pencernaan anda dan menunjukkan lokasi ulser yang dialami dengan lebih jelas.

“Sinar X di bahagian atas gastrousus ini mampu mengesan beberapa ulser sahaja, bukannya semua,’’ ujar Dr. Abd. Hamid.

Menurutnya, endoskopi mungkin perlu dilakukan jika keputusan sinar X itu menunjukkan kemungkinan terdapatnya ulser itu, atau jika doktor telah pun melakukan endoskopi terlebih dahulu.

Dalam prosedur yang lebih sensitif ini, satu tiub panjang dan berongga dengan kamera di hujungnya dimasukkan secara perlahan-lahan ke dalam tekak dan esofagus, terus ke dalam perut dan duodenum anda.

Dengan instrumen ini, ujar beliau, doktor boleh melihat bahagian atas trek pencernaan dan mengenal pasti ulser. Jika ada, doktor anda akan mengambil sampel tisu kecil (biopsi) berhampiran lokasi ulser.

Sampel-sampel ini kemudiannya akan diperiksa di bawah mikroskop untuk memastikan ia bukan kanser. Biopsi juga boleh mengesan H.pylori dalam lapisan perut anda.

Selain biopsi, tiga ujian lain yang boleh memastikan ulser yang dialami berpunca daripada jangkitan H.pylori adalah ujian darah, ujian pernafasan dan ujian antigen najis.’

Komplikasi

Jika tidak dirawat, kata Dr. Abd. Hamid, ulser peptik mungkin menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman dan boleh mengakibatkan lubang di dinding perut atau usus kecil.

Ini meletakkan anda dalam risiko jangkitan serius di kaviti abdomen (peritonitis).

Ulser peptik juga akan menghasilkan tisu parut yang boleh menyekat laluan makanan melalui trek pencernaan; anda mudah terasa kenyang atau mengalami muntah-muntah dan hilang berat badan.

Rawatan

Ulser bukanlah suatu penyakit yang boleh dirawat sendirian tanpa pertolongan doktor. Antasid atau ubat penghalang asid hanya memberikan kelegaan sementara.

Jika anda mempunyai simptom-simptom ulser, berjumpalah doktor. Dengan bantuan pakar, anda boleh mendapatkan kelegaan daripada sakit ulser dengan serta-merta dan pulih sepenuhnya.

Disebabkan kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria H.pylori, doktor menggunakan kaedah membunuh bakteria dan mengurangkan tahap keasidan dalam sistem pencernaan untuk melegakan rasa sakit dan mempercepatkan penyembuhan.

Untuk melakukan kedua-dua langkah tersebut, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua atau kadangkala tiga hingga empat daripada ubat-ubatan berikut iaitu antiobiotik, penghalang asid, antasid, pam perencat proton atau agen cytoprotective.

“Jika H.pylori tidak dikesan di dalam sistem anda, kebarangkalian ulser anda berpunca daripada NSAIDs yang mana anda patut berhenti mengambilnya jika boleh; atau asid refluks (ulser esofageal).

“Dalam kedua-dua kes, doktor anda akan mengurangkan tahap keasidan dengan menggunakan penghalang, antasid atau pam perencat proton. Kemungkinan besar anda juga dikehendaki mengambil ubat cycloprotection,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Ulser yang gagal disembuhkan

Peptik ulser yang tidak dapat disembuhkan setelah dirawat dikenali sebagai ulser refraktori.

Ini mungkin berpunca daripada pesakit ulser tidak mengambil ubat mengikut arahan doktor atau terdapat beberapa jenis H.pylori yang kebal kepada antibiotik.

Faktor-faktor lain yang boleh mengganggu proses pemulihan termasuklah penggunaan tembakau, alkohol atau NSAIDs.

Ada ketikanya punca masalah ini adalah secara tidak disedari di mana ramai yang tidak menyedari ubat yang mereka ambil mengandungi NSAIDs.

Dalam beberapa kes, ulser refraktori mungkin terjadi akibat penghasilan asid perut secara berlebihan seperti yang terjadi di dalam sindrom Zollinger- Ellison, jangkitan lain selain daripada H.pylori dan, penyakit pencernaan yang lain termasuk Crohn’s atau kanser.

Rawatan untuk ulser refraktori termasuklah menyingkirkan faktor yang akan mengganggu proses penyembuhan, bersama sukatan ubat ulser yang lebih kuat. Kadangkala, ubat tambahan diperlukan.

Surgeri untuk membantu menyembuhkan ulser hanya diperlukan apabila ulser tidak menunjukkan sebarang tindakbalas terhadap rawatan dadah yang agresif.

Tip penjagaan diri

Sementara ulser sedang dalam proses penyembuhan, anda dinasihatkan mengambil berat tentang pemakanan dan mengawal stres.

Stres mungkin menambahkan asid dan melambatkan pencernaan. Ini menyebabkan makanan dan asid pencernaan kekal di dalam perut dan usus bagi jangkamasa yang lebih lama. Jika stres agak serius, ia akan melambatkan penyembuhan ulser.

Selain itu, pesakit disarankan agar berhenti merokok, tidak mengambil alkohol, elakkan ubat NSAIDs dan mengawal refluks asid dengan cara mengelakkan makanan pedas dan berlemak, elakkan berbaring selepas makan untuk sekurang-kurangnya tiga jam, meninggikan bahagian kepala katil dan mengurangkan berat badan.

tulang.jpg

ANAK panah menunjukkan tisu kanser yang akan dibuang.
——————————————————————————–

Oleh: NAJIBAH HASSAN
BAGI pesakit yang disahkan menghidap kanser tulang, lazimnya doktor akan menasihatkan supaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan atau kanser tersebut.

Pembedahan ini yang biasanya dilakukan dengan memotong bahagian anggota terbabit adalah langkah paling selamat dan terbaik untuk mengelakkan sel-sel kanser daripada terus merebak.

Bagaimanapun, bukan semua pesakit bersedia untuk kehilangan anggota tubuh mereka dan kekal menjadi individu kurang upaya sepanjang hayat.

Ketua Jabatan Ortopedik dan Pakar Bedah Ortopedik Onkologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Zulmi Wan berkata, dengan kepakaran dan teknologi masa kini, pesakit kanser tulang tidak perlu bimbang berhubung kehilangan anggota tubuh mereka kerana masih ada rawatan alternatif.

Menurut beliau, pembedahan limb salvage surgery merupakan satu kaedah pembedahan yang hanya membuang bahagian yang terkena kanser dan mengekalkan anggota yang sedia ada.

“Bagi membolehkan anggota tubuh berfungsi seperti biasa, hanya bahagian tulang yang terkena kanser saja yang akan dibuang.

“ia akan digantikan dengan tulang baru yang dikenali sebagai megaprostesis atau allograft, atau kombinasi prostesis dan allograft yang dikenali sebagai alloprostesis,” katanya.

Prostesis merupakan alat gantian yang diperbuat daripada besi atau aloi yang dimasukkan ke dalam tubuh bagi menggantikan bahagian tulang yang dibuang.

Allograft pula ialah tulang gantian (tulang manusia) yang telah diproses diperoleh sama ada dari bank tisu tempatan atau diimport dari luar negara.

Pembedahan kanser tulang menggunakan limb salvage yang julung kalinya dijalankan di HUSM pada 1997, membabitkan seorang pesakit kanser tiroid yang telah merebak ke dalam tulang.

Pesakit wanita yang berusia 54 tahun ini menjalani pembedahan dan menggunakan allograft prostesis atau lebih dikenali sebagai alloprostesis.

Dianggarkan kadar kejayaan kaedah ini ialah 85 peratus.

HUSM telah menubuhkan Unit Onkologi dan Pembedahan Rekonstruktif pada tahun lalu di mana Ortopedik Onkologi dan Pembedahan Rekonstruktif adalah sebahagian daripada unit tersebut.

Unit ini membabitkan kepakaran yang terdiri daripada pakar-pakar ortopedik onkologi, bedah plastik, perubatan onkologi, radioterapi, radiologi dan bius yang dikhaskan untuk pembedahan tersebut.

Menurut Dr. Zulmi, seseorang pesakit baru akan memulakan rawatan dua minggu selepas biopsi.

Rawatan tersebut bergantung kepada jenis dan tahap kanser tersebut.

Malah, prostesis yang digunakan bagi menggantikan bahagian tulang yang dibuang ini juga boleh berfungsi seperti anggota tubuh yang normal.

Beliau menambah, bergantung pada tahap kanser yang dihidapi, semua pesakit kanser tulang layak menjalani pembedahan ini.

“Sekalipun jika kita mendapati sel-sel kanser telah memasuki paru-paru, pesakit masih berpeluang menjalani pembedahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, bagi tahap kanser yang telah merebak pada hampir sebahagian besar tubuh, doktor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani pembedahan membuang anggota terbabit dan rawatan seterusnya.

Kanser tulang diertikan sebagai ketumbuhan yang terjadi sama ada pada tulang atau tulang rawan (cartilage) iaitu tisu-tisu fibrous (tisu-tisu sokongan).

Menurut Dr. Zulmi, di negara ini kanser tulang merupakan antara penyakit yang kerap berlaku dengan anggaran satu dalam 100,000 penduduk setiap tahun.

Sehingga kini sebanyak 87 kes pembedahan limb salvage telah dijalankan di HUSM di mana kebanyakan pesakit datang mendapatkan rawatan apabila kanser mereka berada di tahap II.

Beliau memberitahu, kebanyakan kes kanser tulang membabitkan remaja dan kanak-kanak.

Dianggarkan 70 peratus kes kanser tulang membabitkan tulang sendi lutut (tibia) dan tulang femur.

Bagaimanapun, katanya ramai pesakit yang lambat datang mendapatkan rawatan kerana sikap yang tidak acuh dan gejala yang dialami seperti pembengkakan tidak menimbulkan kesakitan.

Dr. Zulmi memberitahu, pesakit kanser tulang yang telah menjalani pembedahan ini perlu mendapatkan rawatan susulan sekali dalam tempoh empat bulan.

Rawatan susulan ini diteruskan dengan sekali dalam jangka masa enam bulan selama dua tahun dan sekali setahun bagi tiga tahun berikutnya.

Menurut beliau, proses pemulihan (fisioterapi) juga tidak mengambil masa yang begitu lama.

“Dalam jangka masa tiga bulan pesakit sudah boleh berjalan sendiri (bagi yang menghidap kanser tulang pada kaki) dan tiga bulan berikutnya pesakit seharusnya sudah boleh berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Beliau menambah, selepas pembedahan pesakit mengambil masa selama tiga bulan untuk latihan fisioterapi bagi menguatkan ligamen dan meningkatkan keyakinan diri untuk berjalan semula.

PUNCA
Sehingga kini, punca sebenar penyakit kanser masih tidak diketahui. Bagaimanapun ia boleh dikaitkan dengan:

* Genetik
* Penyakit kanser lain yang merebak ke tulang
* Terkena radiasi berlebihan

JENIS-JENIS TULANG
* Kanser dari tulang (osteosarcoma)

* Kanser dari tulang rawan (chondrosarcoma)

* Ewing sarcoma

* Kanser dari tisu fibrous

a. Fibrosarcoma

b. malignant fibrous histiocytoma

* Kanser darah (multiple myeloma)

GEJALA
* Bengkak setempat yang semakin membesar
Pada peringkat awal ia tidak sakit, namun lama-kelamaan ia boleh sakit terutama pada waktu malam atau awal pagi dengan rasa sakit seperti berdenyut-denyut
* Rasa sakit diikuti dengan demam
Jika ia berlaku dalam jangka masa yang lama, seseorang itu akan hilang selera makan
* Berat badan yang semakin menurun
* Mengalami kepatahan setelah terkena kecederaan ringan (pathological fracture)

DIAGNOSA
Melalui ujian x-ray, 70 peratus kanser tulang boleh didiagnos dengan tepat oleh pakar radiologi.

Seterusnya doktor akan mengenal pasti tahap kanser yang dihidapi dengan proses seterusnya dengan membabitkan ujian MRI, imbasan tulang dan ujian darah untuk mengesahkan sama ada ketumbuhan tersebut membesar atau sebaliknya.

Ujian biopsi iaitu dengan mengambil sedikit tisu bahagian tulang kanser tersebut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kanser.

Biopsi ini mesti dilakukan selepas tahap kanser dikenal pasti.

KOMPLIKASI
* Kepatahan boleh berlaku kerana tulang tersebut sangat rapuh.
* Kematian

Sel-sel kanser yang merebak akan menyebabkan anggota tulang terbabit menjadi bengkak dan pesakit sukar untuk mengangkatnya.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, sel-sel kanser ini boleh masuk ke dalam paru-paru.

Bagaimanapun, ramai pesakit yang lambat datang untuk mendapatkan rawatan kerana sikap tidak acuh atau gejala yang dialami seperti pembengkakan yang tidak menimbulkan kesakitan.

TAHAP KANSER TULANG
Tahap I

Kanser yang terdapat dalam tulang dan tidak merebak

Tahap II
Kanser yang telah keluar dari tulang tetapi tidak merebak ke bahagian lain tubuh

Tahap III
Kanser telah merebak ke seluruh tubuh terutama ke paru-paru dan sumsum tulang lain

Pada peringkat ini, rawatan hanya dapat meringankan kesakitan dan memberi keselesaan hidup pada pesakit.

RAWATAN
Rawatan kanser tulang bergantung pada jenis dan tahap keseriusannya.

Pesakit mungkin memerlukan rawatan kemoterapi, pembedahan (membuang bahagian anggota tubuh yang terkena kanser), radioterapi atau ketiga-tiganya sekali.

* Pendarahan yang banyak selepas atau semasa pembedahan
* Jangkitan kuman

Bagaimanapun, risiko ini jarang berlaku.

Oleh: AIZAWATI AHMAD
AMALAN pemakanan seimbang amat penting bagi membantu pembesaran kanak-kanak supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan dunia orang dewasa.

Tabiat tersebut perlu bermula dari peringkat awal lagi iaitu semasa bayi.

Menurut Pengurus dan Ketua Dietitian, Bahagian Dietetic & Dietary Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, tabiat pengambilan makanan seimbang sejak kecil akan turut mempengaruhi tabiat pemakanan seharian seseorang.

Menurut beliau, bermula pada usia empat bulan, bayi tidak boleh bergantung pada susu sahaja malah mereka juga perlu diberi makanan pejal seperti bubur atau bijirin.

“Pemberian susu ibu boleh diteruskan sehingga umur kanak-kanak tersebut meningkat kepada dua tahun,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Bengkel Penjagaan Kanak-Kanak Pada Peringkat Awal anjuran Fernleaf.

Mary Easaw berkata, pemilihan makanan juga perlu dibuat dengan teliti supaya bayi tidak berhadapan dengan masalah menelan makanan, alahan ataupun penghadaman.

Rata-rata bayi di negara ini mengambil bubur nasi atau makanan bijirin yang diperkuat zat besi dengan dilengkapi sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging serta telur.

“Ibu bapa juga perlu memastikan makanan yang diberi kepada bayi tidak mengandungi sos soya, gula, monosodium glutamate dan lemak,” ujarnya.

Di samping itu ibu bapa juga perlu memperkenalkan makanan baru setiap hari dan memastikan bayi menggemari serta boleh menerimanya dengan baik.

Bayi juga perlu belajar memegang makanan sendiri supaya mereka dapat merasai perbezaan bentuk setiap jenis makanan, kedudukan antara tangan dan mulut serta melatih anak-anak kecil itu berdikari.

Bagaimanapun, ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka makan di bawah pemerhatian penjaga bagi mengelakkan masalah tercekik semasa menelan makanan.

Antara jenis makanan yang perlu dielakkan daripada diberi kepada kanak-kanak berusia bawah empat tahun ialah anggur, kacang, gula-gula, bertih jagung, bebola ikan, sosej, mi dan makanan yang mempunyai batang.

“Seiring dengan peningkatan usia pada kanak-kanak, ibu bapa juga boleh mewujudkan suasana ceria ketika waktu makan selain cuba berkomunikasi dengan anak-anak mereka.

“Kalau boleh seluruh ahli keluarga berkumpul pada waktu makan,” katanya.

Sementara itu, kanak-kanak berusia sekitar tiga hingga enam tahun kerap menimbulkan kemarahan ibu bapa kerana keengganan mereka yang tidak mahu makan, lambat menghabiskan makanan atau terlalu memilih.

Manakala bagi kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan, pastikan ibu bapa tidak mengamalkan diet untuk anak-anak mereka kerana ia dikhuatiri akan membantutkan pembesaran.

Cara yang paling tepat ialah dengan memberi makanan seimbang kepada kanak-kanak terbabit.

Selain itu, ibu bapa turut berperanan dalam menentukan waktu makan mengikut jadual dan jangan memaksa anak-anak menghabiskan makanan mereka.

Mereka juga perlu pastikan pengambilan makanan ringan tidak diberi tiga jam sebelum waktu makan bagi mengelakkan kanak-kanak berasa kenyang.

“Kanak-kanak perlu dipupuk mengambil sayur-sayuran sejak kecil dan pastikan sayur yang diberi pelbagai jenis dan bentuk serta berwarna-warni bagi menarik perhatian mereka,” jelasnya lagi.

Sekiranya kanak-kanak berkenaan tidak mahu makan sayur, ibu bapa boleh menggantikannya dengan buah-buahan, susu, puding ataupun jeli.

Kanak-kanak juga perlu diberi air masak yang banyak di samping pengambilan zat besi, vitamin C dan zink sebagai sumber mineral.

PERNAHKAH lidah anda dibersihkan? Berapa ramaikah di antara kita mengambil serius tentang pembersihan lidah? Pembersihan lidah adalah penting untuk mendapatkan nafas yang segar dan mengelakkan mulut daripada berbau.

Kajian menunjukkan bahawa bakteria mengakibatkan mulut dan nafas berbau membiak pada lidah yang tidak dibersihkan. Oleh yang demikian, memberus gigi tidak memadai untuk mengurangkan bau mulut.

Kenapa anda perlu membersihkan lidah?

Lidah yang bersih adalah lidah yang berwarna kemerah-merahan. Pembersihan lidah amatlah penting terutama bagi mereka yang bernafas melalui mulut kerana mulut tidak mempunyai fungsi untuk menapis udara seperti hidung. Seorang perokok harus membersihkan lidah kerana nikotina berpunca daripada rokok boleh meninggalkan kesan di atas lidah.

Lidah yang tidak dibersihkan merupakan tempat pembiakan ideal bagi bakteria memandangkan terdapat banyak tempat untuk bakteria bersembunyi di atas permukaan lidah yang kasar. Pengumpulan bakteria tersebut akan menyerang gigi dan gusi serta mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Bau yang menyamai telur tembelang ini dipanggil Volatile Sulfur Compounds (VSCs). Kadangkala terdapat juga selaput putih yang menyeliputi lidah di mana keadaan ini boleh menggiatkan lagi pembiakan bakteria perosak tersebut.

Apakah cara yang betul untuk membersihkan lidah?

Lidah harus dibersihkan dua kali sehari. Ia boleh dibersihkan dengan menggunakan alat khas. Alat pencuci lidah (tongue scraper) ini diperbuat daripada besi waja yang tahan karat (stainless steel), dan ia mudah digunakan serta tahan lama.

Antara sebab-sebab mengapa berus gigi tidak sesuai digunakan untuk membersihkan lidah adalah:

* Memberus lidah dengan berus tidak berkesan kerana berus gigi hanya mampu melonggarkan selaput tersebut tetapi tidak berupaya untuk menghilangkannya.

* Berus gigi direka bentuk khas untuk pembersihan gigi dan gusi. Ia tidak bersesuaian untuk pembersihan lidah.

* Ia boleh menyebabkan rasa loya sekiranya berus gigi dimasukkan terlalu jauh ke dalam mulut.

Bahan penyegar mulut tidak boleh menghilangkan kekotoran di atas lidah kerana bahan-bahan seperti ini hanya boleh membuatkan nafas anda berbau segar buat sementara waktu sahaja. Amalan ini juga boleh mengakibatkan selaput putih di atas lidah bertambah. Menggunakan bahan pencuci mulut yang mengandungi chlorine dioxide boleh membantu untuk membersihkan lidah dan bahan ini hanya digunakan setelah pembersihan lidah dijalankan dengan sempurna.

Fakta-fakta lanjutan mengenai kebaikan pembersihan lidah termasuk:

* Amalan pembersihan lidah boleh mengurangkan pembentukan plak pada gigi sebanyak 33 peratus dan tidak akan menyebabkan kerosakan mana-mana tisu lidah.

* Mencuci lidah dengan alat pembersih lidah boleh mengurangkan pertumbuhan bakteria sebanyak 50 peratus berbanding dengan hanya menggosok lidah dengan menggunakan berus gigi. Alat tersebut juga dapat mengurangkan selaput di atas lidah sebanyak 40 peratus.

* Pembersihan lidah dapat mengurangkan bau mulut sebanyak 75 peratus sementara memberus gigi hanya boleh mengurangkan bau mulut sebanyak 25 peratus sahaja.

* Lidah yang dibersihkan dengan cara yang betul dapat menyekat pertumbuhan plak pada gigi sebanyak 33 peratus.

Pharmvision Ventures Sdn. Bhd. tidak membekalkan atau memberikan nasihat tentang perubatan. Ruangan ini bertujuan sebagai sumber pendidikan semata-mata. Kami tidak membekalkan rawatan secara individu atau pun berkumpulan. Sebarang kemusykilan hendaklah dirujuk kepada doktor atau ahli farmasi bagi maklumat tambahan dan rawatan selanjutnya.

Pharmvision Ventures Sdn. Bhd. juga mengendalikan Tigas Pharma – Malaysians Independent Pharmacy Alliance. Matlamat kami adalah membantu ahli-ahli farmasi kami yang beroperasi secara kecil-kecilan dan juga persendirian agar dapat bersaing dengan farmasi yang wujud terlebih dahulu dengan pembelian barangan perubatan yang berinisiatif.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat kami, sila hantarkan pertanyaan anda ke alamat berikut:

Pharmvision Ventures Sdn. Bhd.
9.3, Tingkat 9 Menara Milenium,
Jalan Damanlela,
Pusat Bandar Damansara,
Damansara Heights,
50490 Kuala Lumpur

Tel: 03-76602281, faks: 03-2533394 atau anda boleh layari laman web kami iaitu www.pharmvision.com atau e-mel pertanyaan anda ke enquiry@pharmvision.com.

baby-lahir.jpg

PEMBEDAHAN Caesarean Section dengan kaedah pembiusan epidural.
——————————————————————————–

Oleh: NAJIBAH HASSAN
PENGALAMAN yang sering dikongsi oleh ibu-ibu yang pernah melalui proses melahirkan anak sering kali dibayangi dengan cerita-cerita cemas, mendebarkan dan tidak kurang menakutkan.

Bagi sesetengah wanita, pengalaman itu memungkinkan mereka berasa serik untuk menempuh pengalaman pahit buat kali kedua. Mereka akan berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan untuk menambah zuriat.

Wanita yang belum menempuh saat-saat itu pula menganggap ia umpama satu trauma psikologi yang panjang sehinggalah mereka melalui sendiri pengalaman tersebut.

Pakar Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Mahamarowi Omar berkata, melahirkan anak adalah satu proses yang amat menyakitkan terutama bagi anak pertama.

Menurut beliau, kesakitan semasa bersalin jika tidak dikawal dengan sempurna boleh mengakibatkan tekanan darah dan nadi pesakit meningkat.

“Ini berlaku akibat daripada rembesan hormon-hormon seperti adrenalin dan non-adrenalin secara berlebihan ke dalam darah pesakit.

“Pada masa yang sama juga anak yang berada dalam kandungan secara tidak langsung akan merasa ketidakselesaan,” katanya.

Dr. Mahamarowi berkata, apabila tekanan darah ibu meningkat, ia mengakibatkan bekalan darah ke uri dan ke badan anak dalam kandungan berkurangan.

“Keadaan ini boleh menimbulkan bahaya kepada kedua-dua nyawa iaitu ibu dan anak,” ujarnya.

Masalah ini lebih ketara lagi bagi wanita yang menghadapi masalah darah tinggi ketika hamil (pre-eclampsia) atau mengalami masalah jantung seperti injap jantung yang sempit dan berlubang.

Menurut beliau, tahap kesakitan semasa melahirkan anak mungkin berbeza-beza antara wanita. Ada yang mudah dan begitu juga sebaliknya.

Malah, berdasarkan pengalaman mereka yang pernah melalui proses itu, kesakitan yang dilalui semasa melahirkan anak tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kelemahan teknik mengurangkan sakit bersalin secara konvensional

Bagaimanapun, kata Dr. Mahamarowi, pakar-pakar perubatan tidak memandang sepi masalah yang dihadapi oleh wanita.

“Banyak kaedah telah diperkenalkan untuk mengurangkan kesakitan semasa proses kelahiran seperti suntikan morfin dan pethidine,” katanya.

Namun, penggunaan ubat-ubatan ini tidak lagi begitu popular pada masa kini kerana ia mempunyai kesan sampingan.

Ubat-ubat yang disuntik itu akan menyerap masuk ke dalam tubuh bayi dan ini menyebabkan bayi terbabit mengalami kesukaran bernafas apabila dilahirkan.

“Selain itu ibu-ibu terbabit juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah seperti rasa mengantuk, gatal-gatal, loya, muntah dan kesukaran untuk bernafas,” ujarnya.

Selain kaedah ini, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan ketika proses kelahiran ialah dengan meminta ibu-ibu menyedut sejenis gas yang dipanggil entonox (O2 + N2O).

Kaedah ini masih lagi diamalkan di kebanyakan hospital di Malaysia tetapi keberkesanan gas ini bergantung kepada teknik semasa penyedutan.

“Bagaimanapun, kaedah ini boleh menyebabkan ibu-ibu rasa mengantuk dan kurang bertenaga semasa proses kelahiran jika tidak diberi dengan cara yang betul,” katanya.

Penggunaan pembiusan epidural

Bagi menangani masalah ini, kaedah pembiusan epidural diperkenalkan di mana satu tiub plastik kecil yang dipanggil “epidural catheter” dimasukkan di bahagian tulang belakang pesakit.

Tiub ini akan dicucuk dan diletakkan di dalam ruang epidural tulang belakang.

Setelah tiub ini dimasukkan, sejenis ubat yang dipanggil sebagai pembiusan setempat (local anaesthetic) akan disuntik ke dalam ruang epidural.

Ubat bius ini akan merebak dan akan menyekat saraf kesakitan daripada berfungsi untuk seketika.

“Kesannya rangsangan kesakitan daripada rahim yang mengecut ini tidak akan sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai kesakitan,” katanya.

Dengan kaedah ini, ibu-ibu tidak akan merasai kesakitan yang amat sangat melainkan rasa sedikit senak akibat pengecutan rahim.

Dr. Mahamarowi memberitahu, proses pembiusan ini mengambil masa kurang daripada 10 minit dan kesannya dapat dirasainya dalam tempoh beberapa minit, bergantung kepada keperluannya dan jenis ubat bius yang digunakan.

“Kesannya juga dapat bertahan selama yang diperlukan atau sehingga proses kelahiran selesai,” katanya.

Ubat bius seperti Lignocaine, Bupivacaine dan Ropivacaine selalu digunakan dalam kaedah ini di hospital-hospital di Malaysia.

Dos ubat pembiusan bergantung pada beberapa faktor seperti saiz badan pesakit, tahap kesakitan dan juga peringkat proses kelahiran.

Kaedah pembiusan epidural tidak hanya digunakan untuk mengurangkan kesakitan semasa melahirkan anak tetapi juga digunakan untuk pembiusan setempat semasa melakukan pembedahan caesarean bagi ibu-ibu yang tidak mampu melahirkan anak secara normal.

“Cuma ubat yang digunakan itu ditukar kepada dos yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dengan kaedah ini pesakit akan dapat melihat, menyentuh dan mendengar tangisan bayi sebaik sahaja bayi dilahirkan.

Dr. Mahamarowi memberitahu, bukan semua pesakit boleh menerima pembiusan epidural.

“Pesakit-pesakit yang mempunyai masalah pembekuan darah atau yang mempunyai jangkitan kuman dalam darah atau yang berada dalam keadaan pendarahan yang teruk (hypovolaemic shock) tidak boleh menerima pembiusan epidural,” katanya.

Sebagai langkah awal untuk memperkenalkan kaedah ini kepada orang ramai, HUSM telah memberi galakan kepada kakitangan hospital untuk menggunakan kaedah ini dengan harapan ia dapat menyebarluaskan teknik ini kepada masyarakat.

Sambutan terhadap penggunaan epidural di USM semakin baik.

Keperluan pembiusan epidural

Ibu-ibu yang bakal melahirkan anak mempunyai hak dan boleh memohon untuk menggunakan kaedah pembiusan epidural.

Bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan oleh pakar pembiusan, pakar perbidanan dan sakit puan dan juga bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.

Kebaikan epidural

* Ibu-ibu tidak akan berasa sakit. Mereka akan melahirkan anak dengan lebih selesa dan selamat.

* Bagi ibu-ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi atau pre-eclampsia, mereka amat digalakkan bersalin melalui kaedah ini.

* Anak-anak yang dilahirkan dengan kaedah ini biasanya lebih selamat dan sihat, di samping itu ibu dapat memegang dan memberi susu ibu sejurus selepas anak dilahirkan.

Salah tanggapan terhadap kaedah pembiusan epidural

Banyak pihak beranggapan bahawa kaedah ini akan menyebabkan sakit belakang, kepala dan kelumpuhan. Ini menyebabkan ramai ibu tidak begitu tertarik untuk menggunakan kaedah epidural.

Sesetengah ibu menganggap apabila kaedah ini digunakan, doktor akan mengambil air tulang belakang yang akan menyebabkan kerencatan akal.

Tanggapan ini adalah tidak benar sama sekali.

Walaupun ada sesetengah pesakit mengalami sakit belakang selepas pembiusan epidural tetapi adalah tidak tepat untuk menyalahkan kesakitan itu kepada pembiusan epidural semata-mata.

Oleh: NOOR AZMAH IBRAHIM
PEMAKANAN anak-anak pada usia satu hingga enam tahun amat penting kerana ia merupakan tabiat makan mereka yang pertama.

Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan si manja mendapat makanan yang berkhasiat serta berdisiplin dalam pemakanan.

Bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangkakan kerana memberi anak-anak makan memerlukan pendekatan psikologi yang kreatif.

Pengurus Dietetik, Jabatan Pemakanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw berkata, mendidik anak-anak makan memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi.

Katanya, perubahan gaya hidup serta persekitaran memerlukan kaedah pendidikan makan yang berbeza dari zaman sebelum ini.

“Anak-anak zaman dulu akan makan apa yang dihidangkan oleh ibu bapa tanpa banyak soal kerana itu sahaja yang ada.

“Sedangkan zaman sekarang, makanan pelbagai pilihan di samping sikap anak-anak yang sukar menerima arahan jika tiada sebab yang kukuh,” katanya.

Dalam mendidik anak-anak makan, kata Mary, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

“Jangan sesekali paksa anak anda makan jika dia tidak mahu atau tidak suka makanan yang dihidangkan kerana ini akan menjadikan masa makan umpama perang.

“Apabila setiap kali makan perlu bergaduh, dengan sendirinya mereka tidak suka untuk makan, apatah lagi untuk mendidik mereka tentang pemakanan yang sihat,” ujar beliau.

Katanya, perkenalkan anak-anak kepada pelbagai jenis makanan selain nasi seperti bihun dan kuetiau bagi menggalakkan mereka makan.

Begitu juga dengan buah-buahan dan sayur-sayuran agar mereka tidak hanya terhad kepada sesetengah jenis sahaja.

Bagaimanapun, jangan lambakkan makanan sekali gus, sebaliknya beri satu persatu agar mereka dapat mengenali jenis, tekstur dan rasanya.

Menurut beliau, suasana waktu makan yang penuh dengan kemesraan dan keriangan perlu diwujudkan bagi memupuk sikap sukakan makanan.

“Selain memahami tabiat makan anak-anak umpamanya suka makan beramai-ramai, ibu bapa pula perlu menghormati apa yang anak-anak suka dan tidak.

“Tidak salah sesekali ajak mereka ke dapur untuk melihat bagaimana maka-nan dimasak di samping memperkenalkan mereka kepada jenis-jenis makanan seperti sayur dan sebagainya,” katanya.

Menurut Mary, perbuatan memaksa anak-anak menghabiskan makanan dalam masa tertentu adalah perbuatan yang tidak sihat.

Sebaliknya, biarkan mereka mengambil masa untuk makan dalam suasana yang santai dan tenang tanpa sebarang tekanan.

“Berikan pujian kepada anak-anak apabila mereka menghabis makanan, tetapi jangan marah jika sebaliknya,” katanya.

Berhubung makanan segera, Mary menegaskan, pengambilannya tidak salah asalkan ibu bapa mampu mendisiplinkan anak-anak.

“Makanan segera boleh diberikan kepada anak-anak, tetapi perlu ada batasan seperti sebulan sekali atau sebagainya.

“Dalam masa yang sama, jangan sesekali berkata jangan kepada anak-anak, sebaliknya terangkan kepada mereka kenapa tidak boleh dimakan selalu,” ujar beliau.

Kata Mary, sekiranya anak-anak yang berusia enam tahun ke bawah mengalami obesiti, jangan sesekali mengehadkan makanan atau menyuruh mereka menahan makan.

Sebaliknya, galakkan mereka bersenam serta melakukan aktiviti riadah sekerap yang perlu.

Di samping itu, pandangan ibu bapa bahawa pengambilan susu tidak lagi perlu selepas anak-anak berusia satu tahun adalah satu kesilapan.

Ini kerana pengambilan susu yang berterusan sehingga dewasa dapat membekalkan badan pelbagai khasiat dan vitamin yang diperlukan.

Menurut beliau, masa terbaik untuk meminum susu ialah waktu sarapan pagi dan sebelum tidur atau semasa snek.

Sekiranya anak-anak tidak suka meminum susu, pelbagaikan makanan yang berasaskan susu seperti puding, susu kocak atau jus.

Next Page »