TIPS~PETUA


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

BILA usia semakin meningkat, antara masalah sering dialami ialah tegang otot dan sakit sendi, terutama bagi individu yang kurang aktif dan jarang bersenam.

Bagi yang berbadan besar, mereka ada satu masalah tambahan iaitu sakit lutut dan khususnya apabila mahu bangun daripada duduk atau menaiki tangga.

Sakit lutut sebenarnya berpunca daripada sakit sendi yang dialami 23 peratus rakyat negara kita berumur 55 tahun ke atas. Daripada jumlah ini, 39 peratus adalah warga emas berusia lebih 65 tahun.

Secara umumnya wanita lebih ramai mengalami masalah sakit sendi berbanding lelaki. Ia mungkin disebabkan tugas wanita yang tidak pernah habis kerana wanita kini bukan saja bersama-sama bekerja mencari rezeki, tetapi juga perlu membereskan kerja di rumah, termasuk menguruskan anak.

Ini sebabnya lelaki yang mendakwa mereka ‘lebih gagah’ dan sayangkan isteri perlu berganding bahu membantu menguruskan rumah tangga supaya sendi insan tersayang tidak menerima terlalu banyak bebanan.

Walaupun penuaan antara faktor risiko kepada masalah osteoartritis di mana sendi boleh mengalami kemerosotan, ia bukan penyebab penyakit itu. Berita baiknya, masalah sakit sendi boleh dielak dengan mengamalkan beberapa kaedah perlindungan dan penjagaan mudah.

Menurut Perunding Reumatologi Hospital Selayang, Dr Asmahan Mohamed Ismail, perkara paling penting ialah jaga badan (supaya bukan saja mudah bergerak tetapi nampak lebih cantik) dan melakukan aktiviti yang boleh menggerakkan sendi dengan cara bersenam.

Pilih jenis senaman yang bersesuaian dengan diri sendiri. Mereka yang tidak pernah bersenam dan ada masalah kesihatan disaran berbincang dulu dengan doktor untuk mengelak masalah yang mungkin timbul.

Namun secara umumnya senaman ringan seperti berjalan cepat, menari, tai chi, berenang atau berbasikal memberi kesan positif kepada sendi kita.

Untuk mengelak kecederaan, jangan lupa mulakan senaman dengan gerakan memanaskan badan badan dan diakhiri dengan regangan.

Usah bertangguh untuk melakukan perkara baik; dan senaman adalah cara paling mudah untuk menyayangi badan. Ia bukan saja membantu mengembalikan keanjalan sendi, tetapi turut berguna untuk menguatkan otot.

Lebih banyak kita bersenam, kita ada peluang lebih besar untuk mencegah masalah ketegangan dan sakit sendi. Kajian Universiti Queensland, Australia ke atas wanita pertengahan umur (48 hingga 55 tahun) dan warga emas (72 hingga 79 tahun) mendapati senaman secara sederhana yang dilakukan dengan tetap boleh mengurangkan masalah sakit sendi.

Senaman yang dilakukan lebih kerap sehingga dua setengah jam seminggu pula boleh mencegah gejala artritis atau sakit sendi pada wanita warga emas.

Walaupun kesannya tidak dilihat pada wanita pertengahan umur, secara keseluruhan semuanya mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding kumpulan yang tidak bersenam.

“Pengurangan berat badan sangat penting bagi individu yang mengalami masalah sakit sendi. Penurunan sebanyak lima kilogram berat badan bermakna kita berjaya mengurangkan beban sebanyak 15 hingga 30 kilogram yang ditanggung lutut.

“Ubat untuk osteoartritis ada dua jenis iaitu analgesik (ubat tahan sakit) dan ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) yang bertujuan mengurangkan radang pada sendi. Ubat analgesik biasa seperti paracetamol juga sangat baik dan berkesan untuk mengurangkan rasa sakit.

“Namun kebanyakan doktor lebih suka memberi NSAIDs kepada pesakit kerana kesannya lebih kuat. Hanya 2.5 peratus doktor memberi ubat analgesik biasa kepada pesakit. Walaupun NSAIDs dianggap lebih baik, ia ada kesan sampingan.

“Doktor sepatutnya berbincang dengan pesakit terlebih dulu mengenai pemilihan ubat. Kajian tempatan menunjukkan analgesik biasa dapat mengurangkan kesakitan pada 77 peratus pesakit yang membolehkan mereka melakukan kerja harian dengan lebih baik.

“Kesannya bertambah baik jika rawatan dilengkapi dengan senaman,” katanya pada Kongres Awam Tulang dan Sendi anjuran Yayasan Artritis Malaysia.

Menyayangi sendi bukan dengan duduk diam tanpa menggunakan anggota berkenaan, sebaliknya ia perlu digerakkan supaya menjadi lebih anjal dan kuat.

Walaupun kebanyakan masalah sakit sendi boleh diatasi dengan pengambilan ubat, kebimbangan terhadap kesan sampingan ubat moden menyebabkan semakin ramai pesakit mula beralih kepada rawatan alternatif.

Memang benar semua ubat ada kesan sampingan, tetapi peratusannya masih jauh lebih kecil berbanding manfaat yang diterima.

Laporan disiarkan dalam Risalah Kesihatan Harvard April 2008 menyatakan, tujuh masalah kesihatan boleh ditangani tanpa mengambil ubat; iaitu melalui senaman.

Pendekatan tanpa ubat ini terbukti boleh meningkatkan kualiti hidup dengan syarat ia dilakukan secara berdisiplin, bersungguh-sungguh dan teratur.

Tujuh masalah kesihatan itu ialah:

Artritis — Pengurangan berat badan akan mengurangkan beban yang perlu tanggung oleh sendi, terutama lutut, tulang belakang dan buku lali. Bagi yang tidak perlu mengurangkan berat badan pun, senaman boleh melegakan kesakitan sendi

Kolesterol — Paras kolesterol buruk (LDL) menurun sebanyak lima peratus jika anda menjauhi makanan kaya lemak tepu. Selain mengambil lebih banyak sumber serat, senaman membantu memudahkan penurunan paras kolesterol darah

Menguatkan ingatan — Walaupun latihan otak (seperti membaca, mengira, membuat kerja kreatif) penting untuk menguatkan ingatan, senaman fizikal juga memberi kesan positif terhadap kesihatan minda

Kemurungan — Senaman dapat membantu mengurangkan kesedihan dan kemurungan kerana apabila kita bersenam, badan menghasilkan hormon endorfin yang membuat kita berasa gembira dan selesa

Kencing manis — Senaman secara teratur boleh menjadi ubat berkesan untuk menurunkan paras gula darah. Bersenam membolehkan otot menjadi lebih sensitif terhadap insulin yang bertugas mengangkut gula dari dalam darah dan dipindahkan ke sel untuk digunakan sebagai tenaga. Pada masa sama, pesakit perlu mengawal pemakanan mereka dengan mengurangkan makanan manis dan berkarbohidrat.

Tekanan darah tinggi — Masalah ini boleh dikawal dengan menurunkan berat badan melalui senaman dan kurangkan pengambilan garam

Osteoporosis — Senaman mengangkat beban memberi tekanan kepada tulang. Tisu tulang akan bertindak balas dengan menambah kekuatan dan ketumpatan tulang yang secara tidak langsung mengurangkan risiko osteoporosis. Selain itu banyakkan pengambilan kalsium dan vitamin D.

Jaga sendi

Kekalkan berat badan seimbang.
Bersenam dan gerakkan sendi anda!
Berdiri tegak, jangan membongkok. Postur badan yang baik secara tidak langsung melindungi sendi lutut, pinggul dan tulang belakang.
Buat senaman mengikut kemampuan anda. Usah lakukan aktiviti yang menyakitkan badan. Juga jangan cuba bersaing dengan orang lain kerana keadaan, tahap kesihatan dan daya ketahanan kita berbeza.

Dengar dan fahami kehendak badan. Berhenti jika anda terasa sakit, terlalu penat atau terasa hendak pitam.

Guna sendi besar apabila hendak mengangkat barang.

Jangan terlalu paksa diri. Atur waktu untuk melakukan aktiviti cergas dan rehat.

Jangan jadi statik. Justeru, alih kedudukan anda selepas tempoh tertentu.

Minta bantuan — dapatkan maklumat mengenai jenis senaman, tempoh, tanda masalah yang mungkin timbul (jika anda menghidap penyakit tertentu)

Pakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk bersenam.

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
DEMAM adalah penyakit yang sering dihidapi kebanyakan orang. Boleh dikatakan semua orang pernah sakit demam sama ada yang tua, muda atau bayi.

Begitu juga gejala panas badan yang mudah dan selalu menyerang seseorang sehingga boleh mengganggu keselesaan dan ketenangan.

Apa yang lazimnya dilakukan sudah tentulah kita menemui doktor atau mencari ubat demam di farmasi.

Malah sesetengah ubatan moden untuk melegakan demam dan mengurangkan panas badan turut dijual di kedai runcit.

Yang lebih mudah ialah dengan mengamalkan kaedah perubatan alternatif atau tradisional dengan berasaskan herba.

Selalunya, perubatan secara tradisional banyak menggunakan pelbagai jenis daun dan akar pokok yang direbus dan kemudiannya dijadikan minuman.

Kali ini, anda diperkenalkan dengan satu lagi herba yang boleh membantu mengubati atau melegakan demam dan panas badan.

Herba TALINUM atau KEROKOT BELANDA dengan nama saintifik Talinum trianglulare dari keluarga tumbuhan Portulacaceae adalah salah satu pokok yang berkhasiat untuk mengubati demam.

Pokok bermusim ini rimbun dengan batangnya lembut dan berbunga banyak dengan warna merah jambu dan ungu. Akarnya jika dibiarkan untuk tempoh yang lama boleh membesar seakan-akan ginseng.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, pucuk muda, batang dan akar talinum digunakan untuk perubatan.

Katanya, daun muda boleh dimakan begitu saja sebagai ulam untuk meningkatkan ketahanan badan daripada peningkatan suhu badan yang mendadak.

Tambah beliau, rebusan pokok talinum jika diminum dapat mengurangkan dan merawat pesakit yang telah menghidap demam.

“Batang dan bahagian pucuk pokoknya bersama-sama daunnya direbus sekali gus selama beberapa minit sebelum diminum,” kata Tajuddin.

Beliau memberitahu, seperti juga batang dan pokoknya, akar talinum juga boleh direbus dan dijadikan tonik untuk mengubati sakit demam dan gejala panas badan.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas, maklumat, pandangan dan pertanyaan boleh mengemukakannya menerusi e-mel herba@utusan.com.my.

Oleh Rahana MD
MENGEKALKAN kecantikan luaran mungkin lebih mudah dengan pelbagai tawaran alat solek di pasaran. Bagaimana pun, untuk mengekalkan kegadisan memerlukan latihan senaman yang berterusan di samping mengamalkan minuman pati herba tertentu.

Senaman kucing antara yang dikenal pasti untuk mengekalkan `kegadisan’ seorang wanita.

Jika dilakukan setiap hari, ia membantu membetulkan alat peranakan yang mengalami perubahan atau kecederaan akibat bersalin, faktor usia, berjoging ataupun kerap menghentakkan tubuh.

1) Meniarap dan luruskan tubuh dan regang sekuat-kuatnya untuk meredakan otot-otot yang tegang.

2) Senaman kucing – daripada meniarap bangun perlahan-lahan dan rapatkan paha sambil menarik nafas perlahan-lahan. Kekerapan mengamalkan latihan kemutan membantu mengetatkan vagina dan menguatkan otot-otot peranakan.

3&4) Duduk bersimpuh dan silangkan kaki, tekan paha kanan ke atas paha kiri sambil berpusing ke belakang perlahan-lahan. Ubah kedudukan kepada kaki dan lakukan perkara yang sama. Rasakan regangan yang melegakan di bahagian pinggang dan bahu.

5) Air minuman campuran kunyit hendaklah diminum dengan cara menekan ibu jari kanan ke atas ibu jari kaki kiri dan mulakan dengan selawat. Cara ini mampu mengecutkan otot-otot bahagian vagina dan punggung.

6) Sambil berehat di rumah, panaskan tunku. Letakkan bahagian tapak kaki ke atas tunku yang mampu melancarkan perjalanan darah ke seluruh tubuh. Terutamanya ke bahagian peranakan agar sentiasa kemas dan mantap.

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM

SETIAP penyakit yang dihidapi lazimnya memerlukan ubat atau penawar berlainan. Kaedah perubatannya juga selalunya berbeza sama ada ia dirawat secara moden atau tradisional.

Bagi mengubati resdung, luka, sakit gigi dan kembung perut, pesakit memerlukan ubat farmasi yang berlainan bagi setiap penyakit tersebut.

Pemeriksaan dan rawatan oleh doktor juga berbeza malah mungkin terpaksa mendapatkan khidmat pakar yang berlainan.

Bagaimanapun, pokok herba LEMBIAGA atau nama saintifiknya Calotropis gigantea yang diperkenalkan minggu ini mungkin boleh membantu mengurangkan kesukaran mengubati keempat-empat penyakit itu serentak.

Ini kerana selain daun pokok lembiaga kulit kayu dan getah pokoknya yang mempunyai manfaat kesihatan, bendalir dari daun lembiaga juga boleh digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang disebutkan di atas.

Pokok lembiaga mudah ditemui tumbuh liar di kawasan berhampiran pantai terutama di hutan paya bakau atau tanah berpasit.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, getah daun lembiaga boleh menjadi penawar sakit gigi dan luka.

Caranya mudah iaitu petik daun lembiaga segar dan kemudian titikkan getah atau bendalir melekit itu pada gigi yang sakit dan juga di tempat-tempat luka.

“Bagi sakit kembung terutama di kalangan kanak-kanak dan bayi, pesakit hanya perlu layurkan daun lembiaga dan kemudian tampalkannya di atas perut pesakit.

“Kaedah ini selalunya dilakukan berulang kali dengan menggunakan beberapa helai daun yang dilayur silih berganti bergantung kepada tahap sakit kembung yang dihidapi pesakit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tajuddin memberitahu, bagi penyakit resdung pula, selalunya pengamal perubatan herba mengambil kulit kayu pokok lembiaga yang telah dikeringkan terlebih dahulu.

“Selepas dijemur atau dikeringkan beberapa hari, ia kemudian dibakar dan asapnya dihidu beberapa kali sehingga cecair lendir resdung keluar dari hidung.

“Kaedah ini patut diulangi setiap kali sakit resdung menyerang tetapi bagi mereka yang belum pernah melakukannya, sebaik-baiknya dicuba sekali dan lihat hasilnya dahulu sebelum kaedah ini diamalkan secara konsisten,” ujarnya.

KAJIAN pembangunan dan pemasaran ke atas herba tongkat ali kini sedang dilakukan di peringkat usaha sama antara sepasukan penyelidik tempatan dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Md. Salleh Yaapar memberitahu, peringkat penyelidikan di makmal kini telah selesai.

“Kerjasama dengan MIT dan potensinya memang dahsyat,” katanya kepada Utusan di pejabatnya di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pasukan saintis tempatan itu telah dibentuk oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

“Setakat ini, tiada siapa boleh bercakap mengenai kandungan kajian berkenaan,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, asas bahan yang dikaji adalah sama – iaitu ekstrak bahagian tertentu tongkat ali – tetapi ia tidak boleh disamakan dengan yang dijual di pasar-pasar malam.

“`Yang itu (di pasar malam) tidak pernah di bawa ke makmal.

“Asasnya sama, iaitu pokok (tongkat ali) di kampung-kampung,” ujarnya lagi.

Katanya, tongkat ali yang telah diproses dan dijual di pasaran, dan mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana keyakinan khasiatnya secara turun temurun.

“Kita beli kerana kita yakin – bubuh dalam kopi dan sebagainya. jadi ia berkembang secara folk wisdom – bukan saintifik,” ujarnya.

Mengenai penyelidikan-penyelidikan lain, beliau berkata, sejenis lagi herba yang berpotensi ialah Misai Kucing yang berpotensi mengubat penyakit arthritis atau radang sendi.

“Misai Kucing sekarang telah memasuki peringkat produk,” katanya.

Menurut beliau, Misai Kucing merupakan sejenis pokok tropika yang bunganya mempunyai struktur mengunjur seperti misai kucing.

Kata beliau, penyelidikan juga sedang dilakukan ke atas herba Hempedu Bumi dan Timun Laut (gamat).

Selain itu, USM juga sedang dalam perundingan dengan sebuah kerajaan negeri untuk menjalin kontrak penternakan tiram secara besar-besaran.

“Malah kepada sesiapa yang berminat menternak tiram, kita boleh membekalkan dan membenihkan anak-anak tiram dalam satu jangkamasa tertentu,” katanya.

Salah seorang saintis USM pula sedang membiak dan memulihara spesies kerang gergasi di habitat asalnya di perairan Johor untuk tujuan ekopelancongan.

“Kerang berkenaan, sebelum ini sungguh mahal apabila dihidangkan sebagai santapan eksotika di Singapura serta restoran-restoran mewah di sini,” ujarnya.

Menurut beliau, banyak lagi kajian-kajian yang sedang, akan dan telah dilakukan di USM yang sedia untuk dipasarkan.

Selain itu, tambah beliau, yang turut mendapat perhatian dan sedang dipromosikan oleh universiti berkenaan ialah pakej Ternakan Ikan Dalam Kanvas yang dimajukan oleh penyelidik di Sekolah Sains Biologi, Prof. Madya Roshada Hashim.

Utusan diberitahu, rombongan daripada Mauritius baru-baru ini telah menunjukkan minat untuk mengunakan penyelidikan berkenaan di negara berkenaan.

Selain daripada itu, tambah Dr. Md. Salleh, dua penyelidikan yang memenangi pingat emas dalam pertandingan di Geneva baru-baru ini juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Alat mengesan untut atau kaki gajah dikenali sebagai Brugia Rapid, boleh mengesan secara awalan jangkitan disebabkan cacing Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi.

Alat berkenaan dicipta oleh pensyarah Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Dr. Rahmah Noordin.

“Turut mencipta nama semasa di Geneva ialah Pensyarah di Sekolah Teknologi Perindustrian, Dr. Baharin Azahari yang mencipta Kleenoll, iaitu sisa getah yang boleh menyerap tumpahan minyak sebanyak dua kali beratnya,” katanya.

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM

WALAUPUN pokok KANTAN sudah popular dan tidak asing lagi di kalangan masyarakat namun tidak banyak maklumat ditemui mengenai keunikannya sama ada menerusi buku-buku herba atau media cetak.

Mingguan juga sebelum ini menerima banyak e-mel daripada pembaca yang meminta agar disiarkan khasiat kantan yang selalu digunakan sebagai ramuan dalam masakan.

Kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord adalah daripada keluarga tumbuhan herba saka Zingiberaceae yang hidup semusim.

Pokok herba monokot yang berasal dari Malaysia ini ditanam di sekitar rumah untuk jambak bunganya dengan menggunakan rizomnya untuk pembiakan.

Ia mempunyai daun yang agak panjang dan juga rizom di dalam tanah manakala jambak bunganya besar dan mempunyai involuker braktea berwarna steril.

Jambak bunganya juga mempunyai tangkai yang panjang dan terkeluar dari pangkal tunas daun menyebabkan ia kelihatan cantik dan unik.

Selalunya jambak bunga kantan yang masih muda dan belum mengembang merupakan perencah utama untuk membuat kuah laksa utara. Laksa dan kantan sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Bagi suku kaum Mandailing, bunga kantan menjadi ramuan terpenting untuk masakan pucuk ubi tumbuk yang digoreng bersama serai racik, ikan bilis dan terung rembang.

Ia juga menjadi ramuan untuk lauk asam pedas dan tomyam. Bau bunga kantan yang harum dan unik menjadikan masakan lebih menyelerakan.

Selain bunga kantan, buahnya juga boleh digunakan sebagai perasa makanan, malah di sesetengah tempat buah kantan yang telah ranum juga dimakan begitu saja.

Kurator Muzium Negara, Zainal Abidin Jamaluddin memberitahu Mingguan, kantan juga berkhasiat untuk mengubati sakit telinga dan membersihkan luka.

Ketika ditemui sewaktu Pameran Ulam dan Peram di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata, sakit telinga boleh dirawat dengan menggunakan air rebusan buah kantan.

“Selepas merebus buah kantan selama beberapa minit, air rebusan perlu dititikkan ke dalam telinga.

“Jika diamalkan selalu, ia bukan saja melegakan kesakitan akibat bengkak malah boleh mengatasi masalah telinga berair,” kata Zainal Abidin.

Menurutnya, bagi mencuci luka di badan, air rebusan daun kantan yang masih suam digunakan dengan melumurkannya ke seluruh bahagian luka.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas, pandangan dan pertanyaan mengenai herba boleh mengemukakannya menerusi e-mel herba@utusan.com.my

MENYUSU badan bukan sekadar membekalkan bayi anda dengan makanan yang sihat dan berkhasiat, tetapi sekali gus mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak.

Apa yang lebih menarik, menyusu badan memberikan pelbagai pengalaman pahit manis yang tidak mungkin dikecapi tanpa mencapai status ibu.

Bagaimanapun, tidak semua wanita yang melahirkan anak berbuat demikian kerana beberapa faktor tertentu. Bagi mereka yang bakal dan sudah bergelar ibu, petua di bawah pasti dapat membantu melancarkan penyusuan badan.

Pertama, carikan kedudukan yang selesa, sama ada duduk tegak, diampu elok oleh sesuatu atau berbaring. Kusyen atau bantal boleh membantu untuk mengampu anda dan bayi anda.

Kemudian, pusingkan bayi ke arah anda dengan kepala dan bahunya bertentangan dengan buah dada dan hidungnya bertentangan dengan puting payu dara. Ampukan bayi anda dengan tangan bersilang ke bahu, bukan belakang kepala.

Sekarang gosokkan bibir bayi pada puting payu dara anda untuk membolehkan mulut bayi terbuka luas dan kemudian tarik bayi anda pada buah dada dengan cepat. Jika anda mengusap buah dada anda dengan lembut dan perlahan ke arah puting payu dara untuk mengeluarkan sedikit susu, ini memudahkan bayi anda untuk menempel. Jika bayi anda berada pada kedudukan yang betul, terdapat banyak areola (kulit coklat di sekeliling tetek) dapat dilihat atas bibir berbanding bawah bibir.

Mulakan setiap penyusuan pada buah dada yang berselang-seli. Biarkan bayi anda tentukan bila dia sudah habis dengan buah dada yang pertama sebelum menukarkan pada yang satu lagi. Kadang-kadang bayi-bayi hanya perlukan satu buah dada pada satu penyusuan.

Ramai bayi akan mewujudkan satu corak penyusuan. Anda perlu menyusukan bayi anda atas permintaannya dan jangan biarkan dia menunggu untuk disusui atau menghalang tempoh penyusuan.

-Artikel ini dibawa kepada anda oleh Heinz Nutrition Consultancy. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-2723-0058 atau boleh menulis kepada beliau di alamat hncGHG@grey.com.my.

Oleh: MUHAMMAD BENJAMIN DREWE

TABIAT menggemari makanan manis telah menyumbang kepada peningkatan kadar kejadian masalah berkaitan gula seperti diabetes, kegemukan dan banyak lagi masalah metabolisme dan hormon lain.

Justeru, dalam kehidupan serba moden ini, mungkin ada benarnya secebis nasihat lama yang mengatakan sesetengah makanan dan tumbuhan pahit itu baik untuk kesihatan.

Tanpanya, sistem pencernaan dan hormon kita menjadi tidak seimbang.

Jadi tidaklah begitu memeranjatkan bahawa hutan hujan tropika ditumbuhi banyak jenis pokok pahit, yang menjadi sebahagian makanan utama kaum Orang Asli.

Sememangnya, dalam kebanyakan sistem perubatan herba di serata dunia, pokok pahit dianggap sebagai pengimbang pemakanan yang menyejukkan tubuh dan penawar bisa dalam toksik.

Dalam kaedah perubatan herba Barat, bahan herba pahit dianggap sebagai memainkan peranan utama dalam perubatan pencegahan.

Umumnya, bahan herba pahit berfungsi dengan menambah selera, merangsang enzim pencernaan dan perembesan hempedu daripada hati, serta meningkatkan penghasilan insulin.

PAKAWALI atau tinospora cordifolia merupakan sejenis pokok tropika yang terkenal dengan rasa pahitnya dan tumbuh menjalar.

Ia mudah dikenali daripada daunnya yang berbentuk jantung dan batangnya yang berduri.

Sebagai sejenis tumbuhan yang tahan lasak, tumbuhan ini banyak ditemui di kampung-kampung dan taman-taman.

Malah, pokok ini akan menakluk pagar anda jika dibiarkan begitu saja! Banyak jenis bahan kimia menarik telah didapati pada pokok ini dan ia telah menjadi bahan kajian.

* Ayurveda dan jamu

Pakawali digunakan dengan meluas dalam keadaan perubatan ayuveda, iaitu dalam sediaan herba untuk melawan jangkitan dan radang.

Ia juga digunakan dalam rumusan tonik penambah tenaga dan pengubat lemah syahwat lelaki.

Dalam jamu Indonesia, ia digunakan dengan meluas dalam pelbagai tonik dan untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah.

*Pelindung hati

Penyelidikan saintifik di India telah menunjukkan bahawa pakawali meningkatkan fungsi enzim hati, melindungi sel hati daripada aktiviti radikal bebas dan berkesan dalam rawatan penyakit hati kronik dan jaundis (penyakit kuning).

* Meningkatkan sistem imun

Sesetengah ujian menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan terhadap peningkatan sistem imun dengan meningkatkan aktiviti sel darah putih dan meningkatkan aras antipengoksida.

Dalam satu ujian yang membandingkan pakawali dengan antibiotik melibatkan jangkitan E. Coli pada mencit, haiwan yang dirawat dengan pakawali menunjukkan tahap penyembuhan yang lebih baik, bukan kerana sifat antibakteria pada pakawali tetapi kerana peningkatan imun pada haiwan ujian.

Pakawali juga telah diuji untuk menilai kemampuannya memperbaik tidak balas terhadap tekanan pada haiwan apabila terkena rangsangan memudarat. Keputusannya sama dengan ginseng dan herba tempatan kita tongkat ali – ia meningkatkan ketahanan terhadap tekanan dan mengurangkan keresahan.

Para penyelidik di India yang mengkaji kesan penawar ulser (borok) pakawali apabila digabungkan dengan pegaga (centella asiatica), mendapati tindakan pelindung terhadap ulser (keborokan).

* Diabetes

Di kampung-kampung di serata Asia, pokok menjalar ini direbus setiap hari secara berasingan ataupun dicampur dengan herba lain dan airnya diminum sebagai penawar tradisional untuk diabetes.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Hamdan Noor dan rakan-rakannya dari Jabatan Biologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), berhubung pakawali dan kesannya terhadap kandungan gula dalam darah mendapati, dengan kawalan makanan pakawali amat berkesan sebagai penawar diabetes pada peringkat awal.

Bagaimanapun, ia tidak harus digunakan ketika menerima insulin kerana ia boleh memporak-perandakan keseimbangan gula.

Dalam hal pokok pahit, ada baiknya kita turut memasukkan herba pokok pahit ke dalam makanan harian keluarga kita.

Seperti kata pepatah, yang pahit itu manis akhirnya, manakala yang manis itu pahit akhirnya

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
BAGI mereka di pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu, buah BEKA sudah tidak asing lagi. Ia merupakan makanan popular sama ada sebagai ulam atau dijadikan kerabu.

Sepanjang bulan puasa misalnya, kerabu beka yang dijual di kebanyakan gerai makanan di pasar Ramadan di negeri itu adalah antara pilihan utama pengunjung.

Walaupun rasanya agak pahit tetapi kerabu beka menjadi hidangan pembuka selera dan kemestian ketika berbuka puasa.

Jika dijadikan ulam, peminat beka selalunya membakar buah muda tersebut terlebih dahulu bagi mengurangkan rasa pahitnya.

Beka atau nama saintifiknya Oroxylum indicum daripada keluarga tumbuhan bignoniaceae mempunyai pokok yang besar.

Batangnya pula lurus manakala daunnya hanya merimbun di bahagian hujung dahan.

Pokok ini turut mengeluarkan bunga berwarna keunguan sementara buahnya berbentuk nipis, lebar dan memanjang seperti parang.

Buah mudanya berwarna hijau tetapi bertukar kepada kehitaman apabila masak.

Selain dimakan sebagai ulam atau kerabu, beka juga sebenarnya mempunyai khasiat yang tersendiri.

Menurut Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, buah beka juga baik untuk kesihatan kerana ia boleh mencuci darah.

“Memakan buah beka juga boleh membantu menambahkan susu ibu terutama bagi mereka yang baru lepas bersalin,” ujarnya.

Tambah beliau, selain buahnya, rebusan daun beka jika diminum akan mengurangkan demam atau sakit kepala di samping boleh dijadikan mandian lepas bersalin.

“Untuk mendapatkan lebih kesegaran bagi ibu lepas bersalin, selain daun beka rebusan juga ditambah dengan campuran herba lain, termasuk serai wangi,” jelasnya.

Kata Tajuddin, manakala akar pokok beka pula boleh melegakan demam, sakit atau pening kepala dan juga selesema.

“Akar beka yang dicampur sedikit air perlu ditumbuk halus sebelum ia dipupuk di kepala,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas, maklumat, pandangan dan pertanyaan boleh mengemukakannya menerusi e-mel herba@utusan.com.my.

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
SAKIT akibat luka dan bengkak memang memeritkan. Ia lebih pedih untuk ditanggung jika luka atau bengkak di tempat-tempat sensitif seperti di celah-celah sendi yang akan mengehadkan pergerakan.

Menahan kesakitan kerana bengkak seperti bisul dan sakit gigi, misalnya, boleh mengganggu aktiviti harian seseorang.

Plaster yang boleh dibeli dengan mudah di kedai runcit selalu digunakan untuk menutupi luka kecil, sekurang-kurangnya bagi menahan titisan darah.

Selain ubat-ubatan yang diberi oleh doktor atau dibeli dari farmasi, herba tempatan juga sebenarnya boleh membantu mengubati sakit tersebut.

Minggu ini anda diperkenalkan dengan pokok TEMBAGA SUASA atau nama saintifiknya Crinum asiaticum daripada keluarga Amaryllidaceae yang tumbuh menegak sama ada ditanam di laman rumah atau di dalam pasu.

Dilihat dari jauh, herba ini kelihatan seperti pokok pandan kerana daunnya yang panjang dan lebar.

Namun setelah mendekatinya, sangkaan meleset apabila ia mempunyai bunga yang berpecah berwarna putih.

Jika diberi penjagaan yang baik, pokok ini yang daunnya panjang berjurai-jurai, boleh bercambah kepada lima hingga 10 pokok.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, selain luka dan bengkak, daun tembaga suasa juga mempunyai kegunaan lain.

Antaranya ialah melegakan sakit gigi, mematangkan bisul, mengubati pening kepala dan memecahkan darah beku.

“Ambil sehelai daun dan layurkan di atas api. Kalau boleh sapukan daun itu dengan sedikit minyak kelapa.

“Bagi mereka yang luka di tangan atau kaki, daun tersebut bolehlah dijadikan pembalut ataupun dipupuk pada bahagian tertentu bagi ibu-ibu lepas bersalin,” ujar Tajuddin.

Bagi mereka yang menghidap bisul, sakit gigi atau gusi, daun yang telah siap dilayur dan masih panas-panas suam perlu dipupuk di bahagian berkenaan berulang kali.

“Mereka yang mengalami pening kepala, cara yang sama diamalkan iaitu membalut atau memupuk daun tembaga suasa yang telah dilayur ke kepala,” kata beliau.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas, maklumat, pandangan dan pertanyaan boleh mengemukakannya menerusi e-mel herba@utusan.com.my.

Next Page »