TOKOH


Walaupun orang Betawi dikatakan agak ke belakang berbanding orang Jawa, Minang dan Madura yang dianggap sebagai kaum pendatang, namun begitu, orang Betawi masih sinonim dengan proses pembangunan yang berlaku di kota ini yang semasa pemerintahan Belanda diberi nama Batavia.

Setelah penjajahan Belanda berakhir, Presiden Sukarno menukar nama Batavia kepada Jakarta kerana nama Batavia tidak begitu sesuai dengan nuansa Indonesia kerana namanya masih berbau Belanda.

Sehingga kini, ahli-ahli sejarah masih belum jelas asal-usul masyarakat Betawi ini sama ada nama Betawi itu sendiri diberikan oleh Belanda kerana orang Betawi juga digelar sebagai Melayu Jawa kerana bahasa dan budayanya berbeza dengan orang Jawa tulen.

Begitu juga dengan jumlah penduduk Betawi. Tokoh-tokoh Betawi juga tidak mengetahui secara jelas jumlah sebenar penduduk Betawi yang kini tinggal berselerak di beberapa buah kawasan di Jabotabek (Jakarta, Bogor, Tangerang dan Bekasi). Ada yang menganggarkan jumlah penduduk Betawi di seluruh Indonesia kira-kira empat juta dan sebahagian besarnya bertumpu di sekitar Jakarta terutama di Condek, Kampung Melayu, Sawah Besar, Tebet dan Depok.

Liku-liku kehidupan orang Betawi sejak dulu hingga sekarang cukup mencabar terutama dalam menyaingi suku-suku peribumi lain seperti Madura dan Jawa yang dikenal amat gigih dan bijak mencium peluang ekonomi di kota metropolitan ini.

Banyak tanah orang Betawi yang terpaksa dikorbankan atas nama pembangunan sehingga beberapa penempatan baru telah disediakan oleh kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak merasa terpinggir oleh arus pembangunan pesat yang melanda Jakarta.

Menurut seorang bekas pegawai kerajaan dari suku Betawi, Abdul Razak Mohd, 62, walaupun nenek moyang mereka meninggalkan pesan supaya anak-anak dan cucu-cicit mereka tetap mempertahankan tanah warisan mereka, tetapi hakikatnya banyak tanah penduduk Betawi yang berpindah tangan. Bagi orang Betawi, tanah dan tumbuh-tumbuhan adalah identiti masyarakat Betawi yang perlu dipertahankan.

“Nenek moyang boleh berpesan tetapi anak-cucu mereka tidak dapat menahan jika ada tawaran harga yang lumayan,” kata Abdul Razak yang kini aktif sebagai ahli jawatankuasa Masjid Al-Hijrah, Condek.

Setelah bersembang seketika di pekarangan masjid, Abdul Razak mempelawa penulis meninjau perkampungan yang didiami oleh orang Betawi yang menurut beliau ada ciri-ciri khas yang tetap dijaga oleh suku kaum ini.

“Walau sekaya manapun orang Betawi, mereka akan memastikan rumah mereka redup dengan pokok-pokok buah-buahan kerana mereka tidak lupa bahawa nenek moyang mereka adalah daripada masyarakat petani,” jelasnya bangga.

Tidak hairan, di beberapa perkampungan moden Betawi di sekitar Condek, suasananya lebih tenteram dan sejuk kerana banyaknya pohon-pohon terutama pohon duku, rambutan dan salak.

Keistimewaan lain yang dimiliki oleh orang Betawi adalah loghat bahasanya yang lebih berupa bahasa Melayu pasar atau Melayu rojak. Loghat bahasa Betawi kini begitu meluas digunakan oleh warga kota ini termasuk dalam drama-drama televisyen.

Sebelum ini khabarnya loghat Betawi hanya dianggap bahasa pinggiran tetapi berkat usaha pelawak, pelakon dan penyanyi terkenal, Benjamin Sueb atau lebih dikenali sebagai Benjamin S (kini Allahyarham), loghat bahasa Betawi menjadi ikut-ikutan oleh para remaja dari golongan menengah dan elit.

Sepanjang penglibatannya dalam seni, Benjamin menjadi seperti hero bagi masyarakat Betawi. Kejayaan artis ini dalam dunia hiburan di Indonesia bukan saja kerana bakat semula jadi yang ada pada dirinya tetapi kemampuannya menampilkan suasana Betawi dalam ekspresi seninya. Benjamin begitu berjaya mengangkat loghat bahasa dan budaya Betawi ke tengah-tengah masyarakat Indonesia dengan loghat Betawinya.

Walaupun Benjamin S mungkin dilahirkan untuk menjadi pelawak, orang Melayu Betawi memang dari generasi ke generasi dikenal sebagai kaum yang dalam kehidupan harian mereka gemar berjenaka kerana jika tidak lucu pun, orang yang mendengar loghat mereka menganggapnya lucu.

“Bukan orang Betawi namanya jika tidak pandai melucu,” kata Abdul Razak. Kelucuan bagi orang Betawi seolah-olah membangun optimisme dalam menghadapi kehidupan.

Loghat Betawi banyak menggunakan huruf ‘e’ di hujung perkataannya seperti “Abisnye ni harte bande kita nyang begini luber siape nyang bakal urusin (Habisnya ini harta benda kita yang begini banyak siapa yang bakal mengurusnya) dan “Dasar lu!… tobangke gile (tobangke merujuk kepada orang tua bangka dan gile pula merujuk kepada gila).

Begitu juga dengan kepala menjadi kepale, ngomong-ngomong mahunye ape sih (bicara-bicara mahunya apa), kalu begini terus-terusen, lame-lame gue bise mati bediri, nih (kalau begini terus-menerus, lama-kelamaan saya boleh mati berdiri, nih).

Bagi menggalakkan orang Betawi bekerja keras mencari rezeki, alim-ulamanya sering memainkan pantun yang berbunyi, “Ya Allah ya Rabbi, nyari untung biar lebi, biar bise pegi haji, jiarah kuburan Nabi (Ya Allah Ya Rabbi, cari untung biar lebih, agar boleh pergi haji, ziarah kuburan Nabi).

Selain Benjamin, tokoh lain yang menyebarluaskan penggunaan loghat Betawi sebagai bahasa Melayu pasar yang digemari oleh warga Jakarta adalah penyair besar Chairil Anwar dan wartawan terkenal, Firman Muntaco. Chairil walaupun bukan dari suku Melayu Betawi tetapi sering menampil loghat Betawi dalam karya seninya.

Begitu juga dengan Firman Muntaco yang kolum popularnya “Gambang Djakarte” dalam sebuah akhbar terbitan tahun 1960-an menggunakan sepenuhnya bahasa Betawi.

Melalui kolumnya itu, Firman menceritakan keadaan kehidupan masyarakat ketika itu dalam humor Betawi sehingga kolumnya itu berjaya menaikkan jumlah cetakan akhbar Berita Minggu kepada 400,000 naskhah iaitu satu jumlah amat besar pada zaman itu berbanding akhbar terbesar sekarang iaitu Kompas dengan cetakan sebanyak 800,000 naskhah.

Orang Melayu Betawi juga tidak segan jika kehidupan mereka sebagai penduduk asli Jakarta yang terpinggir didedahkan termasuk menerusi media massa.

Oleh kerana itu, apabila artis Rano Karno menerbitkan drama bersiri paling popular berjudul, Si Doel Anak Sekolahan yang mengisahkan keperitan hidup keluarga Betawi yang hidup merempat di tanah asal nenek moyang mereka, orang Betawi tidak merasakan satu penghinaan tetapi sebagai peniup semangat.

Perwatakan Si Doel (lakonan Rano Karno) adalah cermin kepada kegigihan seorang anak muda Betawi yang berjuang dengan keperitan sebelum akhirnya berjaya memasuki sebuah universiti di Jerman dan menceburkan diri dalam perniagaan.

Sebenarnya, watak yang dibawa oleh Si Doel itu juga adalah gambaran sebenar mengenai kehidupan yang dilalui oleh kebanyakan penduduk Betawi di kota ini yang semakin ramai mendekatkan diri mereka dalam dunia perniagaan.

Sikap orang Betawi yang tidak berdendam dan tidak suka bermusuhan turut menjadi faktor pendukung kenapa orang-orang Cina lebih senang bersahabat dengan orang Betawi.

Bukan sesuatu yang menghairankan jika banyak unsur kecinaan terdapat dalam bahasa dan budaya orang Betawi. Dalam menjalin hubungan itu, orang Melayu Betawi banyak belajar selok-belok berniaga daripada orang Cina yang menurut pandangan orang Betawi, “Orang Cina amat pinter berniaga.”

Belajar daripada sikap orang Cina itu, orang Betawi semakin pintar berniaga dan lebih cenderung bekerja sendiri daripada makan gaji dengan pemerintah. Apabila usia anak lelaki sudah menganjak remaja, ibu bapa mereka sudah mula menyindir agar anak-anak mereka pandai-pandailah mencari wang sekolah sendiri.

Itulah caranya orang tua Betawi mengajar anak mereka agar cepat berdikari seperti yang dilakukan oleh orang Minangkabau.

Berdasarkan pemerhatian juga, suasana di perkampungan orang Melayu Betawi juga lebih menonjol nilai keislamannya. Ini berdasarkan kepada banyaknya terdapat masjid, sekolah pondok (pesantren) dan kedai-kedai yang menjual barangan dari Timur Tengah.

Ini diakui sendiri oleh Abdul Razak yang memberitahu bahawa masyarakatnya amat menekankan soal agama dalam kehidupan harian.

“Perkampungan masyarakat Betawi juga lebih aman daripada kegiatan jenayah dan orang luar juga berfikir banyak kali untuk melakukan jenayah di kampung kami kerana orang Betawi sangat akrab hubungan sesama mereka,” katanya.

Mengenai tokoh-tokoh besar Betawi, beliau berkata, selain memiliki ulama besar seperti Guru Mansyur, Haji Aseni dan Kiai Nur Ali, masyarakat Betawi juga berbangga dengan beberapa samseng yang ditakuti pada akhir abad ke-19 seperti Si Pitung dan Puasa.

Menurut Abdul Razak, dalam masyarakat Betawi, semua orang hebat seperti ulama dan samseng digelar “jagoan” (jaguh). Si Pitung walaupun menjadi kaki pukul terkenal di zamannya tetapi ia masih dianggap pahlawan kerana dia turut memainkan peranan besar dalam menentang musuh masyarakat Betawi termasuk penjajah Belanda.

Ulama masyarakat Betawi juga bukan setakat alim dalam hal keagamaan tetapi juga jaguh dalam dunia persilatan. Oleh kerana itu, masih ramai orang Betawi sehingga kini menggelar ulama mereka dengan panggilan jagoan.

Sebagai penghormatan kepada penduduk asal kota ini, setiap kali perayaan menyambut ulang tahun Jakarta atau penggantian gabenornya, tarian Betawi akan menjadi tarian pembuka tirai selain diadakan pertandingan abang dan nona Jakarta yang disertai oleh jejaka kacak dan gadis cantik dari suku itu.

Walaupun Allahyarham Benjamin sudah tiada, pantun yang terselit dalam salah satu lagunya masih mencuit hati rakyat Indonesia yang antara lain berbunyi, “Dang-dang tut, akar galing-galing, siape yang kentut, ditembak raje maling (raja pencuri).”

“Selain Benjamin, artis yang masih menjadi idola kami adalah P. Ramlee. Orangnya lucu tetapi telah lama filem P. Ramlee tidak dapat lagi ditonton di Indonesia,” kata Abdul Razak menamatkan perbicaraan dengan penulis sehari sebelum sambutan Aidiladha lalu. – MINGGUAN

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA lengkap ‘Tuan Kisa-i’ ialah Syeikh Muhammad Amrullah Tuanku Abdullah Saleh. Beliau inilah yang melahirkan dua orang tokoh besar di dunia Melayu. Yang seorang ialah anak beliau sendiri, Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah. Dan yang seorang lagi ialah cucu beliau, Syeikh Abdul Malik Karim Amrullah. Cucunya sangat terkenal walaupun tanpa melalui pendidikan tinggi formal dan diberi gelaran Professor Doctor (Prof. Dr.). Cucunya itu lebih dikenali sebagai ‘Prof. Dr. Hamka’ atau nama mesra yang dipanggil orang, ‘Buya Hamka’.

Saya sempat bertemu Buya Hamka pada Februari 1971 di rumahnya di Kemayoran Baru, Jakarta. Selain hampir semua karangan beliau sempat dibaca, saya juga berpeluang mendengar ucapan lisan beliau secara berdepan.

Apabila kita menyelusuri karakter ketiga-tiga mereka, bermula dengan perjuangan datuk (Tuan Kisa-i), ayah (Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah) dan cucu (Buya Hamka) secara global dalam penyebaran Islam, kita akan menemui persamaan.

Walau bagaimanapun, pegangan dalam pemahaman dan langkah-langkah perjuangan mereka terdapat perbezaan-perbezaan yang begitu ketara. Tuan Kisa-i tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum Tua’, tetapi pada zaman beliau istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ belum tersebar luas.

Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan ‘Kaum Muda’. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh.

Buya Hamka sukar dinilai orang, kerana dalam beberapa tulisan kadang-kadang mengecam ‘Kaum Tua’, kadang-kadang membenarkannya. Demikian halnya dengan ‘Kaum Muda’. Bahkan dalam penilaian tasawuf,

Buya Hamka adalah bersifat sederhana. Buya Hamka sebagai seorang ‘ilmuwan’ perlu ditempatkan pada tempat baik dan bijak, namun tidak dapat dinafikan ada golongan ‘Kaum Tua’ menyetujuinya di tengah-tengah ramai ulama yang mengecam beliau. Demikian halnya pihak ‘Kaum Muda’ lebih ramai yang menyetujuinya terutama setiakawan dalam satu organisasi Muhammadiyah. Sungguhpun demikian, pihak ‘Kaum Muda’ ada juga yang tidak bersetuju dengan jalan pemikiran Buya Hamka.

Asal usul

Artikel ini tidak memfokuskan kepada Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah dan Buya Hamka tetapi menjurus kepada kisah Tuan Kisa-i atau Syeikh Muhammad Amrullah yang lahir pada malam Khamis 6 Rejab 1256 H/4 September 1840 M. Beliau wafat pada 1327 H/1909 M. Sebagaimana telah disebut di atas, nama ayahnya ialah Tuanku Abdullah Saleh. Tuanku Abdullah Saleh digelar ‘Tuanku Syeikh Guguk Katur’ dan digelar juga ‘Ungku Syeikh Tanjung’. Beliau ialah seorang alim murid Abdullah Arif. Abdullah Arif digelar juga dengan nama ‘Tuanku Pariaman’ dan ‘Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo, IV Koto’.

Buya Hamka menulis, yang didengar daripada ayahnya, tentang Tuanku Abdullah Saleh: ‘’Kata ayah saya: ‘Engku Syeikh Suku Tanjung atau Tuanku Guguk Katur itu adalah seorang ulama yang sangat besar perhatiannya kepada Ilmu Tasawuf sehingga kitab Hikam Ibnu ‘Athaillah beliau hafal di luar kepala. Beliau pun seorang cerdik ahli adat, sehingga bukan saja urusan agama yang ditanyakan orang kepada beliau, bahkan juga urusan adat’. Tambah ayahku pula: ‘Pelajaran Imam al-Ghazali tentang khalawat sangat termakan oleh beliau Tuanku Syeikh Guguk Katur atau Engku Suku Tanjung itu. Lantaran itu beliau lebih suka berkhalawat di suraunya di Guguk Katur’.’’ (Lihat Ayahku cetakan ketiga, Djajamurni, Jakarta, 1963, hlm. 46.)

Selanjutnya Buya Hamka menulis, ‘’Kepada murid yang soleh inilah tertarik hati gurunya Tuanku Syeikh Pariaman, sehingga setelah anaknya Siti Saerah menjadi gadis remaja, beliau ambillah Tuanku Suku Tanjung itu menjadi menantu.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 46-47.)

Daripada petikan di atas dapat disimpulkan bahawa kedua-dua belah pihak, sama ada daripada pihak ibu mahupun daripada pihak ayah, Syeikh Muhammad Amrullah adalah ulama dan tokoh yang terkenal dalam masyarakat. Datuk beliau, atau ayah ibunya, Abdullah Arif atau ‘Tuanku Pariaman’ atau ‘Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo, IV Koto’ adalah salah seorang yang menyebarkan Islam di beberapa tempat di Minangkabau dan merupakan pahlawan yang gigih melawan Belanda dalam Perang Paderi yang dipimpin oleh Tuanku Imam Bonjol.

Hendaklah diperhatikan bahawa Abdullah Arif yang disebut di sini bukan Syeikh Abdullah Arif pengarang kitab Bahr al-Lahut, penyebar Islam di Aceh pada abad ke-12 dan 13 M. Belum diketahui apakah Abdullah Arif (datuk Syeikh Muhammad Amrullah) keturunan Syeikh Abdullah Arif (di Aceh). Yang dapat dipastikan nama itu serupa bagi mengambil sempena daripada nama Syeikh Abdullah Arif (di Aceh). Ibu Muhammad Amrullah bernama Siti Saerah yang merupakan anak kepada Abdullah Arif, ulama dan pahlawan yang terkenal itu.

Hanya sampai pada Abdullah Arif (daripada pihak sebelah ibu) datuk Syeikh Muhammad Amrullah saja yang dapat diketahui. Daripada sebelah pihak laki-laki pula hanya diketahui nama ayahnya, iaitu Tuanku Abdullah Saleh. Nama lebih atas daripada yang tersebut belum diketahui. Sungguhpun demikian sudah cukup diketahui bahawa kedua-dua ayah dan ibunya itu memang ulama dan tokoh yang cukup besar pengaruh pada zamannya.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal daripada datuk atau nenek sendiri secara tradisi di Minangkabau, Buya Hamka menulis, ‘’Setelah cucunya itu berusia 14 tahun, setelah khatam mengaji al-Quran dengan ayahnya, Tuanku Syeikh Pariaman memesankan supaya cucunya itu dihantarkan ke Koto Tuo, kerana beliau sendiri yang hendak mengajarnya ilmu-ilmu agama. Bersama saudara sepupunya Tuanku Sutan, Muhammad Amrullah belajar Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma’ani, Tafsir dan Fiqh kepada neneknya.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 42.)

Yang disebut oleh Buya Hamka dalam tulisan beliau hanya enam jenis mata pelajaran yang dipelajari daripada datuknya Syeikh Muhammad Amrullah. Saya tidak pasti apa sebab ada dua mata pelajaran yang mesti diajar dalam metod tradisional dunia Melayu dan dunia Islam lainnya pada zaman itu yang tidak disentuh oleh Buya Hamka.

Kedua-dua mata pelajaran yang saya maksudkan itu ialah ‘Ilmu Akidah’ dan ‘Ilmu Tasawuf’. Saya tidak yakin Syeikh Muhammad Amrullah tidak menguasai kedua-dua ilmu yang tersebut kerana pada zaman itu kedua-dua ilmu tersebut merupakan perkara Fardu Ain. Selain itu oleh kerana Syeikh Muhammad Amrullah adalah termasuk salah seorang pengamal Thariqat Naqsyabandiyah, setiap pengamal thariqat mestilah faham ilmu tasawuf dalam erti kata yang syumul. Kerana thariqat adalah bahagian kecil daripada tasawuf.

Apakah kedua-dua mata pelajaran itu memang kurang mendapat perhatian di Minangkabau ataupun datuk beliau Syeikh Muhammad Amrullah telah mempelajari kedua-dua itu daripada ayahnya Tuanku Abdullah Saleh? Tuanku Abdullah Saleh diakui oleh Buya Hamka sendiri dan ayahnya Syeikh Abdul Karim Amrullah tentang beliau hafal kitab Hikam Ibni ‘Athaillah dan suka berkhalawat mengikut anjuran Imam al-Ghazali. Perlu saya tambah bahawa ‘khalawat’ di sini bukan pendapat Imam al-Ghazali, tetapi ulasan lanjut Imam al-Ghazali daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w..

Mengenai guru-gurunya di Mekah, Buya Hamka menulis, ‘’Beliau berguru kepada Sayid Zaini Dahlan, ulama Mekah yang terkenal, dan berguru juga kepada Syeikh Muhammad Hasbullah dan beberapa ulama yang lain. Beliau juga belajar dengan Syeikh Ahmad Khatib dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang usianya lebih muda daripada

beliau. Sayang sekali ayahku tidak memberikan catatan tahun berapa beliau ke Mekah yang pertama itu.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 49.)

Kedua-dua ulama bangsa Arab, Sayid Ahmad Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad Hasbullah, yang disebutkan oleh Buya Hamka di atas adalah guru bagi hampir semua ulama dunia Melayu. Selain Syeikh Ahmad Khatib Abdul Lathif al-Minankabawi termasuk juga Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani. Saya masih meragui tulisan Buya Hamka yang menyebut nama Syeikh Tahir Jalaluddin kerana dalam catatan Syeikh Tahir Jalaluddin beliau hanya menyebut berguru kepada Sayid Umar Syatha. Tentang Syeikh Tahir Jalaluddin belajar daripada Syeikh Ahmad Khatib memang ada banyak sumber.

Kedudukan Syeikh Tahir Jalaluddin sebagai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dapat diketahui daripada surat menyurat timbal balik antara Syeikh Ahmad al-Fathani (di Mekah) dengan Syeikh Tahir Jalaluddin (di Al-Azhar, Kaherah, Mesir). Baik Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi mahupun Syeikh Ahmad al-Fathani, kedua-duanya memang jauh lebih muda daripada Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan Kisa-i).

Pada usia 26 tahun (1282 H/1864 M), Syeikh Muhammad Amrullah telah diberi ijazah dan tugas mengajar oleh datuknya, Abdullah Arif atau Tuanku Pariaman atau Tuanku Nan Tuo di kampungnya. Ilmu-ilmu yang diajarkan, menurut Buya Hamka, ialah Ilmu Tafsir, Fiqh, Tasawuf, dan ilmu-ilmu alat, iaitu Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma’ani, Bayan, Badi’. (Lihat Ayahku, hlm. 48.)

Pandangan

Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan Kisa-i) mengalami lapan kali perkahwinan, dan bilangan kesemua anak beliau ialah seramai 46 orang. Anak beliau adik-beradik seibu sebapa dengan Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah yang disebut oleh Buya Hamka dalam buku beliau, Ayahku, ada seramai tujuh orang. Adik-beradik daripada satu ayah disebut ada 10 orang.

Sungguhpun antara anak dan cucu beliau terdapat beberapa orang yang masyhur namanya, saya tinggalkan saja kerana sudah cukup diwakili oleh Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (anak) dan Prof. Dr. Hamka (cucu) yang kemasyhurannya sangat diketahui ramai pada zamannya.

Kekeluargaan yang sedang dibicarakan ini bukanlah merupakan satu-satunya keluarga ulama dunia Melayu yang dapat mempertahankan beberapa generasi menjadi ulama, tetapi turut berlaku dalam keluarga Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan lain-lain. Bahawa sangat berbahagia dunia dan akhirat bagi seseorang ulama yang berhasil mendidik anak, cucu, dan keturunannya menjadi ulama pula.

Saya berpendapat walaupun Syeikh Muhammad Amrullah, ayahnya Tuanku Abdullah Saleh dan datuknya (ayah kepada ibunya) Syeikh Abdullah Arif berpegang mengikut aliran ‘Kaum Tua’, sedangkan anak beliau Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah dan cucunya Prof. Dr. Hamka dikatakan orang sebagai pelopor ‘Kaum Muda’ atau di pihak yang lain dikatakan pembawa fahaman ‘Wahabi’, namun mereka adalah jauh lebih baik jika dibandingkan anak atau cucu ulama yang tidak berjuang untuk kepentingan Islam.

Menjulang tinggi kemasyhuran nama di dunia ini tiadalah bermakna dan bererti di akhirat nanti sekiranya ia lalai atau tidak mempedulikan kepentingan Islam. Tertipulah ia kerana mendahulukan urusan hidup di dunia yang sekejap, lalu mengabaikan urusan hidup di akhirat yang kekal abadi.

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MAKLUMAT bertulis berupa tulisan tangan dan kitab-kitab peninggalan Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah ini telah ditemui di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, Kalimantan Barat tahun 1998 Masihi. Selain itu jauh sebelum ini, sumber-sumber sahih yang dapat dipercayai diperoleh daripada Tuan Guru Haji Abdur Razzaq. Ulama yang berasal dari Daik, Kepulauan Riau ini wafat di Mempawah, 1978 dalam usia hampir 100 tahun, adalah murid yang terakhir Haji Muhammad Yasin Kedah, saya sempat bergaul dengan beliau sejak tahun 1968 hingga 1978. Daripada beliau banyak diperoleh informasi tentang ulama yang berhijrah dari Kedah ke Mempawah yang diriwayatkan ini. Diriwayatkan bahawa ulama yang berasal dari Kedah itu belajar di Mekah lebih dua puluh tahun. Untuk memenuhi sara hidupnya selama belajar di Mekah, beliau mengambil upah menyalin pelbagai kitab Melayu/Jawi. Yang paling banyak disalinnya ialah kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Salah satunya ada dalam simpanan saya.

Kepercayaan

Mengenai guru Haji Muhammad Yasin Kedah ketika belajar di Mekah, Haji Abdur Razzaq meriwayatkan, “Sewaktu saya akan pergi ke Mekah dalam tahun 1889, waktu itu saya masih kecil, saya dibawa oleh ayah saya menziarah Tok Haji Mat Yasin. Ayah saya adalah murid yang setia dan kepercayaannya. Tok Haji Mat Yasin mengamanahkan berupa kiriman duit yang banyak kepada gurunya di Mekah, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik Fathani, pengarang Mathla’ul Badrain.” Kata Haji Abdur Razzaq, “Tok Haji Mat Yasin adalah termasuk khalifah dan mursyid Thariqat Qadiriyah di bawah jagaan Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Saya kurang pasti apakah beliau menerima langsung daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu ataupun beliau telah dibaiah oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, di antaranya Syeikh Abdul Karim Bantan ataupun Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ataupun Syeih Nik Mat Kecik al-Fathani sendiri.”

Memperlihatkan hal-hal yang tersebut saya berkesimpulan bahawa walaupun Haji Muhammad Yasin dikatakan murid kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, namun umur beliau barangkali tidak berjauhan. Atau sekurang-kurangnya beliau ini adalah murid peringkat terawal ulama yang berasal dari Patani kelahiran Pulau Duyung, Terengganu yang terkenal itu. Kedatangan Haji Muhammad Yasin ke Mempawah, Kalimantan Barat juga adalah ditugaskan oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, bukan kehendaknya sendiri.

MEMBUKA PONDOK

Diriwayatkan bahawa dakwah yang berantai yang dilakukan dari Semenanjung Melayu dan Patani ke Kalimantan Barat yang melibatkan setiap orang yang pergi haji ataupun orang yang sengaja semata-mata untuk belajar ke Mekah memang tahu pasti mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang berlanjutan sampai ke zaman Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Di kalangan sultan ataupun penembahan terutama Sultan/Penembahan Pontianak, Mempawah dan Sambas setiap tahun mengirim surat, barang-barang dan wang kepada ulama-ulama Patani, terutama kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Oleh kerana banyak surat yang diterima daripada tiga kerajaan tersebut maka Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani telah mengutus beberapa orang muridnya berdakwah dan mengajar di Kalimantan Barat. Sedangkan yang telah menunggu di Mempawah ialah Tuan Guru Haji Wan Nik al-Fathani, yang sebelumnya telah dirintis oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adapun Haji Muhammad Yasin Kedah adalah di antara sekian ramai mubaligh dan ulama yang ditugaskan di Kalimantan Barat itu. Manakala Haji Muhammad Yasin sampai ke Pontianak, beliau ditampung oleh Sultan Pontianak yang memerintah ketika itu iaitu Sultan Syarif Yusuf bin Syarif Abdul Hamid al-Qadri (1873 Masihi – 1895 Masihi). Sultan meminta beliau mengajar di istana dan masyarakat Pontianak. Permintaan itu beliau persetujui, namun mengajar di Pontianak tersebut hanya beberapa bulan, kerana pada pandangan beliau mengajar dengan cara menerima gaji adalah mencerminkan kurang tawakalnya terhadap Allah. Haji Muhammad Yasin Kedah lebih suka berdikari daripada diarahkan oleh orang lain. Beliau bermohon kepada Sultan Pontianak untuk melakukan pengembaraan ke utara, maksudnya adalah Mempawah dan Sambas. Pada khayalannya apabila berjalan menuju ke utara adalah bersifat mendaki atau naik ke atas, maka segala cita-cita akan tercapai. Sebaliknya apabila menuju ke selatan adalah bersifat menurun, maka akan menempuh gangguan dan cubaan, kejayaan sukar dicapai.

Tujuan pengembaraan ini ialah mencari lokasi untuk membuka satu institusi pengajian pondok. Beliau berkenan sebuah lokasi yang mempunyai sebuah sungai yang mengalir dan letaknya di tepi laut. Apabila tempat yang demikian ada penduduknya, maka akan lekas berkembang kerana dari pihak laut orang akan datang ke daratan. Tabiat air pula mengalir dari hulu menuju pantai, maka orang akan datang menuju pondok itu mengikut jalan dan tabiat air tersebut.

Hanya dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang enam puluh kilometer, Haji Muhammad Yasin Kedah tidak jadi meneruskan perjalanannya ke utara kerana tempat yang sesuai menurut beliau membuka pondok pengajian itu telah ditemuinya. Tempat tersebut ialah Kampung Kuala Secapah yang merupakan muara sungai Mempawah. Di Sungai Mempawah itulah dahulunya tempat pahlawan Bugis bernama Upu Daeng Menambon mulai melabuhkan perahunya yang kemudian mudik ke hulu kira-kira empat kilometer, lalu membentuk sebuah kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Mempawah.

Kedatangan Haji Muhammad Yasin disambut gembira oleh penduduk kerana sebelum kedatangan beliau ke situ namanya memang sudah sangat terkenal sama ada di kalangan elit kerajaan mahupun masyarakat yang memang fitrahnya mengasihi para ulama. Dipercayai kedatangan beliau ke Mempawah ialah pada zaman pemerintahan Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Shafiuddin (kira-kira tahun 1872 Masihi – 1887 Masihi). Menurut riwayat, Haji Muhammad Yasin membina sebuah rumah yang besar di Kampung Kuala Secapah tersebut, orang pun datang berbondong-bondong kerana menimba ilmu dan berkat kekeramatannya. Dalam waktu yang relatif singkat ada pula yang membuat pondok di sekeliling rumah beliau. Haji Muhammad Yasin Kedah menarik minat masyarakat dengan pelbagai kepandaiannya. Dari sudut kesenian yang bercorak Islam beliau adalah seorang ulama yang pandai bermain Hadhrah. Sampai sekarang masih ada golongan masyarakat Kuala Secapah khususnya dan Kalimantan Barat umumnya pandai bermain Hadhrah yang bersumber daripada Haji Muhammad Yasin Kedah.

Menurut keterangan masyarakat permainan Hadhrah bahawa sanad kesenian itu berasal daripada Syeikh Abu Bakar al-Adani. Selain kesenian shufi berupa Hadhrah Haji Muhammad Yasin juga mengajar pelbagai lagu Barzanji, Nazham dan Burdah. Semua kesenian yang tersebut itu masih belum pupus di Mempawah, Kalimantan Barat terutama sekali Barzanji hampir setiap malam ada saja orang-orang yang mengadakan upacara itu. Bagi murid-murid yang memahami ilmu tauhid, fikah dan tasawuf, beliau tawajjuhkan zikir Thariqat Qadiriyah yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat terkenal diajarkan oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah pada abad ke 19

itu. Semua yang tersebut di atas merupakan pelajaran tambahan sebagai alat penyeru masyarakat yang berminat pada seni. Mata pelajaran pokok yang diajarkan di pondok Haji Muhammad Yasin Kedah tersebut sama seperti pondok-pondok di Patani. Pondok yang beliau asaskan di Kampung Kuala Secapah, Mempawah tersebut merupakan pondok pengajian mengikut sistem pondok Patani yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

DIANGGAP KERAMAT

Oleh kerana Haji Muhammad Yasin Kedah memang seorang yang hebat dalam bidang keilmuan dan banyak pula perkara-perkara menyalahi adat yang dapat disaksikan oleh masyarakat luas dengan mata sendiri pada zamannya, maka beliau dianggap seorang yang keramat oleh masyarakat. Bukti-bukti kekeramatan dan keberkatannya sangat banyak. Menurut cerita masyarakat, sebelum kedatangan beliau, silang sengketa sesama masyarakat sering terjadi, namun setelah beliau datang semua masyarakat tiba-tiba rukun dan damai. Semenjak beliau datang rezeki melimpah ruah, hasil tanaman padi berlipat ganda yang sebelumnya selalu diserang oleh hama, tikus dan air masin menghentam tanaman padi. Demikian halnya juga dengan perkebunan kelapa, selain berbuah lebat harganya juga dijual dengan baik dan memuaskan. Salah satu keistimewaan ulama ini ialah beliau tidak mahu membunuh binatang walau sekecil nyamuk sekalipun. Di kampung tempat beliau membuka pondok itu jika musim angin barat nyamuk sangat banyak. Jenis nyamuknya pula apabila menyengat bisanya sangat berkesan sakit dan gatal-gatal. Bagi orang biasa seekor nyamuk menggigit saja sudah tidak sanggup menahan bisa, tetapi bagi beliau beribu-ribu nyamuk hinggap ke atas tubuhnya beliau biarkan saja, jangankan membunuhnya menghalaupun tidak.

Ketaqwaan
Keramatnya pula, bahawa semua murid yang datang belajar di pondoknya tanpa dikenakan bayaran berupa apapun dan semuanya beliau beri makan dengan belanja kewangan beliau sendiri. Hal ini sangat menghairankan masyarakat kerana tidak diketahui dari mana beliau memperoleh kewangan untuk keperluan perbelanjaan yang tidak sedikit itu. Haji Muhammad Yasin Kedah dengan penuh yakin menyatakan bahawa rahsianya terletak pada ketaqwaan masyarakat dengan memperbanyak ibadat yang pelbagai corak ragamnya. Tetapi di antara amal yang paling penting ialah memperbanyakkan zikrullah dan selawat serta salam ke atas Nabi s.a.w. Apabila dua amalan tersebut telah menjadi darah dan daging, maka pertolongan Allah akan datang di luar dugaan akal manusia, semuanya boleh terjadi. Yang demikian itu mudah bagi Allah, apabila Allah telah meredhainya. Berdasarkan penyaksian masyarakat, Haji Muhammad Yasin Kedah sememangnya banyak melakukan ibadat. Beliau mempunyai bilik khas untuk melakukan ibadat bersendirian selain tempat yang digunakan untuk berjamaah. Di dalam tempat khas itulah beliau banyak mengkhatam zikir nafi dan isbat tujuh puluh ribu kali. Sedangkan zikir dalam berjamaah dilaksanakan sesudah sembahyang lima kali sehari semalam hanya seratus enam puluh kali. Selawat yang beliau amalkan ialah `Salawat Dalail al-Khairat’ yang dibaca setiap hari dan dikhatamkan setiap hari Isnin. Selain selawat tersebut, beliau juga mengamalkan `Salawat Quraniyah’ dan `Salawat Seratus Empat Puluh Sembilan’ yang terdapat dalam Lum’atul Aurad karya Syeikh Wan Ali Kutan, al-Kalantani.

Al-Ghazali merubah aliran falsafah Islam

DENGAN KERJASAMA DAN IZIN UTUSAN PUBLICATIONS AND DISTRIBUTORS SDN. BHD.
Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad lebih dikenali dengan nama Imam al-Ghazali dilahirkan pada 450 Hijrah atau 1059 Masehi di sebuah perkampungan kecil bernama Ghazalah di Thus, Farsi (Iran). Di Barat beliau dikenali dengan nama `Algazel’.

Al-Ghazali memperoleh pengetahuan tentang ilmu Usuluddin dan Fikah Syafie daripada Syeikh Ahmad ibn Muhammad al-Rizkani, dan meneruskan pengajiannya di Jurjan bersama seorang guru, Imam Abu Nasr al-lsma`ili.

Walaupun begitu, guru paling besar dan berjasa kepadanya ialah al-Juwaini, seorang ahli theologi Asy`ariyah yang terkemuka pada masa itu.

Beliau memegang jawatan sebagai ketua di Universiti Nizamiyah, Baghdad selama lima tahun. Di sini beliau memberikan kuliah dalam bidang ilmu hukum dan theologi dengan memperoleh kejayaan yang besar.

Tetapi selama waktu itu al-Ghazali berada dalam keraguan tentang pekerjaannya sehingga akhirnya ia menderita sejenis `penyakit’ yang sukar diubati dengan ubat lahiriyah (fisioterapi).

Akhirnya beliau meninggalkan jawatan sebagai ketua di situ pada tahun 484 H. Kemudian menuju ke Damsyik. Di sana beliau merenung, membaca dan menulis selama lebih kurang dua tahun dengan memilih tasawuf sebagai jalan hidupnya.

Kemudian berpindah ke Palestin dan di sini pun beliau masih tetap merenung, membaca dan menulis dengan menggunakan segala masa yang ada untuk beriktikaf di masjid Baitulmuqaddis.

Setelah selesai mengerjakan ibadat haji, beliau pulang semula ke negeri kelahirannya, Thus. Di sana beliau menjalani kehidupan seperti biasa serta beribadah. Keadaan tersebut berlangsung selama sepuluh tahun, dan pada masa itu beliau menulis buku-bukunya yang terkenal seperti Ihya’ Ulumuddin.

Semasa mencapai usia 25 tahun, al-Ghazali mulai menjadi ketua di bawah pimpinan gurunya, Imam ul-Haramain. Hal ini mengangkat namanya menjulang tinggi, apatah lagi setelah beliau dilantik menggantikan kedudukan gurunya.

Menetap di Naisabur merupakan batu loncatan bagi al-Ghazali untuk meningkat terus menaiki tangga kejayaan sehingga namanya menjadi masyhur.

Sambil belajar, beliau diangkat menjadi Penolong Profesor oleh Imam ul-Haramain. Setelah gurunya meninggal, beliau dilantik menjadi rektor menggantikannya.

Akibat desakan penguasa pada masa itu, al-Ghazali kembali mengajar di sekolah Nizamiyah di Naisabur. Tetapi ia hanya berlangsung selama dua tahun. Beliau kemudian mendirikan sebuah sekolah untuk para fuqaha dan sebuah pusat untuk para mutasawwifin (ahli-ahli tasawuf).

Banyak ilmu yang dipelajarinya dan dalam perantauannya mencari ilmu itu beliau memberatkan kepada ilmu tasawuf, merenung dan memikirkan rahsia alam dan rahsia hidup.

Daripada pemikiran dan penghayatannya itu didapati pegangan utama dalam hidup beragama adalah hidup dengan ilmu dan beramal. Hasil daripada hujah-hujah bernas yang terpancar dalam tulisannya menyebabkan al-Ghazali mendapat gelaran Hujjatul-Islam (Pembela Islam) dan Zainuddin (Hiasan Agama).

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Tehran iaitu pada tahun 505 Hijrah bersamaan llll Masehi dalam usia 54 tahun sebagai tokoh besar dan `arkitek’ perkembangan Islam pada masa-masa seterusnya.

Menurut catatan Sulayman Dun-Ya, karangan al-Ghazali mencapai jumlah sebanyak 300 buah. Hampir keseluruhan kitab karangannya berkisar kepada persoalan keagamaan yang menjadi aspek paling penting yang difikirkannya pada setiap hari.

Beliau mula mengarang semenjak umurnya 25 tahun iaitu sewaktu berada di Naisabur sehingga akhir hayatnya iaitu selama 30 tahun. Oleh sebab itu tidak hairanlah sekiranya buku karangannya menjangkau angka ratusan buah.

Berdasarkan analisis yang dijalankan, Dr. Zaki Mubarak dalam bukunya Al-Al~Akhlaq Indal Ghazali pula menyatakan bahawa secara umumnya Imam al-Ghazali mengarang setiap hari lebih kurang empat halaman.

Walau bagaimanapun, jumlah buku karangannya yang masih tingggal sehingga kini hanyalah sebanyak 65 buah, ditambah dengan 23 buah yang berbentuk pamflet dan empat brosur. Hasil karangannya yang lain banyak dimusnahkan sama ada dibuang ke laut atau dibakar oleh pentadbir pada zaman Tatar-Monggol.

Di antara karya agung yang dihasilkannya dalam bidang ini ialah Ihya’ Ulumuddin (Menghidupkan llmu-ilmu Agama). Buku yang dikarang ketika berusia 50 tahun ini dikatakan menjadi pegangan umat Islam sehingga sekarang. Ia merupakan jalan keluar daripada pelbagai fahaman dan aliran. Ia membicarakan secara tuntas berkenaan jiwa dan agama.

Al-Ghazali yang mengikat dirinya dalam kehidupan sufi juga berjaya membebaskan dirinya daripada beberapa fahaman yang mengelirukan, seperti fahaman hulul (Tuhan bertempat pada manusia) dan wabdatul wujud (kewujudan hanya satu iaitu Tuhan).

Walaupun al-Ghazali menyelar pemikiran-pemikiran yang dikemukakan oleh filosof-filosof sufi terdahulu, namun kadang-kadang beliau masih lagi berpandukan kepada teori-teori yang dikemukakan, seperti teori daripada Plato.

Ini bermaksud al-Ghazali tidak menolak keseluruhan falsafah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh terdahulu tetapi hanya meninggalkan sebahagian yang dirasakan menjauhkan dirinya daripada landasan kebenaran Islam yang hakiki.

Selain itu, al-Ghazali juga tetap mengikut pandangan-pandangan al-Farabi dan Ibnu Sina tentang kejiwaan, juga masih menjadikan Aristotle sebagai panduan dalam karya falsafahnya.

Jelas menunjukkan bahawa al-Ghazali masih mengemukakan fakta pemikiran berkenaan sesuatu pendapat yang ingin dikemukakan, namun setiap fakta yang dikeluarkan tertakluk kepada dalil syarak yang menjadi tunjang utama pemikirannya.

Sesungguhnya kritikan-kritikan al-Ghazali tentang beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa aliran pemikiran yang berlainan, mempunyai hujah yang kukuh.

Malah beliau juga berjaya memberikan suatu kesimpulan dan pandangan lain yang dapat memandu manusia ke arah jalan kebenaran.

Walaupun beliau juga menentang ilmu kalam dan ulama kalam, namun beliau tetap menjadi seorang ulama kalam. Kritikan yang dibuat olehnya hanyalah menyentuh tingkah laku dan pandangan mereka tentang ketuhanan yang seakan-akan menjauhkan diri mereka sendiri kepada jalan yang sebenar.

Kupasan tentang ilmu ketauhidan yang dibuat oleh al-Ghazali dapat menyangkal teori-teori yang dikemukakan oleh sarjana sebelumnya yang sangat terpengaruh dengan falsafah pemikiran Yunani, terutamanya Aristotle dan Plato.

Beliau juga sering dirujuk sebagai model tokoh yang berjaya mengembangkan pemikiran umat Islam sebelumnya agar tidak lagi hanya tertakluk kepada sesuatu ajaran yang akan menjauhkan diri dengan Tuhannya.

Dari aspek positif, kesan jangka panjang yang dibawa oleh al-Ghazali merupakan aset yang paling berharga, terutamanya beberapa pandangan beliau yang berkisar tentang tauhid dan kejiwaan.

Namun, sebagai insan biasa sukar untuk kita mencapai tahap pemikiran seperti al-Ghazali. Hal ini disebabkan pendekatan sufi yang diamalkan telah memandunya mencapai kebahagiaan seperti yang diharapkan.

Misalnya melalui kenyataannya “kesenangan itu ada dua tingkat iaitu kepuasan dan kebahagiaan. Kepuasan ialah apabila kita mengetahui kebenaran sesuatu. Bertambah banyak kebenaran itu, manusia akan merasakan, bertambah ramai orang yang merasakan kebahagiaan.”

Kenyataan ini menunjukan suatu konsep kejiwaan yang bersih dan suci serta perlu ditanamkan demi mencapai kebahagiaannya yang hakiki. Keadaan ini hanya dapat diperoleh melalui taqarrub dengan Yang Maha Esa.

Kejayaan al-Ghazali mengimbangi dan menyatukan semua bidang ilmu yang diperolehnya, meletakkan beliau terkehadapan berbanding ahli falsafah yang lain.

Secara umumnya, al-Ghazali cuba membawa keluar falsafah Islam agar tidak terlalu dibayangi fahaman-fahaman yang bercanggah dengan hakikat tauhid yang sebenar. Namun, pada masa yang sama al-Ghazali masih mengambil kira pendapat tokoh terdahulu dalam aspek-aspek yang masih boleh dijadikannya sebagai panduan. Justeru itu, al-Ghazali dianggap sebagai seorang tokoh reformasi yang berani membawa perubahan dalam aliran falsafah Islam.

Tokoh
Dengan kerjasama dan izin Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
BUMI Turkistan telah melahirkan al-Farabi, seorang ahli falsafah yang begitu agung dalam dunia Islam mahupun Barat.

Pengkajiannya meliputi banyak bidang, daripada disiplin logik dan falsafah kepada ilmu fizik dan psikologi, daripada linguistik dan matematik kepada sains politik dan perbandingan agama.

Al-Farabi merupakan ahli falsafah Muslim yang berpandukan al-Quran dan sunah, bukannya berteraskan ahli falsafah Greek seperti mana yang sering didakwa.

Malahan cara hidup dan berfikirnya dalam dunia keintelektualan, juga berpandukan al-Quran dan as-Sunah.

Abu al-Nasr Muhammad Ibn Muhammad Ibn Tarhan Ibn Awzalagh al-Farabi, lebih dikenali dengan nama Abu Nasr al-Farabi.

Dilahirkan di Wasih, sebuah perkampungan kecil di daerah Farab, iaitu di wilayah Transoxiana, Turkistan sekitar tahun 257 Hijrah/870 Masihi.

Bapanya disebut dalam sumber tertentu berketurunan Farsi, namun keluarganya dianggap berketurunan Turki.

Mereka bukan sahaja bercakap loghat Sogdian atau dialek Turki, malah kehidupan dan tabiat mereka mengikut resmi Turki.

Sarjana mutakhir yang mengkaji al-Farabi, D.M. Dunlop menyatakan yang al-Farabi datangnya daripada keluarga yang dihormati, dan beliau juga dinyatakan sebagai memiliki daya pemikiran yang sangat tinggi sejak awal lagi serta mempunyai kelebihan menguasai hampir kesemua bidang ilmu pengetahuan. Beliau merupakan pengikut Mazhab Syafie.

Selain menerima pendidikan tentang al-Quran, al-Farabi juga mempelajari nahu, kesusasteraan, ilmu-ilmu keagamaan terutamanya fikah, tafsir, hadis dan aritmatik asas.

Kurikulum dan pendidikan tradisional telah menjadi asas kepada al-Farabi hingga ke peringkat yang lebih tinggi kemudiannya.

Di antara tempat-tempat yang menjadi destinasinya dalam menuntut ilmu ialah Bukhara.

Di sini al-Farabi menyempurnakan pendidikan peringkat tinggi dalam bidang fikah dan ilmu keagamaan yang lain.

Di sini jugalah beliau buat pertama kalinya mempelajari muzik.

Sebaik sahaja menyelesaikan pengajian dalam bidang keagamaan, al-Farabi menjadi hakim. Tetapi beliau meninggalkan pekerjaan ini apabila mengetahui bahawa terdapat pengajaran di dalam bidang ilmu falsafah dan kemudiannya menumpukan sepenuh masa dan perhatian dalam mempelajari bidang ini.

Minatnya dalam bidang logik dan ilmu-ilmu falsafah termasuk metafizik mula tercetus semasa pengajiannya di peringkat yang kedua, iaitu peringkat yang lebih tinggi dalam bidang linguistik dan ilmu keagamaan.

Apabila berpeluang mendapatkan buku-buku kajian dan guru dalam bidang itu dengan lebih terbuka, tanpa ragu-ragu lagi al-Farabi meninggalkan jawatan serta tempat tinggalnya bagi meneruskan perjuangan di satu tahap baru dalam penghidupan keintelektualannya.

Tindakan yang diambil ini menandakan permulaan kepada pengembaraan sepanjang hayat yang dedikasi untuk mencari ilmu dan kehidupan kesarjanaan.

Keputusan tersebut membawanya ke bandar-bandar utama dunia Islam.

Di Merv (Khurasan), al-Farabi mula mendampingi pengkajian logik dan falsafah Aristotle di bawah bimbingan Ibn Hailan.

Namun sebilangan sarjana berpendapat, al-Farabi mula mempelajari ilmu logik dan falsafah di Baghdad.

Al-Farabi tiba d Baghdad sekitar tahun 287 Hijrah/900 Masihi dengan mempunyai ilmu yang kukuh dalam bidang logik, setelah mempelajarinya daripada Ibn Hailan di Merv.

Semasa berada di sini, beliau berusaha menguasai bahasa Arab dan memperhambakan daya fikirannya pada ilmu falsafah.

Beliau juga mengajar ilmu logik dan muzik kepada seorang sarjana Baghdad yang terkenal dalam bidang bahasa, nahu dan puisi iaitu Ibn al-Suraj.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Konstantinople, dikatakan al-Farabi juga belajar di Harran di bawah bimbingan Ibn Hailan.

Al-Farabi kembali semula ke Baghdad buat kali kedua dan tinggal di sini kira-kira lebih dua dekad.

Pada masa itu beliau mengabdikan diri mempelajari falsafah, mengajar serta menulis dalam bidang tersebut.

Pada masa itu, al-Farabi mengetahui bahawa Matta Ibn Yunus berjaya menarik perhatian kumpulan penuntut yang besar untuk mengikuti kuliah tentang logik Aristotle.

Al-Farabi tidak melepaskan peluang ini dan menjadi penuntutnya kemudiannya.

Oleh sebab keadaan politik di Baghdad semakin meruncing, al-Farabi mengambil keputusan berpindah ke Damsyik, sebuah kota yang lebih aman.

Beliau menjauhkan diri daripada perebutan politik dan pertikaian agama serta mazhab yang marak di Baghdad pada ketika itu.

Semasa tinggal di Damsyik, al-Farabi bekerja sebagai penjaga kebun pada waktu siangnya dan menumpukan perhatian kepada penulisan dan pembacaan dalam bidang falsafah pada malamnya.

Kemudian beliau lebih banyak meluangkan masa di anak-anak sungai atau di taman yang rendang pohonnya di mana beliau menulis karyanya di sana atau menerima penuntutnya di sana. Beliau tinggal di Damsyik selama dua tahun sebelum berlepas ke Mesir.

Selepas itu beliau ke Damsyik buat kali kedua. Ketika inilah al-Farabi dijemput ke istana di Aleppo oleh pemerintah baru Syria, iaitu seorang putera Hamdaniah bergelar Sayf al-Dawlah.

Tidak lama selepas menetap di Aleppo dan Damsyik, Sayf al-Dawlah mula mengumpulkan cerdik pandai mengelilinginya di istana.

Dalam pertemuannya yang pertama dengan Sayf al-Dawlah, al-Farabi menarik perhatian pemerintah itu dengan kebolehannya dalam pelbagai bahasa, kepakarannya dalam ilmu falsafah dan kebolehannya yang tinggi dalam bidang muzik.

Beliau sangat dihormati oleh penaungnya dan di istana pemerintah inilah al-Farabi menghabiskan hayatnya sebagai seorang cendekiawan.

Al-Farabi hidup dengan cara sufi yang zuhud. Beliau tidak merebut peluang yang terbuka kepadanya sebagai yang di hormati di istana, kecuali mengambil empat dirham sehari dari perbendaharaan sebagai pencen.

Beliau juga tidak mahu mengikuti peraturan berpakaian semasa di istana. Pada sesuatu masa ia akan memakai pakaian seorang ahli sufi atau memakai pakaian orang Asia Tengah dengan topi besar yang diperbuat daripada bulu binatang.

Kemudian pada ketika tertentu pula beliau akan memakai pakaian yang lebih indah daripada orang lain yang datang ke istana.

Al-Farabi menulis lebih 100 karya. Ada sumber yang mengatakan sebanyak 117 buah karya.

Kesemua karyanya ditulis dalam bahasa Arab. Para sarjana sama ada tradisional ataupun moden memuji bahasa Arabnya yang mudah dan jelas, membincangkan sesuatu dalam bentuk prosa falsafah.

Penulisan al-Farabi mencakupi setiap bidang ilmu. Idea beliau juga mempengaruhi dari segi keintelektualan ke atas dunia Islam di Timur dan juga dunia Latin di Barat.

Beliau pernah menghuraikan secara terperinci pandangan tokoh falsafah Aristotle dalam bidang fizik meteorologi dan logik.

Berdasarkan pemikiran intelektual itu, beliau diberi gelaran utama al-Mu’allim al-Thani (guru yang kedua).

Al-Farabi menghembuskan nafas terakhirnya semasa dalam perjalanan dari Damsyik ke Ascalon.

Beliau meninggal dunia di Damsyik pada bulan Rejab 339 Hijrah bersamaan Disember 950 Masihi dalam usia 80 tahun.

usman-awang.jpg

KENANGAN… allahyarham Usman awang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kanan) dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. gambar ini dirakam pada 1999.

——————————————————————————–

Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

SAYA teringat kata-kata seorang teman kira-kira dua bulan lalu. Katanya: “Sebagai manusia, kita harus sentiasa siap. Siap untuk meninggalkan dan siap untuk ditinggalkan.”

Begitulah juga keluarga, kenalan, komuniti sastera dan negara yang memiliki Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang. Mereka harus `siap’ menerima kenyataan bahawa sasterawan ulung itu harus pergi awal.

Pada usia 72 tahun, nafas terakhir Usman dihembus sekitar pukul 12.30 malam 29 November 2001. Maka pergilah insan yang dilahirkan di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor pada 12 Julai 1929 itu.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas zuhur 29 november.

Yang tinggal hanyalah kenangan, budi dan ilmu yang sempat diabadikan.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah nama besar, sejarah serta sumbangan besar yang ditinggalkan oleh Allahyarham Pak Usman untuk negara.

Biarpun beliau sudah tiada tetapi manusia lain akan tetap mengenang seorang Usman yang juga dikenali sebagai Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, U.A. dan Zaini.

Allahyarham adalah sasterawan yang terkenal dalam genre puisi dan drama. Puisi-puisinya diperakukan antara yang terkaya bahasa dan mesejnya, masih dengan santun dan suara Melayu.

Perhatikanlah puisi Kekasih (1971) yang hingga kini tiada tandingannya, sesuai dengan aliran romantisme yang mengalir dalam diri Usman detik itu.

Bagi bangsanya yang bernama Melayu, allahyarham menukilkan puisi Melayu. Puisi itu adalah sejarah yang mengingatkan bangsa Melayu tentang sejarah keagungan mereka, tentang sikap mereka yang boleh memusnahkan bangsa sendiri.

Ini telah terbukti dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang mana Melayu hancur kerana berbalah sesama sendiri. Perhatikan pemerhatian kritis Usman:

Baiknya Melayu itu, tak terbandingkanSegala yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan;

“Dagang lalu nasi ditanakkan

suami pulang lapar tak makan

kera di hutan disusu-susukan

anak di pangkuan mati kebuluran.”

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

begitu luas daerah sempadan

sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

akar budi bersulam daya

gedung akal laut bicara.

Drama-drama Usman juga tidak hanya hidup dengan kata-kata, ia dikukuhkan dengan jiwa yang padu.

Semaklah kembali drama Matinya Seorang Pahlawan, Tamu di Bukit Kenny, Serunai Malam, Malam Kemerdekaan dan muzika cinta Uda dan Dara.

Kedudukan beliau dalam sejarah puisi tanah air boleh diibaratkan sebagai perintis karya yang mempelbagaikan mesej. Daripada rasa cinta sesama manusia, alam, kehidupan sehinggalah menjadi pengkritik politik yang terbaik. Semuanya dilahirkan dalam puisi dan drama.

Ia dimulai dengan puisi Korban Tanah Air yang tersiar pada 7 November 1948. Ini diikuti dengan puisi-puisi yang menarik seperti Bunga Popi, Gadis di Kuburan, Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh dan Salam Benua.

Dramatis Fauziah Nawi mungkin berasa bertuah kerana beliau telah berjaya menyelongkar hati Usman setelah mengadakan pementasan drama Dari Bintang Ke Bintang pada November 1998.

Pementasan itu diadakan sempena memperingati 50 tahun penglibatan allahyarham dalam dunia seni.

Teater puisi arahan Fauziah itu menggabungkan puisi-puisi karya allahyarham dengan gandingan muzik hingga membentuk sebuah cerita yang menarik.

Ini termasuklah pengalaman Usman menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura, menjadi polis semasa penjajahan Inggeris dan kemudian bekerja sebagai wartawan.

Dari Bintang ke Bintang dimulai dengan puisi Dari Bintang ke Bintang dan diakhiri dengan puisi Melayu yang mana tempoh penghasilan karya itu berjarak 38 tahun.

Selain puisi tersebut, Fauziah turut memuatkan puisi lain Usman seperti Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Lurus, Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar, Jebat, Pahlawan Rakyat, Kekasih, Suara Dari Pusara dan Mata Ayah.

Apabila Usman meninggal dunia pada pagi Khamis lalu, Fauziah tentu mengingati Sasterawan Negara itu dengan dada yang tenang. Tidak ramai orang sempat mengenang sumbangan sasterawan besar Malaysia ketika dia masih hidup lagi ketika itu.

PENYANYI lagu puisi tersohor Indonesia, Ebiet G. Ade menafikan dia seorang penyanyi malah katanya, dia tidak pernah menyanyi. Barangkali kenyataan ini agak mengelirukan kerana pada kebanyakan orang Ebiet menyanyikan lagu puisinya.

Tetapi Ebiet menganggap, dia sekadar mendeklamasikan puisinya yang kebetulan dia juga mencipta lenggok iramanya. Gaya mendeklamasi puisi adalah bebas.

Biarpun ada orang menilai di sudut penghayatan dan kesesuaian lenggok suara tetapi itu juga bersifat subjektif.

Ini menunjukkan puisi itu boleh disampaikan kepada khalayak dengan pelbagai kaedah. Selain puisi disampaikan secara teks dalam antologi-antologi (kebanyakannya jarang dibaca), puisi juga wajar tampil dengan medium dan bentuk yang lain.

Dengan tahap membaca rakyat negara ini yang mendukacitakan, maka wajarlah untuk puisi memilih laluan lain untuk sampai kepada khalayak. Seperti Ebiet, dia memilih medium yang mampu dikuasainya iaitu memberi sokongan irama kepada bait puisi.

Kerana itu Ebiet tidak menganggap dia menyanyi sebaliknya mendeklamasikan puisi gaya yang tersendiri. Ini menunjukkan yang penting dalam sesebuah lagu yang dikelaskan sebagai lagu puisi ialah puisi kemudian lagunya.

Lagu puisi memang tidak ada dalam kamus muzik. Puisi adalah puisi. Dan lagu adalah lagu. Tetapi setelah diterima umum dan semua memahami bahawa lagu puisi bermakna puisi yang dilagukan, maka kita boleh menggunakan istilah ini.

Kerana tanpa puisi ia tidak dinamakan lagu puisi, keutamaan harus ditekankan kepada puisi yang hendak dilagukan. Lagu akan mengikut puisi dan penciptaan lagu tidak wajar menenggelamkan puisi. Tanpa lagu, puisi masih boleh berdiri sendiri. Tetapi tanpa puisi, sesebuah lagu tidak dinamakan lagu puisi.

Kumpulan Kopratasa misalnya lebih mengutamakan puisi. Malah mereka sentiasa memastikan agar puisi yang mahu dilagukan tidak ditenggelamkan oleh penciptaan lagu yang kompleks.

Kalau diperhatikan, lagu-lagu puisi yang enak dihayati ialah yang ringkas, moodnya serasi dengan puisi dan lagu harus mempunyai melodi yang juga puitis daripada akar umbi budaya.

Baru-baru ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama RTM telah mengadakan Sayembara Lagu Puisi II di Auditorium DBKL. Hasrat untuk memantapkan kebudayaan kebangsaan menerusi lagu dan puisi memang dialu-alukan.

Ini boleh dianggap sebagai perintis untuk mendorong lebih banyak pencipta lagu menggunakan bahasa irama mereka untuk membawa puisi ke khalayak.

Kuasa melodi yang hebat apa lagi sebagai salah satu medium yang paling berpengaruh dalam budaya popular, melodi sememangnya wajar dimanfaatkan.

Puisi Kekasih karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang tersebar dengan meluas apabila dilagukan oleh Ibrahim Bachik. Atau Tetamu Senja yang telah lama diciptakan oleh Datuk A. Samad Said menjadi popular hingga ke segenap ceruk negeri apabila dilagukan oleh Kopratasa.

Sepuluh peserta yang melayakkan diri ke peringkat akhir itu kelihatan lebih cenderung kepada menonjolkan melodi atau lagu daripada menjadikan lagu sebagai penyokong kepada puisi.

Kecuali beberapa peserta seperti Zubir Ali yang kelihatan memberi laluan yang luas kepada puisi, yang lain agak lebih menampilkan penciptaan lagu daripada puisi.

Biarpun sayembara yang berusia dua tahun ini sebagai perintis tetapi untuk masa akan datang harus ditentukan antara puisi dan lagu.

Pengadil barangkali telah memilih lagu yang baik daripada hukum-hakam penciptaan lagu. Tetapi apabila dikaitkan dengan lagu puisi, kehadiran puisi tidak wajar terabai dalam sesebuah lagu itu.

Secara mudah, lagu puisi tidak membawa sebarang makna kalau dimainkan secara instrumental.

Pencipta lagu Mah Kok Heng telah memberikan sesuatu yang berbeza daripada sembilan peserta lain. Bersandarkan kepada puisi patriotik Pada Tanah Yang Indah karya Samad Said, Mah Kok Heng mencipta lagu yang membawa identiti muzik Cina.

Pencipta ini kelihatan memberikan tafsiran terhadap puisi yang mahu dilagukannya. Usaha-usaha yang seperti ini perlu diberi sokongan supaya lagu puisi menjangkau ruang litup yang lebih luas.

Sekalipun sayembara ini masih terlalu muda tetapi yang penting ada kesedaran untuk memberi alternatif kepada khalayak memilih lagu yang baik untuk dinikmati.

Baik di sini bermakna lagunya enak didengar, liriknya boleh memberikan suatu yang merangsangkan pemikiran.

Tradisi penciptaan lagu di negara ini ialah mencipta lagu terlebih dahulu kemudian mengisikan dengan suku kata yang sesuai tempo lagu itu. Maka dipilihkan kata-kata yang sekadar mempunyai bilangan suku kata yang mencukupi tempo. Tidak hairanlah kalau lirik yang dinyanyikan jarang memberi sebarang makna.

Lirik sewajarnya dibina dengan kata-kata yang puitis, bermakna selain mudah difahami. Lirik adalah puisi. Tetapi kebanyakan lirik lagu-lagu kita hanya kata-kata.

Di sinilah pentingnya dikemukakan lagu-lagu puisi sebagai alternatif kepada yang telah bosan dengan lirik-lirik mudah dan kosong itu.

Tetapi penulis lirik kerap meletakkan keremehan liriknya kerana khalayak. Kata mereka, lirik yang seperti itu diminati. Lirik yang dibina dengan kata-kata yang menuntut sedikit keterlibatan otak untuk menterjemahnya tidak mendapat sambutan.

Benarkah khalayak kita yang pemikiran mereka jauh ke belakang atau penulis lirik sendiri tidak mampu menghasilkan sesuatu yang terkeluar daripada kebiasaan? Kerana itu sayembara mencipta lagu puisi perlu diberi keutamaan untuk mengubah senario muzik tempatan.

Kalau pengaruh lagu boleh membawa puisi keluar daripada lingkungan elitisnya, apa salahnya memanfaatkan seni lagu dan seni sastera untuk satu tujuan iaitu menjadi jambatan antara sasterawan dan khalayak biasa.

e-mel: kuseman@pc.jaring.my

SEBENARNYA Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) satu-satunya satu ‘manusia sastera’ yang menghidupkan sastera Malaysia. Percayalah, tanpa Pak Samad ’sastera dan bersastera’ dalam konteks ‘hidup’ akan sepi dan lesu.

Lihat saja mana sasterawan yang bergerak bebas seperti Pak Samad yang berkarya tanpa ‘ada kasta’. Generasi lama dan baru dilihat sebagai satu kesatuan karyawan yang tidak dipisahkan oleh nama. Sesungguhnya kita banyak berguru dengannya.

Selain itu, tidak ada ‘politik sastera’ dalam diri Pak Samad. Sastera adalah untuk masyarakat dan sastera juga untuk sastera. Percayalah tindakannya untuk bersara daripada menghasilkan karya sastera yang diumumkan baru-baru ini seperti melumpuhkan sendi dan urat sastera yang bergerak (bukan sastera statik). Sastera bergerak adalah hidup sastera statik pula hanyalah di akhbar dan majalah.

Dalam perkembangan kesusasteraan kontemporari Malaysia jasa Pak Samad tidak wajar dipandang dengan sebelah mata sahaja. Sesungguhnya sumbangan penulisan dalam pelbagai genre amat besar.

Tulisan-tulisan kemanusiaan, ketuhanan dan romantisme telah memberi nyawa kepada sastera Malaysia. Pelbagai pendekatan dan gaya penulisan diketengahkan.

Dan, nama Pak Samad sendiri merupakan satu contoh hidupnya sastera di negara ini, mewakili beberapa zaman. Bermula di era pramerdeka, pascamerdeka hingga era pembangunan kini.

Lebih 50 tahun Pak Samad telah mengabdikan dirinya dalam sastera dan tidak sedikit menghadapi zaman jatuh bangun yang begitu memeritkan. Tapi itulah seorang sasterawan besar yang tidak pernah serik menghadapinya.

Tetapi kenapakah seorang sasterawan besar yang sangat sinonim dengan sastera Malaysia tiba-tiba mengumumkan untuk bersara ketika khalayak masih memerlukan sumbangannya?

Persoalannya apakah Pak Samad melihat sastera dan birokrasinya sebagai Shit. Dengan lain perkataan, struktur persekitaran pengkaryaannya merupakan ‘bahang’ yang sukar untuk dihadapi.

Atau mungkin dunia sastera Malaysia hari ini penuh dengan pelbagai kerenah yang begitu memenatkan untuk dihadapi oleh seorang karyawan ‘tua’ berusia 65 tahun seperti Pak Samad.

Mungkin, Pak Samad juga merasakan sudah tiba masanya beliau memberi laluan kepada generasi muda yang lebih sarat dengan pelbagai gagasan dan idea baru.

Juga dapat dipertanyakan, apakah dunia sastera Malaysia hari ini menuntut pembaharuan dalam konteks pengkaryaan. Dengan lain perkataan, aspek-aspek konvensional oleh penulis-penulis seperti Pak Samad sudah ketinggalan zaman.

Ini terbukti dengan karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan Di Mana Setangginya sudah kehilangan baunya untuk dipentaskan di Istana Budaya, berbanding dengan naskhah penulis lain.

Hasilnya naskhah itu dipinggirkan daripada perancangan asal untuk pementasan sempena pembukaan Istana Budaya tahun lalu.

Dan, Pak Samad juga pernah dikecewakan. Dulu beliau kecewa salah satu bukunya terlalu sukar untuk diterbitkan. Namun, akhirnya berjaya juga ke pasaran atas inisiatif Johan Jaaffar.

Sesungguhnya persaraan Pak Samad seperti yang diumumkannya merupakan kehilangan yang tidak mungkin dicari ganti.

Setelah pengunduran ke dunia politik Shahnon Ahmad, keuzuran Usman Awang, usia Abdullah Hussein yang melangkaui 80 tahun dan ‘kehilangan’ Arenawati, sastera tanah air kehilangan terasnya.

Patut dipertanyakan bagaimana dan ke mana hala tuju sastera Malaysia di tangan generasi muda tanpa pemerhatian dunia sastera Malaysia hari ini.

Selepas Al-Amin, sebaiknya Pak Samad buka pondok mengaji al-Quran. itu adalah lebih baik daripada Pak Samad dibebani masalah yang merenyahkan hidupnya itu.

Jika Pak Samad sudah bersara saya cadangkan diwujudkan sebuah kerusi Pak Samad di mana-mana universiti sebagaimana kerusi Za’ba di Universiti Perguruan Sultan Idris.

Shahnon nampaknya sudah meninggalkan dunia sastera dan terjun ke dunia politik. Kita telah kehilangan seorang Sasterawan Negara. Kini, Pak Samad pula akan pergi meninggalkan sastera kerana penatnya.

Saya harap pihak atasan melihatnya. Saya sokong jika ramai sasterawan yang mogok dan mahu bersara kerana mereka telah penat menjerit dan menangis. Mari kita sama-sama buka pondok mengaji al-Quran.

Saya pun rasanya mahu mogok sebab drama saya yang menang, Wayangan Mak Nang sudah hampir 10 tahun tidak terbit!

- WAN AHMAD ISMAIL Kuala Terengganu

Pengaruh muzik Kitaro lebih condong kepada elemen tradisi dan kuno yang digarapkan dengan adunan sedikit moden.

Sebagai pemuzik menggunakan muzik untuk mengekpresikan dirinya dari dalam, Kitaro dilihat lebih menampilkan citarasa muziknya yang tersendiri.

Kitaro bukan Bach, Vialli ataupun Mozart, tetapi gerak hatinya menjiwai muzik, manifestasi muziknya begitu berbeza dengan pemuzik-pemuzik klasik tersohor dunia.

Apresiasi muzik Kitaro lebih condong kepada spiritual dan kemanusiaan. Selain bertindak sebagai pemuzik, beliau mampu mengendalikan apa jua yang ingin diluahkan menerusi persembahan muziknya.

Setiap alunan muzik Kitaro mempunyai pengisian yang mendalam.

Bukan sahaja idea muziknya lebih dipengaruhi dengan elemen-elemen etnik, bahkan Kitaro turut menggunakan sumber semula jadi untuk muziknya.

Kitaro sangat menghormati bunyi-bunyian semula jadi. Baginya, elemen-elemen itu mempunyai maknanya yang tersendiri.

Tidak hairanlah, muzik Kitaro banyak mengabadikan elemen semula jadi seperti air, angin, deruan pasir, hujan dan kicauan burung dan lain-lain yang berkaitan dengan sumber alam. Dalam erti kata lain, muziknya tidak mati.

Di dalam album koleksi terbarunya, The Essential Collection 111, Kitaro mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Di dalam album yang menampilkan koleksi terbaiknya ini, komposisi muziknya terserlah dicipta dengan halus dan tertib, gabungan idea Timur dan Barat.

Koleksi lagunya di dalam album ini mempunyai judul-judul yang unik seperti Man On Fire, Winds of Youth, Jesujoy of Man’s Desiring, Waltz & War, The Bonfire, Gaia dan Holynight.
Selain itu, lagu Oasis, Chant From The Heart, Sacred Journey 11 dan Lord of The Sand, semuanya muzik yang masih segar.

Kitaro mendapat sumbangan daripada komposer dan konduktor Orkestra yang mengiringi persembahannya, Randy Miller dan Sebastian Bach yang sudah sebati dengan aliran muziknya.
Kitaro, nama sebenarnya Masanori Takahashi dilahirkan pada tahun 1953, memulakan kariernya secara serius dengan menyertai kumpulan Far East Family yang diasaskan oleh pemuzik terkenal negaranya, Fumio Miyashita.

Kitaro menimba pengalaman dan bertemu beberapa komposer terkenal di seluruh dunia termasuk Klaus Schulze dari Jerman.

Sepanjang kariernya, pemuzik itu mula merantau ke Laos, Thailand, China dan beberapa negara Asia secara solo.

Dari situ, Kitaro menemui ramuan dan aspirasi muziknya.

Seperti yang pernah dikatanya, “karya saya datang daripada kesedaran yang saya adalah sama seperti seorang peminta sedekah di sebatang jalan di Calcutta.”

Pada Kitaro, beliau tidak menganggap muziknya sebagai muzik dimensi baru. Beliau lebih suka muziknya dikenali dengan elemen-elemen spiritual.

“Semangat, perasaan dan emosi adalah elemen terpenting dalam karya muzik saya,” katanya.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA lengkap ulama ini yang terakhir diperoleh ialah Lebai Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi, ibunya bernama Wan Maryam binti Syeikh Wan Husein bin Syeikh Ibrahim al-Hadhrami bin Saiyid Jamaluddin al-Kubra/Abar al-Jarimi al-Yamani al-Fathani. Riwayat yang terdahulu nama ayah Faqih Wan Musa al-Fathani ialah Hidhir bin Ahmad.

Dalam beberapa tulisan lain penulis, memang pernah penulis nyatakan bahawa mula daripada ayah Faqih Wan Musa al-Fathani hingga ke atasnya, belum dapat kata sepakat periwayat salasilah kerana ada yang meriwayatkan nama datuk neneknya yang pertama sampai ke Patani ialah Syeikh Utsman.

Riwayat lain menyebut Syeikh Abdur Razaq dan lain-lain. Nama Syeikh Utsman dan Syeikh Abdur Razaq diceritakan oleh saudara ipar penulis, iaitu suami Nik Wan Rasyidah binti Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani yang bernama Haji Muhammad Shaghir, Imam Masjid Kampung Membala.

Beliau mendengar cerita daripada beberapa guru di Mekah sekitar tahun 1930-an. Walau bagaimanapun yang tahqiq bahawa datuk neneknya memang termasuk salah seorang penyebar Islam yang pertama datang ke Patani khususnya, dan Asia Tenggara umumnya.

Kedatangan datuk neneknya itu sekurang-kurangnya pada zaman tabien, namun ada diriwayatkan secara bersambung oleh keturunan beliau bahawa kedatangan mereka sejak zaman sahabat Nabi s.a.w lagi.

Menurut penyelidikan penulis, ternyata nama ayahnya Hidhir, yang tersebut itu hanyalah nama gelaran, nama sebenarnya ialah Syeikh Muhammad Shalih al-Jarimi al-Laqihi al-Fathani. Nama orangtua Syeikh Muhammad Shalih yang lengkap ialah Syeikh Ahmad al-‘Aliyi al-Jarimi al-Laqihi al-Fathani atau nama lainnya ialah Ali al-Masyhur al-Laqihi. Namanya yang lain pula ialah Saiyid Ali Nur Alam, juga bernama Ali Nuruddin.

Terdapat beberapa buku meriwayatkan tentang Saiyid Ali Nur Alam memang tinggal di Siam atau Thailand (seharusnya ialah di Patani, bukan Siam atau Thailand yang jauh lebih luas).

Di antara buku-buku yang menyebut perkara itu ialah: Ulama Pembawa Islam di Indonesia dan Sekitarnya oleh Drg. H. Muhammad Syamsu As, pada halaman 81 dan salasilah pada halaman 319. Dinyatakan pada halaman 81, bahawa dia memetik daripada karya R. H Abdullah bin Nuh dari buku berjudul Sejarah Islam di Jawa Hingga Zaman Keemasan Banten, Majlis Ta’lim Al-Ihya, Ciomas-Bogor, 1978, halaman 19.

Buku yang lain pula ialah R. Achmad Rachmatullah Sunan Ampel, disusun oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel ke-527 Surabaya, P. T Bina Ilmu, halaman 33. Dinyatakan sumber dari Lembaga Research Islam Pesantren Luhur Malang.

Lebai Faqih Wan Musa al-Fathani adalah cucu Syeikh Ali al-Laqihi/Ali Nur Alam yang tersebut. Oleh sebab Lebai Faqih Wan Musa al-Fathani telah berhasil membuka suatu kawasan hutan dan kemudian membangun perkampungan pendidikan Islam yang dinamakan Pondok Sena, maka nama beliau sebagai tokoh masyarakat dan ulama yang mengkaderkan masyarakat perlu diperkenalkan.

Selain itu, sangat ramai pula keturunan beliau yang menjadi ulama, tokoh-tokoh pendidik, pejuang, politikus, pengarang dan lain-lain.

Tanpa diduga, penulis berhasil menemui kubur beliau pada 11 Jamadilawal 1415 H/18 Oktober 1994 M, setelah melalui liku-liku penyelidikan mencari kawasan sejak tahun 1970 M (lebih kurang 24 tahun, iaitu dari tahun 1970 hingga tahun 1994).

TAKRIF ISTILAH DAN KAMPUNG YANG DIBERI NAMA OLEH KETURUNANNYA

Mengenai nama ‘Fathani’, ia memang telah lama digunakan oleh orang-orang Arab dan Farsi yang datang ke kawasan itu. Kemudian berdirilah Daulah Islamiah bernama ‘Fathani Darus Salam’.

Dalam salah sebuah manuskrip yang tua Tarikh Fathani yang ada pada penulis, memang tertulis demikian tetapi dalam kebanyakan sejarah Patani versi yang lain, menggunakan tulisan (baca ‘Petani’ atau ‘Patani’).

Oleh itu, untuk mengembalikan nama dalam sebutan yang baku dalam dialek orang Arab dan tulisan pada manuskrip, maka Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang masih satu tali salasilah dengan Faqih Wan Musa al-Fathani dianggap orang pertama menggunakan dalam bentuk (Fathani).

Sesudah itu ditakrif dengan panjang oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, iaitu keturunan lurus dari atas yang ke lima Faqih Wan Musa al-Fathani. Untuk penjelasan yang selengkapnya, boleh dirujuk dalam kertas kerja penulis yang berjudul Tiga Zaman Pembentukan Istilah Ilmu-ilmu Keislaman di Asia Tenggara (Termplan ‘90).

Perkataan ‘al-Jarimi’ yang terdapat pada nama datuk neneknya, bahkan beberapa orang ulama Patani yang lain berasal daripada perkataan ‘al-Jurumi’ atau ‘al-Jurhum’ satu kabilah Arab di negeri Yaman. Keturunan kabilah itulah telah datang ke negeri Patani sebagai penyebar-penyebar Islam. Daripada perkataan itu jugalah sehingga di negeri Patani terdapat satu daerah yang dinamakan dengan ‘Jerim’ atau dalam dialek Patani disebut juga dengan ‘Jering’.

Pada masa dulu, ada juga yang menyebut dengan perkataan ‘Jarumi’ atau ‘Jarum’. Oleh sebab itu, salah seorang ulama Patani bernama Syeikh Idris di Kedah digelar orang dengan ‘Syeikh Jarum’. Kampung Sena dinamakan sedemikian ialah kerana sewaktu Faqih Wan Musa al-Fathani dan pengikut-pengikutnya datang ke hutan itu, sebahagian besar pohon-pohon yang ditemui ialah pohon Sena. Peristiwa membuka Kampung Sena diberitakan sekitar tahun 1560 Masihi.

Kampung Sena merupakan kampung yang sangat luas. Pada masa dahulu, keturunan keempat Faqih Wan Musa al-Fathani bernama Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani yang pernah sebagai Ketua Hulubalang atau Panglima Kaya Fathani Darus Salam memagar sebahagian kecil kampung itu dengan pohon Sena untuk dijadikan pusat pengajian pondok.

Maka beliau memberi nama kampung yang dipagar itu dengan nama Kampung Sena Janjar. Janjar ertinya berjajar-jajar atau berbaris-baris. Peristiwa tersebut terjadi tahun 1233 H/1817 M.

Sesudah itu, Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atas perintah Sultan Fathani Darus Salam membuka sebuah kampung lagi yang dikerjakan secara gotong royong, masih termasuk dalam kawasan Kampung Sena, kampung itu dinamakan Kampung Bendang Daya. ‘Bendang’ ertinya tempat untuk menanam padi sedang ‘daya’ ertinya tenaga atau kekuatan.

Padi yang ditanam secara gotong royong atas tanah Bendang Daya itu digunakan untuk menampung keperluan makan para santeri/pelajar yang masuk memondok di Pondok Sena Janjar. Kemudian di Bendang Daya dibina pula pusat pengajian Islam, dinamakan dengan Pondok Bendang Daya.

Pondok Bendang Daya tersebut pernah menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang teramai pelajarnya di dunia Melayu. Pelajar-pelajar datang dari seluruh dunia Melayu yang membentang dari negeri Cam (dalam Kemboja) hingga ke Kepulauan Indonesia.

KUBUR FAQIH WAN MUSA AL-FATHANI

Dalam bulan Ramadan 1970, penulis dibawa oleh Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail Senawi al-Fathani, salah seorang daripada keturunan Faqih Wan Musa al-Fathani, ke beberapa kuburan lama dan bersejarah di dalam Patani.

Melalui beliau, penulis memperoleh cukup banyak informasi, namun ada yang sempat penulis catat dan ada yang terlalai mencatatnya.

Di antara kubur yang penulis ziarah ialah; Makam Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani di Kampung Bendang Daya. Penulis telah banyak kali menziarahi makam itu. Pada 11 Jamadilawal 1415 H/16 Oktober 1994 penulis menziarah ke Perigi Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Parit Sungai Kerisik, yang berdekatan dengan Perigi Hang Tuah dan Pintu Gerbang Hang Tuah.

Pada hari dan tarikh yang sama juga penulis menziarahi Makam Syeikh Shafiyuddin al-‘Abbasi (Tok Raja Faqih) di Sungai Pandan dan Makam Syeikh Sa‘id al-Barsisa di Tanah Ujung Lidah Kampung Pasai. Dua hari kemudian pada 13 Jamadilawal 1415 H/18 Oktober 1994. Tanpa diduga penulis menjumpai Makam Faqih Wan Musa al-Fathani yang penulis rintis lokasi tersebut sejak 24 tahun yang lalu (1970-1994).

Penunjuk lokasi bernama Tuan Guru Haji Mahmud bin Haji Daud bin Muhammad Shalih bin Ilyas, yang berusia 102 tahun, ketika itu tinggal di Kampung Berahak dalam kawasan Pujut.

Pada hari pertama bertemu dengan Tuan Guru Haji Mahmud (12 Jamadilawal 1415 H/17 Oktober 1994 M) dan di saat perpisahan dengan penulis, beliau menjelaskan bahawa kubur datuk nenek Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani terletak di belakang rumahnya yang asal, iaitu di Kampung Tok Diwa, dalam kawasan Kampung Sena juga.

Kesediaan beliau menunjukkan tempat itu dan desakan bahawa kalau beliau meninggal dunia tidak siapa pun yang tahu tentang kubur itu, maka tanpa menunggu lebih lama, esoknya penulis bersama Ustaz Ismail bin Ishaq dan Mat Pik Bong (Yusuf bin Sulong) mendesak Tuan Guru Haji Mahmud ke kubur yang itu.

Kira-kira 100 meter dari belakang rumah bekas kelahiran Tuan Guru Haji Mahmud, di Kampung Tok Diwa, arah ke sebelah Timur terdapat empat buah kubur yang teratur rapi. Di sekeliling kubur terdapat kebun getah kepunyaan masyarakat, sedang di atas kubur ditumbuhi oleh rumput yang tidak begitu tinggi.

Setiap satu kubur terdiri dua nisan daripada batu asli bukan daripada batu yang telah diproses. Nisan-nisan itu berwarna putih kehijau-hijauan kerana bekas ditumbuhi lumut yang berabad serta tidak dibersihkan. Dipercayai bahawa kubur yang pertama ditemui, yang terletak arah paling ke sebelah barat itulah kubur Faqih Wan Musa al-Fathani.

Setelah bertahlil dan berdoa penulis mewawancara Tuan Guru Haji Mahmud dan beliau menjelaskan berbagai-bagai maklumat yang pernah didengarnya daripada orang tua-tua yang bersambung-sambung sejak dahulu hingga kepada beliau.

Dari kubur Faqih Wan Musa al-Fathani itu kami cuba menuju ke arah Kubur Tok Diwa, riwayat hidupnya masih belum begitu jelas, yang letaknya kira-kira 200 meter dari kubur Faqih Wan Musa al-Fathani.

Perjalanan diteruskan ke kubur Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani di Bendang Daya, yang merupakan ziarah penulis yang ketiga kalinya pada ketika itu.

Perjalanan diteruskan ke Pondok Padang Jelapang yang diasaskan oleh Tuah Guru Haji Ahmad Pauh, murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Ahmad Pauh adalah ayah mertua Tuan Guru Haji Mahmud dan Haji Abdur Rahman atau Tok Guru Padang Ru.

Masjid Pondok Padang Jelapang adalah tempat pertama Tuan Guru Haji Sulong mengumpulkan para alim ulama bermesyuarat untuk memerdekakan Patani daripada penjajahan Siam.

Ketika itu Tuan Guru Haji Ahmad Pauh masih hidup dan merupakan ulama yang tertua di antara mereka. Ulama yang tertua kedua ialah Tuan Guru Haji Muhammad bin Idris Burmin atau lebih popular dipanggil Tok Guru Burmin. Semua ulama yang tersebut adalah termasuk keturunan dari Faqih Wan Musa al-Fathani.

KARYA FAQIH WAN MUSA AL-FATHANI

Hingga data ini ditulis, karya Faqih Wan Musa al-Fathani hanya dua buah, dan sebuah lagi hanya diketahui namanya saja sedang naskhahnya sampai sekarang belum diketemukan. Dua buah yang telah ditemui adalah manuskrip Ilmu Saraf dan Ilmu Mantiq yang ditulis dalam bahasa Arab tahun 1002 H/1593.

Walaupun ditulis dalam bahasa Arab tetapi di bahagian tepi naskhah terdapat juga catatan-catatan dalam bahasa Melayu, namun sangat sukar untuk dibaca.

Karya beliau yang belum diketemukan berjudul as-Shawab fil Bayan, ada disebut oleh Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani dalam salah sebuah karya beliau mengenai usuluddin. As-Shawab fil Bayan belum diketahui adakah ditulis dalam bahasa Arab atau pun bahasa Melayu dan tahun penulisan juga tidak diketahui.

Memerhatikan tahun Faqih Wan Musa al-Fathani menyelesaikan karyanya 1002 H/1593 itu, bererti merupakan karya ulama dunia Melayu yang tertua yang lengkap menyebut nama pengarang dan tahunnya. Ini kerana walau pun diduga sebuah karya berjudul Tarikh Patani oleh Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani ditulis lebih awal tetapi tidak disebutkan tahun penulisannya.

Tambahan pula manuskrip yang diketemukan hanyalah berupa salinan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang diselesaikan tahun 1228 H/1813 M. Risalah berjudul ‘Aqaid an-Nasafi pula, yang dibahas secara panjang oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The ‘Aqaid al-Nasafi memang benar disebut tahunnya 998 H/1590 M tetapi tidak diketahui nama ulama Melayu sebagai penterjemahnya.

Selain itu juga tidak jelas dari negeri Melayu (Asia Tenggara) daerah mana penterjemah risalah tersebut berasal. Oleh itu, karya Faqih Wan Musa al-Fathani yang tersebut adalah penting untuk pengkajian sejarah penulisan keislaman di dunia Melayu.

Next Page »