Ilmu tasawuf membicarakan secara amali bagaimana cara menghayati nilai keimanan dan cara membebaskan diri daripada nifak.

Dewasa ini, ramai umat yang tertarik untuk meningkatkan kefahaman agama lalu menyertai pelbagai kumpulan tarekat. Malangnya, muncul pula perkara-perkara karut dalam amalan tarekat ini.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDDIN ABDULLAH menemu bual bekas pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Musa Fathullah Harun bagi membincangkan isu ini.

Apakah maksud tasawuf Islam?

DR. MUSA: Ada beberapa pertikaian pendapat tentang maksud tasawuf. Ada pendapat mengatakan ia diambil daripada sufi berasal dari perkataan suf (bulu domba). Tasawuf bererti memakai bulu domba.

Golongan ini mendakwa penamaan tersebut disebabkan para sufi menjadikan bulu domba sebagai pakaian mereka bagi menunjukkan kesederhanaan dan jauhnya mereka daripada kemewahan.

Ada yang mengatakan perkataan tasawuf diambil dari perkataan assafah iaitu bangunan yang dibangunkan oleh Rasulullah di sudut Masjid Nabawi. Baginda menempatkan para sahabat yang fakir daripada Muhajirin yang berhijrah ke Madinah tanpa mempunyai sebarang harta. Mereka digelar Ahli Sufah yang hidupnya amat sederhana, sentiasa dalam keadaan berjihad ke medan perang atau beribadat.

Tasawuf Islam pula mempunyai beberapa takrifan. Ini disebabkan ia melalui pelbagai macam peringkat dan keadaan. Setiap definisi pula mungkin hanya menunjukkan kepada sebahagian jawapan tertentu dan tidak merangkumi yang lain.

Bagaimanapun, apa yang jelas, ia mempunyai asas yang dipersetujui iaitu akhlakiat iaitu berkaitan pendidikan jiwa, pengendalian nafsu atau keinginan dan pendisiplinan manusia dengan akhlak yang mulia yang diambil dari Islam. Syeikh Mohamad Zakaria Al-Kandahlawi menyatakan, tasawuf adalah jalan yang dengannya dapat diperoleh sifat ihsan.

Ini kerana Islam itu berdiri atas tiga landasan iaitu akidah, syariat dan ihsan. Ihsan itu adalah kita beribadat kepada Allah seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu, kita kena yakin yang Allah sentiasa melihat kita. Jangan pula kita lupa tugas kita sebagai manusia untuk beribadat kepada Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Az-Zariat: 56.

Apakah sumber tasawuf Islam?

Sumber tasawuf Islam atau Sunni itu adalah Islam sendiri. Secara kasarnya, tasawuf itu terbahagi kepada dua. Pertamanya, tasawuf dini yang menjadi fenomena bersama di antara seluruh agama, sama ada agama samawi atau agama budaya yang ada di Timur. Yang kedua, tasawuf falsafah yang juga kuno dan merupakan peninggalan falsafah Yunani.

Tasawuf adalah akhlak dini yang diambil sumber utamanya dari al-Quran dan sunah. Ia juga diambil berdasarkan ucapan para sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak terkeluar daripada lingkungan al-Quran dan sunah.

Berdasarkan penelitian, jelaslah kepada kita bahawa para sufi telah meletakkan gambaran bagi suluk menuju Allah bermula dengan mujahadah al-nafsi akhlaqiyaan (jihad melawan nafsu dari segi akhlak). Ia kemudian beransur-ansur memasuki tingkatan yang pelbagai yang dikenali sebagai maqamat (jamak makam) dan ahwal (jamak hal) yang berkesudahan kepada makrifat Allah yang menjadi matlamat akhir perjalanan.

Ramai yang bersemangat mendalami ilmu agama lalu menyertai tarekat tanpa menilai dari segi akidah dan syariat. Apa kesan daripada perbuatan sebegini?

Mereka yang memasuki tarekat sebelum mempunyai asas akidah dan syariat yang kukuh tidak akan mencapai ke tahap ihsan. Sebabnya mudah saja. Bagaimana orang yang tidak mengetahui dapat membezakan suruhan dan larangan Allah. Ini akan menyebabkan orang tersebut mudah terpengaruh kepada kesesatan yang dibawa oleh tarekat tersebut.

Kita mesti menyedari jika sejak zaman ribuan ulama termasuk Imam Ghazali dan Imam Sya’rani masih hidup penyelewengan tasawuf sudah demikian hebat, apa lagi zaman kita yang bilangan ulama sudah berkurangan. Sudah tentu penyelewengannya lebih hebat dan lebih banyak tarekat yang sesat.

Mengikut Imam Ghazali, ilmu tasawuf termasuk ilmu jalan ke akhirat yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim. Sayangnya, ia dicemari oleh berbagai-bagai pencemaran seperti penyusupan pandangan ilhadiyah (yang menyimpang daripada agama) yang bertentangan dengan yang dipersetujui oleh ahli sufi Ahli Sunah Wal Jamaah yang terkenal.

Kita perlu mencontohi sikap Imam Sya’rani dalam bab ini. Beliau tidak mahu melakukan sesuatu amalan meskipun dianggap baik oleh sesetengah ulama melainkan setelah nampak jelas kesesuaiannya dengan al-Quran dan sunah.

Ada pengikut tarekat yang mengatakan jika menyertai tarekat, mesti terima apa yang diajar oleh guru atau mursyid. Dengan kata lain, ketepikan akal tentang betul atau salahnya. Benarkah?

Ini adalah sebahagian perkara karut yang sering ditemui yang dinyatakan oleh pengikut tarekat. Begitu juga dakwaan syahadat kebanyakan ustaz atau orang yang tidak memasuki tarekat tidak sah kerana tidak ada guru atau tidak ada salasilahnya.

Dakwaan tersebut jika diterima amat merbahaya. Ia akan memberi jalan kepada setiap orang untuk menetapkan hukum melalui dakwaan yang seumpamanya. Selain itu, ia juga mengandungi tuduhan Rasulullah s.a.w belum menyampaikan kesemua wahyu Allah semasa hayat Baginda.

Ada juga tarekat yang mengajar pengikutnya beribadat hanya dengan niat sahaja tanpa perbuatan. Menurut mereka, ini kerana Rasulullah bersabda sesungguhnya perbuatan itu cukup hanya dengan niat.

Ada di antaranya yang mengatakan tidak perlu belajar ilmu fikah. Mana boleh begitu kerana fikah ialah ilmu yang mengajar syariat iaitu ilmu hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan amalan kita sebagai Muslim.

Saya juga selalu bertanya jika saya memasuki tarekat ini, kemudian saya dapati ada sebahagian atau salah satu amalannya bertentangan dengan syariat, bolehkah saya menyingkirkan perkara yang bertentangan itu?

Sebahagian mereka tidak mahu memberi jawapan yang pasti. Sebahagian yang lain mengatakan tidak boleh. Kata mereka, jika hendak mengamalkan tarekat, maka hendaklah mengamalkan kesemuanya, tidak boleh amal sebahagian tolak sebahagian.

Antara masalah utama memulihkan ahli tarekat yang sesat agar kembali ke pangkal jalan ialah taksub atau fanatik kepada mursyid mereka. Apa puncanya?

Memang benar. Penyakit paling merbahaya menimpa diri seseorang yang menganuti sesuatu jalan atau fahaman adalah taksub atau fanatik. Apabila dihinggapi penyakit tersebut amat sukar untuk membetul atau menyedarkan akan kesalahan serta kesesatannya. Dengan sebab fanatik itu, banyak ahli tarekat yang berkenaan menutup telinga atau langsung tidak mahu mendengar sebarang teguran.

Sememangnya, kita perhatikan bahawa kebanyakan ajaran sesat berusaha mengikat pengikutnya supaya jangan lari. Caranya, melalui perasaan taksub.

Allah mengurniakan kita akal fikiran di samping menurunkan syariat-Nya sebagai panduan. Maka, hendaklah kita menjadikan kedua-duanya sebagai perisai. Kita perlu sentiasa berwaspada dan sesuatu yang diamalkan sekian lama hatta 100 tahun pun kalau salah dari segi agama perlu dibetulkan.

Ini kerana asas tarekat itu tidak boleh lari daripada akidah dan syariat. Jika ada di antaranya yang bercanggah, maka ia sesat dan wajib kita tolak.

Apakah panduan sebelum menyertai tarekat?

Pelajarinya ilmu tasawuf melalui kitab-kitab yang penting seperti Ihya’ Ulumiddin, al-Munqiz Min al-Dalal dan Fadaih al-Batiniah tulisan ulama muktabar seperti Imam Ghazali.

Selain itu, kitab karangan Imam Sya’rani seperti Tanbih al-Mughtarin, Qawa’id al-Sufiyah dan Al-Mizan al-Kubra.

Cuma jangan memasuki tarekat sufiah sebelum memiliki ilmu untuk menilai kesesuaian tarekat tersebut dengan akidah dan syariat.

Kalau mengikut pandangan Imam Ghazali, mereka yang mahu memasuki tarekat ini perlu diuji terlebih dahulu tentang kefahaman mereka berkaitan akidah dan syariat. Bukan main tangkap muat sahaja. Sesiapa yang datang diterima masuk.

Namun, setakat ini saya belum berjumpa mana-mana tarekat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertainya. Pemimpin-pemimpinnya juga masih jauh daripada memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagai mursyid atau guru.

Seorang sheikh tarekat itu mesti menguasai ilmu agama yang mantap bukan sahaja berkaitan syariat seperti usul fiqh tetapi merangkumi bab akidah serta muamalat. Mereka juga perlu menguasai keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunah dan tidak cukup hanya mengetahui satu mazhab sahaja.

Demikian juga dinyatakan oleh Imam Sya’rani bahawa mana-mana mursyid tarekat yang tidak menguasai ilmu akidah dan syariat tidak boleh kita ikuti.

Oleh: SITI MARIAN MD. ZAIN

JIKA masyarakat dunia masih terus dengan sikap mereka yang tidak mahu memelihara alam semula jadi, dijangkakan lebih banyak kematian akan berlaku. Ia bukan sahaja melibatkan tumbuh-tumbuhan, binatang atau haiwan malah manusia sendiri akan terkorban berikutan kerakusan mereka memusnahkan bumi ini.

Menurut laporan agensi berita luar negara, AP, banyak penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis di seluruh dunia mendapati spesies-spesies hidupan terutama tumbuh-

tumbuhan dan haiwan-haiwan liar semakin pupus.

Kepupusan yang ketara dan di luar jangka itu amat mengejutkan ahli-ahli biologi dan ekologi yang menjalankan penyelidikan terbabit.

“Sekurang-kurang 70 spesies katak kebanyakannya yang menjadi penghuni di kawasan pergunungan kini tiada lagi tempat ‘selamat’ untuk dituju akibat berlakunya perubahan cuaca,” kata para saintis.

Hasil kajian juga menyebut, antara 100 hingga 200 binatang atau haiwan yang hidup di tempat-tempat sejuk seperti penguin dan beruang polar kini berada dalam bahaya akibat ancaman berlakunya pemanasan global.

“Akhirnya kita akan melihat spesies-spesies ini mati,” kata seorang ahli biologi dari University of Texas, Camille Parmesan, yang juga penulis kepada laporan penyelidikan tersebut. “Sekarang kita telah ada bukti-buktinya. Ia di sini. Ini bukan hanya gerak hati kami. Ini adalah apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Rujukan beliau terhadap 866 kajian saintifik kesemuanya berkaitan dengan kesan-

kesan pemanasan global terhadap persekitaran telah dihimpun dalam jurnal Ulasan Tahunan tentang Ekologi, Evolusi dan Sistematik.

Antara lain, kesimpulan laporan tersebut menjelaskan, populasi binatang semakin menghala ke arah utara, bunga-bungaan mekar lebih cepat daripada waktunya manakala jumlah serangga dan parasit kian meningkat.

Contoh terbaik katanya, bunga-bunga ceri dan musim menuai bagi anggur semakin awal. Dalam masa sama, ada spesies burung mula bertelur sembilan hari lebih awal berbanding kelaziman ditunjukkan sejak 35 tahun lalu.

“Di barat Antartika, jumlah kelahiran penguin kurang mendadak daripada 300 ekor kepada hanya sembilan ekor sahaja. Manakala jumlah dan berat beruang pola juga menurun dengan ketara,” kata Parmesan lagi.

Mengulas lanjut katanya, keadaan cuaca yang berubah ditambah pula tiada tempat perlindungan yang sesuai sebagai ganti, menyebabkan kira-kira dua pertiga spesies katak yang hidup di tanah tinggi pupus begitu sahaja.

“Kita sedang melihat banyak evolusi berlaku sekarang,” tegas Parmesan.

“Lima tahun lalu walaupun keadaan semasa menampakkan ketidakselesaan, namun krisis kesan pemanasan global terhadap biologi tidak begitu ketara. Sekarang masalah ini begitu dekat sekali,” jelas Douglas Futuyma, seorang profesor ekologi dan evolusi daripada State University of New York, Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjangkakan kanak-kanak yang kini berusia 10 tahun, akan berdepan dengan suhu dunia yang cukup berbeza dan keadaan menakutkan dalam tempat 40 hingga 50 tahun lagi.

Seorang lagi saintis, Prof. Chris Thomas dari University of York, England berkata, masalah yang dibimbangi ini mempunyai bukti-bukti kukuh dan sekiranya tiada langkah-langkah diambil segera, ia akan menjadi lebih parah.

Sementara itu, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) menyebut, perubahan cuaca dunia tanpa wujud usaha untuk mengatasinya boleh meningkatkan kepupusan spesies burung kepada 72 peratus berbanding sebaliknya.

Merujuk kepada kesan rumah hijau, kajian yang dijalankan mendapati, sumber-sumber makanan burung kian berkurangan disebabkan cuaca semakin panas. Malah dijangkakan di kawasan-kawasan Mediterranean yang menjadi tumpuan burung-burung migrasi dari serata dunia berhijrah, akan musnah menjelang tahun 2080.

Bimbang dengan ancaman fenomena baru yang berpunca daripada sikap manusia sendiri, negara-negara maju telah mula mengambil langkah-langkah tertentu ke arah mengurangkan kesan pemanasan global terhadap bumi.

Menteri Alam Sekitar Britain, David Miliband misalnya telah mengisytiharkan ‘perang’ bagi memastikan bumi akan terus selamat untuk diduduki. Malah beliau menegaskan ahli politik perlu faham apa yang berlaku.

“Politik bergerak lebih perlahan daripada sains atau ekonomi. Kita perlu menyuntik momentum baru dalam dunia politik. Tahun depan (2007) adalah kunci ke arah itu,” katanya dalam satu persidangan baru-baru ini.

Benar ahli politik memainkan peranan paling penting dalam menentukan sesuatu arah tuju atau matlamat kerana mereka adalah pembuat dasar. Tanpa kesedaran golongan ini, nasib bumi dilihat akan menjadi lebih buruk lagi.

Hakikatnya, dunia kini memang semakin berubah. Di seluruh dunia, cuaca kian tidak menentu. Ribut, banjir dan kemarau silih berganti. Gempa bumi bukan lagi suatu perkara luar biasa. Laut juga tidak lagi setenang dahulu.

Semua ini mengundang kemungkinan sesuatu yang lebih buruk mungkin akan berlaku sekiranya manusia terus alpa. Sikap mementingkan diri sendiri jelas mengundang bencana. Ironisnya, ia melibatkan semua yang di bumi.

Doktor,
SUAMI saya menghidap penyakit tumor di bahagian mata sebelah kiri. Dia mula-mula mengalami mata berair dan sakit kepala yang teruk, terasa berdenyut-denyut. Suami pernah membuat pemeriksaan mata sebanyak tiga kali di salah sebuah hospital universiti pada tahun 1993 tetapi kini, tidak lagi.

Ini kerana, dia seorang yang terlalu penakut orangnya. Buat masa sekarang, kelopak mata dan kening sebelah kirinya sudah tersembol tinggi dan kelihatan bengkak seperti mata buaya. Saya rasa, tumor yang dihadapinya itu berada pada bahagian belakang biji matanya.

Suami saya ada bertanya dengan kawannya yang juga merupakan seorang doktor mengenai keadaan matanya itu. Menurutnya, sekali pun dibedah, peluangnya adalah 50/50 sahaja dan kemungkinan ia akan berakhir dengan buta. Ini menambahkan lagi kengeriannya untuk menjalani pemeriksaan mata yang sempurna.

Soalan saya doktor, adakah mata suami boleh diubati dengan cara laser di mana- mana pusat rawatan yang menawarkan perkhidmatan sebegitu kerana saya tahu ada beberapa institusi di negara kita yang memang menawarkannya? Ini kerana, suami saya tidak mahu matanya dibedah.

Saya pernah menghubungi beberapa hospital yang menggunakan laser ini tetapi mereka menasihatkan agar saya membawa suami berjumpa pakar mata terlebih dahulu.

- DOLLY

Dolly,

Berdasarkan penerangan yang diberikan, keadaan mata suami puan nampaknya serius. Terdapat pelbagai jenis tumor atau barah yang boleh melibatkan kawasan mata, sama ada di dalam bebola mata ataupun persekitarannya.

Tumor ini boleh jadi tumbuh secara akut atau merebak secara perlahan-lahan seperti di dalam kes yang menimpa suami puan.

Puan tidak memberi penjelasan tentang keadaan penglihatan mata suami puan, sama ada masih seperti dahulu atau sudah kabur kerana salah satu kesan serius tumor pada kawasan mata adalah ia menghimpit saraf optik mata dan boleh menyebabkan kebutaan.

Saya tidak dapat memberikan penjelasan sama ada tumor suami puan ini boleh dirawat secara laser atau bedah ataupun tidak, tanpa membuat pemeriksaan teliti.

Suami puan juga kemungkinan besar memerlukan pemeriksaan CT Scan kepala dan orbit untuk mengetahui saiz tumor dan sejauh mana ia telah merebak.

Apa yang boleh saya sarankan di sini adalah supaya puan membawa suami berjumpa doktor pakar mata dengan segera.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Mata, Hospital Pakar Shah Alam, Selangor.

Doktor,
SAYA ingin bertanya doktor tentang anak lelaki saya yang berusia 2 tahun 3 bulan. Baru-baru ini saya membawa anak bermain buaian di taman permainan. Ketika asyik bermain dalam sekelip mata anak saya terjatuh dari buaian tersebut. Kepalanya terhentak ke tanah. Dia menangis sekejap dan terus tertidur.

Lebih kurang pukul 3 pagi dia bangun dan termuntah, saya dan suami mula panik dan bimbang. Dia terus muntah beberapa kali lagi sehinggalah ke pagi. Dia nampak tidak bermaya namun masih boleh bermain. Kami terus membawanya ke klinik. Saya bercerita apa yang berlaku dan berbincang apa yang patut kami lakukan.

Saya mencadangkan agar dilakukan CT Scan atau sinar x, namun doktor menolak. Kata doktor, perkara ini tidak begitu serius memandangkan anak saya tidak pengsan selepas jatuh, dan masih mahu bermain. Katanya lagi, CT Scan atau sinar x akan meninggalkan kesan yang tidak baik pada kanak-kanak dan ia hanya akan dilakukan jika keadaan benar-benar terdesak.

Doktor menyarankan agar diberi sedikit masa untuk melihat perkembangan anak saya, sama ada dia makin sihat atau sebaliknya. Saya dan suami akur. Doktor memberikan ubat menahan muntah, selepas beberapa kali diberi dia tidak muntah lagi. Rasa bersalah dan bimbang masih tetap menghantui saya. Walau baru berusia 2 tahun, dia selalu bercerita kepada kami yang dia pernah jatuh dari buaian dan menunjukkan tempat dia jatuh kepada kami.

Soalan saya, adakah anak saya selamat dan tiada kesan jangka panjang akibat insiden tersebut? Adakah saya perlu membawa anak saya membuat CT Scan di klinik atau hospital? Saya amat berharap agar doktor dapat memberi penjelasan kerana saya merasa sangat bimbang berikutan kejadian itu. Terima kasih doktor.

- TNTA

Puan,

Lazimnya kecederaan pada kepala jatuh dalam dua kategori iaitu luaran (kulit kepala) dan dalaman yang melibatkan tengkorak, saluran darah dalam tengkorak serta pada otak.

Mujurlah kebanyakan kecederaan kepada kepala hanya mengakibatkan luka kepada kulit kepala sahaja, yang lebih menakutkan sebenarnya daripada membahayakan.

Kecederaan dalaman boleh mengakibatkan masalah yang lebih serius kerana tengkorak itu berfungsi sebagai pelindung kepada otak.

Kecederaan luaran

Puan sebenarnya berkongsi kerisauan dan kebimbangan dengan ramai ibu bapa berkenaan masalah ini.

Hampir semua kanak-kanak dalam lingkungan umur 1.5 hingga 3 tahun pasti pernah terhantuk atau jatuh melibatkan bahagian kepala dan ada pula di antara mereka yang lebih kerap mengalaminya berbanding yang lain.

Jika terdapat sebarang keraguan walaupun nampak remeh, nasihat doktor haruslah diperoleh. Percayalah pada naluri anda!

Perlu diingat bahawa kulit kepala kaya dengan saluran darah dan jika tercedera walaupun dengan luka yang kecil, pendarahan yang banyak mungkin berlaku.

Bengkak berupa telur selalu terjadi selepas kepala terhantuk yang berpunca daripada bendalir atau pendarahan di bawah kulit akibat saluran darah yang tercedera.

Apakah yang harus dilakukan?

Panggil doktor anda jika anak anda seorang bayi atau pun dia telah pengsan walaupun seketika atau, anak anda tanpa mengira umurnya, mempunyai tanda-tanda seperti berikut:

* Tidak henti menangis

* Mengadu sakit kepala dan leher

* Susah hendak dipujuk

* Tidak berjalan dengan biasa

Jika anak anda bukan bayi dan tidak pengsan, aktif dan berkelakuan biasa:

* Letakkan pek ais selama kira-kira 20 minit

* Pantau anak anda untuk 24 jam jika ada sebarang tanda-tanda luka dalaman.

* Jika kejadian berlaku hampir dengan waktu tidur dan jika anak tertidur, periksa anak setiap beberapa jam sekiranya tangan dan kaki bergetar atau terdapat perubahan dalam pernafasan dan warna kulit.

Kecederaan dalaman

Otak kita sebenarnya terapung dikelilingi oleh cecair tetapi suatu hentaman yang kuat ke kepala boleh menyebabkan otak terhentak ke tepi tengkorak atau mencederakan saluran darah. Sebarang kecederaan dalaman seperti kepada tengkorak, saluran darah terkoyak atau kecederaan kepada otak sendiri adalah serius dan bahaya.

Ada beberapa peringkat kecederaan yang memerlukan tindakan berbeza. Adakalanya, sukar untuk menentukan tahap kecederaan. Oleh itu, adalah penting untuk membincangkan tentang kecederaan kepala ini dengan doktor anda.

Tanda yang jelas menunjukkan masalah yang serius adalah pengsan atau mempamerkan ciri-ciri kelakuan yang keliru.

Apa yang perlu diawasi

Dapatkan rawatan segera jika anak anda menunjukkan tanda-tanda berikut:

* Pengsan

* Pernafasan yang tidak normal

* Luka yang serius

* Darah atau cecair mengalir dari hidung, telinga atau mulut

* Percakapan atau penglihatan terganggu

* Saiz anak mata yang berbeza

* Pitam

* Sakit leher

* Sawan

* Muntah lebih daripada dua hingga tiga kali

* Hilang kawalan air kencing dan air besar

Konkusi atau gegaran otak juga merupakan sejenis kecederaan dalaman. Ia adalah satu keadaan di mana terdapat hilang fungsi otak yang sementara akibat hentakan.

Antara tanda-tanda gegaran pada otak adalah muntah-muntah, sakit kepala, penglihatan kabur dan sensitif terhadap cahaya, kepala terasa ringan seperti khayal, sukar menumpukan perhatian dan keletihan melampau.

Konkusi yang berulang boleh menghasilkan kecederaan kekal pada otak. Salah satu dari punca utama konkusi di kalangan kanak-kanak adalah acara sukan-sukan lasak.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi kanak-kanak untuk memakai alat-alat keselamatan seperti topi keledar keselamatan dan sebagainya.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.

ANDA mempunyai sebarang kemusykilan perubatan atau berminat untuk mengetahui lanjut tentang penyakit-penyakit tertentu, terus dari pena pakar?

Menerusi kolum Tanya Dr. Salam@ Kesihatan setiap dua minggu sekali ini, soalan anda akan dijawab oleh pakar-pakar perunding dari Hospital Pakar Shah Alam, Selangor yang terdiri daripada pelbagai bidang.

Cuma, sertakan nama sebenar, alamat, nombor telefon (tidak akan disiarkan) dan nama samaran untuk dihubungi, jika perlu.

Kemudian, alamatkan sahaja segala pertanyaan anda itu kepada Tanya Dr. Salam@Kesihatan, Mingguan Malaysia, 46M Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel, kesihatan@utusan.com.my atau faks: 03-92213752.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ULSER peptik luka terbuka yang terdapat di bahagian dalam lapisan perut, bahagian atas usus kecil atau esofagus, merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh kebanyakan orang.

“Tidak lama dahulu, tanggapan popular mengaitkan ulser peptik dengan cara seseorang itu menjalani kehidupannya. Terlalu banyak tekanan dan terlalu banyak makanan pedas-pedas mungkin menyebabkan seseorang mendapat ulser.

“Tetapi kini, penemuan baru membuktikan bahawa punca kebanyakan ulser di perut dan bahagian atas usus kecil (duodenum) adalah jangkitan kuman atau ubat-ubatan dan bukannya stres atau diet,’’ kata Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, ulser esofageal juga boleh terjadi dan lazimnya dikaitkan dengan refluks asid perut.

Ulser mempunyai nama yang berbeza-beza bergantung kepada lokasinya. Jika terjadi di dalam perut, ia dikenali sebagai ulser gastrik manakala ulser duodenal terletak di dalam bahagian pertama usus kecil atau duodenum.

Sementara itu ulser esofageal mengambil bahagian bawah esofagus dan sering dikaitkan dengan penyakit refluks gastroesofageal (GERD).

Simptom-simptom

Rasa sakit seakan terbakar merupakan simptom biasa bagi ulser peptik. Rasa sakit ini disebabkan oleh ulser dan ia bertambah sakit apabila asid perut terkena kawasan ulser. Rasa sakit ini mungkin:

* Dirasai di mana-mana kawasan dari pusat ke tulang dada

* Mengambil masa daripada beberapa minit ke beberapa jam

* Menjadi lebih teruk apabila perut kosong

* Bertambah pada waktu malam

* Boleh dikurangkan sementara dengan memakan pelbagai makanan yang akan menampan asid perut atau dengan mengambil ubat yang mengurangkan asid

* Datang dan pergi untuk beberapa hari atau minggu

Adakalanya, ulser akan menunjukkan tanda-tanda seperti muntah darah (seakan kemerahan atau kehitaman), darah pekat di dalam najis atau najis yang kehitaman atau seakan tar, rasa mual atau muntah-muntah, hilang berat badan yang tidak diketahui puncanya dan, sakit dada.

Punca-punca

Dr. Abd. Hamid berkata, kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria yang berbentuk ‘cockscrew’ Helicobacter pylori (H.pylori).

“H.pylori tinggal dan bercambah di dalam lapisan mukus yang menyelaputi dan melindungi tisu-tisu di dalam perut dan usus kecil. Ia jarang mendatangkan sebarang masalah.

“Tetapi, adakalanya H.pylori akan mengganggu lapisan mukus, menyebabkan radang serta menghakis tisu-tisu pencernaan yang akan menghasilkan ulser,’’ katanya.

Satu sebab hal ini terjadi adalah kerana mereka yang mempunyai ulser peptik telahpun merosakkan lapisan di dalam perut atau usus kecil, menyebabkan bakteria mudah menceroboh dan menyerang tisu-tisu tersebut.

“H.pylori merupakan satu jangkitan gastrousus yang biasa. Di Amerika Syarikat, satu dalam lima orang di bawah 40 tahun dan separuh daripada mereka yang berumur lebih 60 tahun dijangkiti bakteria ini,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Walaupun caranya merebak tidak begitu dikenalpasti, ia mungkin disebarkan melalui sentuhan intim seperti ciuman, makanan dan minuman.

Walaupun jangkitan H.pylori merupakan punca yang paling biasa bagi ulser peptik, namun ia bukanlah satu-satunya punca ulser. Lain-lain faktor yang memburukkan keadaan:

* Ubat-ubatan mengurangkan sakit. Ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) boleh menyebabkan rengsa pada lapisan di dalam perut dan usus kecil.

* Merokok. Nikotin yang terkandung di dalam tembakau meningkatkan tahap kepekatan asid di dalam perut dan meningkatkan risiko menghidap ulser. Merokok juga boleh memperlahankan pemulihan sewaktu rawatan ulser.

* Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh merengsa dan menghakis lapisan mukus di dalam perut serta meningkatkan jumlah asid perut yang dihasilkan.

* Stres. Walaupun stres sahaja bukanlah satu-satunya punca ulser peptik tetapi ia merupakan faktor yang menyumbang kepada penyakit ulser. Ia memburukkan lagi simptom-simptom ulser peptik dan dalam beberapa kes, mampu melengahkan proses perawatan.

Diagnosis

Pada mulanya, doktor mungkin melakukan sinar X di bahagian atas gastrousus yang menunjukkan esofagus, perut dan duodenum.

“Sewaktu sinar X dilakukan, anda akan menelan cecair metalik berwarna putih (barium) yang akan melapisi trek pencernaan anda dan menunjukkan lokasi ulser yang dialami dengan lebih jelas.

“Sinar X di bahagian atas gastrousus ini mampu mengesan beberapa ulser sahaja, bukannya semua,’’ ujar Dr. Abd. Hamid.

Menurutnya, endoskopi mungkin perlu dilakukan jika keputusan sinar X itu menunjukkan kemungkinan terdapatnya ulser itu, atau jika doktor telah pun melakukan endoskopi terlebih dahulu.

Dalam prosedur yang lebih sensitif ini, satu tiub panjang dan berongga dengan kamera di hujungnya dimasukkan secara perlahan-lahan ke dalam tekak dan esofagus, terus ke dalam perut dan duodenum anda.

Dengan instrumen ini, ujar beliau, doktor boleh melihat bahagian atas trek pencernaan dan mengenal pasti ulser. Jika ada, doktor anda akan mengambil sampel tisu kecil (biopsi) berhampiran lokasi ulser.

Sampel-sampel ini kemudiannya akan diperiksa di bawah mikroskop untuk memastikan ia bukan kanser. Biopsi juga boleh mengesan H.pylori dalam lapisan perut anda.

Selain biopsi, tiga ujian lain yang boleh memastikan ulser yang dialami berpunca daripada jangkitan H.pylori adalah ujian darah, ujian pernafasan dan ujian antigen najis.’

Komplikasi

Jika tidak dirawat, kata Dr. Abd. Hamid, ulser peptik mungkin menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman dan boleh mengakibatkan lubang di dinding perut atau usus kecil.

Ini meletakkan anda dalam risiko jangkitan serius di kaviti abdomen (peritonitis).

Ulser peptik juga akan menghasilkan tisu parut yang boleh menyekat laluan makanan melalui trek pencernaan; anda mudah terasa kenyang atau mengalami muntah-muntah dan hilang berat badan.

Rawatan

Ulser bukanlah suatu penyakit yang boleh dirawat sendirian tanpa pertolongan doktor. Antasid atau ubat penghalang asid hanya memberikan kelegaan sementara.

Jika anda mempunyai simptom-simptom ulser, berjumpalah doktor. Dengan bantuan pakar, anda boleh mendapatkan kelegaan daripada sakit ulser dengan serta-merta dan pulih sepenuhnya.

Disebabkan kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria H.pylori, doktor menggunakan kaedah membunuh bakteria dan mengurangkan tahap keasidan dalam sistem pencernaan untuk melegakan rasa sakit dan mempercepatkan penyembuhan.

Untuk melakukan kedua-dua langkah tersebut, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua atau kadangkala tiga hingga empat daripada ubat-ubatan berikut iaitu antiobiotik, penghalang asid, antasid, pam perencat proton atau agen cytoprotective.

“Jika H.pylori tidak dikesan di dalam sistem anda, kebarangkalian ulser anda berpunca daripada NSAIDs yang mana anda patut berhenti mengambilnya jika boleh; atau asid refluks (ulser esofageal).

“Dalam kedua-dua kes, doktor anda akan mengurangkan tahap keasidan dengan menggunakan penghalang, antasid atau pam perencat proton. Kemungkinan besar anda juga dikehendaki mengambil ubat cycloprotection,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Ulser yang gagal disembuhkan

Peptik ulser yang tidak dapat disembuhkan setelah dirawat dikenali sebagai ulser refraktori.

Ini mungkin berpunca daripada pesakit ulser tidak mengambil ubat mengikut arahan doktor atau terdapat beberapa jenis H.pylori yang kebal kepada antibiotik.

Faktor-faktor lain yang boleh mengganggu proses pemulihan termasuklah penggunaan tembakau, alkohol atau NSAIDs.

Ada ketikanya punca masalah ini adalah secara tidak disedari di mana ramai yang tidak menyedari ubat yang mereka ambil mengandungi NSAIDs.

Dalam beberapa kes, ulser refraktori mungkin terjadi akibat penghasilan asid perut secara berlebihan seperti yang terjadi di dalam sindrom Zollinger- Ellison, jangkitan lain selain daripada H.pylori dan, penyakit pencernaan yang lain termasuk Crohn’s atau kanser.

Rawatan untuk ulser refraktori termasuklah menyingkirkan faktor yang akan mengganggu proses penyembuhan, bersama sukatan ubat ulser yang lebih kuat. Kadangkala, ubat tambahan diperlukan.

Surgeri untuk membantu menyembuhkan ulser hanya diperlukan apabila ulser tidak menunjukkan sebarang tindakbalas terhadap rawatan dadah yang agresif.

Tip penjagaan diri

Sementara ulser sedang dalam proses penyembuhan, anda dinasihatkan mengambil berat tentang pemakanan dan mengawal stres.

Stres mungkin menambahkan asid dan melambatkan pencernaan. Ini menyebabkan makanan dan asid pencernaan kekal di dalam perut dan usus bagi jangkamasa yang lebih lama. Jika stres agak serius, ia akan melambatkan penyembuhan ulser.

Selain itu, pesakit disarankan agar berhenti merokok, tidak mengambil alkohol, elakkan ubat NSAIDs dan mengawal refluks asid dengan cara mengelakkan makanan pedas dan berlemak, elakkan berbaring selepas makan untuk sekurang-kurangnya tiga jam, meninggikan bahagian kepala katil dan mengurangkan berat badan.

Sabda Rasulullah s.a.w

DARIPADA Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w sabdanya: Tinggalkan saya selama saya tinggalkan kamu. Sesungguhnya mereka sebelum kamu telah binasa disebabkan persoalan dan pertelingkahan mereka terhadap para Nabi mereka. Bila saya tegah kamu dari sesuatu, maka jauhilah dan bila saya perintahkan dengan suatu urusan, kerjalah sedaya upaya kamu.

Pengertian

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w mengingatkan supaya mengawasi dari penyakit paling berbahaya yang telah membinasakan mereka yang terdahulu, iaitu pertengkaran dan pergaduhan sesama sendiri. Baginda mengajar supaya mereka menjauhkan diri dari tegahannya dan menjunjung segera setiap perintahnya dengan kemampuan yang ada, tanpa menimbulkan persoalan yang mengganggu ketenteraman umum.

Kesimpulan

Suruhan agama hendaklah dilaksanakan, larangannya hendaklah ditinggalkan. Jangan cuba menimbulkan sesuatu yang tidak diterangkan bukan kerana lupa tetapi semata-mata rahmat dan kemurahan Allah s.w.t kepada kamu.

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Kaki kanan saya seumpama terpelesuk dalam lubang, yang sukar hendak ditarik keluar, biarpun kaki kiri masih di permukaan bumi, tetapi semakin tidak bermaya longlai.

Saya mempunyai isteri yang terpelajar dan berpendidikan agama. Rumah tangga kami asalnya begitu bahagia, tetapi setelah hampir 11 tahun, saya seumpama tidak sedar, macam mana saya boleh jatuh cinta dengan seorang gadis.

Secara berterangan saya memberitahu isteri yang saya ingin mengahwininya. Isteri saya tidak membantah atau setuju, tetapi menyuruh saya menceraikannya.

Masalah besar ialah apabila ibu saya tidak mengaku saya anaknya, kalau saya meneruskan hasrat untuk mengahwini gadis ini. Ibu bersikap demikian mungkin kerana ia merasa betapa akrabnya hubungan kami dua keluarga.

Saya mencari jalan keluar, memutuskan hubungan dengan gadis ini dan rasa amat kesal serta kecewa. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia hiburan, tetapi berakhir dengan kehidupan yang langsung tidak saya duga sama sekali selama ini, iaitu melanggani pelacur kelas atasan.

Saya tahu dosa-dosa besar melakukan zina, tetapi saya benar-benar kecewa, kerana masyarakat memandang serong dan ganjil sesuatu yang halal, iaitu poligami. Tetapi menganggap sebagai “perkara biasa” terhadap dunia pelacuran atau persundalan. Masyarakat Islam perlu memahami hukum Islam yang berkaitan dengan poligami, sebagai satu jalan keluar mengatasi masalah zina. Pendapatan saya lebih daripada sembilan ribu ringgit setiap bulan.

– Lazim, KL

Jawapan: Islam mengharuskan poligami dengan syarat si suami berlaku adil terhadap isteri-isteri yang dikahwini. Adil yang berkaitan dengan harta seperti nafkah, urusan tempat tinggal, makanan, pakaian, giliran bermalam dan sebagainya termasuk yang berkaitan dengan anak. Lumrahnya, tanggungjawab ini di dalam keupayaan manusia.

Masalah utama yang saudara hadapi ialah isteri yang meminta diceraikan kalau mahu berkahwin lagi, manakala keluarga terutama kedua-dua ibu bapa menganggap saudara anak derhaka kalau berkahwin lagi satu.

Islam tidak mensyaratkan poligami mesti dengan izin isteri. Namun adalah sukar biarpun bukan mustahil untuk menyatakan adanya isteri yang boleh memberi izin kepada suaminya berkahwin lagi, biarpun seorang ustazah yang memahami bahawa Islam mengharuskan poligami. Tabiat semula jadi manusia, tidak mahu berkongsi kasih.

Tergambar dalam fikiran bagaimana si suami memadu kasih dengan madunya. Mungkin dalam mengingatinya kepala berdetap menjadi sakit, dunia gelap gelita.

Tindakan suami mungkin boleh dianggap mencabar kesetiaannya selama ini, seolah-olah si suami telah “menduakannya” biarpun poligami itu diharuskan oleh Islam.

Islam tidak menggalakkan berpoligami, tetapi mengharuskannya sebagai salah satu jalan keluar mengatasi masalah seperti ketika isteri uzur, sakit dan tidak berupaya melayani naluri suami. Suami kuat nafsu dan sebagainya.

Namun tanpa alasan seperti ini, sekiranya seorang lelaki itu bernikah lagi, pernikahan itu tetap sah, asalkan semua syarat dan rukun perkahwinan itu dipenuhi.

Banyak orang berkahwin tanpa ada alasan seperti yang dijelaskan atau dorongan seperti ini, lebih-lebih lagi orang yang mempunyai banyak wang seperti saudara. Ia tetap sah dan tidak berdosa andainya sifat adil itu, ada pada diri dan berkeyakinan berupaya melaksanakannya.

Mungkin sukar untuk menyokong sikap seorang suami yang dikatakan menyintai isteri dan anak-anaknya, tetapi dalam masa yang sama bercinta dengan perempuan lain.

Namun begitu, ia bukan mustahil berlaku lebih-lebih lagi bagi orang yang mempunyai selera tinggi, sukakan yang cantik dan muda. Orang seperti ini kadang-kadang pada peringkat awal tidak minat sangat untuk berkahwin lagi, lebih-lebih lagi bagi yang banyak tugas dan sibuk, tetapi kerana naluri dalamannya tanpa disedari bila bermula, dia akhirnya terjebak ketika ‘bermain dengan api atau ombak’, menyebabkan jatuh kasih atau rasa simpati atau ihsan kerana kasih itu tidak ubah seumpama sekam dalam api.

Dalam masa yang sama dia tetap mengasihi isteri yang ada, sayang rumah tangga yang begitu lama dibina, juga anak-anak di rumah.

Izin isteri bukan merupakan syarat kesahihan pernikahan lelaki berpoligami. Bagi orang lelaki yang berusaha untuk berkahwin lagi, tetapi tertahan kerana sebab tertentu, terutamanya untuk mendapatkan keizinan isteri, akan melakukan pelbagia cara untuk melaksanakannya.

Terdapat kes suami menipu isteri untuk menurunkan tanda tangan, kahwin lari ke sempadan, kahwin yang dinikahkan oleh wali perempuan tanpa merujuk ke pejabat kadi dan sebagainya, termasuk melalui sindiket palsu.

Saudara mempunyai keupayaan untuk berkahwin lagi, tetapi terhalang kerana isteri meminta cerai, manakala ibu bapa menganggap saudara anak derhaka.

Tanpa melihat, sama ada pro atau kontra lelaki berpoligami, ketika berhadapan dengan situasi seperti yang saudara hadapi, seseorang itu mesti menghulurkan mesej syarie yang hakiki. Saudara mempunyai keupayaan dari segi kebendaan, seorang yang terpelajar dan mempunyai ciri-ciri sifat adil serta yakin untuk melaksanakannya.

Kerana itu, jalan keluar bagi saudara ialah berkahwin lagi. Dalam kes ini, mungkin dengan kekasih saudara.

Namun, untuk mengelakkan keadaan rumah tangga yang bercelaru dan dianggap anak derhaka, saudara mencari jalan sesat dengan melanggani perempuan jalang dan sehingga sekarang, saudara merasakan amalan itu sebahagian daripada rutin hidup, sebagai budaya mingguan.

Tidak ada statistik membuktikan 99 peratus pelanggan pelacur adalah lelaki yang beristeri. Mungkin anggapan saudara itu ada lojiknya berdasarkan pemerhatian saudara. Dalam masa yang sama, bukan mudah untuk membuktikan anggapan seperti ini benar dan tepat.

Walaupun demikian pemerhatian saudara terhadap apa yang berlaku tidak boleh dijadikan satu hujah atau sokongan terhadap apa yang saudara lakukan, ataupun dijadikan alasan menghilangkan rasa berdosa melanggani pelacur.

Saya tidak membicarakan dosa zina kerana saudara sedia memahaminya, tetapi saudara perlu ingat bahawa berzina itu dosa. Dosa itu najis dan najis itu kotor, yang kotor itu lumrahnya busuk. Bagi orang terlibat dengan dosa zina buat kali pertama dia akan menyesal sama seperti dengan orang yang bersentuh atau terhidu najis.

Dia menjadi tidak menentu, merasa loya atau muntah, tetapi kalau terus berulang, ia menjadi sebahagian hidup, berasa tidak janggal dan tidak seronok kalau tidak melakukan dosa atau berasa asing tidak terhidu najis. Begitu juga dengan peri laku zina yang menjadi rutin.

Saudara terlalu malang andainya mengakhiri sisa-sisa hidup dalam maksiat, ketika menapak kaki melanggani kupu-kupu malam atau menghembuskan nafas di pangkuannya, pada hal saudara seorang yang pernah taat sembahyang, puasa, tidak minum arak dan tidak menerima rasuah. Salah satu ciri insan bertakwa yang tidak mudah dimenangi oleh semua orang.

Kalau benar ada isteri yang lebih rela suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suaminya melakukan maksiat daripada beristeri secara sah, pada hal si suami dapat memenuhi tuntutan berpoligami, ini bererti secara langsung atau tidak langsung dia adalah terlibat dengan peri laku si suami.

Pada hakikatnya, keharusan poligami dan cara penyelesaiannya lebih tertakluk kepada kes yang berbeza. Tuntutan isteri agar diceraikan untuk membolehkan suami berkahwin lagi memang banyak berlaku, memperlihatkan protes atas keinginan suami tadi.

Walaupun demikian mungkin tidak berlaku pada semua orang, terutamanya pada isteri yang uzur, tua, sakit, mempunyai ramai anak dan tidak bekerja. Seperkara lain, biarpun tuntutan cerai itu banyak berlaku, kata putus yang ditetapkan oleh syarak ialah di tangan suami. Mereka yang beriman dan takutkan Allah menggunakan kuasa ini sebaik mungkin kerana isteri itu amanah Allah, yang dihalalkan baginya dengan ikatan perkahwinan.

Biarpun poligami seumpama mencabar kesetiaan seorang isteri, pendapat saudara, poligami sebagai pengorbanan terhadap wanita yang dikahwini terutamanya yang menghadapi masalah anak banyak, keselamatan diri, maruah dan sebagainya memang ada logiknya.

Kerana itu dalam keadaan seumpama itu, ada perempuan yang rela dijadikan isteri kedua. Walaupun, bagi yang meminati gadis muda dan cantik, sukar sedikit untuk merangkumkan perkahwinan seperti ini termasuk dalam kategori pengorbanan, biarpun tidak dinafikan ianya melibatkan pengorbanan.

Perilaku saudara juga seumpama bertindak balas terhadap sikap isteri dan keluarga. Biarpun mereka mempunyai kaitan terhadap tindak-tanduk saudara, dosa yang dilakukan seseorang, tidak akan ditanggung orang lain.

Memang benar seperti yang saudara jelaskan bahawa masyarakat memandang amalan berpoligami itu sebagai sesuatu yang halal tetapi dianggap “janggal” atas sebab-sebab yang saling berkait. Berbanding dengan lelaki yang melanggani pelacur-pelacur, bersekedudukan atau perempuan simpanan kadang-kadang dirasakan orang yang berpoligami itu seolah-olah merobek naluri budaya hidup.

Keadaan ini berlaku atas sebab yang saling berkait, di antaranya ialah kerana penyalahgunaan keharusan poligami. Selain dari itu, poligami diamalkan secara berterangan, secara rasmi pada hal amalan melanggani pelacur, bersekedudukan atau menyimpan perempuan simpanan itu dilakukan secara tersembunyi. Walaupun demikian saya berkeyakinan, masyarakat umum tidak akan memandang serong terhadap suami yang berpoligami yang bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya,

Manusia dalam banyak hal lebih mudah malu kepada jiran-jiran, kawan sekerja dan masyarakat sekeliling berbanding dengan Tuhan yang sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka, sama ada malam atau ketika sunyi sepi.

Tidak mudah untuk menyatakan isteri lebih rela suaminya melanggani perempuan jalang, mempunyai perempuan simpanan atau bersekedudukan daripada suaminya berkahwin lagi. Bagi isteri yang terpelajar, berilmu dan menyayangi suaminya, begitu juga ibu bapa atau keluarga akan merelakan seorang suami itu berkahwin lagi daripada terlibat dengan kancah maksiat.

Masyarakat Melayu Islam tahu, poligami adalah sesuatu yang diharuskan, tetapi sesetengah orang tidak gemarkan amalan poligami kerana sikap atau kelakuan sebahagian daripada mereka yang melakukan poligami atau beristeri lebih daripada satu tidak berlaku adil. Ramai yang berpoligami tetapi kewangannya tidak mencukupi. Ada yang tidak mempunyai kerja tetap malahan hidup di atas tulang empat kerat isteri-isteri yang dikahwini. Ketidakadilan itu juga sering berlaku kerana suami yang berkahwin semata-mata kerana nafsu. Mereka inilah yang menyalahgunakan keharusan yang diberi atau ditetapkan oleh Islam.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila aduan yang dilakukan oleh isteri yang terlibat ke pejabat-pejabat kadi kurang mendapat perhatian kerana kekurangan kakitangan yang terlatih, menyebabkan isteri-isteri terus menerus menderita mencari nafkah diri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lebih rumit apabila ketetapan yang diputuskan oleh mahkamah syariah tidak dilaksanakan. Terlalu banyak punca menyebabkan keharusan poligami menjadi sebagai sesuatu yang menakutkan.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Hari ini kita tentunya berbangga mendengar angka umat Islam mencecah hampir 1.8 billion. Namun, bilangan yang ramai sahaja tidak memadai untuk mentakdirkan mereka sebagai umat yang kuat, gemilang dan terbilang. Sebaliknya, umat Islam hari ini rata-ratanya lemah hingga begitu mudah diperkotak-katikkan.

Antara punca utama titik kelemahan umat Islam hari ini amat terkait dengan senario perselisihan dan perpecahan yang begitu membarah di kalangan mereka. Malah jika diperhalusi, perpecahan yang melanda umat berakar-umbikan kepada penyimpangan dan penyelewengan terhadap ajaran sebenar agama.

Sebab itulah, Allah s.w.t. sentiasa memberi penegasan terhadap kepentingan berpegang teguh kepada akidah yang benar bagi mengukuhkan kesatuan umat (Ali-Imran:103 dan Al-An’am:153). Dalam satu hadis Nabi s.a.w. seorang sahabat Abu Najih Al-Irbadh bin Sariyah r.a. pernah diriwayatkan berkata: Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan nasihat yang menggentarkan hati dan mencucurkan air mata kami.

Lalu kami berkata kepada baginda: “Duhai Rasulullah, nasihat ini bagaikan seseorang yang ingin mengucapkan selamat tingal. Lantaran itu berilah kami suatu wasiat”. Maka baginda s.a.w. bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu agar sentiasa bertakwa kepada Allah Azzawajalla serta teguh menurut perintah dan taat, walaupun orang yang memerintahkan kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya orang yang masih hidup di kalanganmu nanti akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka ketika itu hendaklah kamu berpegang-teguh kepada jalanku dan jalan para Khulafa Ar-Rasyidin yang beroleh petunjuk (dari Allah), gigitlah ia dengan gerahammu. Awaslah daripada perkara-perkara yang diada-adakan. Sesungguhnya setiap bidaah itu menyesatkan”. (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi).

Ini merupakan salah satu hadis terakhir Rasulullah sebelum baginda wafat. Hadis tersebut jelas membayangkan realiti umat Islam akhir zaman yang berhadapan dengan pelbagai penyimpangan dan pertelingkahan.

Sememangnya senario perpecahan di dalam Islam bagaikan roda pusingan dan pasang-surut alunan ombak. Ada ketika umat berada di kemucak walaupun masih wujud riak-riak perselisihan. Tetapi ada kalanya kerajaan Islam hancur akibat penyelewengan dan perpecahan.

Lihatlah sorotan sejarah sejak zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin hinggalah kepada empayar-empayar ternama seperti kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah, Islam Andalusia dan Uthmaniah, semuanya tidak terlepas daripada mengalami pasang-surut kegemilangan dan kehancuran.

Sayyid Muhammad Rasyid Ridho dalam tafsirnya Al-Manar menggariskan empat punca utama yang mencetuskan perpecahan hingga terlahirnya pelbagai firqah atau kelompok di dalam Islam. Ini termasuklah soal politik dan perebutan kuasa, pembelaan kepada keturunan dan warisan, pertelingkahan mazhab dalam soal-soal usul mahupun cabang dan mengolah isu-isu agama dengan hanya menurut rasional akal.

Professor Hamka dalam tafsir Al-Azhar pula menyimpulkan bahawa punca perpecahan sebenarnya amat terkait dengan sikap sesetengah pihak yang cuba membawa masuk unsur-unsur asing ke dalam agama. Lebih buruk lagi apabila timbul taksub dan pelampauan yang keras mempertahankan pendirian hingga akhirnya mencetuskan pertentangan hebat sesama Islam.

Telahan Professor Hamka memang ada benarnya kerana jika diterokai sejarah, pelbagai penyimpangan akidah dan aliran pemikiran seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah, Asy’airiyah, Al-Maturudiiyyah dan banyak lagi kelompok lain pada hakikatnya terbina di atas premis politik dan kerakusan untuk berkuasa. Ini termasuklah ajaran yang diharamkan seperti Al-Arqam.

Kebanyakan kelompok penyimpangan ini cuba mengenengahkan idea-idea pelik dan asing daripada kerangka Islam sejati. Pemimpin-pemimpin kumpulan yang berkepentingan pula memanfaatkan kejahilan umat hingga tergamak memperdaya para pengikutnya dengan mencipta hujah dan mengolah doktrin pemikiran tersendiri termasuklah dalam perkara-perkara yang melibatkan akidah mahupun ibadah.

Umat sering tertipu dengan perwatakan mereka yang pada zahirnya tampak warak, kuat beribadah dan hebat bermuamalah. Namun ibadah dan muamalah mereka tidak ada makna lantaran akar akidahnya sesat lagi menyesatkan. Rasulullah s.a.w. turut menukilkan sifat golongan ini: “Mereka membaca al-Quran namun tidak sampai melewati tulang selangka mereka kerana terkeluarnya agama mereka sebagaimana terkeluarnya anak panah dari sasarannya.”

Keserakahan dan ketaksuban kepada jemaah juga seringkali mendorong mereka mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat bahkan menjual-beli kalimah-kalimah Allah untuk menjustifikasi tindakan dan mempertahan pendirian. Sebab itulah Saidina Ali r.a. pernah menyangkal hujah golongan ektrimis agama dengan kata-katanya: “Kalimah yang hak dipergunakan untuk maksud yang batil”.

Justeru umat harus berwaspada terhadap sebarang unsur penyelewengan yang dicetuskan oleh kelompok berkepentingan seperti ini. Islam tidak boleh difahami secara agak-agakan. Islam tidak harus ditelusuri berasaskan nafsu serakah. Sebaliknya Islam harus ditekuni bersandarkan ilmu yang sahih dan dipelajari melalui guru yang berwibawa dan alim. Hanya berpaksikan ajaran Islam sebenar, umat mampu kembali mencipta kejayaan dan kegemilangan hakiki sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Oleh SAODAH ABD. RAHMAN

SIKAP, corak pemikiran dan tingkah laku umat Islam berubah corak mengikut arus keghairahan negara-negara maju. Ketika umat Islam terdorong ke arah kehidupan berunsurkan dunia mewah dan ghairah, mereka tidak sedar bahawa mereka menghadapi permasalahan kekosongan jiwa sehingga terlupa diri mereka beragama Islam.

Oleh itu tindak tanduk dan tingkah-laku mereka tidak ada bezanya dengan masyarakat lain.

Ketika ini, golongan pendakwah Islam dan umat Islam menjadi kaku kerana keindahan Islam yang sering dilaungkan dan disiarkan di media massa dan elektronik kurang memberi kesan dalam pendidikan masyarakat. Ini didorong oleh sikap dan pemikiran gilakan kemewahan dan keghairahan telah mempengaruhi jiwa dan sanubari mereka.

Perkara-perkara berkaitan dengan keagamaan dan kerohanian lebih peka kepada didikan jiwa secara tenang dan berterusan. Ini adalah merupakan asas kepada ilmu dakwah dalam Islam. Jika pengajaran agama disamakan dengan pengajaran ilmu kebendaan di mana setiap patah perkataan dan tulisan perlu dibayar maka tidak ada bezanya di antara golongan pendakwah dengan pakar motivasi yang memberi panduan bagaimana hendak menjadi kaya dalam kebendaan. Peranan utama pendakwah ialah memperkayakan kerohanian dan jiwa masyarakat. Oleh itu cara untuk memperkayakan diri secara berceramah dan berceloteh sehingga penonton tidak berhenti ketawa adalah bertentangan dengan etika dan akhlak pendakwah Islam.

Masyarakat Islam perlu belajar muhasabah, mengkaji dan mengkritik diri sendiri apabila berlaku sesuatu yang boleh menyebabkan masyarakat Islam berpaling arah kepada agama lain. Kegagalan mereka mengawal dan memelihara masyarakat Islam supaya hidup dalam roh Islam adalah kesilapan diri mereka sendiri kerana terlalu ghairah merasai diri terlalu hebat sehingga terlupa bahawa mereka masih lemah dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kehebatan dan kewibawaan agama Islam tidak akan luput jika umat Islam sentiasa mengkaji kelemahan dan kegagalan mereka dalam memelihara keluarga dan masyarakat. Apabila umat Islam terlalu ghairah mencium kemewahan kebendaan dalam nada jiwa yang kosong, masyarakat beragama di Barat mula mengambil metod dan cara pendakwah Islam untuk memperkukuhkan agama mereka di negara-negara Islam dan ketiga. Masyarakat Islam yang tidak pernah menikmati jiwa beragama akan tertarik dengan personaliti pendakwah agama lain yang memiliki personaliti yang sama dengan personaliti pendakwah Islam masa silam. Perkara seperti ini tidak disedari oleh masyarakat Islam dan pendakwah Islam.

Cara pendakwahan umat Islam masih berada dalam tahap pendakwahan yang kurang bertepatan dengan konteks kehidupan masyarakat dalam dunia globalisasi. Corak pemikiran pendakwah yang masih lagi dikongkong oleh tradisi dan budaya yang kurang peka terhadap perubahan dunia menyebabkan mereka kurang berjaya menanamkan jiwa beragama kepada masyarakat Islam yang tidak terdedah kepada disiplin pendidikan agama. Oleh itu cara pendakwahan dan cara berdakwah perlu dikaji dan diteliti oleh pihak Jabatan Agama Islam supaya wang yang disumbangkan oleh kerajaan dapat digunakan sebaik mungkin bagi mengekalkan akidah umat Islam.

Pendakwah Islam yang tidak mempunyai asas pendidikan Islam yang teratur perlu dipantau supaya nasihat dan petua-petua yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam tidak disebarkan secara mudah kepada masyarakat. Perkara-perkara yang berkaitan dengan corak kehidupan dan tingkah laku umat Islam perlu berlandaskan kepada syariah dan akhlak Islam bukan mengikut akal fikiran berlandaskan kepada budaya dan tradisi yang terkeluar dari syariah Islam.

Sikap pendakwah yang terlalu gemar memberi petua yang berunsurkan kurafat masih bebas dan aktif dalam masyarakat kerana kepetahan mereka berbicara dan boleh memukau penonton. Perkara seperti ini perlu dikaji oleh Jabatan Agama Islam. Jika perkara seperti ini dibiarkan berleluasa maka masyarakat Islam yang terlalu terpengaruh dengan perubahan zaman akan beranggapan bahawa agama Islam adalah satu agama kolot dan tidak bertamadun kerana ceramah dan syarahan mereka tidak menepati akal manusia yang sering memikirkan perkara-perkara realiti. Islam mengajar umatnya menggunakan akal supaya mereka menjadi masyarakat yang bertamadun dari sudut tingkah laku dan corak hidup. Bukan berdasarkan kepada petua-petua kuno yang bertentangan dengan konteks ajaran Islam.

Oleh AZRINA SOBIAN

BARU-baru ini penulis terbaca satu makalah tulisan Riaz Hassan, seorang profesor dari Universiti Flinders, Australia. Makalah berbahasa Inggeris itu di tempatkan dalam satu ruang yang kecil tetapi cukup menarik perhatian penulis. Bukan sahaja perhatian, makalah tersebut turut menimbulkan banyak persoalan di hati penulis.

Artikel bertajuk Today‘s Islamic World Risks Intellectual Stagnation antara lainnya membicarakan tentang dunia Islam yang kini berhadapan dengan ancaman kebekuan ilmiah. Hal ini dirujuk berdasarkan kedudukan corot universiti-universiti di negara Islam berbanding negara-negara bukan Islam yang telah dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Memetik tulisan Riaz, “Amerika Syarikat dengan hanya 5 peratus penduduk dunia mempunyai 54 atau 27 peratus daripada 200 universiti terbaik dunia. Manakala di kalangan 46 negara yang kebanyakan penduduknya adalah Muslim, iaitu terdiri daripada 16 peratus penduduk dunia, hanya dua universiti yang tersenarai dalam THES. Dua universiti yang tersenarai tersebut adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) pada tangga ke-185 dan 192 masing-masing. Mata keseluruhan yang diperoleh UKM dan UM adalah 29.2 dan 28.6 mata daripada 100 mata keseluruhan.”

Walaupun Riaz hanya merujuk kepada kedudukan universiti sebagai bukti yang menunjukkan kekeringan ilmiah di kalangan umat Islam, namun hal ini masih boleh diterima. Ini merupakan satu petunjuk yang perlu diberi perhatian dan difikirkan oleh seluruh umat Islam bagi menunjukkan kedudukan keilmuan masyarakat Islam ketika ini. Seharusnya kita berasa malu. Malu kepada dunia Barat yang lebih hebat, malu kepada umat Islam dahulu yang begitu tinggi mencapai kegemilangan ilmu dan pastinya malu dengan diri sendiri kerana gagal menyerlahkan kemampuan diri dan leka pula dengan hal-hal yang kurang berfaedah.

Tulisan Riaz ini dipanjangkan lagi dengan melihat punca-punca kepada berlakunya kekeringan akal fikiran di kalangan umat Islam. Antara punca kelemahan ini adalah tumpuan pembangunan negara-negara tersebut yang lebih mementingkan pembangunan ekonomi dan zahir berbanding pengembangan ilmu, pengaruh penjajahan, amalan dan keadaan siasah serta budaya, kekurangan dana penyelidikan akibat tumpuan pembangunan yang tersasar, ancaman mulhid, kemiskinan dan pelbagai alasan lagi.

Seperti yang penulis sebutkan tadi, makalah tersebut banyak mengundang persoalan di kotak fikiran penulis. Persoalan kenapa masalah kekeringan ilmu ini berlaku telah sedikit sebanyak dijawab oleh Prof. Riaz sendiri. Namun, persoalan yang lebih besar adalah bagaimana umat Islam kini boleh keluar daripada permasalahan itu. Seperti yang telah ditunjukkan di atas, masalah kekeringan ilmu itu berlaku akibat masalah dalaman dan juga pengaruh masalah luaran di kalangan dunia Islam. Jadi, bagaimana kita boleh mengatasi tekanan-tekanan tersebut?

Membelenggu

Masalah dalaman dan luaran itu membelenggu masyarakat Islam daripada pelbagai sudut. Bagi sesetengah negara Islam adalah terlalu sukar untuk mereka keluar daripada masalah itu. Apatah lagi sebahagian daripada masalah tersebut berpunca daripada tekanan negara sekelilingnya. Oleh itu, usaha untuk menghapuskan masalah kekeringan ilmu di kalangan umat Islam ini dilihat agak mustahil.

Bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk menyalahkan tekanan luar semata-mata. Masalah-masalah dalaman seperti tidak menghormati ulama-ulama yang sah, kecintaan kepada ilmu yang nipis, sikap penerokaan yang rendah, gemar kepada keseronokan, hiburan dan kebendaan serta budaya mengikut di kalangan umat Islam adalah antara pemangkin kepada kegersangan ilmu mereka. Sebenarnya, kurang minat terhadap ilmu di kalangan umat Islam adalah punca kita jauh ketinggalan dan hal ini amat bertentangan dengan amalan menuntut ilmu dalam pandangan hidup Islam.

Oleh itu, setiap insan kini perlu memastikan agar sifat cintakan ilmu dipupuk sedari kecil. Penulis menyebut ‘setiap insan’ kerana pada masa kini tugas mendidik anak-anak kecil adalah tanggungjawab semua orang. Daripada ibu bapa hinggalah kerajaan (dari segi pembentukan dasar). Walaupun ramai yang menyebut bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab lebih besar namun hal ini makin diragui kini. Apa tidaknya, kalau hampir separuh hari mereka menghidangkan anak-anak dengan pelbagai rancangan televisyen terutama kartun, maka bolehlah dikatakan bahawa rancangan kartun itulah yang sedang mendidik anak-anak itu. Oleh itu, ibu bapa yang sayangkan anak-anaknya tentu tidak mahu digugurkan daripada haknya yang satu ini iaitu hak untuk mendidik anak-anak. Jadi, mereka wajib menilai kaedah mendidik anak-anak mereka dan melakukan sesuatu untuk memperbaiki kaedah tersebut.

Kesimpulannya, apa yang ditulis oleh Riaz itu adalah satu kebimbangan yang telah disedari oleh banyak pihak. Pelbagai langkah mengatasinya juga telah dirangka. Walaupun langkah-langkah tersebut akan mengambil masa untuk membuktikan kejayaannya, namun ia wajar disemak selalu untuk melihat keberkesanannya. Seiring dengan kecanggihan dunia, kaedah mendidik kini juga semakin canggih. Sebaliknya, dalam masa yang sama, budaya cintakan ilmu semakin terhakis pula. Oleh itu, sangat penting untuk kita memeriksa dan menilai kaedah mendidik anak-anak kini agar ia tidak tersasar daripada matlamat asal. Janganlah kita menjadi umat Islam yang hanya mampu berbangga dengan sejarah silam tetapi gagal mencipta sejarah kita yang tersendiri. Oleh itu, fikir-fikirkanlah dan lakukan sesuatu dengan segera.

- AZRINA SOBIAN ialah penyelidik Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial Institut Kefahaman Islam Malaysia.

« Previous PageNext Page »